B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pemain industri kesihatan Malaysia dipelawa melabur di Indonesia

Menteri Perdagangan Indonesia, Zulkifli Hasan mempelawa pemain industri kesihatan Malaysia untuk melabur di Indonesia.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata pemain industri Malaysia perlu melihat potensi khususnya pembinaan hospital di luar dari Pulau Jawa.

Perkara itu disampaikan beliau ketika pertemuan dua hala dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Kuala Lumpur pada Rabu.

Pertemuan itu bertujuan untuk membincangkan Perjanjian Perdagangan Sempadan yang ditandatangani kedua-dua menteri di Putrajaya semalam yang disaksikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Joko Widodo.

Menurut Zulkifli, perjanjian itu akan mempermudahkan perdagangan sekali gus meningkatkan kesejahteraan masyarakat di sempadan Malaysia dan Indonesia.

Kedua-dua negara kini akan meneruskan proses ratifikasi perjanjian mengikut peruntukan undang-undang di negara masing-masing sebelum dikuatkuasakan.

Malaysia adalah destinasi eksport kelima dan sumber import keempat terbesar Indonesia dengan nilai perdagangan mencecah AS$27.9 bilion (AS$1=RM4.60) pada 2022.

Eksport Indonesia ke Malaysia bernilai AS$15.4 bilion manakala import sebanyak AS$12.5 bilion, dengan lebihan dagangan AS$2.9 bilion. 

Sumber: Bernama

Pemain industri kesihatan Malaysia dipelawa melabur di Indonesia


Content Type:

Duration:

Kerajaan akan terus memudah cara penglibatan syarikat tempatan dalam pembangunan ibu negara Indonesia, Nusantara, yang dilihat mampu menawarkan potensi pelaburan, perdagangan dan kolaborasi ekonomi yang lebih luas dalam pelbagai bidang untuk peserta industri dari Malaysia.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan, kerajaan akan terus berusaha untuk mengetengahkan kepakaran syarikat Malaysia di persada antarabangsa dan mencari peluang untuk lebih banyak syarikat Malaysia terlibat sepanjang tempoh pembangunan Nusantara.

“Kerajaan Indonesia, secara dasarnya, menyambut baik hasrat Malaysia dan mengalu-alukan minat syarikat-syarikat dari Malaysia untuk menyertai pembangunan Nusantara.

“Oleh yang demikian, pihak kerajaan akan terus memudah cara penglibatan syarikat-syarikat tempatan yang mana usaha itu juga akan dapat menyumbang ke arah peningkatan prestasi pelaburan dan perdagangan antara Malaysia dan Indonesia, demi merealisasikan kesejahteraan rakyat di Sabah dan Sarawak dan negara amnya,” jelasnya.

Demikian menurut MITI dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis bagi menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (DAP-Sibu) mengenai perincian penglibatan syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan dalam pembangunan Nusantara, Indonesia.

Beliau juga ingin mengetahui cadangan kerajaan membina lebuh raya atas landasan kereta api menghubungkan Nusantara dengan Sabah dan Sarawak.

MITI menambah sebagai negara jiran yang terdekat dari segi geografi, Malaysia dijangka turut merasai impak limpahan ekonomi daripada pembangunan Nusantara, sama ada secara langsung atau tidak langsung, terutama bagi Sabah dan Sarawak.

Sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia pada 8 Januari lepas, sebanyak 10 syarikat Malaysia telah menzahirkan kesungguhan untuk melibatkan diri dalam pembangunan Nusantara dengan penyerahan 11 Surat Niat untuk mengambil bahagian dalam pelbagai sektor, menurut MITI.

Ini termasuk sektor perkhidmatan; pembangunan bandar dan hartanah; infrastruktur dan utiliti; perkhidmatan kesihatan; ekonomi digital; pembekalan bahan binaan; perkhidmatan kejuruteraan; dan perkhidmatan sokongan, katanya.

MITI menjelaskan terkini, terdapat tambahan empat syarikat Malaysia yang menyatakan hasrat menerusi Surat Niat untuk terlibat dalam pembangunan itu.

“Kerajaan sentiasa mengikuti perkembangan pembangunan Nusantara di Kalimantan Timur dan ketika ini, pihak Kementerian Pengangkutan tidak mempunyai sebarang cadangan untuk membina rangkaian rel kereta api bagi menghubungkan Sarawak dan Sabah dengan Brunei atau Nusantara.

“Buat masa ini, tumpuan sedang diberikan kepada penyediaan rangkaian rel bandar di bawah Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang diterajui Sarawak Metro di Sarawak manakala di Sabah, tumpuan diberikan kepada penambahbaikan infrastruktur kereta api serta mutu perkhidmatan kereta api Sabah yang diterajui oleh Jabatan Kereta api Negeri Sabah (JKNS),” menurut MITI.

Kementerian itu menekankan walau bagaiamanpun, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan bersedia untuk membantu mana-mana pihak yang berminat untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan berkaitan pembinaan lebuh raya atau landasan kereta api yang menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan Nusantara.

Sumber: Bernama

Kerajaan tinjau peluang babit lebih banyak syarikat Malaysia dalam pembangunan Nusantara, Indonesia


Content Type:

Duration:

Malaysia telah mencapai persefahaman dengan kerajaan Indonesia melibatkan pelaburan dan pembekalan gas hidrogen ke ibu negara baharu Indonesia yang diberi nama Nusantara di Kalimantan Timur.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata persefahaman antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Indonesia itu telah dimaklumkan oleh Presiden Joko Widodo kepada beliau sebelum ini.

“Perkembangan ini amat membantu dalam menambah keyakinan pelabur,” kata Menteri Kewangan itu dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di sini malam Ahad.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang turut hadir pada sidang media itu, pula berkata beliau telah berkesempatan bertemu Jokowi di Indonesia dan membincangkan pelaburan Kerajaan Negeri Sarawak berkaitan tenaga hidrogen di Nusantara.

