B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Anak syarikat Salcon dapat projek bina loji kuasa hidro

Anak syarikat milik penuh Salcon Bhd (Salcon), Salcon Engineering Bhd, meraih kontrak pembinaan bernilai RM64.99 juta untuk membangunkan projek loji kuasa hidro berkapasiti 10.44MW di Empangan Sungai Selangor.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata Salcon Engineering telah menerima surat lantikan daripada AIS Small Hydro Sdn Bhd pada 14 April 2023, untuk projek berkenaan di bawah mekanisme tarif galakan.

AIS Small Hydro ialah syarikat tujuan khas yang ditubuhkan oleh Air Selangor Holdings Bhd (AIS Holdings) dan Worldwide Holdings Bhd (WHB).

“Projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Salcon Group untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 hingga 31 Disember 2025,” menurut Salcon.

Katanya, projek itu dijangka siap pada 3 Mei 2025.

Sumber:Bernama

Anak syarikat Salcon dapat projek bina loji kuasa hidro


Content Type:

Duration:

Anak syarikat 51 peratus milik Glomac Bhd, Glomac Technology Sdn Bhd, memeterai perjanjian dengan Tenaga Nasional Bhd untuk meninjau potensi peluang perniagaan dalam kemudahan tenaga solar dan hijau. 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Glomac berkata Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani hari ini (17 April 2023) dan akan kekal berkuat kuasa selama 24 bulan dari tarikh dimeterai.

“Bagaimanapun, jika pihak-pihak berkenaan memutuskan untuk melanjutkan perjanjian secara bertulis melalui persetujuan bersama atau ditamatkan lebih awal secara bertulis oleh mana-mana pihak mengikut peruntukan dalam MoU tersebut,” katanya.

Glomac berkata MoU itu tidak akan memberi sebarang impak ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama dalam Glomac dan dijangka tidak memberi sebarang impak yang ketara dan serta-merta ke atas pendapatan, aset bersih dan nisbah hutang Glomac Group untuk tahun kewangan berakhir 30 April 2023.

Sumber: Bernama

Glomac Bekerjasama Dengan TNB Teroka Perniagaan Kemudahan Tenaga Solar, Hijau


Content Type:

Duration:

Firma infrastruktur digital global, DigitalBridge Group dianggarkan akan melabur lebih RM4 bilion terutama dalam sektor infrastruktur di Malaysia pada penghujung 2023, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata DigitalBridge ialah firma infrastruktur digital yang melabur dalam pusat pangkalan data, menara telekomunikasi dan gentian optik.

“Menurut kertas putih oleh Knight Frank, pertumbuhan infrastruktur digital di Malaysia adalah yang terpantas, dan pusat-pusat data merekodkan 113 megawatt hanya pada tahun 2022, atau empat kali ganda melebihi Thailand,” katanya menerusi catatan di laman Facebook beliau pada Sabtu.

Beliau turut berkongsi gambar mengenai kunjungan hormat yang diterimanya daripada delegasi DigitalBridge tempoh hari.

Anwar menegaskan bahawa beliau akan terus komited dan menekankan kepentingan dalam memastikan ekosistem yang bersih dan kondusif bagi memudah cara sektor perniagaan dan pelaburan di negara ini.

“Ini sebagai sebahagian daripada usaha dan upaya kita memacu pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat. #MalaysiaMADANI,” katanya.

Media melaporkan bahawa berdasarkan Kertas Putih Pusat Data Malaysia Knight Frank (Malaysia) Sdn Bhd yang dilancarkan pada Rabu 12 April, Malaysia muncul sebagai destinasi utama untuk pelaburan pusat data dalam kalangan lima negara Asia Tenggara, dengan penggunaan 113MW pada 2022, dan kira-kira 20 peratus pertumbuhan bekalan diunjurkan untuk lima tahun akan datang.

Lima negara itu ialah Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam. 

Sumber: Bernama

PM: Firma global DigitalBridge dijangka labur lebih RM4b di Malaysia pada 2023


Content Type:

Duration:

RHB Investment Bank Bhd melihat Malaysia semakin pesat berkembang sebagai hab pusat data di Asia dengan dasar pro-perniagaan yang menyokong dapat menarik dan mengekalkan pelabur pusat data.

Pekerja berkemahiran dan berpengetahuan di Malaysia menggambarkan kelebihan daya saing yang ketara dalam memangkin pelaburan langsung asing yang lebih besar yang merupakan faktor penting untuk industri pusat data, katanya.

“Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim komited untuk mempercepatkan lagi penerimaan digital di negara ini yang merupakan petanda baik untuk industri pusat data domestik,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan.

Ia menunjukkan bahawa pandangan positif industri juga disokong oleh Dasar Pelaburan Baharu yang diumumkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Oktober 2022, di mana kerajaan berusaha meningkatkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

“Selain daripada Amazon Web Services dan Microsoft yang telah komited untuk membina rangkaian teknologi awan di negara ini, syarikat terkemuka dalam pusat data seperti GDS, Equinix dan Yondr Group telah mengeluarkan modal bagi membina kemudahan pertama mereka di Malaysia,” katanya.

“Idea pelaburan dalam ruang lingkup pusat data secara semula jadi melibatkan syarikat telekomunikasi talian tetap memandangkan pusat data adalah aset utama untuk perkhidmatan dan penyelesaian berkaitan perusahaan yang melengkapkan aset kabel dasar laut yang luas.

“Walaupun tiada syarikat senaraian awam pusat data di Bursa Malaysia, tema pusat data juga harus termasuk syarikat berkaitan pembinaan dan jenis perkhidmatan yang membentuk sebahagian daripada rantaian nilai yang lebih luas,” katanya.

Syarikat penyelidikan itu menamakan tiga saham, iaitu Telekom Malaysia Bhd (harga sasaran (TP): RM6.20, Time dotcom (RM5.60) dan Sunway Construction Group Bhd (RM2.07) yang dipercayai penerima manfaat daripada industri pusat data tersebut.

Sumber: Bernama

Perkembangan pesat Malaysia sebagai hab pusat data dapat tarik pelabur – RHB


Content Type:

Duration:

Citaglobal Genetec BESS Sdn Bhd melancarkan Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) untuk tenaga boleh diperbaharui (RE) yang pertama dibangun dan dihasilkan oleh syarikat Malaysia, menerusi prototaip BESS 1 Megawatt (MW) beroperasi sepenuhnya (Mybess).

Pengerusi Citaglobal Genetec BESS Sdn Bhd, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata melalui pembangunan BESS, syarikat menyasar untuk menyediakan penyelesaian simpanan tenaga dan mudah alih berkapasiti besar, yang kemudiannya boleh digunakan untuk memudahkan bekalan dan ketersambungan elektrik di luar bandar.

Katanya, secara keseluruhannya, unit BESS boleh disambungkan terus kepada RE atau sumber grid untuk mengurus bekalan sekejap-sekejap dan untuk menyimpan bekalan kuasa.

“Daripada sistem penukaran kuasa (PCS), sistem pengurusan kuasa (PMS), sistem pengurusan bateri (BMS), kepada bateri, konfigurasi sistem pengurusan tenaga (EMS) ini mempunyai banyak aplikasi.

“Ia boleh ditingkatkan atau diturunkan untuk memenuhi kapasiti dan keperluan yang berbeza merentasi industri yang berbeza seperti kilang perindustrian besar, pembuatan, pengangkutan seperti kereta api elektrik, stesen pengecas kenderaan elektrik, menjana kuasa pusat data kritikal, telekomunikasi, pelancongan ke komuniti luar bandar, yang mana terdapat banyak kes untuk penggunaan segera.

“Secara ringkasnya, BESS ini menyelesaikan banyak cabaran sedia ada kita dalam pengagihan kuasa, penyimpanan, kebolehskalaan dan mudah alih. Apabila digabungkan, kebolehskalaan dan penyelesaian mudah alih BESS ini, dengan sumber RE seperti solar, membolehkan perniagaan dan komuniti mengatasi cabaran yang terdapat dalam penjanaan elektrik konvensional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran BESS yang disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz di sini, hari ini.

Norza berkata, semasa Citaglobal dan Genetec memulakan perjalanan ini pada awal 2022, pihaknya segera menyedari bahawa terdapat cabaran yang ketara untuk melaksanakan sistem pengurusan dan penyimpanan tenaga berskala besar dan cekap.

“Cabaran ini amat ketara dalam industri tenaga boleh diperbaharui. Ini kerana yang pertama, tiada penyedia penyelesaian di rantau ini dapat menyediakan apa yang kami perlukan.

“Kedua, kos yang terlalu tinggi untuk memperoleh penyelesaian di peringkat antarabangsa menjadikan projek ini tidak berdaya maju dari segi kewangan.

