B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ekonomi digital teras utama jayakan kerangka Ekonomi MADANI – Fahmi

Sektor ekonomi digital adalah teras utama dalam menjayakan kerangka Ekonomi MADANI kerana ia merupakan antara sektor terpenting dalam perkembangan ekonomi negara, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, pelaburan dalam ekonomi digital negara menunjukkan pertumbuhan hampir RM24 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, berbanding RM7.5 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

“Saya difahamkan dalam masa terdekat, ada beberapa pengumuman pelaburan tambahan.

“Sektor ekonomi digital akan menjadi antara sektor terpenting. Itu sebab Perdana Menteri sebut mengenai digitalisasi, kesalinghubungan dan menyelesaikan beberapa masalah asas untuk rakyat,” katanya dalam ucapan pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), di sini, hari ini.

Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat merupakan kerangka ekonomi diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 27 Julai lalu bertujuan mengangkat semula ekonomi Malaysia dan dijangka membawa limpahan hasil bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.

Ia adalah rencana menyeluruh bagi Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan isu berkaitan daya saing serta tarikan negara sebagai destinasi pelaburan, dan menggariskan tindakan bagi menangani isu semasa yang memberi kesan terhadap kehidupan rakyat.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, aspek prasarana komunikasi, keselamatan siber dan ekonomi digital amat penting serta perlu dipertingkat bagi menjayakan sektor ekonomi digital.

“Malaysia sebagai negara yang jauh ke depan faham, pentadbiran faham, (bahawa) tiang seri utama adalah ekonomi digital serta tenaga boleh diperbaharui,” katanya sambil menegaskan kerangka Ekonomi MADANI penting untuk membawa perubahan kepada negara. 

Sumber: Bernama

Ekonomi digital teras utama jayakan kerangka Ekonomi MADANI – Fahmi


Content Type:

Duration:

Citaglobal Bhd dan anak syarikatnya dan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar), syarikat tenaga bersih UAE yang terkemuka, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk pembangunan pelbagai projek tenaga boleh baharu (TBB) membabitkan teknologi solar, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), angin, dan lain-lain jenis TBB.

MoU ini ditandatangani di Malaysia oleh Abdulla Zayed, Ketua Pembangunan dan Pelaburan Masdar, dan Tan Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal.

Citaglobal dan Masdar akan bergabung tenaga untuk membangunkan projek-projek TBB di negeri Pahang, Malaysia.

Projek itu termasuk kajian berkaitan teknologi solar, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), angin, dan teknologi TBB. Kerajaan Malaysia mengumumkan komitmen pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions,’ seawal-awalnya tahun 2050.

Upacara pemeteraian MoU itu disaksikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, dan Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia, Khalid Ghanim Mohammed Alghaith.

Masdar adalah syarikat pelaburan kerajaan Abu Dhabi. Ia dimiliki oleh Mubadala Investment Company, Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) Group & Abu Dhabi National Energy Company (TAQA).

Bersama-sama, mereka mempunyai mandat untuk menjana manfaat ekonomi untuk Abu Dhabi, melalui pembangunan yang berkaitan dengan TBB dan hidrogen hijau, dengan kerjasama syarikat pelaburan tempatan dan antarabangsa. Masdar aktif di lebih 40 negara di enam benua, dengan komitmen untuk membuat pelaburan bernilah lebih AS$30bil, menjana kapasiti tenaga lebih daripada 20 gigawatt (GW), dan mampu mengimbangi 30 juta tan pelepasan CO2 setiap tahun.

Anak syarikat milik penuh Citaglobal yang terbabit dalam perjanjian ini termasuk Citaglobal Energy Sdn Bhd, Citaglobal Powergen Sdn Bhd dan syarikat usaha samanya, Citaglobal Genetec BESS Sdn Bhd (CG BESS). Citaglobal Genetec BESS merupakan syarikat usaha sama yang dimiliki oleh Citaglobal Bhd (50%) dan Genetec Technology Bhd (50%).

“Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Masdar, peneraju global TBB dan hidrogen hijau untuk projek-projek TBB. Masdar telah menerajui, secara komersial, projek-projek tersohor dalam tenaga bersih, pembangunan hartanah lestari, dan teknologi bersih di UAE dan di seluruh dunia.

“Dengan bekerjasama dengan sebuah syarikat yang terkemuka dalam industri ini, kami akan mencapai kemajuan yang lebih pantas ke arah sasaran iklim kami, selain menjana keperluan tenaga kami dengan cara yang bertanggungjawab dan kosefisien,” kata Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan bersama.

“Masdar teruja untuk bekerjasama dengan Citaglobal Bhd dan mengembangkan kehadiran kami di Asia Tenggara. Kami akan menerajui projek-projek yang boleh mengurangkan pelepasan karbon di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara. Memandangkan UAE akan menganjurkan sidang kemuncak iklim PBB, COP28, pada akhir tahun ini, Masdar berbangga dapat bekerjasama dengan rakan kongsi untuk memajukan tenaga bersih di seluruh dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi.

“Asia Tenggara merupakan destinasi pelaburan penting bagi Masdar. Masdar telah membangunkan fasiliti solar terapung terbesar di rantau ini di Indonesia – projek solar terapung Cirata berkuasa 145MW – yang akan menghasilkan cukup tenaga elektrik untuk 50,000 buah rumah. Pada Februari 2023, Masdar telah memasuki sektor tenaga geotermal melalui pelaburan strategik dalam Pertamina Geothermal Energy, Indonesia,” tambah Mohamed Jameel.

Tujuan MOU itu adalah untuk menyatakan secara rasmi hasrat pihak-pihak untuk membincangkan lebih lanjut bidang potensi kerjasama yang terdiri daripada projek TBB berhubung dengan fotovoltaik solar (PV), sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), hidro, angin, sisa kepada tenaga, haba kepada tenaga dan penangkapan & penggunaan karbon.

Secara khusus, pelaksanaan MOU ini akan membolehkan Kumpulan Citaglobal menambah baik dan mengukuhkan pembangunan projek Ladang Solar 2GW (di darat dan terapung) di negeri Pahang, untuk kater kepada keperluan TBB tempatan dan luar negara. Citaglobal dan Masdar juga akan membincangkan lebih lanjut mengenai penggunaan MYBESS oleh syarikat CG BESS, di fasiliti Masdar seluruh dunia.

MOU ini berkuat kuasa serta-merta dari tarikh pelaksanaan MOU dan akan kekal untuk tempoh dua tahun selepas itu.

Sumber: Berita Harian

Citaglobal, Masdar Abu Dhabi cadang bangun ladang PV Solar 2GW di Pahang


Content Type:

Duration:

Solarvest Holdings Bhd memperoleh kontrak daripada Dexcom Malaysia Sdn Bhd bagi pemasangan sistem fotovolta (PV) solar 3.6 megawatt puncak (MWp) di kemudahan pengeluarannya di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Dexcom adalah anak syarikat DexCom Inc yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan Batu Kawan merupakan kemudahan pembuatan pertamanya di luar negara.

Dalam kenyataan hari ini, Solarvest berkata syarikat tersebut berperanan sebagai penyedia aspek kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan bagi pemasangan PV solar di bumbung untuk kemudahan bangunan utama serta ruang tempat letak kereta, yang membolehkan Dexcom mengurangkan 3,190 tan karbon dioksida.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata peningkatan pengiktirafan kepentingan kelestarian dalam operasi perniagaan yang semakin ketara telah melonjakkan penerimagunaan tenaga bersih dalam kalangan syarikat.

“Berikutan itu, perancangan kerja-kerja syarikat kekal kukuh dengan jumlah perolehan kontrak membabitkan kapasiti kira-kira 2.5 gigawatt (GW) di serata Malaysia, Taiwan, Filipina, Vietnam, Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Selain itu, kami juga menyasarkan untuk meningkatkan lagi nilai perolehan kontrak semasa bernilai RM550 juta dengan memanfaatkan kuota aset PV solar 800 megawatt (MW) di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP),” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Arham Abdul Rahman menyifatkan pelaburan berterusan Dexcom untuk meningkatkan operasinya adalah sejajar dengan matlamat Malaysia bagi mencapai pelepasan sifar bersih karbon seawal 2050.

“Langkah ini tidak hanya memaparkan tanggungjawab korporat Dexcom, tetapi turut menjadi contoh kepada perniagaan yang mahu menyumbang kepada aspek kelestarian Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, MIDA komited untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mampan pilihan oleh kalangan penggiat utama rantaian nilai global.

Sehubungan itu, kehadiran penggiat tempatan yang mantap seperti Solarvest, hanya mengukuhkan lagi komitmen MIDA.

“Kami berhasrat untuk menerapkan aspek pertumbuhan lestari dan masa depan Malaysia yang lebih hijau, seiring dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan Dasar Pelaburan Baharu (NIP),” katanya.

Sumber: Bernama

Solarvest Raih Kontrak Pasang Sistem Solar Kilang Dexcom Di Batu Kawan


Content Type:

Duration:

Malaysia muncul di kedudukan teratas dari segi median kelajuan muat turun 5G bagi pasaran Asia Pasifik.