“Ini membayangkan keyakinan negara jiran kepada pemerintahan kita di Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia capai persefahaman pelaburan gas hidrogen ke Indonesia


Content Type:

Duration:

Kemudahan pembuatan baharu BRB International (BRB) di Echt, Belanda akan menyediakan lebih ruang pertumbuhan serta pembangunan bagi anak syarikat milik penuh Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) itu dalam segmen bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia (LAC), selain meningkatkan daya saing untuk pengguna akhir.

MIDF Research dalam satu nota penyelidikan berkata, ia percaya bahawa PCG akan meneruskan pengembangan dalam penerokaan bahan kimia khusus bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap produk sedemikian dalam jangka sederhana hingga panjang.

Ia berkata, langkah itu juga akan membolehkan PCG mencapai matlamat tadbir urus, sosial dan alam sekitar (ESG) bagi memastikan industri petrokimia yang lebih bersih serta selamat.

“Secara keseluruhan, kami mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham PCG dengan sasaran harga RM11.93 sesaham,” katanya.

MIDF Research berkata, pengembangan BRB itu adalah sejajar dengan strategi kumpulan untuk mempelbagaikan perniagaan ke dalam segmen derivatif, penyelesaian dan bahan kimia khusus bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat serta berubah.

“Pembukaan kemudahan ini menunjukkan pencapaian penting dalam mengukuhkan BRB sebagai penyedia penyelesaian inovatif,” katanya.

Dilengkapi dengan piawaian keselamatan dan kualiti yang lebih tinggi, kemudahan baharu itu akan memberi tumpuan utama kepada pembuatan LAC dan akan beroperasi sebagai pusat LAC untuk pasaran global.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan PCG, Mohd Yusri Mohamed Yusof dalam kenyataan dikeluarkan berkata: “Pengembangan BRB adalah seiring dengan strategi PCG untuk mempelbagaikan portfolio produknya ke dalam derivatif, bahan kimia khusus dan penyelesaian untuk memenuhi permintaan pelanggan yang meningkat dan berubah di rantau itu.

“Sebagai sebahagian daripada rancangan pertumbuhan untuk BRB, pembukaan kemudahan ini merupakan pencapaian penting ke arah mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai penyedia penyelesaian yang inovatif.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BRB, Ralph Pinckaers berkata unit LAC sentiasa mengusahakan penyelesaian untuk pelanggan-pelanggan dalam bidang automotif, perindustrian dan pembuatan kelengkapan selama lebih 40 tahun.

“Menerusi kemudahan baharu ini, perniagaan LAC mempunyai lebih ruang untuk pertumbuhan dan pembangunan berpotensi produk baharu. Kami yakin langkah ini akan meningkatkan kelebihan daya saing BRB dalam pasaran,” katanya.

Kemudahan di Echt mempraktikkan pengendalian yang lestari dalam pembuatan bahan tambahan minyak BRB, Petrolad yang menggunakan tenaga yang lebih rendah dan mengurangkan jejak karbonnya secara keseluruhan dalam pembuatan produknya.

Amalan itu akan menyumbang kepada visi kelestarian PCG untuk mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang tahun 2050.

Sumber: Berita Harian

Kilang baharu unit PCG di Belanda buka peluang pertumbuhan


Content Type:

Duration:

Caely Holdings Bhd (Caely) merancang mengembangkan segmen pembuatan pakaian dalam wanita ke Indonesia menerusi usaha sama dengan syarikat di republik itu bagi mewujudkan kemudahan pengeluaran baharu.

Pengarah Eksekutifnya, Leong Seng Wui, berkata pelan pengembangan operasinya ke Indonesia itu dijangka dapat menjana pendapatan tambahan kepada kumpulan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, Caely memulakan lembaran baharu untuk bergerak ke hadapan dengan pelantikan ahli Lembaga Pengarah baharu, sekali gus membuka peluang untuk syarikat melangkah ke hadapan bagi rancangan perniagaan.

Katanya, langkah mengembangkan operasi ke Indonesia tidak membabitkan pelaburan besar iaitu sekitar AS$800,000 (RM3.8 juta) dengan separuh daripadanya akan digunakan untuk perbelanjaan berkaitan mesin.

“Dengan berbuat demikian (perlantikan ahli Lembaga Pengarah baharu), Caely memiliki rancangan mengembangkan segmen pembuatan dengan cadangan untuk melaksanakan usaha sama dengan syarikat tempatan di Indonesia.

“Pada masa ini, perbincangan sedang dijalankan dengan syarikat berkenaan. Selepas semuanya dimuktamadkan, ia bakal menjadi babak baharu kepada Caely,” katanya pada sidang media pengenalan ahli Lembaga Pengarah syarikat itu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Caely, Ng Keok Chai; Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Caely, Datuk Mior Faridalathrash, Datuk Kang Chez Chiang dan Chong Seng Ming; serta Pengarah Eksekutif Caely, Kenny Khow Chuan Wah.

Seng Wui berkata, Caely juga sedang meninjau untuk menyusun semula hala tuju syarikat dengan mengenal pasti dan mengambil pakar pasaran dalam segmen pembangunan hartanah bagi memulihkan perniagaan.

“Dengan tambahan simpanan tanah di Tapah dan Lembah Klang, kami akan mengambil pakar dalam sektor pembangunan hartanah untuk mengenal pasti projek berpotensi yang akan menyumbang secara positif kepada kumpulan. Ia juga termasuk pemerolehan masa depan untuk meningkatkan perniagaan keseluruhan Caely,” katanya.

Sementara itu, Keok Chai berkata, ahli Lembaga pengarah baharu akan menyokong penuh dan bekerjasama dengan polis untuk siasatan dan melakukan yang terbaik untuk memulihkan sebaik mungkin untuk faedah syarikat dan pemegang sahamnya.