“Citaglobal dan Genetec menubuhkan usaha sama eksklusif kami (JV) untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan yang diperlukan (R&D), pengeluaran, perintis dan ujian BESS yang dibangunkan dan dihasilkan secara tempatan. Proses R&D mengambil masa hampir 10 bulan, dengan projek perintis dijalankan pada Disember 2022,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Mybess sistem simpanan tenaga bateri pertama buatan Malaysia


Content Type:

Duration:

Malaysia menyaksikan kapasiti pusat data kian berkembang apabila beberapa penyedia perkhidmatan awan gergasi dunia mula giat memperluaskan pasaran operasi di negara ini.

RHB Investment Bank dalam satu nota penyelidikan berkata, Malaysia menerima pelaburan baharu dengan kapasiti melebihi 800 megawatt (MW) yang diunjurkan beroperasi secara berfasa sepanjang tempoh lima tahun akan datang, dengan kos tanah dan tenaga lebih rendah menjadi faktor penarik utama.

“Keputusan Singapura pada awal 2022 untuk mengenakan syarat-syarat ke atas kapasiti bangunan pusat data baharu sebenarnya membuka peluang yang tidak disangka-sangka apabila syarikat seperti Equinix, AirTrunk, Yondr Group, dan GDS Holdings menempatkan kemudahan sulung mereka ke Johor.

“Lebih penting lagi, pembukaan rantau awan oleh Microsoft dan Amazon Web Services (AWS) menjadi satu pencapaian yang besar kerana ia memberikan rangsangan yang ketara kepada industri pusat data domestik dan ekonomi negara,” kata bank pelaburan itu menerusi nota yang disediakan penganalisis, Jeffrey Tan dan Wan Muhammad Ammar Affan.

RHB Investment Bank berkata, pertumbuhan industri pusat data Singapura dengan syarat-syarat yang ketat menyebabkan kekurangan inventori, lantas menyebabkan peralihan ke

negara jiran.

“Walaupun Singapura masih menjadi tumpuan pertumbuhan pusat data di Asia Tenggara, syarat-syarat yang lebih ketat untuk membina pusat data baharu menyebabkan pelabur mula mempertimbangkan tapak atau hab lain di rantau ini,” katanya.

Bank pelaburan itu menambah, pasaran pusat data di Indonesia pula berkembang pada purata kadar pertumbuhan tahunan enam peratus antara 2022 hingga 2028 kepada AS$3.1 bilion, berdasarkan laporan Arizton Advisory and Intelligence pada Mac 2023.

Ia berkata, pertumbuhan ini mendapat dorongan hasil daripada pengembangan kapasiti yang pantas oleh penyedia perkhidmatan awan besar, peraturan penyetempatan data, dan apabila penembusan capaian internet merapatkan jurangnya dengan negara-negara ASEAN lain.

“Kini, Indonesia sudah menjadi tempat tertubuhnya pelbagai rantau awan daripada Google, Alibaba, Amazon, Huawei, dan Microsoft dengan Pulau Batam muncul sebagai zon ekonomi baharu pusat data,” katanya.

Menurut Frost and Sullivan, ketiga-tiga negara ini dijangka mencatatkan nilai gabungan kira-kira 74 peratus untuk pasaran pusat data ASEAN menjelang 2025.

RHB Investment Bank mengemukakan saranan supaya pelabur mempertimbangkan saham syarikat berkaitan industri pusat data seperti Singtel, Telekom Malaysia (TM), Telekomunikasi

Indonesia (TLKM), Time dotCom, Indosat Ooredoo Hutchison (ISAT), YTL Power, XL Axiata (XL) dan DCI Indonesia (DCII).

“Kami menamakan MN Holdings dan Sunway Construction sebagai bakal kontraktor pusat data di Malaysia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Malaysia bakal muncul gergasi pusat data ASEAN


Content Type:

Duration:

Malaysia merupakan destinasi paling menarik bagi tujuan pelaburan pusat data dalam kalangan pasaran sedang pesat membangun di Asia Tenggara (SEA), kata firma perunding hartanah bebas Knight Frank Malaysia.

Firma tersebut telah melancarkan kertas putih berkaitan pusat data di Malaysia pada Rabu menerusi kerjasama dengan DC Byte, sekali gus mengetengahkan tarikan Malaysia sebagai pelaburan pusat data khususnya di Kuala Lumpur serta Johor.

ADVERTISING

Pengarah Sekutu Utama Pusat Data Knight Frank Asia Pasifik Fred Fitzalan Howard berkata Malaysia juga menerajui Indeks Peluang Pusat Data SEA-5 Knight Frank yang meninjau pasaran utama di Malaysia, Indonesia, Vietnam, Filipina serta Thailand bagi memahami kedudukan pusat data semasa negara terbabit berbanding saingan.

“Kertas putih itu memaparkan maklumat mengenai perkembangan di dua pasaran utama bagi pelaburan pusat data di Malaysia iaitu di Kuala Lumpur dan Johor. Di Kuala Lumpur misalnya menyaksikan minat ketara terhadap (perkhidmatan pengkomputeran) awan dengan penyedia berskala hiper Barat telah bertindak mengumumkan wilayah awan masing-masing sejak 12 bulan lepas.

“Kami juga mahu mengetengahkan mengenai peluang pertumbuhan di Johor yang bukan sekadar lokasi menerima limpahan dari Singapura, tetapi juga (semakin berkembang) sebagai hab pusat data untuk penyedia perkhidmatan skala hiper Barat dan China,” katanya selepas majlis pelancaran kertas putih itu.

Fitzalan Howard berkata faktor seperti angka pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia yang kukuh pada 8.7 peratus serta pengumumannya sebagai wilayah awan bagi Amazon Web Services (AWS) dan Google baru-baru ini, hanya meletakkan negara itu di kedudukan peneraju dalam pasaran SEA-5 tersebut.

Malah, katanya, pertumbuhan Malaysia berbanding pasaran peringkat-2 lain di Asia, juga membuktikan bahawa Malaysia selain Indonesia, di kedudukan utama sebagai penyedia ruang dan bekalan terbesar untuk pelaburan pusat data.

“Keadaan sebaliknya di negara-negara pesaing yang masih perlu menangani isu berkaitan undang-undang pemilikan tanah dan kawal selia telekomunikasi yang hanya mengekang potensi pertumbuhannya.

“Sejak sedekad lepas, perkembangan seperti lonjakan minat terhadap awan, inisiatif disokong kerajaan dan moratorium pusat data Singapura, ternyata telah menyumbang kepada Malaysia untuk muncul sebagai antara pasaran pusat data paling dinamik di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Menurut kertas putih berkenaan, Malaysia telah mencatatkan kadar pengambilan 113 megawatt (MW) pusat data pada 2022 — lonjakan lebih empat kali berbanding pasaran tertinggi berikutnya di Thailand yang mencatat pengambilan 25MW dan membuktikan dominasi Malaysia jika dibandingkan dengan pasaran lain.

“Sebahagian besar daripada pengambilan itu melibatkan pertumbuhan di Johor walaupun Kuala Lumpur turut menyumbang selepas mencatat kadar pengambilan dua digit sejak tiga tahun lepas,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia lokasi paling menarik bagi pelaburan pusat data di Asia Tenggara – Knight Frank


Content Type:

Duration:

NCT Group of Companies (NCT Group) melancarkan Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP), projek utama dalam Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sehingga RM10 bilion.

NSIP membabitkan keluasan keseluruhan 296.43 hektar, dijangka menampilkan infrastruktur termaju, kecerdasan buatan (AI), teknologi internet kebendaan (IoT), analisis data terkini dan pelbagai kemajuan terkini lain dalam pendigitalan serta automasi dengan pembangunan keseluruhan 10 tahun.

Fasa pertama berkeluasan 93.08 haktar daripada tiga fasa pembangunan taman perindustrian itu akan terdiri daripada 101 unit dan 27 plot yang menampilkan kilang semi-D, kilang berkembar, kilang berkembar pautan dan plot perindustrian sehingga 20.23 hektar dengan anggaran GDV RM2 bilion dijangka siap menjelang suku keempat 2025.

Sebagai Taman Perindustrian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan pensijilan GreenRE, NSIP akan dilengkapi sepenuhnya dengan kilang sedia solar, sistem penuaian air hujan, serta sistem pengurusan air dan sisa, bagi mengurangkan jejak karbon industri dan komersial serta menggalakkan amalan perniagaan yang mampan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NCT, Datuk Seri Yap Ngan Choy, berkata sebagai Taman Perindustrian Terurus (MIP) pertama Selangor, NSIP menyasarkan untuk mencipta sistem pintar dan bersambung yang membolehkan operasi lancar sambil memperkemas aliran proses hujung ke hujung untuk pelabur.

Katanya, NSIP dijangka menjadi hab untuk elektrik & elektronik (E&E), semikonduktor, logistik pintar dan pengangkutan serta industri berinspirasikan 4IR.

