Berita MIDA Archives - Page 3 of 5 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia catat pelaburan diluluskan RM42.8 bilion

Malaysia telah menarik sejumlah RM42.8 bilion untuk pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, membabitkan 910 projek antara Januari dan Mac 2022.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pelaburan yang diluluskan dalam tempoh itu juga akan mewujudkan 24,906 pekerjaan baharu di Malaysia.

Beliau berkata, pelaburan langsung asing (FDI) kekal sebagai penyumbang utama, sebanyak 65 peratus atau RM27.8 bilion (AS$6.6 bilion) manakala pelaburan daripada sumber domestik menyumbang 35 peratus berjumlah RM15 bilion (AS$3.6 bilion).

Ini katanya menjadikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik kepada pelabur global dengan sektor pembuatan mengekalkan kedudukannya sebagai tonggak utama ekonomi bagi 2022 yang menjana kesan pengganda yang ketara kepada pertumbuhan negara.

Ketika ini juga katanya lebih 5,000 syarikat dari lebih 40 negara menjadikan Malaysia sebagai lokasi mereka untuk operasi pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan.

Katanya, Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan tinggi dan sektor dengan nilai tambah tinggi yang menawarkan peluang pekerjaan yang menarik kepada rakyat.

“Sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12, Malaysia telah memperoleh pelaburan baharu yang berada dalam kedudukan yang baik dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) serta prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) negara.

“Ini akan menjadikan kita berada dalam kedudukan yang baik untuk meraih lebih banyak peluang ekonomi.

“Kami berharap untuk menyaksikan pertumbuhan yang lebih ketara pada suku kedua 2022,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini.

Sektor pembuatan terus memainkan peranan penting dalam memacu pemulihan ekonomi negara dalam tempoh tersebut, menyumbang lebih daripada separuh (70.1 peratus) daripada jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM30 bilion diikuti sektor perkhidmatan sebanyak RM12.7 bilion (29.7 peratus) dan sektor utama sebanyak RM100 juta (0.2 peratus).

Daripada jumlah FDI yang diluluskan, Jerman mendominasi dengan pelaburan berjumlah RM8.9 bilion (32 peratus) diikuti Brunei sebanyak RM5.1 bilion (18.3 peratus), Amerika Syarikat (RM3.9 bilion atau 14 peratus), Hong Kong (RM3.3 bilion atau 11.9 peratus) dan Jepun sebanyak RM3.2 bilion (11.5 peratus).

Bagi projek yang diluluskan mengikut negeri, lima negeri utama, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Sabah dan Johor menyumbang RM31.8 bilion (74.3 peratus) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan pada tempoh itu.

Sumber: Berita Harian

Malaysia catat pelaburan diluluskan RM42.8 bilion


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus memberi khidmat fasilitasi kepada pihak industri dalam merealisasikan pelaburan mampan dan inklusif yang akan mewujudkan rantaian industri baharu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Arham Abdul Rahman berkata di Malaysia, industri pulpa dan kertas sedang memacu ke arah penggunaan tandan buah kosong daripada kelapa sawit kerana ia menyediakan bahan mentah yang banyak untuk pengeluaran pulpa dan kertas.

“Dalam tempoh lima tahun yang lepas pada tahun 2017 hingga 2021, MIDA telah meluluskan 48 projek berkaitan biojisim dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.24 bilion,” katanya dalam satu kenyataan susulan majlis pecah tanah kilang Fasa 1B di Green Technology Park (GTP) Pekan, Pahang oleh Nextgreen Global Berhad (NGGB) hari ini.

Arham berkata perkhidmatan seperti ini akan mewujudkan limpahan yang positif serta pekerjaan bernilai tinggi selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

“MIDA berharap lebih ramai lagi pemain industri akan turut serta menghasilkan produk berasaskan bio yang bernilai lebih tinggi selain daripada mengeksport bahan mentah sahaja.

“Perkara ini dilihat sebagai salah satu jalan penyelesaian dalam menangani isu perubahan iklim dan juga menggalakkan pembangunan dan aktiviti sosio-ekonomi luar bandar,” katanya.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menyempurnakan majlis tersebut berkata kerajaan negeri berharap dengan adanya pelaburan daripada NGGB itu akan dapat menarik lebih banyak pelabur ke arah projek berteraskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi pembangunan negeri Pahang yang mampan.

“Melalui pelaburan ini, kerajaan negeri berharap dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan seterusnya meningkatkan ekonomi individu dan ekonomi negeri.” katanya.

Sumber: Bernama

MIDA terus bantu realisasikan pelaburan mampan untuk wujudkan rantaian industri baharu


Content Type:

Duration:

Syarikat Malaysia perlu merebut peluang untuk melabur semula di negara ini dengan memanfaatkan elaun pelaburan semula tambahan (RA) yang ditawarkan bagi tahun taksiran 2020-2024.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi Penggalakan dan Pemudahan Pelaburan Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata inisiatif Elaun Pelaburan Semula tambahan itu diumumkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana). 

Elaun Pelaburan Semula merupakan insentif untuk menggalakkan syarikat melabur semula dan mengembangkan perniagaan mereka. 

Syarikat tempatan yang beroperasi tidak kurang daripada 36 bulan yang memerlukan perbelanjaan modal untuk mengembang, memoden, mengautomasi atau mempelbagaikan perniagaan pembuatan sedia adanya atau projek pertanian yang diluluskan layak untuk memohon Elaun Pelaburan Semula. 

Elaun itu diberikan bagi tempoh 15 tahun bermula daripada tahun pertama tuntutan, berdasarkan kepada 60 peratus daripada perbelanjaan modal yang ditanggung bagi projek yang layak.

Bercakap semasa forum bertajuk ‘How to Revive Domestic Direct Investment?’ (Bagaimana Untuk Memulihkan Pelaburan Langsung Domestik?) anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Sivasuriyamoorthy berkata berlaku salah faham dalam kalangan syarikat yang beranggapan bahawa kerajaan terlalu menumpu dan memberi insentif kepada pelabur asing berbanding pemain tempatan. 

Beliau menjelaskan bahawa pemain domestik menikmati lebih banyak insentif pelaburan berbanding pelabur asing dan pelaburan domestik merupakan penyumbang utama kepada pelaburan diluluskan dalam ekonomi negara. 

Menurutnya, dari tempoh 2012 hingga 2021, pelaburan domestik diluluskan menyumbang RM1.3 trilion atau 64 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.

Sivasuriyamoorthy berkata semasa tempoh itu, Pelaburan Langsung Domestik (DDI) menyumbang 84.2 peratus atau kira-kira RM1.01 trilion kepada sektor perkhidmatan, manakala Pelaburan Langsung Asing (FDI) sebanyak 15.8 peratus atau RM190.4 bilion.

Manakala pelaburan dalam sektor pembuatan dikuasai oleh FDI sebanyak 64.5 peratus atau RM527.6 bilion, manakala DDI sebanyak 35.5 peratus atau RM290.8 billion.

“Kita sedar bahawa banyak lagi yang perlu kita lakukan dalam bahagian ini, kita perlu menarik lebih banyak syarikat Malaysia untuk melabur dalam sektor pembuatan. 

“Dalam sektor perkhidmatan, banyak pelaburan disalurkan ke aktiviti hartanah dan perkhidmatan lain,” katanya.

Beliau berkata MIDA juga memohon dana tambahan bagi Geran Automasi Pintar, Elaun Modal Automasi (Automation CA) dan Dana Intervensi Industry4WRD diperuntukkan kepada syarikat tempatan.