“Selain itu, (juruaudit forensik) Virdos Lima akan dapat meneruskan siasatan mereka dengan sokongan daripada Lembaga Pengarah baharu termasuk menyediakan dokumentasi yang diperlukan yang relevan untuk siasatan mereka sebaik yang mungkin.

“Sekali lagi, kami tidak akan membiarkan sebarang masalah timbul dan siasatan penuh dapat dijalankan hingga ke dasarnya,” katanya.

Sejak Februari lalu, Caely terbabit dalam kes perundingan berkaitan penyelewengan dana yang membabitkan Pengasas dan bekas Pengarah Eksekutif Caely, Datin Fong Nyok Yoon dan suaminya, Datuk Alan Chuah Chin Lai serta bekas ahli Lembaga Pengarah kumpulan.

Pasangan itu, didakwa menyeleweng RM30.55 juta daripada Caely (M) Sdn Bhd (CMSB) menerusi 10 transaksi pihak berkaitan yang boleh dipersoalkan.

Pada 26 Ogos lalu, perubahan dalam Lembaga Pengarah berlaku apabila keseluruhan bekas ahli Lembaga Pengarah, tidak termasuk Nyok Yoon telah disingkirkan.

Pada 5 Oktober lalu, ahli Lembaga Pengarah baharu telah membuat laporan polis meminta siasatan dijalankan terhadap sebarang dakwaan penyelewengan dana berjumlah RM30.55 juta membabitkan CMSB sepanjang tempoh jawatan ahli lembaga pengarah terdahulu.

Sumber: Berita Harian

Caely rancang bina kilang pakaian dalam wanita di Indonesia


Content Type:

Duration:

PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCG) muktamad pengambilalihan Perstorp Holding AB (Perstorp), sebuah syarikat bahan kimia khusus global terkemuka Sweden yang didorong oleh kelestarian.

Berikutan pengambilalihan ini, Perstorp kini menjadi anak syarikat milik penuh PCG.

Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof, berkata pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada strategi ‘step-out’ kumpulan itu dengan penjanaan platform baharu untuk pertumbuhan dalam industri kimia khusus.

“Ia juga melangkaui potensi pendapatan, di mana Perstorp adalah penambahan strategik yang bersesuaian dengan nilai yang serupa dan tenaga kerja berbakat yang mempunyai kepakaran dalam industri,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Mei lalu, PCG memeterai Perjanjian Pembelian Sekuriti dengan Financière Forêt S.à.r.l, sebuah syarikat di bawah PAI Partners yang menjadi firma ekuiti swasta Eropah, bagi mengambilalih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Perstorp.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perstorp, Jan Secher, berkata pengambilalihan itu menandakan permulaan baharu dan masa depan yang menarik untuk Perstorp sebagai sebahagian daripada keluarga PCG.

“Kami teruja untuk menerokai peluang yang boleh diwujudkan melalui usaha sama dengan PCG. Ini akan mempercepatkan fasa perkembangan seterusnya dan mengukuhkan lagi kami sebagai syarikat bahan kimia khusus terkemuka,” katanya.

Melangkah ke hadapan, selepas pengambilalihan, PCG berhasrat untuk terus mengekalkan dan memperkembangkan nilai Perstorp, memandangkan beberapa tahun yang mendatang akan menjadi detik penting bagi kedua-dua syarikat itu.

“Antara rancangan pembangunan utama termasuk pengembangan Perstorp di persada dunia dengan mengukuhkan kedudukannya di pasaran Asia Pasifik melalui pengetahuan industri PCG dan memanfaatkan pangkalan pelanggannya yang besar.

“Selain itu, PCG juga akan berusaha untuk memastikan penyelesaian projek pengembangan Perstorp mengikut jadual yang dirancang secara selamat di samping menjimatkan kos. Perstorp mempunyai beberapa projek yang telah diatur dalam masa terdekat, termasuk pelancaran Project Air yang bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon melalui pengeluaran metanol yang mampan,” demikian menurut PCG.

Baru-baru ini, Dana Inovasi Kesatuan Eropah memilih Project Air, sebagai salah satu daripada 17 projek teknologi hijau berskala besar, yang akan bersama-sama menerima 1.8 bilion euro (RM8.16 bilion).

Project Air mendorong industri kimia untuk beralih daripada penggunaan bahan mentah fosil kepada bahan suapan yang berasaskan bio dan dikitar semula, justeru menggalakkan penggunaan produk kimia mampan kepada pelbagai industri dan produk akhir.

Pada kapasiti penuh, ia mampu mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) secara global dengan hampir 500,000 tan setahun berbanding paras pada hari ini, bersamaan dengan satu peratus daripada pelepasan semasa di Sweden.

“Kami bersedia untuk mara lebih jauh dalam agenda kelestarian. Inisiatif Finite Material Neutral Perstorp akan menjadi pemangkin kepada projek-projek PCG ke arah aspirasi pelepasan karbon sifar bersih kami menjelang 2050,” tambah Mohd Yusri.

Sumber: Berita Harian

PCG muktamad ambil alih syarikat kimia Sweden


Content Type:

Duration:

Pelaburan oleh syarikat Malaysia di India berjumlah AS$7 bilion dipacu oleh hubungan dua hala yang terus berkembang dalam pelbagai sektor, kata Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, Amizal Fadzli Rajali.

Syarikat Malaysia di India beroperasi dalam bidang seperti automotif, barangan pengguna laris, infrastruktur, penjagaan kesihatan, minyak dan gas serta tenaga boleh baharu.

“Sehingga kini, aliran masuk FDI (pelaburan langsung asing) Malaysia ke India berjumlah AS$7 bilion,” katanya pada majlis sambutan Hari Kebangsaan Malaysia di New Delhi, baru-baru ini.

Beliau berkata, sebaliknya, terdapat 150 syarikat India melabur AS$3 bilion di Malaysia dalam sektor seperti bioteknologi, kimia, perkhidmatan kewangan, pembuatan, farmaseutikal dan industri tekstil.