“NSIP ialah projek berwawasan yang bukan sahaja mewujudkan ekosistem yang merangkumi teknologi dan inovasi tetapi juga memberi peluang kepada pelabur yang berfikiran sama untuk beroperasi dalam persekitaran digital yang unik dan maju dari segi teknologi untuk perniagaan mereka berkembang maju.

“Menerusi projek mega ini, kami berharap dapat mewujudkan lebih daripada 50,000 pekerjaan semasa pembinaan bersama-sama dengan banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia sebaik sahaja ia siap,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah NSIP di sini, hari ini.

Majlis pecah tanah NSIP disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Yang turut serta, Speaker Kerajaan Negeri Selangor, Ng Suee Lim.

Ngan Choy berkata, dengan sokongan Invest Selangor, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), NSIP berjaya mendapatkan pelabur pertamanya dari China, YuePu untuk pembelian kawasan tanah seluas 19.45 hektar.

“Kami berbangga dengan kemajuan yang telah kami capai dan percaya bahawa NSIP akan diiktiraf sebagai kemuncak destinasi yang komprehensif dan bersepadu untuk bekerja, hidup, bermain dan belajar, menarik lebih ramai pelabur tempatan dan asing,” katanya.

Beliau menjelaskan, bagi memberikan lebih kemudahan menjalankan perniagaan, NSIP akan berfungsi sebagai pusat sehenti dengan menyediakan akses kepada perkhidmatan daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti Invest Selangor, MIDA, The Human Resource Development Corporation (HRD Corp) serta pihak berkuasa tempatan.

“Kemudahan ini bertujuan untuk membantu pelabur dalam NSIP mengembangkan perniagaan mereka dengan menawarkan penyelesaian kepada pelesenan perniagaan, cukai dan perkara berkaitan insentif.

“NCT telah bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Telekom Malaysia Bhd, Solarvest Holdings Bhd, Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, Microsoft Malaysia dan banyak lagi untuk melengkapkan sepenuhnya MIP demi memenuhi keperluan perniagaan dan pengguna yang berkembang pada hari ini dan pada masa hadapan.

“Salah satu ciri menonjol taman perindustrian ini ialah Kuarters Pekerja Terurus Berpusat AI (CLQ) yang menyediakan penginapan berkualiti tinggi kepada sehingga 30,000 pekerja.

“Selain itu, NSIP juga mempunyai pusat komersial untuk menjadikan taman perindustrian ini sebagai peneraju dalam pasaran Malaysia sambil meningkatkan imej korporat perniagaan yang terletak di dalam taman itu,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Pembangunan Taman Perindustrian Pintar NCT dianggar RM10 bilion


Content Type:

Duration:

Teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak akan mengurangkan peluang pekerjaan kerana ia tidak akan menggantikan sepenuhnya tenaga kerja manusia, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud.

Beliau berkata ketika ini, penyediaan tenaga kerja yang mahir untuk mengendalikan dan mengoperasikan AI sedang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Robert Lau Hui Yew yang ingin mengetahui langkah kerajaan dari segi dasar untuk memanfaatkan AI pada masa sama mengurangkan kesan kehilangan pekerjaan, pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Mustapha berkata selain itu, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) juga telah membangunkan 182 standard kemahiran pekerjaan kebangsaan berkaitan bidang digital yang boleh menjadi rujukan kepada semua penyedia latihan terutamanya Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam melatih bakat mahir negara dalam bidang berkaitan digital.

“Antara bidang ialah pengaturcaraan dan penyiaran serta aktiviti penerbitan dan telekomunikasi. KSM (Kementerian Sumber Manusia) melalui Jabatan Tenaga Manusia (JTM) juga dalam usaha memperkasakan pendidikan TVET yang turut menyumbang kepada penyediaan pekerja berkemahiran dalam bidang digital serta kerja-kerja penyelenggaraan fizikal dan infrastruktur makmal keselamatan siber di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat.

“Selain itu, turut diadakan ialah program latihan kepada tenaga pengajar dan persijilan profesional kepada tenaga pengajar institusi JTM dalam bidang keselamatan siber,” katanya.

Beliau berkata bagi meningkatkan penyertaan belia dalam bidang digital, JPK juga mengadakan pertandingan kemahiran antarabangsa dan pertandingan kemahiran peringkat belia setiap tahun melibatkan penyertaan 1,300 belia.

Sumber: Bernama

Teknologi AI tidak kurangkan peluang pekerjaan – Timbalan menteri


Content Type:

Duration:

Pulau Pinang menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya 150,000 bakat dalam tempoh lima tahun akan datang untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan perindustriannya, kata Penasihat Khas Pelaburan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Lee Kah Choon.

Beliau berkata bahawa strategi pelbagai serampang perlu dimulakan segera melibatkan semua pihak berkepentingan seperti penggiat industri, institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan untuk menangani isu kumpulan bakat tersebut.

“Sistem pendidikan yang dipacu teknologi bermula dari peringkat rendah perlu dilaksanakan segera,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Lee berkata menarik bakat antarabangsa dengan set kemahiran tertentu seperti kejuruteraan perisian dan melaksanakan dasar yang lebih holistik untuk mengekalkan bakat kejuruteraan adalah penting untuk mewujudkan kumpulan bakat yang sihat dan mampan.

“Untuk menarik lebih ramai pekerja berpengetahuan ke negeri ini, Pulau Pinang telah melaksanakan beberapa inisiatif seperti Program Subsidi Latihan Industri Pulau Pinang untuk menarik pekerja berpengetahuan dari negeri lain,” katanya.

Selain itu, beliau berkata keupayaan Pulau Pinang untuk menyediakan persekitaran kerja, kehidupan dan beriadah yang kondusif untuk bakat luar bandar akan menjadi kunci kepada kejayaan inisiatif ini.

Sementara itu, Lee berkata bahawa Asia telah muncul sebagai pasaran yang paling pesat berkembang untuk industri teknologi perubatan (MedTech), mendorong pemain industri peringkat satu menubuhkan kilang pembuatan di rantau ini.

Kadar pertumbuhan tahunan kompaun lima tahun sebanyak 6.8 peratus, pasaran Asia dijangka mencecah AS$147 bilion (AS$1=RM4.39) pada 2027, katanya.

Beliau berkata Pulau Pinang mempunyai jumlah syarikat MedTech tertinggi di Asia Tenggara dan negeri itu berbangga menjadi rumah kepada enam daripada 30 syarikat peranti perubatan terbaik global (mengikut jualan).

Seiring dengan perubahan model perniagaan global, Lee berkata bahawa negeri itu turut menyaksikan lonjakan dalam bilangan aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

“Kami melihat lebih banyak pusat reka bentuk dan pembangunan ditubuhkan di Pulau Pinang untuk memanfaatkan bakat tempatan,” tambahnya.

Lee berkata Pulau Pinang terkenal dengan sektor elektrik dan elektronik (E&E) di peringkat nasional.

Pulau Pinang sasar tarik 150,000 bakat dalam tempoh lima tahun


Content Type:

Duration:

Pakar kejuruteraan utiliti bawah tanah dan substesen, MN Holdings Bhd (MN Holdings) bekerjasama dengan Shanghai DC-Science Co Ltd (DCS) China untuk membangunkan pusat data berprestasi tinggi pertamanya di Malaysia.

Projek dengan anggaran nilai keseluruhan lebih AS$600 juta (RM2.65 bilion) menyaksikan MN Holdings muncul sebagai rakan kongsi Malaysia untuk DCS, di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara anak syarikat milik penuhnya, Mutu Nusantara Sdn Bhd dan syarikat dari China itu dua hari lalu.

Projek pusat data itu adalah sebahagian daripada siri pelaburan langsung asing (FDI) yang dijamin untuk Malaysia sempena lawatan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China pada 30 Mac hingga 2 April lalu.

Merentasi tapak seluas 8.09 hektar di Sedenak Tech Park, Johor, pusat data berprestasi tinggi itu adalah satu pencapaian penting bagi Malaysia.

Ia adalah lokasi pertama DCS di luar China, selepas membangunkan lebih daripada 300 pusat data di seluruh negara asalnya.

Di bawah perancangan semasa, utiliti untuk projek itu terdiri daripada beban kuasa 120MW dengan bekalan kuasa dwi untuk menyokong kemudahan 12,000 rak. Purata bekalan air harian dijangka kira-kira 5,000 tan, manakala infrastruktur akses rangkaian akan tersedia.

Fasa 1 projek itu dijadualkan untuk memulakan pembangunan tahun ini dan akan memulakan operasi pada separuh pertama tahun hadapan.

Pengarah Urusan MN Holdings, Loy Siong Hay, berkata syarikat itu mewakili Malaysia sebagai rakan kongsi pilihan DCS dan akan memastikan projek sulung penyedia perkhidmatan pusat data itu berjaya dilancarkan di sini.