Ia setanding dengan penanda aras Eropah pada separuh pertama 2023 menurut Ookla Insights, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.

Nie Ching yang memetik laporan itu berkata median kelajuan muat turun 5G Malaysia berada pada 512.10 Megabit sesaat (Mbps) mengatasi Korea Selatan yang mencatatkan 503.99 Mbps dan Singapura (387.15 Mbps).

“Betul, kadar penggunaan 5G kita secara relatif masih rendah, saya percaya apabila infrastruktur 5G sudah sedia, ini bermakna kita akan lebih bersedia untuk penggunaan digital yang lebih baik dan berharap kita masih dapat mengekalkan kelajuan itu.

“Kita berada di landasan betul untuk memastikan liputan 5G akan mencapai 80 peratus bagi kawasan berpenduduk menjelang akhir tahun ini. Selain itu, dengan Maxis menandatangani perjanjian langganan dengan Digital Nasional Bhd (DNB), lebih ramai pengguna akan mempunyai akses kepada 5G,” katanya di sini, pada Selasa.

Terdahulu, beliau merasmikan unit binaan dan reka bentuk teknologi Boston Consulting Group (BCG), BCG X di Malaysia dan melancarkan laporan bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mengenai ekosistem digital dengan kerjasama BCG.

Laporan bertemakan Harnessing the Power of Technology: Building a Strong Digital Economy for Malaysia’s Future (Memanfaatkan Kuasa Teknologi: Membangunkan Ekonomi Digital yang Kukuh untuk Masa Depan Malaysia) itu meneliti faktor seperti pendirian semasa syarikat tempatan dari segi transformasi digital, pemacu utama perubahan dan cabaran yang perlu ditangani.

Laporan bersama itu didukung oleh dua kerangka hak milik iaitu Indeks Penerimagunaan Digital Perniagaan oleh MDEC dan kerangka Bangun Untuk Masa Depan (BFF) oleh BCG.

Menurut laporan itu, BFF mendapati syarikat Malaysia ketinggalan di belakang firma global dan Asia Tenggara dalam usaha transformasi digital, dengan gabungan syarikat Malaysia yang agak tinggi dalam segmen yang sedang pesat berkembang dan tidak berkembang (39 peratus) berbanding global (13 peratus) dan serantau (17 peratus).

Beliau berkata kerjasama penyelidikan dan pelancaran BCG X itu berfungsi sebagai pencapaian penting, mencerahkan lagi laluan untuk Dekad Digital Emas Malaysia.

“Perancangan menyeluruh kita akan menumpukan pengukuhan infrastruktur komunikasi, meningkatkan keselamatan siber dan merangsang pertumbuhan berterusan dalam ekonomi digital,” katanya. 

Sumber: Bernama

Malaysia kedudukan teratas median kelajuan muat turun 5G Asia Pasifik


Content Type:

Duration:

Projek Taman Industri Hijau (GRIP) Kota Puteri yang dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), dijangka menarik pelaburan berjumlah RM8 bilion selain menyediakan sehingga 5,000 peluang pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mahmud Abbas berkata pembangunan di tapak seluas 150.8 hektar di Seksyen 11 dan 12 di Kota Puteri dekat sini, juga mempunyai tarikan pelaburan berikutan lokasinya yang mudah diakses serta tidak jauh dari Pelabuhan Klang.

Projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM2 bilion, akan dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur bagi memastikan kawasan itu lestari dan mampan.

“Ia turut diiktiraf dengan status sebagai Taman Perindustrian Terurus (MIP) yang dibangunkan dengan konsep berpusat dan berpagar.

“Status ini membolehkan pengilang memanfaatkan pelbagai insentif untuk menjadi lebih kompetitif dan hijau,” katanya pada majlis pelancaran GRIP Kota Puteri di tapak projek, hari ini.

Majlis perasmian itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas selanjutnya, Mahmud berkata pembangunan itu membabitkan 10 elemen bagi menyokong aktiviti perindustian berasaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) termasuk penempatan asrama pekerja secara berpusat, stesen pengecas kenderaan elektrik, taman rekreasi bertemakan air serta pusat kawalan berpusat.

“GRIP adalah sebahagian daripada ekosistem perbandaran Kota Puteri yang menempatkan kira-kira 9,000 unit rumah,” katanya.

Sementara itu, Amirudin menyifatkan projek GRIP Kota Puteri sebagai bukti kemampuan PKNS dalam mempelbagaikan pelaburan serta mewujudkan bandar perindustrian yang berdaya huni.

Malah, katanya, pembangunan GRIP Kota Puteri serta lain seumpamanya dapat memastikan ekonomi Selangor terus berdaya saing dan menjadi penyumbang terbesar keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

“Konsep MIP itu selaras dengan inisiatif kerajaan negeri untuk menggalakkan (kewujudan) taman perindustrian yang terurus di Selangor menerusi pengumuman beberapa insentif di bawah Wilayah Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS).

“Ini satu perkembangan amat positif iaitu kita mencipta ruang kerja, menarik pelaburan dan PKNS mempunyai rangkaian serta ekosistem hampir lengkap dengan menyediakan pula perumahan dan infrastruktur lain seperti kesihatan dalam satu perbandaran perindustrian,” katanya.

IDRISS adalah antara agenda dalam Rancangan Selangor Pertama yang merangkumi kawasan berkeluasan kira-kira 20,000 hektar dengan GDV dianggarkan bernilai RM1 trilion.

Amirudin berkata sebanyak 200 kilang dijangka dibina bagi menempatkan perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat besar selepas ketiga-tiga fasa pembangunan GRIP Kota Puteri siap pada 2027.

Fasa pertama merangkumi pembangunan tapak berkeluasan 48 hektar dan dijangka bermula pada akhir 2023 selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.

“Kita akan siapkan fasa pertama dengan segera yang dijangka dalam masa dua hingga tiga tahun. Jika sambutannya bagus, mungkin fasa kedua boleh dimulakan menjelang akhir tahun depan,” katanya.

Sumber: Bernama

PKNS lancar GRIP Kota Puteri, dijangka raih pelaburan RM8 bilion


Content Type:

Duration:

Malaysia akan memperkenalkan Penukaran Tenaga untuk menyokong eksport tenaga boleh baharu (RE) ke negara-negara jiran, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang merangka perinciannya untuk memudahkan penukaran tersebut yang akan diumumkan tahun ini.

“ST sedang menyediakan kertas kerja berhubung Penukaran Tenaga ini untuk kita meluluskannya di peringkat kerajaan.

“Kita akan meneliti beberapa model tersedia dan antara matlamatnya adalah untuk mendapat RE yang cukup untuk dibekalkan di negara ini dan seterusnya memastikan kita menerima nilai terbaik bagi jualan di luar negara dan membolehkan nilai itu dilaburkan semula demi merangsang sektor RE di Malaysia,” katanya dalam persidangan meja bulat Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) hari ini.Nik Nazmi berkata bagi menyokong peralihan tenaga di negara ini, Malaysia perlu melihat sumber penjanaan tenaga lain seperti hidrokuasa berskala kecil.

“Kita tidak sewajarnya melihat kepada hidrokuasa berskala besar yang agak bermasalah untuk kita melaksanakannya kerana banyak tukar ganti,” katanya.

Nik Nazmi berkata Malaysia perlu mengkaji sistem storan bateri yang akan memainkan peranan penting untuk menyokong harga RE yang lebih rendah.

Mengulas pelaksanaan cukai karbon di Malaysia, beliau berkata negara memerlukan pembaharuan cukai untuk menyokong industri itu.

“Kementerian Kewangan adalah peneraju dalam aspek ini. Apabila kita bercakap dari segi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, cukai tersebut perlu menjalankan peranan kerana ada harga yang perlu dibayar untuk karbon,” kata Nik Nazmi.

Sumber: Bernama

Malaysia akan perkenal penukaran tenaga, dorong eksport tenaga RE – Nik Nazmi


Content Type:

Duration:

Malaysia diiktiraf sebagai negara terbaik di Asia Tenggara dalam Indeks Peralihan Tenaga (Energy Transition Index) oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) baru-baru ini.

Indeks tersebut mengambil kira prestasi sistem dan kesediaan negara untuk beralih ke sumber tenaga yang lebih mesra alam.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan menyifatkan pencapaian ini menunjukkan bahawa Malaysia berada di landasan yang tepat bagi pengurusan peralihan tenaga yang pantas, selamat dan berpatutan.

“Selain itu, Malaysia juga mempunyai pelbagai kelebihan strategik seperti lokasi yang strategik, sumber tenaga boleh baharu (TBB) yang pelbagai dan tahap kemahiran yang tinggi untuk menjadi peneraju serantau dalam bidang peralihan tenaga.

“Malaysia dijangka mampu meraih peluang untuk menarik pelaburan global dalam sektor teknologi bersih yang telah mencecah RM5 trilion pada 2022.