Justeru, syarikat India digalakkan mengembangkan operasi mereka di Malaysia dengan memanfaatkan peluang daripada kedudukan hab negara di rantau Asia Tenggara, katanya.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Luar India, Rajkumar Ranjan Singh, yang menjadi tetamu utama pada majlis itu, mengalu-alukan hubungan dua hala yang semakin utuh dan menyifatkan Malaysia sebagai antara rakan utama India di rantau ini.

Beliau berkata, kedua-dua negara menikmati ‘persahabatan yang teguh’ dan kerjasama pula semakin berkembang dalam pelbagai bidang.

Majlis sambutan Hari Kebangsaan Malaysia itu turut dihadiri oleh duta-duta ASEAN, diplomat dari pelbagai misi, pegawai kerajaan India, ahli perniagaan dan anggota masyarakat Malaysia dan tempatan.

Sumber: Bernama

Firma Malaysia labur AS$7 bilion di India


Content Type:

Duration:

Pharmaniaga Bhd merancang untuk mengembangkan pasarannya ke United Kingdom (UK), Turkiye serta rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang selain turut mengukuhkan operasinya di Indonesia.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata ketika ini Pharmaniaga sedang giat mengadakan perbincangan dengan negara-negara tersebut. 

“Kami sedang melihat untuk memudahkan proses (memasuki pasaran UK) menerusi produk yang telahpun berdaftar (di negara itu) dan tidak dijual dengan betul di pasaran UK,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi kewangan kumpulan bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac, 2022, di sini, hari ini. 

Zulkarnain berkata terdapat potensi pasaran yang amat besar belum dimanfaatkan di Indonesia yang perlu diteroka.

“Kami sedang merombak model perniagaan semasa cabang logistik dan pengedaran senaraian awam kami, PT Millenium Pharmacon International Tbk di Jakarta, dan mengembangkan portfolio produk cabang pembuatan kami, PT Errita Pharma di Bandung,” katanya. 

Menerusi pelan perniagaan strategik dan pemasaran agresif, Pharmaniaga menyasar meningkatkan lagi keuntungan unitnya di Indonesia pada suku-suku akan datang, kata Zulkarnain.

Sementara itu mengenai kenaikan harga bahan farmaseutikal aktif (API)  beliau berkata kumpulan itu ketika ini mempunyai stok penimbal tiga hingga enam bulan. 

“Ada beberapa produk farmaseutikal yang terjejas disebabkan kekurangan API, tetapi kami tidak bergantung kepada hanya satu pembekal bagi API.

“Kami ada sekurang-kurangnya tiga pembekal sekarang,” katanya sambil menambah kumpulan itu akan terus memantau turun naik harga API. 

Zulkarnain juga mendedahkan bahawa Pharmaniaga kini sedang memuktamadkan perjanjian lanjutan kontrak logistik dan pengedaran dengan Kementerian Kesihatan, yang dijangka selesai pada akhir tahun.

Sumber: Bernama

Pharmaniaga rancang kembang pasaran ke luar negara


Content Type:

Duration:

Malaysia disaran menumpukan perhatian di Afrika untuk menjalinkan lebih banyak hubungan perdagangan, pelaburan, pelancongan serta pendidikan memandangkan benua kedua terbesar dunia itu berpotensi besar dan menawarkan pelbagai peluang untuk manfaat bersama.

Duta Somalia ke Malaysia yang juga Dekan Ketua Misi Afrika di Malaysia, Abukar Abdi Osman berkata perubahan pantas geopolitik global berikutan konflik di Ukraine, memaksa banyak negara Eropah beralih ke benua Afrika untuk meneroka sumber asli serta minyak dan gas.

“Inilah masa yang sesuai…untuk meneroka peluang ekonomi di Afrika. Dulu…Malaysia telah ketinggalan kerana lambat merebut peluang di Afrika, tetapi banyak peluang masih ada (untuk Malaysia dan negara lain) dan itulah sebabnya negara Eropah beri tumpuan semula kepada Afrika sekarang,” katanya.

Bekas menteri persekutuan Somalia itu berkata demikian ketika ditemu bual Bernama sempena Hari Afrika pada 25 Mei.

Abukar Abdi berkata satu ketika dulu, syarikat dan ahli perniagaan Malaysia agak aktif memasuki Afrika, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kurang kemajuan dicapai dari segi menjalankan perniagaan dengan Afrika.

Menurut Abukar Abdi terdapat banyak persamaan dikongsi Afrika dengan Malaysia antaranya – iklim, makanan dan gaya hidup, serta keanggotaan dalam kumpulan Komanwel, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

“Semua itu akan memudahkan rakyat dan syarikat Malaysia meneroka potensi besar dan membuat keputusan yang tepat untuk menjalankan perniagaan di Afrika,” katanya.

Selain itu katanya, Afrika mempunyai tenaga buruh murah, tenaga kerja muda berpendidikan tinggi dan berkemahiran serta kelas pertengahan yang semakin berkembang.

Sementara Malaysia pula mempunyai sumber kewangan, teknologi dan pengetahuan serta pengalaman luas dalam pembangunan perindustrian.

“Jika dipadankan dengan cara yang betul ia boleh menghasilkan situasi sama menang bagi kedua-dua pihak,” katanya.

Sebagai contoh, syarikat kereta nasional Malaysia boleh meneroka peluang untuk membina kilang di Afrika.

Afrika dengan kira-kira 1.3 bilion penduduk mempunyai pasaran pengguna yang semakin luas dan dianggarkan benua itu mempunyai kira-kira 170 juta orang terdiri kelas pertengahan.

Beliau berkata industri penerbangan Malaysia perlu merebut peluang ini dengan meneroka kemungkinan memulakan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke bandar-bandar di Afrika.

“…Marilah melawat Afrika dan meneroka apa yang ditawarkannya, bukan sahaja tarikan pelancongan tetapi juga peluang perdagangan dan pelaburan.