“Perkongsian itu adalah bukti kepakaran teras MN Holdings dalam pembinaan utiliti bawah tanah, serta penyelesaian kejuruteraan substesen, yang merangkumi pemasangan kabel penghantaran elektrik, saluran paip pembetungan dan saliran, serta pembinaan dan pentauliahan loji.

“Ia menandakan kepelbagaian lebih jauh asas pelanggan MN Holdings, berikutan kejayaannya dalam memanfaatkan penyertaan yang lebih besar dalam projek solar berskala besar (LSS) dan kerja lain yang berkaitan dengan pusat data dan industri semikonduktor di sini.

“Kami berbangga untuk mengambil bahagian dalam pengembangan DCS di Malaysia. Perkembangan ini mengesahkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, dan akan menjadi rangsangan untuk bakat tempatan yang menyokong industri pusat data yang berkembang pesat,” katanya dalam satu kenyataan.

Siong Hay berkata, kerjasama dengan DCS akan dapat mengukuhkan lagi pengetahuan teknikal MN Holdings dalam pembinaan dan kejuruteraan pusat data.

“Memandangkan Malaysia melihat lebih banyak pelaburan daripada domestik dan antarabangsa, kami bersedia untuk menawarkan kepakaran kami dalam pembangunan infrastruktur uli bawah tanah dan kejuruteraan,” katanya.

Perkongsian terbaharu dengan DCS akan memberikan rangsangan kepada kontrak dalam tangan hadapan MN Holdings yang berjumlah RM325.9 juta pada 20 Januari lalu.

Beliau berkata, MN Holdings akan terus meneroka peluang dalam kalangan pelanggan tempatan dan antarabangsa di sini, memanfaatkan kepakaran terasnya dalam utiliti bawah tanah dan kejuruteraan substesen untuk menyokong pertumbuhan negara dalam pendigitalan, tenaga dan telekomunikasi,” katanya.

Butiran mengenai skop kerja akan dimuktamadkan selepas menandatangani perjanjian tambahan antara DCS dan MN Holdings, kata Siong Hay.

Sumber: Berita Harian

MN Holdings, DCS China bangun pusat data prestasi tinggi


Content Type:

Duration:

Ericsson dan Intel menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam pembangunan kes penggunaan 5G yang dapat mempercepat pendigitalan di Malaysia serta memacu penerimagunaan teknologi baharu itu oleh perusahaan.

Kedua-dua syarikat itu akan bekerjasama dalam kepakaran teknologi mereka masing-masing bagi memastikan bagaimana penyedia perkhidmatan komunikasi (CSP) boleh mempercepatkan penerimagunaan 5G dan mengembangkan pembabitan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) mereka berdasarkan kes penggunaan 5G.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro, berkata kerjasama Ericsson dengan Intel di Malaysia akan menyumbang kepada penerimagunaan 5G dan pembangunan ekosistem tempatan yang seterusnya akan memacu transformasi digital di negara ini.

“Usaha ini juga akan memastikan negara mempunyai kelebihan tersendiri berbanding pasaran lain di rantau ini dalam soal pelaburan asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Urusan Intel Malaysia, AK Chong, berkata dengan peningkatan pendigitalan dalam kalangan masyarakat dan ekonomi, 5G menjadi komponen asas untuk memacu inovasi merentasi semua segmen perniagaan.

“Kerjasama ini menunjukkan bagaimana infrastruktur 5G Malaysia dengan perkhidmatan tercanggih yang inovatif yang dikuasakan oleh teknologi Ericsson dan Intel akan membolehkan perusahaan tempatan mentransformasikan dan mempercepatkan perniagaan mereka melalui penyelesaian digital,” katanya.

Sumber: Bernama

Ericsson, Intel tingkat penerimagunaan 5G di Malaysia


Content Type:

Duration:

Malaysia mengambil langkah nyata ke hadapan untuk menjadi hab yang diiktiraf bagi rumusan risikan siber generasi akan datang menerusi pemeteraian perjanjian perkongsian penting antara Velum Labs Sdn Bhd (Syarikat Sapura) dan TriCIS Ltd baru-baru ini.

Ia bersempena satu majlis menandatangani perjanjian telah diadakan di kemudahan Velum Labs yang canggih di Permata Sapura, Kuala Lumpur; disaksikan oleh Tan Sri Shahril Shamsuddin (Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura), Antony Summerfield (CEO TriCIS), Baroness Annabel MacNicoll Goldie (Menteri Pertahanan Britain) dan Charles Hay (Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia).

Velum Labs, anak syarikat syarikat Sapura adalah pengendali keselamatan dan perisikan siber terkemuka tempatan yang menyediakan rumusan perisikan siber dipertingkatkan yang diperoleh daripada pemahaman peneraju pasaran mengenai metodologi serangan siber.

TriCIS ialah pakar yang berpangkalan di UK dalam mereka bentuk dan kejuruteraan penyelesaian bersepadu yang sangat selamat, memenuhi piawaian keselamatan kerajaan dan ketenteraan tertinggi.

Dengan lebih empat dekad pengalaman, TriCIS ialah pembekal yang dipercayai kepada Kementerian Pertahanan United Kingdom dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Perjanjian perkongsian itu akan menyaksikan Velum Labs dan TriCIS menyediakan keupayaannya kepada pelanggan sektor kerajaan dan swasta di seluruh rantau; di bawah perjanjian dua hala bersama UK dan Malaysia.

Tan Sri Shahril Shamsuddin, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura, berkata pihaknya menghargai kepercayaan dan keyakinan yang diberikan TriCIS dalam Velum Labs, menggunakan sepenuhnya set kemahiran dan rekod prestasi kami dalam keselamatan siber dan ruang risikan siber.

Beliau menambah, memandangkan kami diurus dan dikendalikan oleh bakat tempatan, perkongsian ini jelas mencerminkan keupayaan bertaraf dunia dan pengetahuan teknikal yang wujud dalam tenaga kerja Malaysia.

“Dengan bergabung tenaga dengan TriCIS, kami dapat melonjak ke hadapan dari segi inovasi dan penyelesaian luar kotak yang boleh meletakkan Malaysia di barisan hadapan teknologi telekomunikasi yang berdaulat sambil memenuhi keperluan negara kita untuk mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat kita,” tambahnya.

Menurut Mordor Intelligence, Pasaran Keselamatan Siber Pertahanan Global bernilai AS$16.22 bilion pada 2020, dan dijangka mencecah AS$28.53 bilion menjelang 2026, mencatatkan CAGR kira-kira 10.51 peratus dalam tempoh ramalan (2021-2026).

Laporan itu juga menekankan bahawa Asia Pasifik adalah rantau yang paling pesat berkembang untuk pasaran ini.

Antony Summerfield, Ketua Pegawai Eksekutif TriCIS, berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan Velum Labs kerana pengetahuan teknikal dan kepakaran perisian mereka dalam keselamatan siber dan perisikan siber akan terbukti tidak ternilai dalam mencipta penyelesaian yang sangat maju yang mampu memenuhi pertahanan dan keperluan keselamatan negara dan industri di rantau ini dan di seluruh dunia.

“Kami juga berharap dapat memanfaatkan bakat Malaysia dan hubungan rapatnya dengan negara-negara di seluruh rantau ini untuk mengembangkan kehadiran kami dalam pasaran yang berkembang pesat dan dinamik ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Firma Malaysia, UK jalin kerjasama jadi peneraju pasaran risikan


Content Type:

Duration:

Pemain logistik bumiputera dicadang berkolaborasi bagi memastikan syarikat bumiputera yang terlibat dalam sektor berkenaan terus berdaya saing di pasaran domestik dan antarabangsa.

Menurut laporan Kajian Prestasi Rantaian dan Nilai Bumiputera Dalam Sektor Logistik oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), langkah itu adalah antara strategi yang dicadangkan bagi meningkatkan prestasi bumiputera dalam sektor logistik.

Menurut laporan kajian yang dikeluarkan TERAJU, kolaborasi itu boleh dirujuk sebagai Kolaborasi Logistik Bumiputera (KLB) dan diwujudkan dalam bentuk usaha sama atau koperasi, mengambil kira impak jangka panjang semasa fasa perlaksanaan strategi itu kelak.

“Kolaborasi dalam laporan ini perlu direka dengan matlamat untuk membentuk syarikat-syarikat bumiputera bertaraf logistik pihak keempat (4PL).

“Ia bermatlamat mengukuhkan rangkaian dan pengintegrasian perkhidmatan antara penggiat logistik bumiputera; meningkatkan daya saing penyedia perkhidmatan logistik bumiputera dengan kadar segera; memperkasakan aset dan sumber sedia ada untuk bersaing dalam pasaran yang padat dan membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada penggiat logistik bumiputera terutamanya dalam pasaran baharu yang bermargin tinggi,” menurut laporan itu, di sini.