“Nilai ini dijangka akan terus meningkat pada tahun-tahun mendatang,” katanya.

Susulan itu, kementeri tersebut akan meluncurkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR) Fasa 1 semasa program Invest Malaysia KL 2023 Special Series anjuran Bursa Malaysia dengan kerjasama CLSA dan Maybank di Grand Hyatt Hotel, Kuala Lumpur.

Peluncuran NETR Fasa 1 merupakan titik permulaan dalam usaha mengarusperdanakan peralihan tenaga naratif pembangunan negara.

“NETR akan mengumumkan pelaksanaan 10 projek rintis perdana yang dijangka menjana pelaburan berjumlah RM25 bilion, pewujudan 23,000 peluang pekerjaan yang berkualiti tinggi serta pengurangan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram setahun secara kumulatif.

“NETR adalah tindakan tuntas susulan pembaharuan dasar semasa berkaitan TBB oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim, khususnya peningkatan sasaran baharu kapasiti terpasang TBB daripada 40 peratus pada tahun 2035 kepada 70 peratus menjelang tahun 2050.

“Sasaran yang lebih tinggi dijangka dapat mewujudkan peluang ekonomi baharu selain menarik syarikat multinasional, khususnya RE100 untuk beroperasi di Malaysia,” jelasnya.

Justeru, kementerian itu berharap NETR dapat memandu agenda strategik untuk mencipta peluang pekerjaan baharu bergaji tinggi, merancakkan penyertaan pelaburan dalam dan luar negara, menjamin kelangsungan bekalan tenaga negara, dan menjadikan Malaysia peneraju serantau dalam industri tenaga bersih dalam jangka masa panjang.

Sumber: Astro Awani

Indeks Peralihan Tenaga: Malaysia diiktiraf negara terbaik di Asia Tenggara


Content Type:

Duration:

Kementerian Sumber Manusia menyasarkan 50 pemain industri di seluruh negara bakal bekerjasama untuk memperkasakan pelatih dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), menjelang hujung tahun ini.

Timbalan Menterinya, Mustapha Sakmud memaklumkan setakat ini, sebanyak 24 syarikat telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi merealisasikan hasrat kerajaan itu.

Beliau berkata, 26 syarikat lagi juga sudah dikenal pasti dan perjanjian berkaitan kerjasama itu dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.

“MoU berkenaan adalah jalinan kerjasama antara semua institusi TVET yang berada di bawah 12 kementerian ketika ini bagi memberi pendedahan terkini dalam melahirkan pekerja berkemahiran.

“Setakat ini, kita telah menandatangani MoU dengan 24 syarikat dan saya yakin sasaran untuk menjalin kerjasama dengan 50 pemain industri menjelang hujung tahun ini akan tercapai.

“Untuk tujuan itu, kita sudah merangka strategi jalinan kerjasama bagi memberi manfaat kepada institusi TVET di negara ini,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Industri Taman Lesung Batu Emas, di sini, sempena Program Jejak TVET MADANI Alumni Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil, di sini, hari ini.

Melalui jalinan kerjasama itu, Mustapha berkata, syarikat berkaitan akan memberi kepakaran dan pendedahan teknologi terkini.

Sumber: Berita Harian

Kerajaan sasar kerjasama 50 pemain industri perkasa TVET


Content Type:

Duration:

Projek Hub Logistik Antarabangsa Shah Alam di Seksyen 16 di sini dijangka membawa pelaburan mencecah hampir RM2 bilion.

Projek melibatkan kawasan seluas 28.73 hektar itu itu dijangka siap pada 2028.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek itu memberi peluang pekerjaan kepada 5,000 penduduk dengan melengkapkan ekosistem sektor atau industri perkhidmatan di negeri ini.

Menurutnya, sektor itu menyumbang kepada 60 peratus dan pertumbuhan meningkatkan 13 peratus yang berpadanan dengan trend global khususnya negeri seperti Selangor.

‘Sebenarnya, Selangor sedang menuju dan hampir menyaingi Singapura dari segi pecahan ataupun beralih daripada sektor pembuatan kepada perkhidmatan.

“Ini menunjukkan bagaimana sektor perkhidmatan terus kekal, menarik dan hebat dalam tempoh empat atau lima tahun. Ia sedikit sebanyak disumbangkan oleh pandemik yang meningkatkan kualiti dan keperluan sektor perkhidmatan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pecah tanah hub tersebut di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, kebenaran merancang dan pelan kerja tanah hub tersebut telah diluluskan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bulan lalu.

“Perkara yang seterusnya kelulusan pelan bangunan lengkap yang berkemungkinan dalam tempoh sebulan lagi sebelum kerja pembinaan dilaksanakan dalam kadar segera,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, beliau yakin situasi kesaksamaan kerajaan Persekutuan dan negeri boleh membantu meningkatkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) projek di Selangor.

“Pada 2021, peningkatan sekitar 0.5 peratus manakala 2022 mencapai 0.7 peratus dan berharap dalam beberapa tahun akan melebihi GDV 2022 selepas melancarkan Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor dan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam selain pelaburan baru seperti Tesla Inc. serta syarikat penting bertaraf antarabangsa.

“Ini adalah signal yang baik kepada ekonomi Selangor. Masalahnya cuma kita tidak mempunyai tanah yang mencukupi yang menyebabkan harganya tinggi. Namun apa ditawarkan adalah kompetensi dan efisien,” katanya. 

Sumber: Kosmo

Hub Logistik Antarabangsa Shah Alam bawa pelaburan RM2 bilion


Content Type:

Duration:

Malaysia kini berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan peluang ekonomi yang dijana oleh teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT).

Ketua Unit Perniagaan KasperskyOS, Andrey Suvorov, berkata industri IoT akan berjaya di negara ini, disokong oleh Pelan Hala Tuju Strategik IoT Kebangsaan yang dilaksanakan, ditambah dengan sektor elektrik dan elektronik (E&E), telekomunikasi serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kukuh.

Beliau berkata, memetik data daripada Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC), Malaysia diunjurkan meneraju pertumbuhan ekonomi digital Asia Tenggara, yang dijangka meningkat kepada AS$1 trilion pada 2030.

“IoT adalah tunjang utama transformasi digital memandangkan perkara itu membantu perniagaan meningkatkan kecekapan menerusi automasi tugasan dan proses, selain melonjakkan produktiviti dan membantu syarikat membuat keputusan yang lebih baik.

“Kesimpulannya, Malaysia perlu menangani masalah dalam mewujudkan ekosistem IoT komprehensif, menstandardkan teknologi IoT serta keselamatan dan privasi,” katanya kepada Bernama.

Suvorov berkata, terdapat juga keperluan untuk mengubah pendekatan kepada keselamatan siber bagi meraih faedah penuh IoT dalam ekonomi digital di samping mengekalkan aspek keselamatan.

“Di Kaspersky, kami mengambil pendekatan khusus yang dikenali sebagai ‘Cyber Immunity’ (Imuniti Siber), iaitu produk dijamin dengan reka bentuk dan akan dapat menangkis kebanyakan serangan tanpa memerlukan alat perlindungan tambahan,” katanya.

Suvorov memuji langkah kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Keselamatan Siber Malaysia, dan berkata kerajaan sentiasa bertindak proaktif dalam bidang keselamatan siber.

Beliau walau bagaimanapun berkata, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam sektor ini, selain menekankan bahawa perniagaan perlu melabur dalam latihan keselamatan siber untuk pekerja kerana berlaku kekurangan profesional keselamatan siber.

Pada masa sama, pihak media perlu meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber dalam kalangan pengguna memandangkan komuniti profesional perlu berkembang, katanya.

“Selain itu, penting untuk bekerjasama dengan pihak daripada sektor awam dan swasta, terutama dalam mengumpul sumber, berkongsi maklumat, risikan dan penyelesaian bersama dalam memerangi cabaran keselamatan siber,” katanya.

Suvorov berkata, CyberSecurity Malaysia mempunyai pasukan yang bekerja bagi Pusat Penilaian Kerentanan Malaysia (MyVAC).

Beliau berkata, Kaspersky menyertai Persatuan IoT Malaysia baru-baru ini, dan merancang untuk menyumbang ke arah meningkatkan daya tahan siber Malaysia, bersama-sama dengan peserta pasaran lain dalam rantaian nilai IoT.

“Bekerjasama dengan pakar keselamatan siber global sentiasa merupakan satu idea yang baik untuk kekal mengikuti aliran terkini, berkongsi kepakaran dan meningkatkan asas pengetahuan,” katanya.

Kaspersky ialah syarikat keselamatan siber dan privasi digital global, dengan kepakaran dalam perisikan ancaman dan keselamatan, menawarkan perlindungan terkemuka kepada peranti fizikal yang menyambung ke sistem rangkaian serta penyelesaian keselamatan khusus kepada lebih 400 juta pengguna dan 240,000 pelanggan korporat di seluruh dunia.