“Kami mengalu-alukan syarikat awam dan swasta Malaysia dengan tangan terbuka,” katanya.

Beliau berkata ahli perniagaan Malaysia juga boleh mendapat manfaat daripada Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA).

AfCFTA menghubungkan 1.3 bilion orang di seluruh Afrika dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai US$3.4 trilion.

Sumber: Bernama

Sudah tiba masanya Malaysia melabur, tingkat hubungan dagangan dengan Afrika – Duta


Content Type:

Duration:

Supermax Corporation Bhd melalui anak syarikatnya yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Maxter Healthcare Inc akan membina kemudahan pembuatan termaju di Brazoria County, Texas.

Supermax berkata, kemudahan baharu itu akan menjadi kilang pembuatan ke-18 syarikat di seluruh dunia dan yang pertama di AS.

Menurut syarikat itu, kemudahan pembuatan baharu seluas 215 ekar itu akan mempamerkan keupayaan canggih melalui penggunaan kecerdasan buatan dan kejuruteraan robotik yang diperluaskan dan akan merangkumi lapan bangunan.

“Fasa satu akan memulakan pembinaan pada suku kedua 2022 dengan pengeluaran sarung tangan dijangka bermula pada suku kedua 2023,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin, lapor Bernama.

Syarikat itu sebelum ini mengumumkan pelaburan sebanyak AS$350 juta dalam fasa pertama daripada empat fasa pembinaan.

Kemudahan Supermax di Texas akan memenuhi sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus daripada permintaan tahunan sarung tangan nitril perubatan di AS dalam tempoh dua hingga empat tahun akan datang dalam fasa pertama sahaja.

Fasa kedua akan memenuhi 20 hingga 25 peratus permintaan dan penggunaan di AS dalam tempoh empat hingga enam tahun akan datang.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Supermax, Datuk Seri Stanley Thai berkata, kemudahan pembuatan di AS sentiasa menjadi keinginan syarikat.

Kumpulan Supermax telah melibatkan ARCO/Murray, pembina terkenal untuk gudang dan ruang pengedaran (menurut Engineering News-Record) untuk projek ini.

Supermax mengeksport ke 165 negara dan mempunyai pusat pengedaran serta operasi di AS, Kanada, UK, Ireland, Brazil, Jepun, Hong Kong dan Singapura.

Sumber: DagangNews

Supermax bina kemudahan pembuatan termaju pertama di Texas


Content Type:

Duration:

Caely Holdings Bhd yang tersenarai di Pasaran Utama, Bursa Malaysia berharap dapat merealisasikan usaha sama (JV) di Indonesia tahun ini untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya bagi menampung permintaan global yang semakin meningkat bagi pakaian dalam.

Ketua Pegawai Eksekutif, Gok Ching Hee berkata syarikat sedang memuktamadkan terma dan syarat perjanjian dengan bakal rakan kongsi JV tersebut, yang kemudian akan melabur untuk kilang di republik itu.

“Rakan kongsi JV kami akan melabur untuk kilang itu, yang mungkin siap pada Mei atau Jun tahun ini. Kami menyasar untuk menandatangani perjanjian JV pada akhir Mac,” katanya.

Beliau berkata destinasi eksport utama Caely untuk produk pakaian dalam di bawah pengeluar barangan tulen (OEM) ketika ini ialah Jerman, Amerika Syarikat dan Kanada, namun, baru-baru ini pihaknya mula mendapat lebih banyak pertanyaan daripada syarikat di Turki, Perancis dan Australia.

Pertanyaan syarikat berkenaan sudah menggandakan kapasiti pengeluaran sedia ada Caely, yang mendorong keputusan syarikat untuk berkembang lagi, dengan kilang di Indonesia disasarkan untuk meningkatkan kapasiti sebanyak tiga kali ganda berbanding dengan kilang di Teluk Intan, Perak, katanya.

“Kami percaya jumlah pesanan yang besar yang kami terima baru-baru ini adalah disebabkan syarikat-syarikat berkenaan beralih daripada mendapatkan produk mereka dari China dan kami mendapat manfaat daripada perang perdagangan di arena antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan momentum tempahan yang semakin meningkat, pihaknya yakin akan dapat menggunakan kapasiti kilang di Indonesia.

Caely, ditubuhkan pada 1986 untuk membuat pakaian dalam wanita, memperuntukkan RM5 juta sebagai modal kerja pada Oktober 2021 untuk mempelbagaikan produk termasuk pengeluaran pelitup muka fabrik.

Beliau berkata syarikat juga akan menggunakan sebahagian daripada pelaburan tersebut untuk membuat pakaian sukan, pakaian tidur dan pakaian kanak-kanak tidak lama lagi.

“Kami telah menandatangani perjanjian pelesenan dengan Disney dan ini telah membuka banyak peluang kepada kami memandangkan kami boleh membuat pakaian jenama Disney,” katanya.

Beliau berkata pihaknya telah merancang untuk akhirnya memindahkan pembuatan pakaian dalam ke Indonesia manakala kilang di Malaysia akan menumpukan pada pengeluaran pelitup muka dan pakaian lain. 

Sumber: Bernama

Pembuat pakaian dalam Caely laksana kerjasama di Indonesia


Content Type:

Duration:

Gading Kencana Sdn Bhd, salah satu pengendali ladang solar terbesar di Malaysia, bekerjasama dengan March Global LLC Arab Saudi untuk membangunkan ladang solar bernilai AS$1 bilion (lebih kurang RM4.19 bilion) di rantau Timur Tengah, Afrika dan ASEAN.

Memorandum persefahaman (MoU) itu ditandatangani di Ekspo 2020 Dubai.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Ir Muhamad Guntor Mansor Tobeng berkata, MoU  itu meliputi aktiviti, urus niaga, perhubungan, kontrak dan kerja yang berkaitan dengan pembangunan ladang solar yang memberi fokus utama di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

“Rantau MENA dipilih kerana ia mempunyai potensi besar dalam penerokaan tenaga boleh diperbaharui sejajar dengan perkembangan global semasa yang mahu mengurangkan pergantungan kepada sumber tenaga konvensional.