Menurut laporan tersebut, kolaborasi (berbentuk koperasi) itu boleh dibuka kepada semua syarikat logistik bumiputera di Semenanjung, Sabah, Sarawak serta luar negara dengan yuran keahlian ditetapkan dan ahli-ahli akan mendapat dividen tahunan berdasarkan prestasi pelaburan dan perniagaan kolaborasi (berbentuk koperasi).

Untuk memastikan objektif utama tercapai, KLB melalui entiti komersialnya perlu bergerak sebagai sebuah entiti korporat yang keputusan dan pelaburan dibuat untuk kepentingan dan kemajuan perniagaan ahli-ahlinya, menurut laporan itu.

Bagaimanapun, laporan itu menyebut, matlamat utama KLB untuk membentuk syarikat bumiputera bertaraf 4PL bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai.

“Syarikat 4PL perlu canggih dan lengkap dari pelbagai aspek perkhidmatan terutama dalam pengurusan rantaian nilai. Justeru, syarikat bumiputera terlebih dahulu perlu dipersiapkan dengan segala keperluan itu. Oleh itu, pelaksanaan strategi ini dibahagikan kepada pelan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang bagi memberi peluang kepada kolaborasi serta ahli-ahlinya untuk mengatasi cabaran dan kelemahan dengan beransur-ansur dan maju secara mampan,” katanya.

Menurut laporan itu, selain strategi kolaborasi (berbentuk koperasi), TERAJU juga mencadangkan dua lagi strategi iaitu penerokaan pasaran baharu dan perniagaan bermargin tinggi oleh syarikat bumiputera, selain dicadangkan agar peningkatan peluang diberikan kepada syarikat bumiputera untuk membina daya saing dan berdaya maju.

Laporan itu berkata jika kesemua strategi yang dicadangkan dapat dilaksanakan, penyertaan bumiputera dalam pasaran sektor logistik bakal meningkat dari 14 peratus ke 25 peratus pada 2030 berdasarkan anggaran EBITDA (Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan) yang akan dijana KLB berbanding unjuran cara niaga sedia ada sektor logistik Malaysia.

Jumlah pelaburan awal sebanyak RM227 juta ringgit untuk penaiktarafan infrastruktur, piawaian, pendigitalan dan operasi diperlukan daripada sektor swasta terlibat.

“Dengan bertambahnya penglibatan dalam perkhidmatan bermargin tinggi serta bidang-bidang baharu, jumlah nilai GOS (Sumbangan Lebihan Kendalian Kasar) perusahaan bumiputera dalam sektor berkenaan dijangka mencecah sehingga RM9.2 bilion pada tahun 2030.

“Anggaran ini adalah tambahan ke atas sasaran GOS Pelan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) sebanyak RM23.5 bilion menjelang 2030,” menurut TERAJU dalam laporan itu.

Terdahulu dalam laporan sama, TERAJU menyenaraikan tujuh cabaran dihadapi syarikat logistik bumiputera iaitu peluang perniagaan yang terhad; kurang pelaburan dan kurang modal insan berkemahiran.

Syarikat bumiputera juga berdepan cabaran keupayaan terhad untuk memenuhi permintaan tinggi dan pelbagai; kurang daya saing dalam pasaran yang sesak; pemecahan industri dan kurang integrasi serta kesan pandemik COVID-19.

Sumber: Bernama

Pemain logistik bumiputera dicadang bentuk kolaborasi pastikan terus berdaya saing – Teraju


Content Type:

Duration:

Malakoff Corporation Bhd (Malakoff) dijangka membelanjakan RM1.23 bilion bagi membangun, memiliki, mengendali dan menyelenggara tiga loji tenaga hidroelektrik boleh diperbaharui (REPPA) di Kuala Krai, Kelantan.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Sean Lim, berkata perbelanjaan modal yang diperuntukkan Malakoff bagi ketiga-tiga projek di Kelantan dimeterai dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk tempoh 21 tahun.

“Tarikh operasi komersial (COD) sasaran dijadualkan pada pertengahan Disember 2025. Kami diberi bayangan bahawa anggaran jumlah perberlanjaan modal yang diperlukan ialah RM1.23 bilion, iaitu kira-kira RM14.6 juta bagi setiap megawatt.

“Jumlah ini dilihat mahal, mungkin atas pelbagai sebab, iaitu reka bentuk, teknologi, lokasi, akses kepada grid nasional dan lain-lain. Walaupun tarif tidak didedahkan, kami juga diberi bayangan bahawa kadar pulangan dalaman (IRR) projek dianggarkan pada angka tunggal tinggi manakala tarif pula serupa dengan projek hidro lain.

“Kemudahan RE ini akan dibiayai dengan struktur kewangan berbanding ekuiti pada nisbah 80:20. Melalui struktur ini, Sukuk Wakalah SRI Hijau ASEAN akan diterbitkan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Lim berkata, Malakoff memeterai surat hasrat (HOA) bersama Rising Promenade (RPSB), RP Hydro (Kelantan) (RPHK), dan Rising O&M Engineering Services (ROMES) untuk membangun, memiliki, mengendali dan menyelenggara tiga loji tenaga hidroelektrik boleh baharu (RE) di Kuala Krai itu.

Katanya, tiga loji kuasa hidro kecil atau SHP ini iaitu Kemubu (29MW), Kuala Geris (25MW), dan Serasa SHP (30MW), mempunyai gabungan kapasiti terpasang sebanyak 84MW.

“Susulan beberapa HOA yang dijangka akan selesai dalam tiga bulan akan datang, Malakoff akan memiliki 70 peratus daripada saham biasa dalam RPHK dan syarikat operasi & penyelenggaraan ROMES. Ia juga akan menyuntik RM250 juta secara berperingkat kepada RPHK untuk saham keutamaan,” katanya.

RHB Investment Bank mengekalkan saranan ‘beli’ saham Malakoff dengan harga sasaran 86 sen, dengan potensi kenaikan 28 peratus dengan kadar hasil dividen kira-kira 8.0 peratus bagi tahun kewangan 2023.

“Kami optimis terhadap potensi pembangunan tiga loji kuasa hidro di Kelantan yang mempunyai gabungan kapasiti terpasang sebanyak 84MW, kerana perkara ini akan meningkatkan portfolio boleh baharu bersih Malakoff menjadi kira-kira 100MW, sejajar dengan sasaran jangka panjangnya iaitu 1,400MW menjelang 2031.

“Penilaian awal kami menunjukkan impak untung selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) purata sebanyak RM30 juta hingga RM35 juta setahun dan menilaikan projek ini pada dua sen sesaham.

“Risiko negatif adalah gangguan loji lebih kerap daripada yang dijangka dan belanja mengurus lebih tinggi berbanding jangkaan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Malakoff perlu RM1.23 bilion bina loji hidroelektrik di Kelantan


Content Type:

Duration:

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Sdn Bhd bakal memperuntukkan RM3 bilion dalam mengembangkan perniagaan mereka khususnya ke atas penambahbaikan terminal kontena pelabuhan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen, berkata selain terminal, pihaknya akan turut membelanjakan peruntukan itu bagi zon bebas dan penambahan infrastruktur dalam pengoperasian pelabuhan berkenaan.

“Bagi pelaburan RM3 bilion yang kami sasarkan untuk diperuntukkan bagi lima tahun akan datang, ia akan dilaburkan bagi zon bebas dan juga terminal.

“Buat masa ini, terminal kami mempunyai kapasiti 13 juta kontena dan akan mengembangkannya kepada kapasiti 15.5 juta panel kontena menjelang 2026.

“Pelaburan ini juga akan digunakan untuk penambahan infrastruktur termasuk pelbagai kelengkapan baharu seperti trak dan kren,” katanya ketika ditemui pada Lawatan Media ke PTP di sini, semalam.

Neelsen berkata, PTP akan turut menambah baik sistem automasi dan pendigitalan operasi mereka pada masa akan datang.

“Akan terdapat banyak perisian baharu yang akan digunakan, termasuk penggunaan penggerak utama autonomi dan pertukaran cara pengisian bahan api pada trak dan dalam penggunaan elektrik.

“Semua pelaburan ini akan mengembangkan lagi terminal PTP menjadi lebih hijau dan mampan,” jelasnya.

Berkongsi bagaimana PTP menguruskan keutamaan pelaburannya, Neelsen berkata, ia bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Buat masa ini, semua rancangan kami adalah bergantung kepada permintaan daripada pelanggan. Contohnya, kami akan lihat apa yang dimahukan pelanggan seperti berapa banyak kontena yang ingin dibawa ke PTP.

“Untuk tahun ini sebanyak RM450 juta sudah diluluskan Lembaga Pengarah PTP selain beberapa projek lain yang diharap dapat dilaksanakan dengan lebih teratur memandangkan sudah tiada lagi sekatan akibat pandemik.

“Rantaian bekalan juga sudah meningkat dan kami lihat projek-projek di PTP tidak akan tergendala dan akan siap tahun ini,” katanya.