Sumber: Bernama

Kaspersky yakin industri IoT akan berjaya di Malaysia


Content Type:

Duration:

Penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink di Malaysia dijangka memberikan impak positif kepada perkembangan keterhubungan Internet Pelbagai Benda (IoT) dan kes gunaan industri baharu, kata penganalisis.

Penganalisis Utama GlobalData, Alfie Amir berkata kehadiran Starlink oleh SpaceX di negara ini akan membawa manfaat besar kepada industri di samping meningkatkan lagi kemajuan signifikan Malaysia dalam keterhubungan Internet.

“Kita lihat pada masa ini syarikat telekomunikasi di seluruh dunia menambah satelit orbit bumi rendah (LEO) menerusi kerjasama dengan operator satelit seperti Starlink.

“Kes gunaan dalam kerjasama ini terutamanya untuk keterhubungan IoT di kawasan pedalaman — bertujuan meningkatkan kebolehpercayaan rangkaian sebagai sandaran dan komunikasi kritikal,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan persidangan video bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk yang berlangsung selama kira-kira 25 minit.

Perbincangan yang terarah khususnya dalam bidang kenderaan elektrik (EV), turut menyentuh penyertaan SpaceX yang dapat menyumbang kepada capaian Internet yang lebih laju dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman.

Anwar berkata kerjasama kerajaan Malaysia dengan Musk dijangka membuka puluhan ribu peluang pekerjaan tenaga mahir di negara ini, dengan sekurang-kurangnya tiga syarikat tempatan akan terlibat dalam projek bersama SpaceX.

Pertemuan maya Anwar dengan Musk yang juga CEO Tesla Inc turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Tengku Zafrul dalam catatan di laman Facebook beliau hari ini berkata perbincangan lanjut berhubung kerjasama Starlink SpaceX dengan kerajaan Malaysia akan diadakan tidak lama lagi.

Sementara itu, Profesor Ekonomi Sunway University Dr Yeah Kim Leng berkata perbincangan Anwar dan Musk yang membuahkan hasil itu telah mewujudkan tindak balas rantai yang menyaksikan komitmen selanjutnya dipersetujui antara kedua-dua pihak.

“Selain pelaburan pejabat Tesla di Malaysia yang akan menyumbang kepada pemerkasaan industri EV di Malaysia, satu lagi kerjasama berpotensi yang penting adalah perkhidmatan satelit Starlink yang akan mengurangkan kos Internet dan mengecilkan jurang digital bandar-luar bandar.

“Sambutan positif hasil mesyuarat ini akan turut memberikan sumbangan kecil namun bermakna untuk memperkukuh keyakinan pelabur kepada negara,” katanya.

Sumber: Bernama

Starlink akan manfaatkan perkembangan IoT di Malaysia


Content Type:

Duration:

Pelaburan sebanyak RM637 bilion diperlukan untuk mencapai matlamat kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 70 peratus menjelang 2050.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research dalam satu nota kajian berkata sejak awal tahun ini, kerajaan telah melancarkan beberapa pengumuman yang menunjukkan fokus yang lebih besar terhadap dasar RE pada masa hadapan.

Ia berkata, peningkatan terbesar sektor itu mungkin datangnya daripada pengumuman Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bahawa sebagai tambahan kepada sasaran RE yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyReR), kerajaan sedang melihat sasaran kapasiti RE sebanyak 70 peratus menjelang 2050.

“Mengikut anggaran hari ini, pelaburan sebanyak RM637 bilion diperlukan untuk mencapai matlamat ini, yang merangkumi perbelanjaan untuk infrastruktur grid, kapasiti penjanaan baharu RE, penyepaduan storan tenaga dan kos operasi grid,” katanya.

Menurut Rafizi, kerajaan bersedia untuk melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga secara berperingkat, mengenal pasti inisiatif impak utama dan rancangan pelaksanaan untuk dua dekad akan datang.

“Pelan ini adalah positif memandangkan ia menggambarkan prospek yang melangkaui MyRER,” kata HLIB.

MyRER diumumkan pada 2021 untuk menyokong penyahkarbonan sektor elektrik di Malaysia sehingga 2035.

Ini dijangka memacu pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dalam sektor tenaga bagi memenuhi sasaran Sumbangan Yang Ditentukan Negara (NDC) sebanyak 45 peratus pengurangan intensiti pelepasan GHG seunit daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 berbanding tahap 2005, dan mengurangkan lagi sehingga 60 peratus pada 2035.

HLIB memberikan saranan ‘overweight’ kepada sektor RE berikutan potensi pertumbuhan yang kukuh daripada tema peralihan tenaga berbilang tahun yang tidak berkaitan dengan politik.

Firma penyelidikan itu berkata, pemangkin utama meliputi anugerah Program Tenaga Hijau Korporat, Belanjawan 2024 dan pelan hala tuju/pelaksanaan di masa hadapan.

“Kami percaya pertumbuhan dalam pelaburan untuk alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) boleh memacu penarafan semula saham-saham RE dengan bekalan yang ‘suam-suam kuku’ di pasaran Malaysia,” katanya.

HLIB berkata, kejayaan Malaysia dalam perjalanan penyahkarbonannya dengan tenaga solar adalah tinggi sepanjang tahun kerana lokasinya yang berhampiran garis khatulistiwa.

Malaysia merancang untuk membina kapasiti solar terpasang sebanyak 7,280 megawatt (MW) menjelang 2035, peningkatan sebanyak 5,746 MW berbanding kapasiti terpasang 2020, bersamaan dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 10.9 peratus.

HLIB memulakan penarafan pada dua saham yang merupakan satu-satunya pemain kejuruteraan solar, perolehan, pembinaan dan pentauliahan yang tersenarai di Pasaran Utama, iaitu Samaiden Group dan Solarvest Holdings.

Ia membuat saranan ‘beli’ ke atas Samaiden dengan harga sasaran (TP) RM1.43 sesaham dan saranan ‘pegang’ ke atas Solarvest dengan TP RM1.20 sesaham.

Sumber: Bernama

Pelaburan RM637 bilion realisasikan sasaran RE di Malaysia


Content Type:

Duration:

Sarawak bakal menjadi pengeluar utama tenaga hidrogen hijau di rantau ini yang kini mempunyai permintaan tinggi sebagai sumber tenaga bersih.

Sasaran Sarawak itu juga dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh beberapa tahun akan datang kerana negeri itu telah memulakan pembinaan dua loji hidrogen hijau.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata permintaan untuk hidrogen hijau ketika ini berkembang pesat,apabila dunia berusaha untuk menyahkarbon ekonomi.

Beliau berkata, di rantau Asia Pasifik saja, permintaan untuk hidrogen hijau dijangka berkembang sebanyak 50 peratus setahun sepanjang sedekad yang akan datang.

Oleh itu, katanya terdapat keperluan segera untuk meningkatkan pembangunan dan pembinaan loji hidrogen hijau kerana pada tahun lalu, jumlah pengeluaran untuk hidrogen hijau meningkat lebih daripada 40 peratus kepada 38 juta tan atau separuh daripada keperluan dunia menjelang 2030.

Menurutnya, langkah pantas pembangunan loji hidrogen hijau Sarawak itu juga adalah bagi memastikan negara berada di landasan yang betul untuk memenuhi komitmen sifar pelepasan bersih menjelang 2050.

“Oleh itu, ada keperluan untuk memindahkan projek daripada peringkat Front End Engineering Design (FEED) kepada fasa pembinaan dan akhirnya operasi.

“Saya gembira untuk berkongsi bahawa projek hidrogen Sarawak kini dalam peringkat FEED dan membolehkan Keputusan Pelaburan Akhir (FID) dijangka dapat dilaksanakan pada tahun depan,” katanya merasmikan Pameran & Persidangan Hidrogen Hijau Asia Pasifik 2024 (APGH 2024) di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni.

Abang Johari berkata, kegunaan dan penggunaan hidrogen hijau adalah luas termasuk sebagai sumber bahan api untuk pengangkutan, dalam penjanaan kuasa melalui pembakar atau sel bahan api hidrogen (HFC), dalam proses perindustrian seperti pengeluaran metanol hijau, ammonia hijau serta bahan api penerbangan mampan (SAF).

Beliau berkata, pengeluaran hidrogen hijau dan cabang ekonominya juga akan mewujudkan peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Dianggarkan hidrogen hijau akan menjana sehingga 30 juta pekerjaan menjelang 2050 dan peningkatan hasil tahunan AS$2.5 trilion kepada ekonomi seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Dr Hazland berkata, dua loji hidrogen hijau Sarawak yang dilaksanakan melalui kerjasama dengan syarikat Jepun dan Korea Selatan dijangka siap sepenuhnya pada 2027.

Beliau berkata, penyiapan itu juga akan membolehkan Sarawak menjadi pengeluar utama hidrogen hijau bukan saja kepada Malaysia tetapi di peringkat serantau.