“Selain itu, MoU ini juga merupakan satu pengiktirafan kepada syarikat dari Malaysia yang membuktikan Malaysia mempunyai kepakaran dalam bidang tenaga boleh diperbaharui khususnya solar yang mampu memainkan peranan di peringkat global melalui kerjasama tersebut,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama pertama antara Gading Kencana dan March Global adalah untuk membangunkan ladang solar di Khulais, Arab Saudi dengan kapasiti 100 megawatt diikuti penerokaan potensi pelaburan di Ghana dan beberapa negara di Afrika Utara.

Bagi rantau ASEAN pula, beliau berkata Gading Kencana dan March Global menyasarkan untuk membangunkan ladang solar di Vietnam.

Muhamad Guntor berkata, MoU itu membolehkan syarikat Malaysia seperti Gading Kencana mengorak langkah ke pentas antarabangsa dengan memanfaatkan perkembangan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui global dengan kapasiti penjanaan baharu mencecah hampir 280 gigawatt pada 2020, kira-kira 45 peratus lebih tinggi dari 2019.

Beliau berkata, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), prestasi itu menandakan peningkatan tertinggi tahun ke tahun sejak 1999.

“Kapasiti penggunaan tenaga elektrik global daripada sumber tenaga boleh diperbaharui diunjurkan meningkat lebih daripada 60 peratus antara 2020 dan 2026, mencecah lebih 4,800 gigawatt.

“Tambahan kapasiti yang sangat tinggi akan menjadi ‘normal baharu’ pada 2022,’’ tambahnya.

Sumber: Bernama

Gading Kencana meterai MoU kerjasama ladang solar AS$1 bilion dengan March Global Arab Saudi


Content Type:

Duration:

Supermax Corporation Bhd menerusi anak syarikatnya yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Maxter Healthcare Inc melabur AS$350 juta (RM1.47 bilion) untuk membangunkan kemudahan pengeluaran utama sarung tangan di Brazoria County, Texas.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, kilang pengeluaran yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 87 hektar itu dijangka dimajukan dalam empat fasa dengan pembangunan fasa pertama bermula suku pertama tahun depan sebelum operasi pengeluaran bermula suku keempat 2022.

Katanya, setiap fasa kilang pengeluaran ini dijangka menghasilkan 400 juta keping sarung tangan sebulan dan apabila siap sepenuhnya, ia berkemampuan menghasilkan 1.6 bilion keping sarung tangan sebulan atau 19.2 bilion setahun

Supermax berkata, Sebelum ini lembaga pengarah meluluskan perbelanjaan modal berjumlah AS$550 juta (RM2.32 bilion) bagi pelaburan untuk kilang berkenaan.

Katanya, pelaburan yang dikenal pasti untuk fasa pertama membabitkan sejumlah AS$350 juta, merangkumi pembinaan ibu pejabat pengeluaran Amerika Utara kumpulan, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), pusat latihan dan kemudahan pekerja yang lengkap.

“Bangunan di ibu pejabat ini akan terdiri daripada bangunan kejuruteraan, bangunan penyelenggaraan dan gudang pengedaran untuk produk kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang lain.

“Projek ini akan menjadi kemudahan pengeluaran ke-18 milik Supermax di seluruh dunia dan yang pertama di AS,” katanya.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Supermax, Datuk Seri Stanley Thai, berkata kapasiti pengeluaran di kemudahan terbabit akan membantu AS untuk bertindak balas terhadap wabak semasa dan membantu melindungi negara berkenaan pada masa depan.

“Selain itu, menerusi penubuhan pusat R&D kami dengan institusi pendidikan tempatan dan serantau, ia akan membolehkan kami membangunkan produk berteknologi dan inovatif.

“Kilang pengeluaran ini akan dilengkapi dengan keupayaan bertaraf dunia seperti automasi, pembuatan kejuruteraan robotik dengan Kepintaran Buatan (AI) dan Revolusi Industri 4.0.

“Kemudahan ini juga akan memberi penekanan kepada tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan sisa air. Kami juga berbangga untuk bekerjasama dengan syarikat AS dalam bidang automasi dan kejuruteraan robotik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Supermax Healthcare Inc, CK Tan, berkata kemudahan pengeluaran baharu itu, apabila beroperasi kelak, ia akan membina kapasiti dan mengukuhkan rantai bekalan PPE AS.

“Kami berupaya memenuhi sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus keperluan keseluruhan import tahunan sarung tangan ke AS bagi tempoh dua hingga empat tahun akan datang.

“Dalam tempoh empat hingga enam tahun akan datang, apabila kapasiti meningkat, kami akan dapat menyediakan 20 hingga 25 peratus daripada permintaan dan penggunaan di AS,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Supermax labur RM1.47 bilion bina kilang di AS


Content Type:

Duration:

Malaysia terus meningkatkan pelaburan di Indonesia melalui lima memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian bernilai US$3.1 bilion yang akan dimeterai oleh sektor swasta kedua-dua negara itu hari ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pada suku kedua 2021, pelaburan Malaysia di Indonesia berjumlah US$12.53 billion manakala pelaburan Indonesia di Malaysia adalah sebanyak US$1.16 billion.

“Saya percaya pelaburan Malaysia di Indonesia begitu besar,” katanya pada sidang media bersama Presiden Joko Widodo di Istana Bogor sempena lawatan sulung rasmi beliau ke Indonesia selama tiga hari bermula Selasa.

Sementara itu Ismail Sabri turut memohon kerajaan Indonesia untuk melibatkan usahawan dari Malaysia dalam rancangan pembangunan ibu kota baharunya di Kalimantan yang bersempadan dengan Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak.

Kerajaan Indonesia merancang untuk memindahkan ibu kotanya dari Jakarta ke Kalimantan Timur.