Untuk rekod, PTP adalah terminal kontena terbesar di Malaysia yang kini berada di kedudukan ke-15 dalam senarai 20 pelabuhan kontena terbesar di dunia.

Pelabuhan itu meliputi 809.37 hektar terminal dan 607.02 hektar kawasan zon bebas yang menyediakan perkhidmatan kepada syarikat perkapalan utama dan pengendali kotak, menyediakan pengiriman di Malaysia dan luar negara yang luas ke pasaran global.

PTP adalah usaha sama antara kumpulan utiliti dan infrastruktur Malaysia, MMC Corporation Bhd (MMC) sebanyak 70 peratus dan kumpulan pelabuhan global terkemuka dengan 67 kemudahan pelabuhan dan terminal iaitu APM Terminal (30 peratus).

Sumber: Berita Harian

Pelabuhan Tanjung Pelepas sedia RM3 bilion tambah baik infrastruktur


Content Type:

Duration:

Malaysia berpotensi untuk menjadi peneraju hab digital pilihan di rantau Asia Tenggara bagi syarikat luar yang berasaskan teknologi pada masa akan datang.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata Malaysia sebelum ini telah pun menjadi destinasi pilihan kepada penyedia pemprosesan data kerana memiliki infrastruktur komunikasi dan keselamatan siber yang kukuh selain rakyat yang celik digital.

“…dan apabila saya dapat tahu syarikat teknologi konsumer yang berpangkalan di Shezhen, China, FreeYond memilih Malaysia sebagai negara pertama di Asia Tenggara untuk memasarkan produknya itu, ia sebagai petanda positif kepada Malaysia.

“Ia bukan sahaja memberi kesan dari segi pelaburan, tapi ini akan menjadikan Malaysia sebagai satu hab untuk banyak lagi produk yang lain berasaskan teknologi untuk datang ke Malaysia,” katanya pada sidang media di sini hari ini selepas majlis pelancaran rasmi telefon dan jam pintar keluaran FreeYond.

Dalam majlis yang diadakan FreeYond, melancarkan dua telefon pintar baharu – M5 dan F9, dua jam tangan pintar – Watch S1 dan F1 dan satu set kepala True Wireless Stereo (TWS) – Pods 1.

Sementara itu Fahmi berkata hubungan ekonomi antara Malaysia-China khususnya mendatangkan impak positif apabila lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan terutama berkaitan bidang inovasi, teknologi dan kemahiran.

Beliau turut memaklumkan hubungan dua negara itu dijangka dapat diperkukuh lagi melalui lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara tersebut dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Fahmi mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa masalah capaian Internet dalam Malaysia akan dapat diselesaikan menjelang Jun ini dan kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bersama syarikat telekomunikasi sedang berusaha untuk mengatasi perkara itu.

Sumber: Bernama

Malaysia berpotensi jadi peneraju hab digital di rantau Asia Tenggara – Fahmi


Content Type:

Duration:

Sebanyak 60 syarikat gergasi termasuk multinasional diminta untuk menampung pembiayaan pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan itu adalah bagi memberi peluang syarikat berkenaan membantu secara langsung kepada rakyat menerusi pengambilalihan, penyelenggaraan dan latihan menggunakan kos syarikat.

“Kita minta syarikat bantu secara langsung sama ada projek rakyat miskin, dan dalam kes ini secara khusus (membantu) TVET kerana TVET ini melatih anak muda kita, Melayu dan Bumiputera untuk tingkatkan kemahiran bagi mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik dan upah atau gaji lebih tinggi,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang ingin tahu jika terdapat syarikat besar lain yang menyumbang keuntungan kepada rakyat.

Menurut Perdana Menteri antara syarikat yang terlibat antaranya adalah Sunway Berhad, Berjaya Corporation Berhad, syarikat dalam Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), Telekom Malaysia (TM) dan Kumpulan Syarikat Albukhary yang secara spesifik menawarkan untuk membantu mengambil alih TVET di Pekan, Pahang dan Tanjung Malim, Perak.

Menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berkenaan cukai sepatutnya digunakan untuk membantu golongan susah, Anwar berkata pendekatan kerajaan sekarang adalah berbeza, dengan syarikat besar diminta menyalurkan bantuan kewangan secara terus kepada golongan sasar dan bukannya memberi sumbangan kepada parti politik atau individu perseorangan.

“Saya memilih memanggil (tokoh korporat) Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, (dan untuk) memberi manfaat kepada negara dan bagi kepentingan pesawah miskin, (saya) minta dia derma kepada pesawah secara langsung.

“RM60 juta kepada pesawah; dan dengan 30 peratus keuntungan yang dicatat lebih 20 tahun, ini kali pertama minta dia berikan 30 peratus keuntungan bersih kepada pesawah padi,” katanya.

Menjawab soalan asal Cha berkenaan tuduhan bahawa Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng telah membatalkan pengecualian cukai Yayasan Albukhary semasa menjadi Menteri Kewangan, Anwar mengesahkan Lim tidak pernah membuat sebarang pembatalan berhubung perkara itu.

Anwar berkata dakwaan itu tidak benar, dan hakikatnya kelulusan pengecualian cukai Yayasan Albukhary hanya dibuat pada 25 Februari 2021.

“Hakikatnya kelulusan hanya dibuat pada 25 Februari 2021 iaitu kelulusan meluluskan sesuatu pengecualian cukai yang di luar kebiasaannya yang melibatkan kedua-dua Yayasan Albukhary dan Kumpulan (Syarikat) Albukhary,” katanya.

Anwar berkata mengikut Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53), pengecualian cukai bukan kuasa menteri atau perdana menteri, sebaliknya ia kuasa mutlak Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Sumber: Bernama

60 syarikat gergasi, multinasional diminta tampung pembiayaan TVET


Content Type:

Duration:

Pasaran Robotik Malaysia diunjurkan mencecah RM103.1 bilion menjelang 2023, melepasi jumlah sasaran Pelan Hala Tuju Robotik Negara 2021-2030, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Mohd Nor Azman Hassan.

Beliau berkata nilai pasaran industri robotik terutamanya Robot Perkhidmatan dalam 2022 kira-kira RM92.29 bilion, biarpun mengalami kesan yang menjejaskan kepada ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, beliau berkata jurang perbezaan sumbangan oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berbanding syarikat multinasional (MNC) perlu ditangani terlebih dahulu.

“Sumbangan PMKS jauh lebih kecil berbanding MNC dengan bahagian pasaran antara tiga hingga lima peratus dalam tempoh unjuran,” katanya dalam satu kenyataan semalam selepas laporan siri pertama ‘National Robotics Industry Country Report’ (NRICR) Malaysia mengenai Penciptaan Nilai dikeluarkan oleh Malaysia Robotics and Automation Society (MyRAS).

Pengeluaran NRICR semasa Persidangan “Intelligent Manufacturing” 2023 disaksikan oleh Mohd Nor Azman, Presiden MyRAS Prof Dr Ishkandar Baharin, Ketua Pegawai Pembangunan Ekosistem Malaysian Research Accelerator of Technology and Innovation (MRANTI) Mohd Safuan Mohd Zairi dan Pengurus Besar Kanan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) Zaim Azyze.

Sementara itu, Ishkandar berkata NRICR menyasarkan untuk mengalihkan ekosistem robotik Malaysia daripada menambah nilai kepada penciptaan nilai yang berdaya tahan menerusi penyelesaian inovatif berimpak tinggi dalam mereliasasikan wawasan Pelan Hala Tuju Robotik Negara 2021-2030 untuk Malaysia menjadi hab robotik serantau dalam Perkhidmatan, Pertanian dan Pengilangan menjelang 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI Dzuleira Abu Bakar pula berkata dalam kenyataan sama bahawa sebuah Hab Rotik Kebangsaan akan ditubuhkan MRANTI di Taman MRANTI, Bukit Jalil di sini dengan kerjasama MyRAS, MARii dan lain-lain pemain industri robotik bagi menyokong peningkatan pemain dalam ekosistem robotik di Malaysia.

Beliau berkata NRICR akan menjadi asas untuk meningkatkan lagi pengambilan aplikasi robotik dalam pelbagai sektor industri di Malaysia dengan menyediakan satu gambaran keseluruhan keadaan teknologi robotik dalam negara termasuk kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman teknologi itu.

“MRANTI akan menggunakan teknologi terkehadapan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), termasuk Kecerdasan Buatan (AI),5G dan Internet Benda (IoT) untuk membangunkan kluster tumpuan mereka mengenai teknologi dron, teknologi kesihatan, teknologi pertanian dan teknologi pemboleh 4IR dengan penekanan kepada pengkomersialan teknologi,” katanya.

Zaim pula berkata MARii akan menyokong Pelan Tindakan Nasional untuk Robotik Automotif (NBAR) dengan mempertingkatkan sektor automotif dan mobiliti dalam pembuatan dan perkhidmatan untuk menyokong pembangunan Kenderaan Generasi Akan Datang (NxGV) di Malaysia.