“Jumlah hasil yang akan disumbangkan daripada hidrogen hijau ketika ini tidak dapat didedahkan tetapi ia dijangka akan membuka ribuan peluang pekerjaan.

“Malah, kita juga dapat berkongsi dan bertukar maklumat serta teknologi dan kemahiran. Sejak Sarawak mula menumpukan kepada ekonomi hidrogen hijau, negeri ini mendapat banyak permintaan pelaburan berimpak tinggi.

“Lebih banyak loji hidrogen hijau akan dibina serta peluang pelaburan yang lebih besar akan dapat dicapai,” katanya.

APGH 2024 akan diadakan pada 11 hingga 13 Jun 2024 bertempat di Borneo Convention Centre Kuching, Sarawak.

Sumber: Bernama

Sarawak bakal pengeluar utama tenaga hidrogen hijau


Content Type:

Duration:

Kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) bagi mengangkat Malaysia menjadi peneraju serantau dalam tenaga boleh baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa projek flagship rintis dan inisiatif akan dijalankan bagi meningkatkan penyertaan industri, meneroka sumber tenaga baharu serta membentuk permintaan pasaran dan mengenal pasti sumber kewangan yang diperlukan.

“Fasa Pertama NETR akan mengetengahkan sepuluh projek rintis perdana yang strategik dan bernilai tinggi sebagai langkah pelaksanaan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dengan jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion, mewujudkan 23,000 pekerjaan berkualiti tinggi, dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram secara bertimbunan (cumulative),” katanya.

Katanya, NETR Fasa Pertama akan bermula pada 27 Julai 2023, dengan fasa kedua disusuli pada Ogos tahun ini.

Perdana Menteri turut menekankan komitmen kerajaan dalam membasmi budaya “Ali Baba” atau rent-seeking.

“Anggaran kerugian mencecah sekitar 1 peratus daripada KDNK dan melibatkan aspek perolehan, perlesenan, pemberian permit dan kuota, serta pemberian subsidi dan geran.

“Oleh yang demikian, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara, dengan penglibatan Kementerian dan Agensi Kerajaan, akan mengkaji dan merangka dasar dan strategi perundangan ang bersesuaian untuk membanteras aktiviti rent-seeking dan membentangkan cadangan kepada Jemaah Menteri,” katanya.

Bergerak ke hadapan, Anwar turut berkata, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan terus merumuskan langkah dan inisiatif bagi menambah baik tatakelola serta perubahan struktur demi meningkatkan potensi ekonomi negara.

Katanya, kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara mencapai Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 di samping memenuhi keperluan sosioekonomi rakyat.

Sumber: Astro Awani

Kerajaan percepat pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga


Content Type:

Duration:

Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga akan terdiri daripada projek nasional bernilai RM25 bilion untuk menyokong pembaharuan struktur ekonomi negara.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata 10 projek peralihan tenaga perdana pertama negara yang akan dibangunkan dengan penyertaan sektor swasta bakal diumumkan pada 27 Julai ini.

Beliau berkata, sejak pandemik, pelaburan dalam projek peralihan tenaga menguasai landskap pelaburan global, justeru, beliau yakin komitmen kerajaan terhadap pembaharuan struktur jangka panjang akan menarik semula aliran masuk pelaburan ke dalam negara dan seterusnya menambah baik prestasi ringgit.

“Apa yang boleh kita lakukan dari segi kekuatan ringgit ialah memastikan ekonomi kita keluar daripada situasi sekarang kepada suasana yang lebih progresif, lebih bernilai tinggi kerana ia adalah naratif pertumbuhan yang portfolio asing akan berminat.

“Dan jika kita dapat melakukan ini, pelaburan akan masuk ke pasaran modal kita, sama ada bon atau ekuiti dan itu akan menampan ringgit daripada perbezaan kadar faedah kita sekarang,” katanya kepada pemberita selepas acara Persidangan Undang-Undang Malaysia, di sini, hari ini.

Rafizi berkata, kebanyakan daripada dasar ini akan mengambil sedikit masa untuk difahami oleh orang ramai, namun industri mengetahui bahawa pelabur sedang menunggu untuk melihat sepantas mana syarikat Malaysia boleh beralih kepada ekonomi hijau.

Oleh itu, katanya, kerajaan sedang dalam usaha untuk membangunkan dasar bagi menyokong industri peralihan tenaga di negara ini.

“Ini adalah perkara yang ditumpukan oleh kerajaan untuk menyelaraskan semula ekonomi dan syarikat kita kepada perkara yang boleh menarik pelaburan asing ke dalam syarikat mereka dengan membeli saham mereka kerana sejak lima hingga enam tahun lalu, tidak ada naratif pertumbuhan yang menarik yang boleh ditawarkan oleh syarikat kita,” katanya.

Secara keseluruhannya, beliau percaya Malaysia berada berada di landasan yang betul untuk mencapai pertumbuhan mampan.

Sumber: Bernama

Hala Tuju Peralihan Tenaga bawa projek RM25 bilion


Content Type:

Duration:

Malaysia adalah sebuah hab dinamik dalam aspek teknologi dan inovasi berteraskan ekosistem permulaan serba mantap serta semangat keusahawanan yang memberi inspirasi, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, ini sejajar dengan usaha kerajaan yang mengiktiraf kepentingan peranan teknologi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, malah turut melaksanakan langkah penting untuk menerapkan persekitaran sewajarnya bagi tujuan pelaburan teknologi dan usahawan demi mempercepat ekonomi digital.

“Kerajaan turut memberi penekanan besar terhadap pertumbuhan ekonomi digital Malaysia yang (terbukti) meningkat dari segi sumbangannya terhadap ekonomi negara secara progresif,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Horizon – Penerbitan Ekonomi Digital 2022 Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Fahmi juga menyifatkan ekonomi digital sebagai antara teras utama ekonomi Malaysia dengan menyumbang sebanyak 23.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 dan seterusnya diunjur meningkat kepada 25.5 peratus menjelang 2025.

“Sebagai membuka laluan bagi Dekad Digital Emas di Malaysia, kerajaan turut merangka pelan strategik komprehensif yang menumpukan usaha memperkasa infrastruktur komunikasi, mengukuhkan keselamatan siber dan memacu pertumbuhan ekonomi digital secara berterusan.

“Di samping itu, kerajaan juga menyasarkan untuk memacu penglibatan ekonomi dalam kalangan semua segmen rakyat menerusi platform digital dan model perniagaan digital. Masa depan Malaysia dalam aspek digital ini adalah untuk mewujudkan ekosistem yang mendorong inovasi, menarik pelaburan dan melonjakkan negara ini ke arah masa depan yang serba makmur dan sejahtera,” katanya.

Dalam pada itu, bersandarkan slogan ‘A perspective of Malaysia’s digital economy’ (Satu perspektif ekonomi digital Malaysia), Horizon adalah penerbitan komprehensif serta strategik bagi memaparkan trend kepesatan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.

Menurut MDEC, penerbitan itu mengetengahkan pandangan dan maklumat penting berkaitan landskap digital negara dan berperanan sebagai rujukan untuk pihak berkepentingan di peringkat tempatan dan global yang berminat mendapatkan data boleh dipercayai serta perspektif yang bermaklumat.

Horizon yang tiga teras utama iaitu perniagaan, pelabur dan masyarakat, turut menyentuh topik seperti ‘Digital Economy At A Glance and Look Ahead Beyond 2023,’ (Sepintas Ekonomi Digital dan Prospek Melangkaui 2023) dengan analisis mendalam, ulasan serta pandangan berasaskan data yang merungkai kerumitan dan aliran ekonomi digital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Mahadhir Aziz berkata hasil dapatan Akaun Satelit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICTSA) Jabatan Perangkaan yang dikeluarkan pada Oktober 2022, menunjukkan biarpun KDNK Malaysia susut 10.2 peratus pada 2020, nilai tambah kasar sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebaliknya mencatat pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 10.5 peratus.

“Pertumbuhan pekerjaan dalam sektor ICT terus meningkat ketara sejak 2021 dan mengatasi sektor lain yang merekodkan kadar pertumbuhan negatif atau hampir negatif. Pada 2021 sahaja, sektor ICT menyumbang dengan mewujudkan 44 peratus daripada jumlah pekerjaan baharu di Malaysia.

“Masa depan ekonomi digital jelas lebih menjaminkan berbanding sebelum ini dan Malaysia berada di landasan tepat bagi masa depan digital yang makmur,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa MDEC kekal komited dalam menawarkan sokongan menyeluruh kepada kalangan syarikat tempatan dan antarabangsa selain menitikberatkan program peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi memperkasa tenaga kerja digital negara.

“Menerusi inisiatif seperti Malaysia Digital (MD), kita berhasrat mewujudkan ekosistem digital yang memupuk aspek inovasi, memperkasa perniagaan dan membolehkan penyertaan digital.