Sumber: Bernama

MIDA gesa syarikat tempatan manfaatkan elaun pelaburan semula tambahan untuk melabur semula


Content Type:

Duration:

Malaysia perlu memanfaatkan bioekonomi berlingkar susulan “limpahan bahan mentahnya” mencapai 100 juta tan biomas, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Biomas yang berperanan sebagai sumber pemacu bioekonomi berlingkar – konsep di mana penggantungan berhubung penggunaan “modal” sumber alam semula jadi boleh diperbaharui untuk sistem pengurusan tanah, makanan, kesihatan, biodiversiti dan industri. Komponen asasnya diperoleh daripada sumber biologi boleh diperbaharui.

Ketua Pegawai Eksekutif Mida, Arham Abdul Rahman berkata, susulan banyak sumber kini semakin berkurangan, kemampuan mengoptimum dan memaksimumkan penggunaan sumber biomas bukan sahaja mewujudkan lingkaran dalam bioekonomi, malah memberi sumbangan besar kepada keseluruhan agenda lingkaran ekonomi di negara ini.

Katanya, walaupun lingkaran terbabit disandarkan kepada aspek persekitaran dan tindakan menangani iklim, pelaksanaan projek berkenaan mestilah bertonggakkan kepada tadbir urus alam sekitar dan sosial (ESG), selain kebolehlaksanaan ekonomi untuk benar-benar mampan bagi tempoh panjang.

“Ada dalam kalangan kita sendiri melihat kepada negara lain dalam membangunkan penyelesaian iklim, dengan tanpa disedari, negara lain juga melihat Malaysia sebagai destinasi baharu bagi biosumber dan lokasi meningkatkan kemampuan hadapan bioteknologi,” katanya selain menambah bahawa Malaysia menarik perhatian beberapa syarikat berasaskan bio terkemuka dari seluruh dunia.

Susulan syarikat gergasi minyak dan gas secara agresif melaksanakan peralihan tenaga, Malaysia perlu meletakkan kedudukannya sebagai destinasi berasaskan peralihan tenaga.

Malaysia mempunyai potensi menjadi pembekal terbesar hidrogen mesra alam dan bahan bakar bio lain seperti “sustainable aviation fuel” dengan memanfaatkan sumber biomas mampan.

Walaupun Malaysia mempunyai batu asas untuk berjaya, adalah penting negara ini menukar sumber tersedia kepada bahan mentah sebenar, selain mewujudkan ekosistem kondusif bagi industri berkembang maju.

Bahan mentah biomas di negara ini perlu menangani isu seperti pensijilan dan ketelusan sejajar kedudukannya bagi menguasai peluang perniagaan berpotensi dalam industri baharu ini.

Malaysia sebenarnya boleh berbangga dengan kegiatan pertanian yang menghasilkan biomas mampan dan produk sampingan lain. Negara ini juga adalah antara pengeluar utama bahan bakar fosil daripada produk plastik dan pada 2020, jualannya mencapai RM48.46 bilion dengan eksport RM13.3 bilion.

Arham berkata, Malaysia kini menumpukan kepada langkah mengeluarkan produk berasaskan bio bernilai tinggi, berbanding sekadar mengeksport bahan mentah asli atau bahan lain sejajar Aspirasi Pelaburan Kebangsaan (NIA).

“Justeru dengan menekankan penggunaan lingkaran itu akan membantu rombakan semula operasi dilaksanakan serta meningkatkan daya saing bagi rantaian nilai tempatan, selain memastikan ekonomi kalis masa hadapan,” katanya.

Mengambil kira pasaran semasa, beralih kepada lingkaran menjadi satu-satunya pilihan terbaik untuk bergerak ke hadapan dalam perniagaan.

Katanya, Mida terbuka untuk bekerjasama dengan rakan kongsi bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan seterusnya bagi memanfaatkan peluang berkenaan.

Ketika ini, Mida menyelia projek Pelabuhan BioHub, di Sarawak, bersama dengan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC), Bintulu Port Holdings dan Port of Rotterdam, iaitu pelabuhan terbesar Eropah dan rakan konsortium lain.

Projek terbabit bertujuan membina pelabuhan laut integrasi dan komplex industri simbiosis berasaskan bio sepenuhnya, di Bintulu.

Projek itu, yang diumumkan pada penghujung 2020, kini pada peringkat perincian perancangan induk. Ia bukan sahaja mensasarkan untuk menjadi projek nukleus di rantau ini bagi pelaburan integrasi berasaskan bio, malah menjadi pemboleh kepada industri sedia ada di negeri itu memacu peralihan sasaran tenaga dan tindakan iklim dengan memanfaatkan sumber dan infrastruktur beriringan.

Selain demi manfaat ekonomi, Arham berkata, lingkaran dan bioekonomi canggih juga sejajar dengan penjagaan alam sekitar.

Ia penting dalam menangani isu pengurusan sisa, serta selaras dengan permintaan produk yang lebih mesra alam.

“Bioekonomi lingkaran adalah bidang yang patut diteliti dalam menangani isu berkenaan. Ekonomi berasaskan bio menjadi penyelesaian tuntas bagi mengatasi masalah didepani dunia menerusi perubahan iklim dan membantu pembangunan luar bandar.”

Source: Free Malaysia Today

Tiba masa manfaat bioekonomi lingkaran, kata MIDA


Content Type:

Duration:

Peserta global dipelawa untuk mempelbagaikan kegiatan mereka dengan menceburi aktiviti nilai tambah dalam industri pertanian dan pemprosesan makanan di Malaysia, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata dengan memanfaatkan ekosistem perniagaan Malaysia dan rantaian bekalan tempatan yang kukuh, negara ini berfungsi sebagai destinasi ideal untuk syarikat mewujudkan hab pengeluaran serantau.

Pada masa sama, ia membolehkan negara ini memperkukuh pengeluaran makanan berasaskan pertanian, katanya dalam kenyataan bersama MIDA, Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corp) dan Enza Zaden pada Khamis.

Beliau berkata demikian susulan penyiapan kemudahan infrastruktur penyelidikan dan pembangunan (R&D) milik syarikat pembenihan sayuran terkemuka Netherlands, Enza Zaden, yang pertama di Asia Tenggara.

Kemudahan itu dinamakan Enza Zaden Asia R&D Sdn Bhd yang terletak di Sauk, Perak.

“Pusat R&D Enza Zaden menyumbang secara signifikan kepada aspirasi Malaysia untuk melaksanakan pertanian pintar melalui penggunaan teknologi pertanian dan bahan mentah mampan seiring dengan rangka kerja kebangsaan bagi jaminan makanan selain inisiatif global untuk protein berasaskan tumbuhan, ke arah mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.

Beliau berkata peluang yang semakin berkembang dalam pembuatan produk makanan bernilai tinggi akan memudahkan bakat Malaysia meraih pengetahuan berkaitan proses dan pembangunan produk baharu, selain mengembangkan lagi eksport produk makanan buatan Malaysia.

Menurut MIDA, pencapaian itu memperluas rangkaian Enza Zaden dalam penyelidikan benih sayuran dan pembangunan pertanian menerusi 45 anak syarikat dan tiga usaha sama di 25 negara.

Kemudahan R&D yang berpangkalan di Malaysia itu bersedia untuk memenuhi pasaran benih pertanian di 12 negara di rantau ini dan di luar Asia Tenggara, akhirnya membolehkan petani di seluruh dunia menanam sayuran berkualiti tinggi bagi kegunaan harian lebih 450 juta orang pemakan sayuran yang ditanam daripada benih Enza Zaden di peringkat global.