Sumber: Bernama

Pasaran Robotik Malaysia dijangka cecah RM103.1 bilion menjelang 2030 – MOSTI


Content Type:

Duration:

Kerajaan negeri berhasrat menjadikan Melaka sebagai hab Ekonomi Hijau (Green State Economy) yang boleh menghasilkan kesejahteraan manusia dan jaminan ekuiti sosial lebih baik, mengurangkan risiko alam sekitar dan kelangkaan ekologi, kata Menteri Besar Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Justeru, katanya, kerajaan negeri perlu memulakan gerakan tersebut dengan pelan dan visi yang jelas selari dengan langkah kerajaan Persekutuan yang sentiasa menambah peruntukan dalam Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT).

Beliau berkata dalam pembentangan Belanjawan 2023 baru-baru ini, pembangunan ekonomi hijau diberi peruntukan hampir RM600 juta antaranya merangkumi pewartaan kawasan perlindungan baharu habitat, program perlindungan binatang dan spesies hidupan liar, pengasingan sisa dan kitar semula serta pengurusan teknologi tepat dan kelestarian pertanian.

“Di samping itu, Bank Negara Malaysia (BNM) memberi kemudahan pembiayaan kepada Ekonomi Hijau ini. Peruntukan sebanyak RM1 bilion dalam Dana Pembiayaan Teknologi Tinggi dan Hijau manakala peruntukan sebanyak RM1 bilion pula untuk Dana Pembiayaan Peralihan Karbon Rendah, selain Khazanah Nasional memperuntukkan RM150 juta untuk Pembangunan Projek Mesra Alam.

“Selain itu juga, Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) menaikkan nilai jaminan kepada RM3 bilion sehingga 2025 manakala Bank Pembangunan Malaysia turut memperuntukkan RM1 billion bagi Skim Pembangunan Mampan,” katanya ketika berucap menggulung dan menangguhkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini hari ini.

Mengenai pengangkutan awam pula, Sulaiman berkata Melaka cukup bertuah dipilih sebagai lokasi kajian bagi menghasilkan sebuah pelan strategik pengangkutan awam negeri selari dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035 iaitu Pelan Induk Pelaksanaan Pengangkutan Hijau (GTIMP) Melaka dengan kerjasama kerajaan United Kingdom.

“Melalui dokumen ini, dua program intervensi telah diperuntukkan untuk dilaksanakan di Melaka iaitu Pelan Pelaksanaan Rangkaian Bas Hijau dan Pelan Integrasi Mobiliti Kawasan Warisan.

“Melalui pelaksanaan pelan strategik bersepadu ini akan dapat membantu mengatasi masalah kesesakan jalan raya di Melaka melalui keberkesanan perancangan jalan raya, meningkatkan perkhidmatan pengangkutan bas awam henti henti dan menangani isu kesalinghubungan batuan pertama dan terakhir melalui usaha mengintegrasi dan mempelbagaikan lagi mod perjalanan yang saling berhubung,” katanya.

Beliau berkata menerusi usaha itu alam sekitar dapat dijaga dengan lebih baik, sekali gus menggalakkan kedatangan pelancong serta membuka peluang ekonomi khususnya kepada peniaga dan penjaja kecil.

Katanya kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi meneliti syor dokumen GTIMP bagi menjaga kepentingan Negeri Melaka dari segi pengangkutan awam memandangkan ia di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

Sumber: Bernama

Kerajaan Negeri Berhasrat Jadikan Melaka Hab Ekonomi Hijau


Content Type:

Duration:

Fitch Solutions menyenaraikan Malaysia sebagai antara pasaran utama untuk perniagaan utiliti berteraskan infrastruktur digital di peringkat serantau dan global sekali gus menyediakan platform yang sesuai untuk operasi pusat data.

Penyedia data, penyelidikan dan analisis itu berkata Malaysia muncul sebagai antara hab infrastruktur digital utama di rantau Asia-Pasifik susulan pembangunan rancangan pendigitalan kerajaan, pelonggaran landskap kawal selia dan dasar mesra teknologi.

Baru-baru ini, syarikat pengurusan perkhidmatan teknologi maklumat (IT) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Amazon Web Services (AWS) mengumumkan rancangan untuk melabur US$6 bilion (US$1=RM4.51) pada 2037 untuk mempertingkatkan perkhidmatan awan di negara ini, tambahnya.

“AWS merancang untuk menambah tiga zon ketersediaan di negara ini kepada portfolio global 99 zonnya merentas 31 wilayah geografi,” jelasnya.

Menurut Fitch Solutions Malaysia akan menawarkan profil tenaga kerja yang berdaya saing kepada perniagaan disokong tenaga kerja yang produktif, piawaian penjagaan kesihatan yang baik dan dipertingkatkan serta taburan penduduk bandar yang positif walaupun kurang berdaya saing dari segi kos.

“Pertumbuhan penduduk yang bekerja juga dijangka perlahan dan berkurangan dalam jangka masa panjang, yang akan membawa kepada keadaan pasaran buruh terhad, (menambah) kos pembinaan jangka pendek.

“Bagi jangka masa panjang, negara ini memperoleh manfaat daripada asas pekerjaan mahir yang diperlukan untuk pengurusan pusat data bagi jangka masa panjang,” jelasnya dalam nota penyelidikan pada Khamis.

Fitch Solutions menjelaskan Malaysia telah menarik peserta global utama dengan pelaburan meningkat memandangkan lokasi negara ini yang strategik dan berhampiran Singapura.

Permintaan pusat data akan meningkat secara beransur-ansur serta dinamik, menjadikannya lebih sukar untuk memenuhi permintaan mereka, menurutnya.

“Pasukan risiko operasi kami mendapati sebagai perbandingan kepada kebanyakan pesaing serantau (termasuk Singapura dan Hong Kong), Malaysia dikurniakan sumber semula jadi, (memberi manfaat kepada) syarikat dengan menyediakan utiliti yang boleh dipercayai dan menjimatkan, terutama bahan api dan elektrik, yang tersedia secara meluas.

“Bagaimanapun, gabungan peningkatan permintaan tenaga dan kutipan hasil cukai yang rendah akan memberi beban besar kepada sumber kerajaan dan menyukarkan kerajaan mengekalkan harga bahan api menerusi sokongan kewangan,” tambah Fitch Solutions.

Menurut Fitch Solutions ini akhirnya mungkin membawa kepada penghapusan subsidi kemajuan jangka sederhana hingga panjang, yang akan mengakibatkan kenaikan harga tenaga.

Walau bagaimanapun, apabila loji jana kuasa dan sistem pengagihan baharu meningkatkan kapasiti untuk menghasilkan tenaga pada kadar yang lebih rendah, Malaysia akan terus menyediakan bekalan bahan api dan elektrik pada harga yang paling berpatutan, menurut firma.

“Hasilnya, Malaysia merekodkan skor 72.6 (daripada 100) untuk rangkaian utiliti dan menduduki tempat ketiga daripada 18 pasaran di rantau Asia Timur dan Tenggara, mendahului Singapura, Hong Kong dan Vietnam namun di belakang Brunei dan Taiwan. Di peringkat global, Malaysia menduduki tempat kelapan daripada 201 ekonomi,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia jadi pasaran utama perniagaan infrastruktur digital serantau, global – Fitch Solutions


Content Type:

Duration:

Kerajaan Selangor sedang mengenal pasti lokasi untuk membina ladang solar (solar farm) berskala besar, terutamanya di kolam-kolam terbiar di negeri tersebut, bagi menghasilkan tenaga boleh diperbaharui dalam usaha menangani isu perubahan iklim.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata selain projek berkenaan, kerajaan negeri juga merancang untuk memasang panel solar di beberapa bangunan tertentu, seperti bangunan kerajaan negeri.

“Kerajaan Selangor juga merancang untuk melaksanakan projek ‘waste-to-energy’ di Jeram, Kuala Selangor dan Tanjung Dua Belas, Kuala Langat supaya sampah-sampah yang dibakar boleh menjana tenaga diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bersatu-Bukit Antarabangsa) berkenaan rancangan kerajaan negeri menangani isu perubahan iklim dan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan Selangor menyediakan geran-geran kecil kepada komuniti sebanyak RM20,000 setiap satu dengan peruntukan berjumlah RM2 juta setiap tahun sebagai galakan kepada komuniti menjalankan projek penghijauan kawasan.

Sumber: Bernama

Selangor kenal pasti lokasi bina ladang solar berskala besar


Content Type:

Duration:

Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) memeterai empat Memorandum Persefahaman (MoU) bersama beberapa syarikat untuk menjalin kerjasama dalam pembangunan projek tenaga solar di Selangor, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datin Norazlina Zakaria berkata pemeteraian MoU itu dijangka dapat mempromosi penggunaan tenaga pintar dan tenaga boleh diperbaharui di Selangor.