Perdana Menteri berkata, Indonesia merupakan rakan perdagangan dan pelaburan yang penting dan strategik bagi Malaysia, dengan jumlah perdagangan dua hala berjumlah US$15.67 billion pada 2020.

Sumber: Bernama

Malaysia tingkat pelaburan di Indonesia melalui lima MoU bernilai US$3.1 bilion – PM


Content Type:

Duration:

Malaysia kekal menjadi rakan dagang dan sumber pelaburan utama Filipina, kata Setiausaha Jabatan Perdagangan dan Industri (DTI) Ramon M. Lopez.

Beliau berkata, walaupun ketika pandemik minat syarikat Malaysia untuk melabur atau mengembangkan perniagaan di Filipina kekal kukuh.

“Pada 2020, Malaysia berada di kedudukan ke-10 sebagai rakan dagang Filipina, dengan keseimbangan perdagangan memihak kepada Malaysia. Dari segi pelaburan, Malaysia ditangga ke-12 sumber pelaburan IPA yang diluluskan, mencatat pertumbuhan 43.90 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Dan tahun ini (Januari hingga Jun 2021), Malaysia adalah sumber FDI ke-6 (pelaburan langsung asing),” menurut Philippine Trade and Investment Centre Kuala Lumpur (PTIC-KL) memetik ucapan Ramon M. Lopez di Forum Pelaburan Filipina Ke-2 yang diadakan secara maya pada Khamis.

Menurut kenyataan PTIC-KL, Lopez telah memberi jaminan bahawa Filipina terbuka untuk perniagaan, dan merakamkan penghargaan kepada Malaysia kerana terus yakin dan berminat untuk melabur di Filipina.

Beliau juga menggalakkan lebih banyak pelaburan dari Malaysia dalam lima industri utama iaitu pembuatan, perniagaan tani, perkhidmatan, infrastruktur dan pembinaan serta tenaga.

Filipina juga menggalakkan pelaburan Malaysia dalam sektor khusus halal, oleh syarikat makanan dan minuman hingga perbankan Islam.

“Syarikat-syarikat Malaysia dipelawa untuk melabur di Filipina bagi mengembangkan industri Halal untuk memenuhi keperluan penduduk Islam (sebanyak 10 hingga 12 juta orang) Filipina dan bukan Islam.

“Dilaporkan baru-baru ini terdapat pelaburan dari Malaysia bernilai AS$130 juta, meliputi beberapa sektor di atas,” katanya.

Sementara itu, Atase Perdagangan di PTIC-KL Katrina Banzon berkata Filipina telah menerima pelaburan diluluskan oleh Agensi Promosi Pelaburan (IPA) bernilai US$1.66 bilion dari Malaysia antara 2018 dan 2020 dalam lima industri berkenaan.

Forum sehari itu, sebahagian daripada Forum Pelaburan Filipina 2021 yang diadakan untuk mempromosikan Filipina sebagai destinasi pelaburan dan rakan kongsi ideal bagi syarikat-syarikat di Malaysia.

Forum Pelaburan Filipina 2021 dianjurkan PTIC KL dan Lembaga Zon Ekonomi Filipina (PEZA) dengan kerjasama Jabatan Perdagangan dan Perindustrian, Filipina di Kuala Lumpur dan Kedutaan Malaysia di Manila.

Sumber: Bernama


Malaysia kekal rakan dagang, sumber pelaburan utama Filipina


Content Type:

Duration:

Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga), akan memperluaskan pasaran vaksin Sinovac ke Asia Tenggara dan Afrika dalam memerangi COVID-19.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope, inisiatif ini berikutan kejayaan Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS) dalam memenuhi permintaan vaksin di Malaysia dan mendapat banyak permintaan dari negara luar.

“Dengan lebih daripada 700 juta penduduk Asia Tenggara dan 1.3 bilion penduduk Afrika, kami ingin fokus memasarkan vaksin ke kawasan tumpuan terbabit.

“Pihak kami juga, sedang dalam perbincangan bersama PLS untuk memudahkan dan mengatasi isu pembekalan terhad, sekali gus memberikan bekalan vaksin ke negara tersebut,” katanya ketika sidang media Pharmaniaga secara maya menerusi aplikasi Zoom, pada Khamis.

Tambah Zulkarnain, pertambahan bilangan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini, memberikan gambaran bahawa Pharmaniaga harus memastikan bekalan vaksin tersebut tiba tepat pada masanya agar dapat mempecepatkan program vaksinasi di negara terbabit.

Sementara itu, Zulkainain turut berkata, Pharmaniaga kini sedang berusaha menerajui vaksinasi halal di dunia.

“Kerana kita sedang berusaha untuk memberikan vaksin halal kepada Malaysia dan dunia. Jadi, ini adalah langkah yang baik untuk kita memahami tentang vaksin dan kita akan mewujudkan kefahaman vaksinasi di negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, Pharmaniaga bersedia untuk penghasilan lebih banyak dos vaksin Sinovac sehingga empat juta dos sebulan bagi memenuhi keperluan di Malaysia dan juga negara luar. Source: Astro Awani

Pharmaniaga akan perluas pasaran vaksin ke Asia Tenggara dan Afrika


Content Type:

Duration:

Pelabur dari Malaysia, New Zealand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kini berpeluang untuk mengadakan kerjasama dengan rakan perniagaan di Australasia, Timur Tengah dan ASEAN. 

Menerusi inisiatif bersama antara Persatuan Perniagaan New Zealand (NZMBA) dan Majlis Perniagaan Malaysia (MBC) yang berpangkalan di UAE ia akan menyediakan laluan membolehkan hubungan perniagaan strategik peringkat tinggi selain membantu mengeratkan hubungan sesama rakyat. 

Pengasas dan Presiden NZMBA Dave Ananth berkata inisiatif bersama itu akan menyaksikan kedua-dua pihak meningkatkan aktiviti ekonomi dan pelaburan antara pasaran Malaysia, New Zealand dan UAE.