Pada 2016, Enza Zaden diberikan Status BioNexus oleh Bioeconomy Corp, agensi pembangunan ekonomi di bawah penyeliaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI), yang menyediakan sokongan dan pemudahan untuk memacu industri berasaskan bio dan bioteknologi di negara ini.

Sementara itu, CEO Bioeconomy Corp, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata pihaknya yakin syarikat itu boleh membangunkan varieti benih inovatif yang sesuai untuk iklim tropika dan keadaan tanah.

“Kami yakin hasil penyelidikan dari pusat R&D ini akan memberi manfaat dan meningkatkan tahap petani tempatan selain menyumbang kepada jaminan makanan negara.

“Kami akan terus menyokong syarikat ini dan mengharapkan kejayaan masa depan mereka dalam menambah nilai industri benih global,” katanya.

CEO Enza Zaden, Jaap Mazereeuw pula berkata pelaburan terbaru syarikat berkenaan di Sauk, dibangunkan berdasarkan persekitaran kerja lebih kondusif selain kemudahan pemprosesan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) benih serba canggih.

“Sejajar dengan inisiatif untuk berkhidmat kepada petani Asia Tenggara, kami turut mengambil maklum bahawa aspek penyelidikan dan pembenihan dalam persekitaran tempatan adalah penting bagi kemudahan sistem pertanian yang mampan.

“Malah, selepas analisis terperinci, pihak Lembaga Enza memutuskan untuk melabur di Malaysia dengan mewujudkan sebuah ladang R&D berkeluasan lebih daripada 20 hektar,” katanya.

Mazereeuw berkata pihaknya juga komited untuk memperkasakan lebih banyak pekebun kecil sayur-sayuran di serata rantau ini.

Pengarah Serantau Enza Zaden, Pankaj Malik berkata langkah membuka pejabat baharu dan dibarisi pasukan khusus bagi R&D dengan pengalaman dan pengetahuan tempatan juga dapat membantu dari segi mengenal pasti keperluan pekebun serta pasaran domestik.

“Ini membolehkan kami membangunkan jenis atau varieti benih berciri terbaik dan sesuai dengan keadaan (cuaca) tempatan,” katanya.

Dalam pada itu menurut MIDA, Enza Zaden telah membuat pelaburan lebih daripada RM100 juta di Malaysia selain bertindak mengambil khidmat lebih 100 penduduk tempatan untuk bekerja di kemudahan sedia ada.

Latihan teknikal syarikat itu juga dapat menyumbang kepada pembangunan kapasiti tenaga kerja pertanian Malaysia dan menyediakan mereka dengan kemahiran masa depan.

Malah, sejajar dengan komitmen mereka untuk menggalakkan pengetahuan teknikal dalam kalangan belia, Enza Zaden turut menyediakan peluang latihan industri untuk penuntut menerusi kerjasama yang dijalinkan dengan universiti-universiti tempatan.

Syarikat Netherlands tersebut juga menawarkan program penajaan pendidikan untuk kalangan penuntut yang dapat membantu mengembangkan lagi industri pertanian tempatan.

Sumber: Bernama

MIDA pelawa peserta global ceburi aktiviti nilai tambah pertanian di Malaysia


Content Type:

Duration:

Pusat sehenti (OSC) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang ditubuhkan pada 2 Oktober 2020 untuk memudahkan pergerakan pengembara perniagaan akan ditutup secara berperingkat berkuat kuasa 1 April 2022.

Ini susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini bahawa Malaysia, dalam peralihannya ke fasa endemik COVID-19, akan membuka semula sempadan negara bagi pengembara antarabangsa termasuk pengembara perniagaan berkuat kuasa 1 April.

MIDA dalam satu kenyataan hari ini berkata, ini adalah langkah ke hadapan yang positif memandangkan pengembara yang lengkap vaksin boleh memasuki Malaysia tanpa kelulusan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa Malaysia dan tidak perlu kuarantin wajib semasa ketibaan.

Berikutan penutupan platform OSC bagi pengembara perniagaan jangka pendek yang memasuki Malaysia, pelabur tidak lagi perlu memohon kebenaran masuk dan pengecualian mandatori kuarantin ke platform OSC menerusi portal Safe Travel (https://safetravel.mida.gov.my/).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman, berkata inisiatif yang diambil sebelum ini adalah maklum balas pantas kerajaan semasa tempoh mencabar di seluruh dunia bagi memastikan daya saing dan ketersediaan Malaysia sebagai destinasi pelaburan tidak terjejas dan negara terus terbuka untuk menerima perniagaan meskipun ketika berdepan darurat kesihatan.

“Sepanjang operasinya, OSC dan Pusat Pengembara Perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membantu sejumlah 3,223 syarikat yang diluluskan untuk pengembara perniagaan jangka pendek, dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM171.82 bilion,” katanya.

Menurut kenyataan itu, MIDA komited untuk bertindak responsif dalam melaksanakan inisiatif promosi pelaburan yang inovatif dan agresif sejajar dengan aspirasi pelaburan Malaysia ketika peralihan negara ke fasa endemik.

Sumber: Bernama

Pusat sehenti MIDA untuk pengembara perniagaan akan ditutup


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Bank Islam Bhd (Bank Islam) memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bagi menyediakan platform kewangan serta perkhidmatan perbankan menyeluruh untuk pelabur domestik dan asing sedia ada serta baharu di negara ini.

Usaha itu antara lainnya membolehkan pelabur perusahaan kecil dan sederhana (PKS) asing untuk melakukan usaha sama dan memperkukuh kehadiran dalam pasaran di Malaysia selain menyumbang kepada pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

“Kerjasama MIDA dan Bank Islam ini akan menyediakan platform kepada lebih 3,000 pelanggan PKS dalam portfolio kami bagi mendapatkan akses dan peluang diperlukan untuk mengembangkan tawaran mereka ke pasaran asing,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Mohd Muazzam Mohamed dalam satu kenyataan hari ini.

MoU terbabit telah dimeterai oleh Pengarah Bahagian Pelaburan Domestik MIDA  Sukri Abu Bakar dan Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan – Runcit  Bank Islam Mizan Masram.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata menerusi kerjasama itu, MIDA berharap untuk memanfaatkan peluang seumpamanya bagi menggalakkan pelbagai kemudahan pengumpulan dana.

“Ini bagi memperkasa dan membiayai aspek pertumbuhan komersial, idea serta perniagaan yang menguntungkan dan membolehkan usahawan dan pemilik perniagaan untuk mengumpulkan dana daripada pasaran awam dan swasta,” katanya.

Beliau juga menyifatkan PKS sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia dengan menyumbang lebih satu pertiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih empat juta pekerja di Malaysia.

Selain itu,  MoU berkenaan juga memaparkan komitmen berterusan MIDA dalam mendapatkan projek pelaburan berteknologi tinggi, bernilai tinggi serta inovatif daripada syarikat asing serta tempatan.

Kerjasama terbabit juga tepat pada masanya bagi menyalurkan sokongan kewangan sewajarnya kepada kalangan penggiat industri, terutama pelabur domestik untuk memperluas usaha kerajaan dalam memberi kemudahan pelaburan di Malaysia serta sejajar dengan kerangka Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

Sumber: Bernama

MIDA, Bank Islam meterai MoU bagi pembangunan ekosistem pelaburan domestik


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah mengenal pasti 352 projek pelaburan asing berprofil tinggi setakat akhir tahun lepas dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan termasuk syarikat tersenarai dalam Fortune 500 dengan gabungan nilai pelaburan berpotensi RM39.2 bilion.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata projek-projek itu akan mewujudkan lebih 19,000 pekerjaan baharu.