“Menerusi MoU ini ia akan membangunkan penyelesaian inovatif yang memacu perkembangan sektor tenaga boleh diperbaharui,” katanya selepas majlis berkenaan di Glenmarie Hotel and Golf Resort di sini.

Majlis pemeteraian MoU berkenaan disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim.

Dua MoU ditandatangani Worldwide Holdings dengan Cyberview Sdn Bhd, Kumpulan Perangsang Selangor, Global Energy Storage Malaysia dan PKNS Real Estate Sdn Bhd membabitkan pembangunan loji janakuasa bebas yang bakal menjana tenaga daripada ladang solar terapung di tasik Cyberjaya.

Selain itu turut ditandatangani adalah MoU berkaitan pemasangan panel PV solar di bangunan kerajaan dan kediaman di Selangor untuk pembangunan pelaburan tenaga solar bagi kegunaan sendiri yang ditandatangani Worldwide Holdings dan PKNS Real Estate Sdn Bhd.

MoU bagi pembangunan pelaburan tenaga solar Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) serta perjanjian pajakan bumbung ditandatangani Worldwide Holdings bersama Laman Seri Business Park Management Body.

Menurut Norazlina pembangunan projek loji janakuasa bebas bakal menjana tenaga daripada ladang solar terapung di tasik Cyberjaya adalah di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) dengan kos kira-kira RM100 juta.

“Dengan pembangunan lestari dan tenaga bersih sebagai terasnya pelaksanaan projek ini dijangka dapat meningkatkan keupayaan tenaga di Cyberjaya menerusi tenaga hijau.

“Pemeteraian MoU dengan kesemua syarikat itu adalah bukti kemampuan Worldwide Holdings untuk menerajui projek infrastruktur tenaga yang lebih besar terutama dalam mempromosikan tenaga boleh baharu,” katanya.

Sumber: Selangor Kini

Worldwide Holdings meterai empat MoU jaya pembangunan projek tenaga solar di Selangor


Content Type:

Duration:

Syarikat penyedia perkhidmatan tenaga solar, Gading Kencana Sdn Bhd berhasrat membangunkan sebuah ladang solar berkapasiti 100 hingga 150 megawatt di Kedah dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengarah Urusannya, Datuk Muhamad Guntor Mansor Tobeng, berkata setakat ini syarikat itu telah memiliki ladang solar berskala besar di Ayer Keroh, Melaka serta dua lagi di Bidor, Perak dan bercadang mengembangkan perkhidmatannya di utara tanah air.

“Ini adalah perancangan baharu kami (ladang solar di Kedah), maksudnya menjelang 2025 mungkin kita boleh beroperasi, kita sudah masuk tender dan sedang mengenal pasti lokasi tanah untuk dibangunkan ladang solar itu. Kalau ladang solar 100 megawatt pelaburannya boleh mencecah RM400 juta,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Muhamad Guntor berkata, langkah yang diambil oleh syarikat itu adalah sejajar dengan dasar kerajaan untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal 2050.

Menurutnya, antara inisiatif yang dilaksanakan kerajaan bagi mencapai sasaran itu termasuk memperkenalkan mekanisme ‘feed-in-tariff’ (tarif galakan), bidaan kompetitif bagi pembangunan loji janakuasa solar berskala besar dan Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).

Sementara itu, beliau berkata Gading Kencana juga bercadang untuk mengembangkan perniagaannya ke luar negara selepas mendapat permintaan daripada beberapa negara termasuk Indonesia, Vietnam dan Kemboja.

Buat permulaan, katanya, syarikat itu telah mendaftarkan syarikat penanaman modal asing di Indonesia bagi membina ladang solar di negara tersebut yang diharap dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya, dua lokasi pembinaan ladang solar itu telah dikenal pasti iaitu sama ada di Jawa, Sumatra atau Banjarmasin, namun menjelaskan permintaan yang tinggi adalah di Jawa.

Selain itu, katanya, syarikat itu turut menerima pertanyaan dari negara-negara Afrika iaitu Malawi, Kenya serta Tanzania.

“Ini semua pasaran yang kita sedang fokus. Sekarang ini kita ada fokus eksport produk kita iaitu solar panel ke Nigeria, jadi kita dah ada pelanggan, mungkin kita boleh kembang perniagaan di sana,” katanya.

Terdahulu hari ini, Muhamad Guntor menjadi ahli panel pada satu seminar bertajuk ‘Melestarikan Kedah: Mengurangkan Kos Sara Hidup melalui Tenaga Boleh Baharu’ yang diadakan di sini.

Seminar itu adalah bertujuan untuk menjelaskan mengenai dasar pelepasan karbon sifar bersih dan kepentingan tenaga boleh diperbaharui.

Sumber: Bernama

Gading Kencana mahu bina ladang solar di Kedah


Content Type:

Duration:

Nokia, peneraju teknologi merentasi rangkaian mudah alih, tetap dan awan kekal komited untuk menyokong perusahaan di Malaysia dalam perjalanan transformasi digital mereka dan memajukan pelan hala tuju Industri 4.0 negara sepanjang 2023.

Pengarah Urusan Nokia Malaysia, Sri Lanka dan Maldives, Datuk Mohd Rauf Nasir, berkata Malaysia adalah pasaran yang sangat penting kepada Nokia, dan kumpulan itu akan terus menumpukan usaha untuk membantu penyedia perkhidmatan komunikasi (CSP) dan perusahaan sepanjang perjalanan transformasi 5G dan Industri 4.0.

Beliau menekankan bahawa Wawasan Teknologi Nokia 2030 telah menggariskan peluang dalam industri telekomunikasi rantau ini, berpusat di sekitar pengguna, perusahaan dan ‘metaverse’ dalam industri.

“Walaupun visi ini untuk masa hadapan, kami percaya bahawa dunia kita akan berubah secara drastik dengan garis antara dunia digital dan fizikal tidak banyak perbezaan, serta kecerdasan akan terselit dalam semua aspek kehidupan.

“Kami akan terus menyokong pelanggan perusahaan kami dengan menghubungkan mereka kepada jalur lebar, aplikasi dan penyelesaian misi penting diperlukan untuk membawa ketersambungan atas permintaan, komunikasi dan perkhidmatan awan ke mana-mana tapak perusahaan,” katanya kepada Bernama dalam temubual eksklusif, baru-baru ini.

Menurut Mohd Rauf, Nokia juga akan menggunakan strategi yang sama di seluruh Asia Tenggara kerana ia bekerjasama rapat dengan rakan kongsi dan perusahaan di rantau ini.

Beliau berkata, terdapat banyak peluang menarik untuk pendigitalan di Asia Tenggara, khususnya dalam industri seperti kilang masa depan, tenaga, pelabuhan, dan pembuatan pintar.

“Memanfaatkan kedudukan kukuh kami dalam 5G, rangkaian wayarles persendirian gred industri, infrastruktur rangkaian dan penyelesaian teknologi perusahaan, Nokia akan terus bekerjasama dengan CSP, rakan kongsi dan pelanggan perusahaan untuk membina ekosistem yang menyokong penggunaan industri 5G dan Industri 4.0,” katanya.

Baru-baru ini, Nokia melancarkan logo baharunya yang bertujuan untuk mencipta pendekatan yang lebih dinamik kepada jenama itu, dan untuk menandakan anjakan dalam strategi dan fokus.

Melangkah ke hadapan, Mohd Rauf menyatakan bahawa Nokia mempunyai komitmen yang berterusan terhadap inovasi dan penyelesaiannya telah membolehkan pelanggan menggunakan teknologi transformatif dan inovatif yang membuka jalan ke era 6G dan ‘metaverse’.

“Dekad seterusnya akan menyaksikan evolusi ke arah 5G-Termaju dan 6G untuk mengupayakan jalur lebar yang jauh lebih tinggi dan kelajuan data yang sangat pantas, serta kependaman yang sangat rendah, membina platform untuk realiti yang benar-benar mengasyikkan yang dijanjikan oleh ‘metaverse’.

“5G-Termaju juga akan membuka peluang untuk pertumbuhan bahagian pasaran yang didorong oleh pemodenan, peluang baharu dan pertumbuhan perusahaan,” katanya.

Memandangkan dunia juga semakin terhubung dan peranan rangkaian dalam menyelesaikan cabaran global semakin berkembang, Nokia juga berhasrat untuk menjadi peneraju dalam penyelesaian kecekapan tenaga.

“Kami mempunyai sasaran iklim jangka panjang, dibahagikan kepada pelepasan Skop 1, 2, dan 3, dan telah mencipta pelan hala tuju penyahkarbonan keseluruhan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kecekapan kuasa,” katanya.

Sumber: Bernama

Nokia komited bantu syarikat Malaysia transformasi digital


Content Type:

Duration:

wpChatIcon