“Malah, kita telah mengenal pasti sembilan sektor di bawah Program Pemangkin MD yang mempunyai potensi, peluang serta kepentingan pertumbuhan tinggi dalam melonjakkan ekonomi digital Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia muncul hab teknologi, inovasi dinamik


Content Type:

Duration:

Singapore Telecommunications Ltd (Singtel), pengendali rangkaian mudah alih terbesar di Singapura menyatakan kesediaan untuk membangunkan kampus pusat data yang berteknologi terkini, mampan dan menggunakan teknologi hijau di Johor.

Ia dinyatakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat.

Onn Hafiz yang ketika ini berada di republik itu sejak 5 Julai bagi lawatan kerja selama tiga hari mengadakan sesi perjumpaan dan lawatan ke Singtel yang merupakan salah satu daripada empat syarikat telekomunikasi utama di Singapura.

“Insya-Allah, dengan kekuatan Singtel yang memiliki infrastruktur jaringan telekomunikasi berkualiti tinggi, kerajaan negeri optimis Singtel mampu memacu Johor membina ekosistem komunikasi dan pusat data terbaik di rantau Asia, seterusnya menjadikan negeri ini tumpuan dari segi pelaburan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy), dan juga teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Menurutnya, Singtel merupakan syarikat keempat terbesar mengikut permodalan pasaran yang disenaraikan di Bursa Singapura (SGX).

Singtel adalah pengendali rangkaian mudah alih terbesar di Singapura, dengan 4.1 juta pelanggan, serta melalui anak syarikat lainnya mempunyai pangkalan pelanggan mudah alih lebih 775 juta pelanggan di lebih 20 buah negara, kata beliau dalam hantaran itu.

Pada Khamis, menteri besar itu berkata Maersk, syarikat pengangkutan maritim dan logistik global, telah menyatakan hasrat untuk melabur di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor, dengan potensi pelaburan yang signifikan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Dr Badrul Hisham Kassim; Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Singapura, Vinothan Tulisinathzan; dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Zarina Abdul Kadir.

Sumber: Bernama

Singtel nyata kesediaan bangunkan kampus pusat data di Johor – Onn Hafiz


Content Type:

Duration:

Malaysia telah menjadi peneraju global dalam ketersambungan 5G dengan sokongan rangkaian yang pantas dan boleh dipercayai, berdasarkan laporan kajian penanda aras Opensignal yang bertajuk “Menanda Aras Pengalaman 5G Global – Jun 2023”.

Opensignal, sebuah laman web yang memiliki kepakaran dalam pengukuran serta analisis prestasi rangkaian mudah alih berkata ketersediaan rangkaian 5G yang selamat, teguh dan boleh dipercayai di Malaysia turut menjadi daya tarikan utama bagi pelabur asing apabila mempertimbangkan lokasi di rantau ini.

Data dalam laporan itu menekankan pencapaian cemerlang Malaysia dalam melaksanakan dan menyampaikan pengalaman 5G yang terbaik kepada pengguna.

Malaysia telah mencapai kedudukan prestasi yang mengagumkan untuk sambungan 5G di peringkat global, hasil daripada prestasi rangkaiannya yang cemerlang, kata laporan yang disiarkan di laman web Opensignal pada Rabu.

Penyelidikan Opensignal menunjukkan bahawa rangkaian 5G Malaysia memberikan kelajuan dan kebolehpercayaan yang sangat baik, mengatasi prestasi banyak negara perindustrian dengan purata kelajuan muat turun 5G sebanyak 322.7 megabit sesaat (Mbps).

Malaysia berada di kedudukan keempat untuk purata kelajuan muat turun 5G di belakang Korea Selatan (432.5 Mbps), Singapura (376.8 Mbps) dan Brazil (346.4 Mbps).

Secara keseluruhan, terdapat hanya tujuh pasaran yang mana purata kelajuan 5G adalah melebihi 300 Mbps.

Skor tinggi Malaysia dibantu oleh pendekatan rangkaian borong tunggal 5Gnya, yang telah dapat mempercepatkan pelancaran dan memberikan pengguna pengalaman bertaraf dunia.

Dengan kelajuan yang tinggi, pengguna di negara ini mampu menikmati permainan tanpa lag, muat turun pantas dan penstriman yang lancar.

Teknologi rangkaian 5G baharu terus menawarkan pengguna kelajuan muat turun purata dunia sebenar yang sangat baik yang berkali ganda lebih pantas daripada purata kelajuan muat turun 4G.

Di Malaysia, 5G adalah 14.4x lebih pantas berbanding 4G yang meletakkan kedudukan negara ini kedua di belakang India (19.2x).

Pengguna di kebanyakan pasaran hanya menikmati kelajuan 5G yang tiga hingga enam kali lebih pantas daripada 4G.

Rangkaian 5G Malaysia juga menawarkan kelajuan muat naik purata yang mengagumkan sebanyak 41.5 Mbps, memastikan perkongsian data serta kandungan yang pantas dan cekap.

Negara ini menduduki tempat ketiga untuk kelajuan muat naik 5G di belakang Korea Selatan (42.0 Mbps) dan Guatemala (42.0 Mbps).

Laporan itu selanjutnya menjelaskan bahawa prestasi cemerlang Malaysia dalam ketersambungan 5G mempunyai implikasi yang signifikan terhadap transformasi digital negara.

Kelajuan 5G yang amat baik, kependaman yang lebih rendah termasuk ketersediaan yang lebih luas telah membolehkan perniagaan, industri dan individu membuka peluang baharu.

Industri seperti pembuatan, penjagaan kesihatan, logistik serta hiburan telah menyaksikan kecekapan dan produktiviti yang dipertingkatkan, memacu pertumbuhan ekonomi serta inovasi.

Opensignal juga berkata kejayaan pelancaran 5G Malaysia boleh dikaitkan dengan kerjasama yang kukuh antara kerajaan, pembekal perkhidmatan mudah alih dan pembekal teknologi rangkaian.

Kerajaan secara proaktif telah memupuk persekitaran yang membolehkan penggunaan 5G dengan memperkemas peraturan, memperuntukkan spektrum dan menggalakkan perkongsian.

Pendekatan kerjasama ini telah memastikan pelaksanaan teknologi 5G yang pantas dan lancar di seluruh negara.

Prestasi luar biasa Malaysia dalam ketersambungan 5G, seperti yang digariskan dalam laporan penanda aras Opensignal, mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam bidang tersebut.

Sebagai rangkaian yang boleh dipercayai dan pantas, dengan kependaman yang rendah serta ketersediaan yang meluas, rangkaian 5G sedang menerajui transformasi digital dan memulakan era baharu dalam kemajuan teknologi.

Komitmen negara untuk membina infrastruktur 5G yang mantap dan pendekatan kolaboratifnya antara sektor awam dan swasta memberikan inspirasi untuk diikuti oleh negara lain.

Sumber: Bernama

Malaysia teraju ketersambungan 5G, kata Opensignal


Content Type:

Duration:

Syarikat perkhidmatan perisian kewangan China, Wind Information Co Ltd telah menyatakan minat untuk membuka ibu pejabat serantaunya di Malaysia, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching.

Teo berkata Wind Information akan dapat menyediakan perkhidmatan maklumat kewangan yang serupa dengan Bloomberg di luar China selepas ia bertapak di Malaysia.

“Syarikat itu berpendapat bahawa apabila mereka beroperasi di China, orang ramai akan melihat mereka sebagai sebuah syarikat dari China.

“Jadi mereka berharap dengan menubuhkan ibu pejabat serantau di Malaysia, Wind Information akan dapat dilihat sebagai sebuah syarikat (antarabangsa) yang menyediakan perkhidmatan serupa dengan Bloomberg kepada rantau Asean atau Asia,” katanya kepada Bernama di luar acara sesi perangkaian dengan pelabur dan rakyat Malaysia di Shanghai baru-baru ini.

Teo berada di Shanghai dari 27 hingga 30 Jun untuk menghadiri Mobile World Congress (MWC) Shanghai 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula 28 Jun, yang mana beliau menyampaikan ucap tama bertajuk “Teknologi Memacu Perubahan” pada 29 Jun.

Sepanjang lawatannya selama empat hari itu Teo telah mengunjungi beberapa pavilion syarikat telekomunikasi China dan bertemu beberapa pegawai syarikat telekomunikasi China, termasuk daripada Huawei Technologies Co Ltd.

Ditanya mengenai jumlah pelaburan yang dijangka dibawa oleh Wind Information ke Malaysia, beliau berkata walaupun angka itu tidak didedahkan, kehadiran syarikat tersebut sudah pastinya akan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi seperti analisis data dan kejuruteraan perisian untuk rakyat Malaysia.

Beliau berkata kos operasi yang kompetitif di Malaysia, selain tenaga kerja berkemahiran tinggi dan fasih bertutur pelbagai bahasa yang tersedia di negara ini adalah antara sebab mengapa Wind Information memilih Malaysia berbanding negara jiran yang lain.

Teo mendedahkan ketika ini Wind Information sedang memohon status Malaysia Digital (MD) yang dijangka diluluskan pada pertengahan Julai tahun ini. 