Beliau berkata pelaburan yang dicadangkan adalah dalam bidang seperti aeroangkasa, kenderaan elektrik, mesin dan peralatan, elektronik maju, tenaga boleh diperbaharui, farmaseutikal, peranti perubatan dan keselamatan makanan.

“Walaupun 2021 adalah tahun cabaran ekonomi yang unik, Malaysia kekal kukuh dalam asasnya sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini dan bersedia untuk memulihkan dan memajukan negara pasca-pandemik,” katanya pada Persidangan Media Tahunan MIDA (AMC) 2022, di sini hari ini.

“Melangkah ke hadapan dalam tahun baharu menuju ke arah pemulihan ekonomi disokong oleh pembaharuan dasar, pelaksanaan program vaksinasi berkesan dan pendigitalan yang dipercepatkan, kerajaan terus komited untuk mengutamakan keperluan rakyat dan perniagaan di Malaysia,” katanya.

Sebagai sebuah negara perdagangan, Azmin  berkata  Malaysia akan terus dipengaruhi oleh dinamika geopolitik, halangan ekonomi serta usaha  berterusan menangani pandemik dan pada masa yang sama beliau turut memberi amaran mengenai ketidaktentuan yang akan berlaku pada masa depan.

“Malaysia akan terus maju dengan dasar kukuh, ia akan meningkatkan lagi trajektori positif yang kita hadapi. Aspirasi Pelaburan Nasional bersedia akan menarik pelaburan berimpak tinggi dalam bidang pertumbuhan baharu,” katanya.

Pelan Induk Perindustrian Baharu 2022-2033 akan terus memacu industri tempatan untuk mempercepatkan usaha pendigitalan supaya negara dapat merealisasikan sepenuhnya faedah peralihan ke Industri 4.0, kata Azmin.

Sumber: Bernama

MIDA kenal pasti 352 projek pelaburan asing bernilai kira-kira RM39 bilion – Azmin


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mahu memberi peluang kepada perniagaan untuk belajar, menilai dan mempertimbangkan untuk mengumpul modal melalui pasaran awam dan swasta serta pilihan pembiayaan berasaskan pasaran seperti pendanaan awam ekuiti (ECF) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Agensi pelaburan itu mengiktiraf cabaran kewangan dihadapi oleh pemain industri domestik terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pertengahan (MTC) dalam melaksanakan rancangan pengembangan perniagaan mereka, kata Pengarah Bahagian Pelaburan Domestik MIDA, Sukri Abu Bakar.

“Platform penyelarasan pelaburan domestik MIDA atau DICP bertujuan untuk merapatkan perniagaan, teknologi dan keupayaan penyelidikan dengan pembiayaan modal yang diperoleh daripada pasaran awam dan swasta.

“Kami sentiasa bekerjasama dengan pengawal selia tempatan, penyedia teknologi dan institusi kewangan untuk memacu pertumbuhan perniagaan dengan memudahkan perkhidmatan sokongan perniagaan kepada PKS, ia penting kepada pelaburan langsung domestik kerana ia menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang ketara,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

MIDA melalui DICP dengan Bursa Malaysia dan Capital Markets Malaysia (CMM) yang di bawah kawal selia SC telah memulakan siri seminar mereka mengenai ‘Business Growth through the Malaysian Capital Market’. 

Seminar yang julung kali diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan dianjurkan bersama dengan Invest Negeri Sembilan dan ia mendapat penyertaan sebanyak 35 syarikat dari Negeri Sembilan serta Melaka.

MIDA merancang menganjurkan lebih banyak seminar di seluruh negara pada tahun 2022.

Pengarah Pasaran Sekuriti Bursa Malaysia, Azhar Mohd Zabidi berkata inisiatif itu adalah cara terbaik untuk meningkatkan kesedaran dan mewujudkan pemahaman yang lebih baik dalam kalangan PKS dan MTC di seluruh Malaysia untuk memanfaatkan pasaran modal Malaysia melalui pelbagai saluran termasuk tawaran awam permulaan (IPO).

“IPO bukan sahaja akan memudahkan penjanaan modal untuk membantu memenuhi strategi pertumbuhan serta membuka peluang baharu untuk syarikat pada peringkat pertumbuhan yang berbeza,” katanya.

Sumber: Bernama

MIDA, Bursa Malaysia dan CMM galakkan syarikat tempatan teroka pengumpulan dana alternatif


Content Type:

Duration:

Eclipse Automation Inc yang mempunyai 20 fasiliti di serata Kanada, Amerika Syarikat dan Eropah Tengah, buat pertama kalinya bertapak di Asia menerusi pembangunan kilang pengeluaran di Pulau Pinang.

Syarikat yang beribu pejabat di Ontario, Kanada, merupakan pembekal utama peralatan automasi pengeluaran bagi sains hayat, tenaga, pengangkutan, elektronik pengguna dan sektor industri, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Dalam kenyataannya,  MIDA berkata  majlis pecah tanah bagi pembangunan kemudahan di kawasan seluas 1.21  hektar itu telah diadakan di Batu Kawan, Pulau Pinang, hari ini.

Pembangunan tersebut yang menyediakan perkhidmatan untuk pelanggan utama di sekitar Asia Pasifik dan rantau lain, dijangka bermula pada suku pertama 2022 dengan operasi komersial disasarkan pada 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata kemudahan tersebut  dijangka mewujudkan kira-kira 150 pekerjaan baharu menjelang 2025 dengan 80 peratus pekerjanya berlatarbelakang bidang teknikal dan kejuruteraan.

Projek tersebut disifatkan sebagai bertepatan pada masanya dan penting kerana dapat menyumbang kepada ekonomi Malaysia dari segi pekerjaan berpendapatan tinggi di tengah-tengah persekitaran pandemik COVID-19.

“Ini akan terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi strategik bagi penggiat jentera dan kelengkapan (M&E) global dan mewujudkan kesan pengganda dalam ekonomi domestik dari segi memanfaatkan rantaian bekalan tempatan serta pemindahan teknologi,” katanya.

Lokasi Eclipse Automation Malaysia itu meliputi kawasan pengeluaran seluas 55,000 kaki persegi manakala ruang pejabat seluas 27,000 kaki persegi dan  akan menyokong keperluan pelanggan dalam sektor sains hayat dan industri lain di bawah kumpulan berkenaan.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Eclipse Automation Steve Mai berkata kemudahan di Pulau Pinang itu akan merangkumi pilihan kemudahan pembuatan dengan nilai tambah serta hebat untuk memberi sokongan terbaik ke atas program-program global, termasuk kemudahan pereplikaan dan platform model penyumberan luar.

“Kemudahan kami di Malaysia ini akan turut mengambil khidmat pasukan jurutera, pemasang dan pasukan sokongan lain yang berkelayakan bagi meningkatkan lagi kemampuan kami menawarkan penyelesaian berpandukan model perkhidmatan untuk memenuhi kepuasan pelanggan tanpa mengira lokasi geografi dan masa.

“Kami amat menghargai MIDA kerana menyokong kami sepanjang perjalanan ini. Malah, dasar Malaysia yang properniagaan, properdagangan dan mesra perniagaan juga berperanan penting dalam membantu kami membuat keputusan pelaburan ini,” katanya.