“Pasukan bilateral NZMBA-MBC berfungsi sebagai platform untuk perniagaan di Malaysia, New Zealand dan UAE mengintai peluang baharu dan terlibat dengan rakan strategik di wilayah-wilayah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

  Beliau berkata, satu perjanjian kerjasama telah ditandatanganinya dan Pengerusi MBC, UAE, Fahmy Ansara untuk menyediakan peluang kepada kedua-dua pihak bersama-sama mempromosi produk halal, kewangan Syariah dan projek infrastruktur di New Zealand.

“Kami juga sepakat untuk menjalin kerjasama lebih luas dalam pensijilan halal New Zealand untuk komoditi daging dan tenusu bagi tujuan eksport ke pasaran Malaysia dan Timur Tengah, selain projek infrastruktur melibatkan sektor kerajaan dan swasta di negara kepulauan itu,” tambahnya.

Sementara itu, Fahmy berkata inisiatif bersama itu melibatkan pertukaran jaringan, teknologi, dan perkongsian pengetahuan antara kedua-dua pihak.

Perjanjian kerjasama menjemput semua MBC di seluruh dunia untuk bergabung dan merebut peluang yang ada. 

NZMBA dan MBC, UAE turut membincangkan mengenai penganjuran dan persiapan untuk Ekspo Dunia 2021 yang akan diadakan di Dubai, UAE dari Oktober 2021 – Mac 2022.

Kedua-dua pihak juga mempertimbangkan rancangan untuk mengadakan pameran hibrid Perniagaan UAE-NZ-Malaysia bersempena dengan Ekspo Dunia 2021 dan FieldDays Expo 2022/2023, acara pertanian terbesar di Hemisfera Selatan berkaitan teknologi dan inovasi canggih.

Sumber: Bernama

Inisiatif bersama bantu pelabur berkembang ke Australia, Timur Tengah dan Asean


Content Type:

Duration:

Yenher Holdings Bhd menyasar rancangan untuk mengembangkan operasinya meliputi pasaran luar negara seperti Myanmar, Bangladesh dan China akan tercapai dalam tempoh 24 bulan selepas penyenaraian kumpulan itu di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 15 Julai ini.

Pengarah Urusan Kumpulan, Cheng Mooh Tat, berkata dengan disokong oleh jumlah penduduk yang besar di negara-negara membangun seperti Myanmar dan Bangladesh, kumpulan itu mempunyai kelebihan untuk meningkatkan pengeluaran ternakan di negara-negara berkenaan.

“Walaupun terdapatnya beberapa ketidakpastian politik di Myanmar sejak beberapa bulan lepas, kami terus mengawasi keadaan ini dengan teliti dan akan menilai keadaan sebelum memasuki pasaran,” katanya dalam sidang media secara maya sempena pelancaran prospektus syarikat itu hari ini.

Kumpulan ini terbabit terutamanya dalam pembuatan dan pengedaran produk kesihatan dan pemakanan nutrisi haiwan.

Ia juga menyediakan perkhidmatan analisis diagnostik dan bahan tambah nilai serta perkhidmatan perundingan percuma untuk pelanggannya.

Cheng berkata dengan mengambil kira pengalaman dan kejayaannya dalam industri makanan tempatan selama lebih 30 tahun dan berdasarkan kajian yang menunjukkan permintaan untuk ternakan yang semakin meningkat di tahun-tahun mendatang, kumpulan itu optimis mampu bersaing di China kerana ia turut memiliki kelebihan dari segi komunikasi di pasaran China.

Pada masa ini, eksport Yenher ke 11 negara termasuk Indonesia, Hong Kong, Brunei, Belgium, Pakistan, Korea Selatan, Nigeria, Thailand dan Vietnam adalah sekitar 10 peratus daripada jumlah penjualan.

Kumpulan ini mempunyai dua kilang pembuatan, makmal dalaman untuk penyelidikan dan pembangunan dengan kira-kira 140 pekerja yang berpusat di Pulau Pinang.

Ia juga mempunyai cawangan di Taichung, Taiwan dan melantik satu pengedar masing-masing di Korea Selatan dan Pakistan pada tahun 2020.

Sementara itu, pelancaran prospektus itu bersempena dengan tawaran awam permulaan (IPO) Yenher sebanyak 106.19 juta saham pada harga terbitan 95 sen sesaham.

IPO itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 64.43 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan sehingga 41.76 juta saham sedia ada. Sebaik sahaja disenaraikan di Bursa Malaysia, permodalan pasaran Yenher dianggarkan berjumlah RM285 juta.

Sebanyak RM61.21 juta akan dikumpul menerusi IPO berkenaan dengan RM31 juta daripada perolehan kasar akan digunakan untuk pembinaan kilang pembuatan baharu dengan pematuhan Amalan Pengilangan Baik (GMP); RM9.7 juta untuk pembelian mesin dan peralatan baharu; RM16 .71 juta untuk tujuan modal kerja dan selebihnya RM3.8 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

“Kilang pembuatan baharu itu dijangka memulakan pengujian dan pengoperasian pada suku pertama 2023 dan beroperasi sepenuhnya pada suku keempat 2023,” kata Cheng.

Dengan siapnya kilang pembuatan baharu berserta dengan segala mesin dan peralatan, kumpulan ini mampu meningkatkan kapasiti pengeluarannya dan bersedia untuk memenuhi permintaan yang tinggi untuk produk syarikat.

“Dengan status penyenaraian ini, ia akan melonjakkan profil dan imej korporat serta meningkatkan kesedaran jenama produk dan seterusnya memperluas jangkauan pasaran kami. Ini pastinya dapat membantu Yenher menarik pelanggan baru dan mengembangkan pangkalan pelanggan kami,” tambahnya.

Sumber: Bernama

IPO: Yenher sasar perluas operasi luar negara


Content Type:

Duration:

wpChatIcon