Inisiatif MD dilancarkan pada 4 Julai, 2022, yang mana syarikat yang layak akan ditawarkan insentif, hak dan keistimewaan daripada kerajaan untuk menyertai dan menjalankan mana-mana aktiviti digital di negara ini.

Membangunkan pusat data di Malaysia

Selain daripada Wind Information, Teo juga bertemu dengan penyedia perkhidmatan pusat data utama China, Shanghai DC-Science Co Ltd serta GDS Holdings Ltd, pemaju dan pengendali utama pusat data berprestasi tinggi di negara tersebut.

Mengenai Shanghai DC-Science, yang menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan MN Holdings Bhd untuk membangunkan pusat data berprestasi tinggi pertamanya dengan anggaran nilai lebih US$600 juta (US$1=RM4.66) di Malaysia, beliau berkata, syarikat dari China itu dijangka memeterai perjanjian jual dan beli dan memulakan pembinaan pusat data pada bulan ini. 

“Mereka berharap pusat data itu boleh mula beroperasi pada suku kedua 2024,” katanya.

Di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara DC-Science dan unit milik penuh MN Holdings, Mutu Nusantara Sdn Bhd pada 1 April 2023, sempena lawatan sulung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China, kedua-dua syarikat itu akan membangunkan bersama-sama pusat data berprestasi tinggi seluas 8.09 hektar di Sedenak Tech Park, Johor.

Sementara itu, Teo berkata, GDS Holdings yang melabur sebanyak RM1.38 bilion pada 2022 untuk membangunkan kampus pusat data “hyperscale” pertamanya di Nusajaya Tech Park, Iskandar Puteri, dijangka memulakan operasi pusat datanya di Malaysia pada awal bulan ini.

“Mereka juga merancang untuk melabur lebih banyak lagi dan membangunkan lebih banyak pusat data di Malaysia bagi memastikan Malaysia akan dapat menjadi hab data yang penting,” katanya sambil menambah syarikat itu akan terus bekerjasama dengan universiti tempatan untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di negara ini.

Sumber: Bernama

Wind information dari China berminat buka ibu pejabat serantau di Malaysia — Teo


Content Type:

Duration:

Pendapatan e-dagang oleh pertubuhan di Malaysia meningkat 10.4 peratus tahun ke tahun pada suku tahun pertama 2023 kepada RM291.7 bilion yang dipacu terutamanya oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ia berkata pendapatan e-dagang pada 2022 berjumlah hampir RM1.10 trilion, meningkat 6.0 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Prestasi memberangsangkan ini dapat dikaitkan dengan inisiatif kerajaan antaranya menyediakan gerbang e-dagang serantau, melabur dalam syarikat-syarikat e-dagang baharu, menggalakkan inovasi melalui kerjasama dalam pematuhan peraturan, serta meningkatkan aksesibiliti komunikasi dan rangkaian jalur lebar.

“Usaha-usaha ini telah menghasilkan manfaat ekonomi yang signifikan, termasuk peningkatan dalam penggunaan teknologi digital dan prestasi keseluruhan yang lebih baik,” kata DOSM dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut DOSM, pendapatan e-dagang meningkat 23.9 peratus kepada RM1.037 trilion pada 2021 berbanding daripada RM675.4 bilion pada 2019.

“Bagi segmen pasaran tempatan yang merangkumi jualan yang dijalankan dalam Malaysia, ia mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 25.5 peratus, berjumlah RM932.7 bilion pada 2021, manakala segmen pasaran antarabangsa meningkat 11.9 peratus kepada RM104.5 bilion (pada 2021),” katanya.

Sementara itu, DOSM berkata penggunaan komputer meningkat kepada 93.8 peratus pada 2021 daripada 86.2 peratus pada 2019, penggunaan Internet meningkat kepada 90.6 peratus pada 2021 daripada 85.2 peratus pada 2019, dan web presence meningkat kepada 63.3 peratus pada tahun 2021 daripada 53.9 peratus pada 2019.

Ia berkata walaupun pandemik COVID-19 memberi kesan negatif terhadap kesihatan dan ekonomi keseluruhan, sekatan dan langkah keselamatan yang dikenakan untuk mengawal penyebaran virus, seperti sekatan pergerakan, penjarakan sosial dan operasi kedai fizikal yang terhad, menyebabkan lonjakan pembelian dalam talian dan transaksi digital.

“Secara keseluruhannya, pandemik COVID-19 telah bertindak sebagai pemacu kepada pertumbuhan e-dagang di Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

Pendapatan e-dagang meningkat 10.4 peratus pada suku pertama 2023 – Perangkaan


Content Type:

Duration:

Maersk, syarikat pengangkutan maritim dan logistik global, menyatakan hasrat untuk melabur di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini, dengan potensi pelaburan yang signifikan, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ketika berkongsi mengenai perkara itu dalam hantaran di laman Facebook, beliau berkata perkara itu telah dinyatakan dalam pertemuan dengan syarikat terbabit di Singapura sempena lawatan kerja beliau selama tiga hari mulai semalam ke republik berkenaan.

“Adalah penting untuk kedua-dua pihak meneliti dan memperincikan setiap aspek perancangan pembangunan serta pelaburan jangka panjang untuk kawasan PTP.

“Kerajaan negeri yakin dengan pengalaman Maersk sebagai penyedia perkhidmatan logistik terbaik serta prestasi PTP sebagai pelabuhan ke-15 terbaik dunia, mampu menarik lebih ramai pelabur serta memangkin ekonomi Johor ke tahap lebih cemerlang, insya-Allah,” kata beliau.

Turut hadir ialah Pengerusi Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor di Singapura (JETCO), Datuk Seri Ir Hasni Mohammad; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Dr Badrul Hisham Kassim.

Pada Ogos 2022, Maersk dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang membabitkan perancangan untuk mewujudkan rangkaian hab logistik di Malaysia menerusi beberapa fasa sehingga 2030.

Bagi tahun lalu, Maersk berjaya merekodkan hasil pendapatan sebanyak AS$81.5 bilion dengan tenaga sebanyak 110,000 pekerja di seluruh dunia.

Sementara itu, dalam hantaran lain, Onn Hafiz berkongsi mengenai pertemuannya dengan Menteri Pembangunan Singapura, Desmond Lee, hari ini, dengan perbincangan menyentuh cadangan untuk mewujudkan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura di Wilayah Iskandar Malaysia.

Perbincangan lain pula berkaitan usaha Johor meningkatkan kerjasama dengan Singapura demi kepentingan bersama rakyat masing-masing.

“Johor dan Singapura saling melengkapi dan hubungan istimewa yang terjalin selama ini perlu terus diperkukuh demi kemakmuran bersama.

“Kami turut berbincang mengenai persiapan bagi Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) kali ke-16 yang akan diadakan di Singapura pada tahun ini,” kata beliau.

Sumber: Bernama

Maersk berminat melabur di Pelabuhan Tanjung Pelepas


Content Type:

Duration:

MALAYSIA perlu membangunkan Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan (FSF) untuk sektor kewangan, ia akan menjadi rujukan tunggal mengenai pembangunan kemahiran dan kerjaya masa depan bagi mereka yang bekerja atau bercita-cita untuk bekerja dalam perkhidmatan kewangan.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Jessica Chew berkata bagi tempoh jangka panjang, FSF harus memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan kemahiran dalam tenaga kerja sektor kewangan.

“Institusi kewangan akan memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi untuk FSF dengan membantu membentuk rangka kerja menjadi sesuatu yang bermanfaat dan relevan kepada institusi dan individu dalam sektor kewangan.

“Dengan menyokong latihan semula dan peningkatan kemahiran individu di mana individu berkenaan berisiko untuk dipindahkan, FSF juga berperanan sebagai strategi pengurusan risiko untuk institusi kewangan menghadapi cabaran undang-undang dan reputasi yang semakin meningkat berkaitan dengan pemberhentian kerja,” katanya ketika berucap pada Persidangan Institut Perbankan Dunia (WCBI) ke-24 pada Rabu.

Selaras dengan tema persidangan ‘Building a workforce fit for the future’ (Membina tenaga kerja yang sesuai untuk masa depan), Jessica berkata, dua perkara yang harus diberi perhatian, pertama – masa depan kerja bukanlah sesuatu yang boleh kita boleh jangka dengan tepat.

“Kedua, aspek budaya tenaga kerja masa depan, di mana sektor itu perlu memberi lebih perhatian terhadap bagaimana ia mengenal pasti, menarik minat dan menyatakan faktor budaya dalam strategi tenaga kerja,” katanya.

Gerakkan strategi bakat

Timbalan gabenor berkata, strategi bakat masa depan juga perlu mewujudkan ketangkasan lebih baik bagi institusi dan individu untuk bertindak balas terhadap keperluan yang berubah dengan menerima norma baharu mobiliti bakat dan menggalakkan kepelbagaian dalam tenaga kerja.