Pada tahun lepas, MIDA meluluskan sejumlah 49 projek M&E dengan nilai pelaburan RM1.3 bilion.

Daripada jumlah itu, 27 merupakan projek baharu dengan pelaburan bernilai RM753.7 juta (56.3 peratus) manakala baki 22 projek lain adalah projek yang diperluas atau dipelbagai dan bernilai RM584.4 juta (43.7 peratus, kata MIDA.

Sebahagian besar pelaburan yang diluluskan itu adalah daripada sumber asing sebanyak RM906.0 juta atau 67.7 peratus dan baki RM432.2 juta (32.3 peratus) daripada pelaburan langsung asing.

Menurut agensi itu, projek-projek yang diluluskan ini dijangka mewujudkan sebanyak 2,253 peluang pekerjaan baharu.

Sumber: Bernama

Eclipse Automation buka kemudahan pengeluaran di Pulau Pinang — MIDA


Content Type:

Duration:

Takrifan “Syarikat Kontrak Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan “Syarikat R&D” di bawah seksyen 2 Akta Penggalakan Pelaburan 1986 (PIA) telah dipinda bagi mendapatkan kelulusan sebagai berstatus syarikat R&D oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkuat kuasa pada 1 Jan, 2022.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), ini susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2021 di Dewan Rakyat pada 23 Dis, 2021, yang melibatkan beberapa pengumuman dalam Bajet 2022 serta pindaan berkaitan, termasuk PIA.

“Syarikat-syarikat dalam perniagaan menyediakan perkhidmatan R&D seperti syarikat kontrak R&D dan syarikat R&D yang berhasrat memohon insentif cukai R&D akan diberikan status R&D (tertakluk kepada kelulusan MITI) bagi tempoh lima tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MIDA menjelaskan, RUU Kewangan 2021 itu juga menyatakan bahawa syarikat-syarikat kontrak R&D dan syarikat-syarikat R&D sedia ada yang telah diberi kelulusan sebagai syarikat R&D sebelum 1 Jan, 2022, perlu memaklumkan MIDA dalam tempoh tangguh iaitu dari 1 Jan, 2022 hingga 30 Jun, 2022 bagi tujuan pertimbangan.

“Syarikat-syarikat yang mendapat kelulusan status itu boleh memohon bagi mendapatkan lanjutan MIDA. Bagaimanapun, kelulusan terbabit adalah tertakluk kepada pertimbangan MITI dan Kementerian Kewangan,” katanya.

Menurut agensi itu, sejajar dengan alasan berkenaan, syarikat-syarikat perlu mengemukakan dokumen sebagai bukti menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan R&D sebagaimana ditakrifkan di bawah PIA serta mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebelum ini dalam surat kelulusan masing-masing.

“Sebarang kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan syarikat-syarikat terbabit  kehilangan status sebagai syarikat diluluskan yang menepati takrifan atau definisi syarikat kontrak R&D dan syarikat R&D,” katanya.

Sumber: Bernama

Syarikat kontrak, syarikat R&D perlu dapat status kelulusan MITI mulai 1 Januari – MIDA


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Intel Malaysia menganugerahkan Kit Kecerdasan Buatan (AI) Intel kepada lima universiti tempatan dalam usaha memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk belia.

Kelima-lima universiti yang terpilih iaitu Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Tenaga Nasional serta Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik dianugerah kit ‘visi mesin berasaskan AI’ yang selaras dengan pertumbuhan teknologi baru muncul melalui penyediaan jalan kepada institusi pendidikan untuk melengkapkan bakat masa depan dengan kemahiran AI.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata MIDA berhasrat mencontohi kejayaan Program AI bagi Universiti (AI4U) untuk memulakan pelbagai kolaborasi antara akademik dengan industri, pembelajaran jarak jauh, memberikan akses merata untuk komuniti pelajar kepada ilmu dan pembangunan diri.

“Selain mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, kita bertanggungjawab mempersiap para inovator dan pemimpin teknologi muda kita yang bercita-cita tinggi kerana mereka adalah penting untuk pembinaan negara dalam era yang didorong oleh teknologi ini.

“Kami berharap pencapaian hari ini akan mencetuskan peluang baharu bagi mencontohi kerjasama serupa antara universiti terkemuka dengan sektor korporat dalam usaha meningkatkan pertumbuhan dalam aktiviti penyelidikan berkaitan AI dan inovasi produk komersial,” menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Arham berkata acara itu adalah kesinambungan program AI4U yang dilancarkan pada November tahun lepas bagi memudah cara pembinaan Makmal AI masing-masing dalam kalangan kesemua institusi ini untuk memupuk kemahiran berfikir pengkomputeran dalam kalangan pelajar pelbagai bidang pengajian.

Selain itu, Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata MPC gembira dapat bekerjasama dengan MIDA dan Intel Malaysia dalam program AI4U.

“Apabila teknologi berkembang, majikan mahukan siswazah yang memiliki kemahiran betbeza dan pendidikan tinggi perlu memberikan maklum balas yang sewajarnya,” katanya.

Sumber: Bernama

MIDA, MPC, Intel Malaysia kongsi inovasi baharu AI dengan institusi pendidikan


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melalui Platform Penyelarasan Pelaburan Domestiknya (DICP) telah membantu 10 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pertengahan (MTC) tempatan untuk mendapatkan dana bernilai lebih RM100 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata syarikat tempatan yang mendapat manfaat daripada platform itu terlibat dalam sektor makanan dan minuman, pembuatan dan teknologi kewangan.

“Kami telah mengadakan libat urus dengan lebih 175 syarikat dan kira-kira 20 syarikat dalam peringkat lanjutan dari segi memuktamadkan cadangan mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan kedai runcit D’Masking di sini hari ini.

Beliau berkata MIDA dan DICP telah berjaya membantu banyak PKS dan perniagaan tempatan termasuk pakar durian bersepadu pertama Malaysia, DSR Taiko Bhd (DSR) untuk meneruskan pelan perniagaan mereka dengan menyediakan hubungan yang hilang antara perniagaan, pembiayaan, teknologi dan keupayaan penyelidikan.

Setakat ini, sebanyak tujuh syarikat sedang melalui proses pembiayaan melalui ekuiti persendirian, modal teroka dan institusi perbankan; tiga syarikat sedang bersedia untuk tawaran awam permulaan dalam tempoh tiga tahun dan 10 syarikat dalam proses mengguna pakai teknologi.

Beliau berkata platform DICP antara inisiatif untuk menggalakkan lebih banyak pelaburan, terutamanya dalam pelaburan domestik.

MIDA telah bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan termasuk pengawal selia tempatan, syarikat penyedia teknologi, institusi kewangan serta firma penasihat ekuiti dan korporat untuk memudahkan syarikat tempatan mengembangkan perniagaan mereka; seterusnya, memacu lebih banyak pelaburan langsung domestik (DDI) di negara ini.

“DICP telah berjaya membantu banyak PKS dan perniagaan tempatan dalam melaksanakan pelan perniagaan mereka. Kami percaya dalam mewujudkan keterangkuman dan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kami akan terus mengalu-alukan lebih banyak kerjasama kerajaan-perniagaan untuk membantu pelanggan kami membina ekonomi negara.

“Sebagai rakan kongsi perniagaan yang dipercayai, selain membantu pelabur dan pemilik perniagaan mengembangkan operasi mereka, MIDA akan terus menjalankan peranannya untuk mendapatkan sumber dan tenaga kerja,” katanya dalam ucapannya.