Memandangkan pandemik Covid-19 telah membentuk tenaga kerja yang lebih lancar dan boleh bekerja di mana-mana, Jessica berkata, banyak organisasi sedang menggerakkan strategi bakat mereka daripada mendapatkan bakat kepada mengakses bakat.

“Dalam erti kata lain, firma sedang mencari cara alternatif untuk mengakses bakat sedia ada selain daripada pengambilan pekerja.

Jessica berkata, meningkatkan penglibatan pekerja akan menjadi lebih kritikal untuk membolehkan firma menjangka trend peralihan dengan lebih baik dan melakukan pendekatan untuk membina tenaga kerja yang sesuai pada masa hadapan.

“Ia bukan sesuatu yang luar biasa hari ini untuk mencari sehingga empat generasi berbeza wujud bersama di banyak tempat kerja, masing-masing dengan perspektif berbeza mengenai kepimpinan, pembelajaran dan budaya tempat kerja.

“Menyedari perbezaan ini dalam strategi bakat adalah penting untuk memupuk tenaga kerja yang bersedia untuk masa depan dengan jayanya,” katanya. 

Sumber: Bernama

Malaysia perlu rangka kerja kemahiran masa depan – BNM


Content Type:

Duration:

Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23) yang berlangsung di Langkawi pada 23 hingga 27 Mei lalu dilihat berjaya mengukuhkan peranan Malaysia sebagi hab perdagangan industri aeroangkasa dan maritim serantau.

LIMA ’23, yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan dan syarikat Alpine Integrated Solution Sdn Bhd (Alpine), berjaya memperoleh perjanjian bernilai RM17.6 bilion merangkumi kontrak berkaitan sektor pertahanan dan komersial bagi kedua-dua industri.

Pengarah Eksekutif Alpine, Muhammad Aqlan Pacleb, berkata ia dapat dilihat menerusi penyertaan lebih 600 pempamer perdagangan dari dalam dan luar negara yang berupaya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita cuba mahu ketengahkan LIMA ’23 kali ini bagi mewujudkan pembeli serantau, bukan pasaran serantau sahaja… itu yang menyebabkan kita bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan, pihak perolehan dari negara-negara lain untuk duduk bersama pempamer dan mendengan keperluan setiap negara.

“LIMA ’23 adalah platform yang terbaik kerana mereka tidak perlu pergi ke setiap negara (untuk memasarkan produk), mereka boleh datang ke Malaysia kerana Malaysia menawarkan platform itu, jadi bila kita ada LIMA ’23, ia menjadi sangat kos efektif sebab mereka berkesempatan bertemu dengan pihak yang diingini yang dijemput oleh Malaysia untuk datang ke LIMA ’23,” katanya kepada Bernama.

Muhammad Aqlan berkata, keputusan membawa lebih 400 individu kenamaan (VVIP) dari seluruh Asia pada LIMA’ 23 juga membuahkan hasil kerana kehadiran individu yang mampu membuat keputusan dapat meyakinkan pempamer untuk menjalankan urusan perniagaan berkaitan industri terbabit.

Katanya, mesyuarat perniagaan ke perniagaan (B2B) yang diadakan ketika LIMA ’23 juga bukan sahaja memberi peluang mengkomersialkan produk akan datang sebaliknya turut melibatkan perdagangan produk sedia ada di rantau ini.

Justeru, katanya tidak mengejutkan apabila RM17.6 bilion nilai urus niaga direkodkan sepanjang LIMA ’23 membabitkan industri pertahanan dan komersial, tidak termasuk urus niaga yang dimeterai pempamer selepas berakhirnya pameran berkenaan.

Berdasarkan sambutan yang menggalakkan daripada pihak pempamer, Muhammad Aqlan berkata terdapat keperluan untuk menambah hari pameran perdagangan pada penganjuran LIMA akan datang bagi memastikan lebih banyak pempamer mendapat manfaat.

“Mereka yang pergi ke LIMA ’23 nampak keperluan itu bahawa pameran perdagangan selama tiga hari tidak mencukupi dan kita nampak ada kemungkinan besar untuk melanjutkan lagi pameran kepada empat hari sebab tiga hari itu sangat padat.

“Kita nak cuba mewajarkan pelaburan para pempamer ini dahulu sebab jika kita benar-benar nak buka keseluruhan perniagaan ini untuk rantau ini… saya fikir tiga hari untuk pameran perdagangan adalah tidak mencukupi,” katanya.

LIMA ’23 berlangsung selama lima hari iaitu tiga hari pertama 23 Mei hingga 25 Mei hanya dibuka kepada pelawat perdagangan manakala dua hari terakhir (26 dan 27 Mei) dibuka kepada orang awam.

Muhammad Aqlan berkata, pihaknya juga telah memberi kaji selidik tahap kepuasan terhadap penganjuran LIMA ’23 kepada semua pihak yang terlibat dan akan menilai maklum balas mereka bagi memperbaiki semua aspek yang dilihat mempunyai kekurangan.

Sumber: Bernama

LIMA ’23 perkukuh Malaysia sebagai hab dagangan aeroangkasa, maritim


Content Type:

Duration:

Malaysia sedang menuju ke dekad digital emas dan berada di landasan untuk menjadi harimau digital Asia, justeru negara memerlukan lebih banyak tenaga kerja dan kepakaran, terutamanya dalam bidang data dan teknologi, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Berucap kepada kira-kira 100 penuntut Malaysia di sini, beliau menekan bahawa pada masa depan dunia akan dikuasai digital dan sekurang-kurangnya satu perempat daripada ekonomi akan disumbang oleh ekonomi digital.

“Ekonomi digital merupakan sebahagian besar daripada masa depan kita. Kita memperoleh banyak pelaburan besar hampir setiap bulan. Hanya beberapa hari lepas, sebuah syarikat dari Australia melabur sebanyak RM3 bilion bagi membangunkan sebuah pusat data di Petaling Jaya. Minggu sebelumnya sebuah syarikat Amerika Syarikat (AS) juga komited untuk melabur RM3 bilion.

“Apa juga bidang yang anda ceburi, akan pasti ada aspek digital. Lebih-lebih lagi, pada zaman ini, perkara yang kita anggap sebagai pekerjaan konvensional tidak lagi berlaku.

“Banyak pekerjaan tradisional semakin hilang. Masa depan sangat mengujakan tetapi juga sangat mencabar,” katanya.

Malaysia menyasar mencapai pelaburan digital bernilai RM130 bilion menjelang 2025, yang menyumbang 25.5 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

Sementara itu, semasa majlis tersebut, Fahmi juga menasihati para pelajar agar kembali semula ke tahah air selepas tamat pengajian dan berkhidmat untuk negara.

“Selepas tamat pengajian, ramai daripada anda akan memilih sama ada kekal tinggal di sini atau kembali semula ke tanah air. Jika anda tinggal di sini, gunakan sepenuhnya peluang yang ada. Belajar bersungguh-sungguh dan satu hari nanti bawa pulang bakat dan pengalaman ke Malaysia. Pulang dan bantu Malaysia,” katanya.

Pada masa ini terdapat kira-kira 12,500 penuntut Malaysia di United Kingdom (UK).

Fahmi ketika ini berada di London bagi mengetuai delegasi Malaysia ke acara London Tech Week, yang akan dirasmikan Perdana Menteri UK, Rishi Sunak dan Datuk Bandar London, Sadiq Khan pada Isnin.

Acara itu yang berlangsung di Queen Elizabeth II Centre di London, dijangka dihadiri kira-kira 30,000 pengunjung.

Fahmi juga dijadualkan menyaksikan beberapa permeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan 10 pengumuman kerjasama antara syarikat Malaysia dan antarabangsa pada Selasa.

Sumber: Bernama

Malaysia menuju ke dekad digital emas, perlukan lebih ramai tenaga kerja dan pakar


Content Type:

Duration:

Terengganu Inc. berhasrat untuk membangunkan projek pembinaan loji tenaga solar terapung melibatkan pelaburan dianggarkan lebih RM1 bilion di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Presiden Terengganu Inc., Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, kajian pembangunan loji tenaga solar fotovoltaik terapung tersebut bakal dilaksanakan bersama syarikat utiliti, TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco).

“Projek loji tenaga solar terapung tersebut dicadang untuk dibina di kawasan seluas 2,000 hektar di Tasik Kenyir,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) berhubung projek tersebut dengan Pengarah Urusan TNB Genco, Datuk Nor Azman Mufti.

Burhanuddin Hilmi berkata, kajian dan penerokaan pembangunan projek loji tenaga solar itu bakal dilaksanakan dalam tempoh setahun.

Tambah beliau, kajian kebolehlaksanan projek tersebut menjadi penentu bagi pelaksanaan projek berkenaan.

“Syarikat kerajaan negeri dan pelabur dalam dan luar negara bakal dilibatkan dalam pembinaan projek loji tenaga solar terapung berkenaan,” katanya. 

Sumber: Kosmo

Terengganu Inc. bangun loji tenaga solar terapung di Tasik Kenyir


Content Type:

Duration:

wpChatIcon