Menyelaraskan tumpuannya dengan agenda Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), MIDA sedang giat mencari pelabur yang berpotensi untuk menjana sektor yang mempunyai keupayaan pertumbuhan dan menyesuaikannya dengan persekitaran perniagaan secara keseluruhannya.

Pada pelancaran itu, DSR turut bertukar perjanjian projek dengan SIRIM Tech Venture Sdn Bhd untuk membangunkan standard industri SIRIM mengenai Musang King melalui Sistem Penjejakan Bersepadu Musang King (MKITS) untuk meningkatkan kebolehkesanan produk.

Kerjasama itu dijangka menggalakkan pewujudan pekerjaan selain membangunkan kemahiran baharu dalam amalan terbaik pertanian.

“Sistem ini, yang dianggap sebagai pemacu perubahan, akan mengubah landskap industri perladangan durian. Aplikasi Internet of Things (IoT) dan Analisis Data Raya membolehkan kesinambungan perniagaan dan memberikan hasil yang lebih ketara.

“Melalui ini, industri makanan dan pertanian, antara tonggak utama sektor ekonomi kita, dapat terus beroperasi dengan lebih cekap untuk memenuhi keperluan pasaran yang semakin meningkat dan, lebih penting lagi, dalam tempoh ekonomi tidak menentu,” kata Arham.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DSR Datuk Ng Lian Poh berkata kumpulan turut memulakan pengembangan di peringkat antarabangsa dengan membawa durian Musang King tempatan ke peringkat global, bermula dengan 15 negara pada awal 2022.

Di bawah jenama D.Masking, DSR akan memasarkan durian itu ke negara-negara termasuk China, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, Singapura dan Afrika Selatan, melalui rangkaian Daily Fresh, melalui kerjasamanya dengan Daily Fresh Foods Group.

Sumber: Bernama

DICP: 10 firma tempatan peroleh dana RM100 juta – MIDA


Content Type:

Duration:

Pengeluar cip terbesar dunia, Intel Corporation, melalui anak syarikatnya, Intel Malaysia Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk meningkatkan pembangunan bakat dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) negara.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), berkata skop MoU itu akan merangkumi pembangunan modal insan untuk tenaga kerja masa hadapan, kerjasama penyelidikan dan pembangunan, pengembangan sumber tempatan, memacu penggunaan Industri 4.0 oleh pemain ekosistem E&E serta pelaksanaan Program Kesediaan Digital Intel.

“MoU ini adalah rangka kerja bagi memudahkan penyemaian ekosistem bakat teknologi yang akan berkembang maju dan akhirnya menyediakan tenaga kerja Malaysia untuk dunia digital serta kecerdasan buatan yang semakin meningkat,” kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.

MIDA adalah agensi di bawah kementerian itu.

MITI berkata, kerjasama strategik itu akan meneroka pembangunan program penyelidikan dan pembangunan bakat jangka panjang antara Intel serta institusi pengajian tinggi Malaysia yang terpilih dalam membina kumpulan bakat yang mampan dan berdaya saing.

“MoU ini juga bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui kerjasama akademik dan industri yang lebih besar dengan menyediakan graduan bagi memenuhi keperluan industri,” katanya.

Sebagai tanda kepada kerjasama terjalin itu, Intel dan MIDA akan terus berganding bahu dalam penyelidikan teknologi termasuk pembangunan terkini bagi menyokong pembangunan ekosistem E&E di Malaysia.

MITI berkata, penggunaan Industri 4.0 dalam bidang pembuatan pintar juga ditekankan dalam MoU selain daripada meningkatkan aktiviti pendigitalan melalui pelaksanaan Program Kesediaan Digital Intel bagi menyokong Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

“Selaras dengan aspirasi kerajaan Malaysia untuk mempersiapkan negara dan belia memasuki masa hadapan, kerjasama ini adalah tepat pada masanya dalam menyokong Rancangan Malaysia ke-12 untuk memajukan ekonomi digital dan memanfaatkan teknologi baru muncul.

“Perkongsian ini juga akan mengukuhkan lagi matlamat negara dalam menghidupkan semula agenda nasional bagi meningkatkan daya saing jangka panjang Malaysia seperti yang dirumuskan dalam Aspirasi Pelaburan Negara,” katanya.

MITI berkata, kerajaan akan meneruskan usaha untuk menggalakkan lebih banyak perkongsian awam-swasta yang menyediakan penyelesaian ketara dalam memenuhi keperluan industri, sambil meningkatkan kesan ekonomi melalui pemindahan teknologi serta kandungan pengetahuan, petunjuk eksport baharu dan kesan limpahan di seluruh industri.

Sumber: Bernama

Intel, MIDA meterai kerjasama tingkat pembangunan bakat


Content Type:

Duration:

Program Kecerdasan Buatan (AI) bagi Universiti (A14U) yang dilancarkan semasa pembentangan Bajet 2022 baru-baru ini untuk menambah baik kualiti pendidikan merupakan bukti komitmen berterusan Malaysia dalam merapatkan jurang antara keperluan industri dan bekalan tenaga kerja muda tempatan.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia  (MIDA) berkata program  AI4U itu merupakan satu inisiatif yang disasarkan  untuk memperkenalkan  “visi mesin berasaskan AI” kepada komuniti universiti.

“Sejajar dengan aspirasi kerajaan Malaysia mempersiapkan negara dan golongan belianya bagi masa depan, program itu menyokong Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk memajukan ekonomi digital, menormalkan pendigitalan bagi pembangunan inklusif, mempercepat penyelidikan, pembangunan dan inovasi serta memanfaatkan teknologi baru muncul,” katanya dalam satu kenyataan.

Program AI4U, yang dilancarkan secara maya semalam dianjurkan oleh MIDA secara kerjasama dengan Intel Malaysia dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Acara itu merupakan kesinambungan daripada program perintis Kecerdasan Buatan bagi PKS (AI4S) Intel yang dilancarkan pada Januari 2021.

Program AI4U itu dijangka memberi manfaat kepada graduan muda dan golongan kurang berkemampuan menerusi latihan tekninal dan pendidikan vokasional. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Promosi dan Pemudahan  MIDA Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata ia memberikan penekanan kepada kepentingan memupuk budaya minda AI dalam kalangan graduan universiti terutamanya mereka yang bukan dari latar belakang sains komputer.

“Saya yakin inisiatif ini yang dibangunkan  MIDA, Intel dan  MPC akan berfungsi sebagai pemangkin kepada universiti dan pusat pendidikan tempatan untuk melahirkan generasi baharu rakyat Malaysia yang celik AI dalam usaha menggerakkan negara ke arah mencapai Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0). 

“MIDA telah meningkatkan usahanya mempersiapkan tenaga kerja tempatan bagi pekerjaan masa depan, mengukuhkan kelebihan daya saing negara untuk menjadi destinasi pelaburan pilihan.

“Sebagai agensi penggalakan dan pembangunan pelaburan utama kerajaan, MIDA bekerjasama dengan institusi akademik, penggubal dasar dan pemain industri untuk melaksanakan inisiatif yang akan memacu kemahiran yang betul dan penggredan teknologi berterusan bagi tenaga kerja tempatan,” katanya.

Pengarah Urusan Intel Malaysia Aik Kean (AK) Chong berkata Intel akan menyokong program tersebut dengan meletakkan asas bagi pelaksanaan modul-modul ini termasuk melatih pensyarah.

“Program AI4U itu merupakan satu lagi inisiatif kerjasama antara Intel, MIDA dan MPC untuk mempersiapkan tenaga kerja masa depan kita bagi dunia AI, selepas pelancaran program AI4S dan AI bagi Belia (AI4Y).

“Ianya satu penghormatan untuk bekerjasama dengan MIDA dan MPC bagi menangani jurang AI di Malaysia dan menerusi program seperti AI4U, kami berharap dapat membawakan teknologi dan pengetahuan AI kepada semua pelajar tanpa mengambil kira pengkhususan mereka, sebagai sebahagian daripada keseluruhan matlamat kami untuk menyediakan kepada lebih ramai penduduk dengan kemahiran AI,” katanya.

Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata AI4U merupakan program susulan daripada kejayaan program AI4S.

“Sebagai rakan operasi projek AI4U  ini, MPC akan menguruskan seluruh proses latihan dengan sokongan teknikal daripada Intel,” katanya.

Majlis pelancaran maya itu turut disertai lima universiti awam dan swasta iaitu Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Tenaga Nasional dan Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik.

Sumber: Bernama

Program AI bagi universiti rapat jurang antara keperluan industri dan bekalan tenaga kerja – MIDA


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menggalakkan penggunaan teknologi dan amalan terbaik global dalam kalangan pemain industri pembinaan Malaysia bagi meningkatkan standard dan daya saing sektor berkenaan.

MoU itu, dengan komitmen perkongsian selama lima tahun untuk mengukuhkan Pelan Strategik Pembinaan 4.0, adalah selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Dasar Negara mengenai Industri 4.0 (Industry4WRD), kata MIDA dalam satu kenyataan hari ini.

“Kerjasama itu juga akan menyaksikan kedua-dua pihak mempertingkatkan bidang pembangunan dasar dan advokasi; penyelidikan dan pembangunan, latihan dan promosi Sistem Bangunan Berindustri (IBS); teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan Revolusi Pembinaan 4.0 (CR4.0); inisiatif hijau dan kualiti bahan binaan; serta promosi pelaburan dalam sektor berkaitan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata MoU itu akan memaksimumkan pengeluaran, meningkatkan pelaburan, menambah baik kualiti dan mengamalkan kemampanan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan.

“Industri digalakkan untuk mengusahakan amalan mampan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke arah meningkatkan daya saing Malaysia.

“Kami ada di sini untuk memberi nasihat mengenai insentif IBS, inisiatif hijau dan pematuhan bahan binaan, penyelidikan dan pembangunan, latihan dan usaha promosi,” katanya.

Dalam tempoh lima tahun lepas, MIDA telah meluluskan sejumlah 56 projek IBS untuk lesen pembuatan bernilai RM4.5 bilion dalam pelaburan dengan 4,521 peluang pekerjaan, termasuk jawatan mahir untuk jurutera, pengawal kualiti khusus dan juruteknik berkemahiran tinggi.

Sumber: Bernama

MIDA, CIDB meterai MoU untuk tingkatkan standard, daya saing sektor pembinaan


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyasarkan untuk memartabatkan industri batik Malaysia melalui penggunaan teknologi baharu dan pembangunan model perniagaan hijau.

Ini kerana kerajaan telah mengiktiraf kepentingan industri kotej sebagai warisan dan kebanggaan negara, manakala kepakaran tukang tempatan perlu dipelihara dan dipertingkatkan lagi, kata MIDA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas menyempurnakan Minggu Batik maya selama lima hari dari 25-29 Oktober 2021.

“Syarikat harus mengautomasikan dan memodenkan dalam bidaan mereka untuk mengurangkan kos keseluruhan dan meningkatkan kecekapan untuk bersaing dengan lebih baik, sambil mempelbagaikan operasi mereka ke pasaran baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Arham Abdul Rahman dalam ucapan alualuannya pada majlis tersebut.

Program yang bertemakan — Menggiatkan Semula Industri Batik Malaysia, dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Batik Malaysia, Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Persekutuan Fesyen, Tekstil dan Pakaian Malaysia, dan Kraftangan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lokman Hakim berkata industri batik mesti ditransformasikan melalui penggunaan amalan hijau untuk menonjol di peringkat global.

“Ini penting kerana ia selari dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang ditetapkan dalam pelbagai dasar kerajaan seperti Rancangan Malaysia Ke-12, Aspirasi Pelaburan Nasional dan Rangka Tindakan Perdagangan Nasional.

“Pereka batik mesti berusaha untuk menggabungkan kreativiti mereka dengan inovasi bagi memastikan batik Malaysia lebih mudah dipasarkan ke seluruh dunia.

Kemampanan termasuk penggunaan teknologi adalah cadangan nilai yang kukuh yang menarik minat khalayak antarabangsa,” katanya.

Acara ini menampilkan perintis usahawan batik yang mempamerkan produk dan identiti jenama mereka melalui Pameran Batik dan Lawatan Kilang Maya.

Sumber: Bernama

MIDA galak pengeluar batik mengautomasikan, memodenkan industri


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjalin kerjasama dengan Intel Malaysia untuk melaksanakan program bagi universiti tempatan terpilih untuk mempersiapkan tenaga kerja masa hadapan dalam kecerdasan buatan (AI) bagi kerjaya aras permulaan selain menjimatkan masa majikan dan sumber bagi latihan dan kemahiran AI asas.

Agensi itu berkata ini akan dipatenkan selepas program Kecerdasan Buatan bagi PKS (AI4S) yang dianjurkan hari ini bagi kali kedua bersama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia.

Program Dipertingkat A14S yang diadakan secara maya itu merupakan kesinambungan acara A14S pertama yang diadakan pada Januari tahun ini yang mana Intel Malaysia memberikan kit permulaan AI kepada 100 syarikat terpilih Malaysia.

“Program Dipertingkat A14S hari ini menyaksikan Intel Malaysia menyerahkan kad Field Programmable Gate Array (FPGA) kepada syarikat yang menyertainya, yang merupakan perkakas berkuasa yang akan membolehkah kit AI menjadi lima kali lebih berkuasa daripada kit sedia ada,” kata MIDA dalam satu kenyataan.

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang telah dikenal pasti ini, ketika ini sedang menjalani proses dan latihan pengupayaan teknologi komprehensif untuk memperkasakan mereka dalam melaksanakan projek perintis dalam persekitaran perniagaan atau operasi mereka untuk memulakan usaha AI atau Industri 4.0 mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Arham Abdul Rahman menggalakkan syarikat multinasional (MNC) lain untuk mencontohi Intel dalam memberi sumbangan kembali kepada ekosistem perindustrian negara dan meningkatkan keupayaan syarikat domestik manakala pada masa yang sama meningkatkan pengkadaran nilai MNC.

Beliau berkata ciri-ciri AI boleh membantu mengautomasikan tugas rutin, menambah keupayaan pekerja dan menyediakan masa untuk menumpukan kepada kerja tokokan nilai yang lebih tinggi.

“Jika automasi diterima pakai dengan meluas, AI berpotensi mewujudkan enam juta pekerjaan baharu menjelang 2030 di Malaysia dengan kemahiran baharu dan latihan tenaga kerja jangka panjang akan mendapat permintaan tinggi.

“Oleh itu penting bagi kerajaan untuk melakukan intervensi dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh syarikat tempatan untuk menerima guna AI, terutamanya dalam mendapatkan kepakaran yang tepat dan menangani keperluan pembiayaan,” katanya.

Sejajar dengan komitmen kerajaan, MIDA berharap ketua dan pemain industri dapat memanfaatkan pemudahan oleh kerajaan itu di bawah inisiatif Industry4WRD.

Sumber: Bernama

MIDA, Intel bekerjasama tingkat pengetahuan AI tenaga kerja masa depan


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Citibank Bhd (Citi Malaysia) menandatangani memorandum persefahaman (MOU) untuk menjalin kerjasama meluaskan platform kewangan dan penyediaan perkhidmatan perbankan menyeluruh oleh Citi Malaysia kepada pelabur baharu serta pelabur asing sedia ada di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman, berkata kerjasama itu adalah untuk merangsang persekitaran perniagaan yang aktif dalam fasa pemulihan ekonomi ketika ini.

Beliau berkata, selari dengan perubahan landskap perniagaan global, Malaysia mengambil inisiatif berani dan berimpak untuk menggalakkan pelabur sedia ada serta pelabur baharu dan pemain industri untuk membuat pelaburan baharu di Malaysia.

“MOU dengan Citi Malaysia menandakan komitmen berterusan MIDA dalam mendapatkan projek berteknologi tinggi dan tokokan nilai tinggi mengikut kerangka Aspirasi Pelaburan Nasional serta matlamat Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) bagi memacukan lagi pertumbuhan ekonomi,” kata Arham dalam satu kenyataan hari ini.

Kerjasama itu juga akan meningkatkan usaha berterusan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini, tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Citi Malaysia, Usman Ahmed, berkata walaupun berdepan cabaran yang disebabkan oleh pandemik COVID-19, bank itu menyaksikan pertumbuhan aliran masuk yang ketara di koridor pelaburan utama ketika Malaysia terus unggul sebagai destinasi pelaburan yang penting dan kompetitif.

“Anak syarikat global dan perniagaan perbankan komersial kami menerajui usaha dalam memudahkan aliran ini dan kerjasama dengan MIDA ini akan membantu kedua-dua organisasi untuk saling melengkapi usaha masing-masing,” katanya.

Sumber: Bernama

MIDA, Citi bekerjasama sedia khidmat kewangan kepada pelabur


Content Type:

Duration:

SIRIM Tech Venture Sdn Bhd (STV), anak syarikat milik penuh SIRIM Bhd telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bertujuan memupuk kerjasama perniagaan jangka panjang dalam projek berasaskan teknologi.

Melalui MoU itu, STV berharap dapat memanfaatkan hubungan perniagaan MIDA bersama pelabur, syarikat besar tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana yang ingin meneroka inovasi sementara MIDA akan memudahkan petunjuk perniagaan kepada STV bagi projek yang berasaskan teknologi.

“Selain itu, MIDA juga akan memberikan nasihat kepada STV mengenai pembiayaan dan insentif kerajaan,” kata SIRIM dalam satu kenyataan pada Isnin.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, kerjasama ini akan memberikan MIDA akses langsung kepada penyelesaian teknologi yang terdapat di SIRIM untuk dimanfaatkan oleh industri serta pelaburan ke atas teknologi baharu dan masa depan melalui pelbagai pembiayaan untuk penggunaan produk atau teknologi bagi mencapai pertumbuhan yang dipacu dengan teknologi.

Beliau berkata, melalui MoU itu penggunaan teknologi yang boleh diterokai meliputi bidang Industri 4.0, pembuatan mesin dan peralatan dan tenaga boleh diperbaharui, peranti perubatan dan teknologi persekitaran.

Ahmad Sabirin berkata, STV mampu menyediakan khidmat nasihat dan bantuan teknikal kepada industri tempatan yang berpotensi dalam teknologi, mengesyorkan cadangan untuk penerapan teknologi SIRIM, penyelesaian inovatif atau penggunaan teknologi lain kepada kumpulan sasaran tertentu.

Sumber: Bernama

STV, MIDA perkukuh perniagaan jangka panjang


Content Type:

Duration:

Pelbagai pandangan dikongsi bersama dalam satu pertemuan diantara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Persekutuan Industri Sabah (FSI).

Pengarah MIDA Wong Tiang Sing berkata, pertemuan yang dilakukan pada Jumaat lepas mendapat sambutan baik daripada Presiden FSI Richard Lim serta para ahli majlisnya.

“Terdapat beberapa perkara yang dibincangkan dalam pertemuan ini, antaranya dasar pelaburan terkini, insentif cukai dan pelbagai kemudahan disediakan kerajaan dalam menggunapakai insentif automasi serta ‘Industry4wrd’ kepada ahli-ahli FSI.

“Selain itu, perkara mengenai kos pengangkutan dan bahan mentah yang tinggi juga dibincangkan, isu-isu banjir yang menjejaskan perniagaan serta banyak lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau juga meminta FSI untuk terus bekerja rapat dengan MIDA khususnya dalam perkongsian maklumat dan membantu pengusaha industri tempatan.

Katanya, FSI boleh menjadi ‘jambatan’ komunikasi diantara MIDA dengan para pemain industri di Sabah khususnya mereka yang belum berdaftar dengan MIDA.

Sementara itu, Richard menjelaskan pihaknya mengalu-alukan permintaan MIDA dan akan terus menyokong serta membantu dalam perkongsian maklumat kepada para pemain industri di Sabah.

“Kami akan berusaha untuk mendapatkan maklum balas daripada pemain industri kepada pihak MIDA khususnya mengenai perkara-perkara yang dibincangkan,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo

MIDA dan FSI bertemu berkongsikan pandangan


Content Type:

Duration:

Tiga universiti awam (UA) tempatan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk membantu graduan ijazah kejuruteraan masing-masing memperoleh peluang pekerjaan dengan syarikat asing.

Menerusi Program HyTalent Pusat Pembangunan Penilaian MIDA, UA yang berkolaborasi dengan lembaga itu ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman, berkata berdasarkan persefahaman itu, seramai 500 bakat tempatan daripada universiti terbabit akan dipadankan untuk menimba kemahiran serta pengalaman dalam syarikat asing selama setahun.

Beliau berkata, masa depan graduan yang menyertai program berkenaan ‘terjamin’ untuk memperoleh pekerjaan, sekali gus dapat membantu isu pengangguran.

“Bila bercakap mengenai peserta industri, kita bercakap terutamanya mengenai pelaburan terus asing (FDI) atau syarikat asing. Kita akan bawa mereka menyertai program ini. Mereka tahu apa jenis keperluan dan set kemahiran yang diperlukan untuk mengendalikan operasi.

“Saya yakin semua 500 pelajar akhirnya akan diambil bekerja oleh peserta industri yang menyertai program ini, sebab kami tahu apa keperluan industri kerana kami yang menarik pelaburan dan tahu jenis jurutera yang diperlukan, apa bentuk teknologi IoT (Internet Kebendaan) dan sebagainya.

“Dengan itu kami akan kenal pasti syarikat ini dan maklumkan kepada mereka. Saya yakin walaupun ini program perintis, selepas perbincangan panjang lebar dengan industri, teknologi dan institusi teknikal vokasional, kami percaya program ini akan berjaya, mereka (graduan) ini akan diambil bekerja,” katanya pada sidang media petang tadi.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani MoU Program HyTalent MADC dengan UKM, UTM dan UPM sambil disaksikan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Arham menjelaskan program yang dijangka bermula awal tahun depan itu akan menyediakan latihan selama enam bulan dari segi kepemimpinan dan enam bulan lagi, diletakkan untuk menimba pengalaman kerja dengan peserta industri.

Sekiranya program ini ‘berkesan’, beliau berkata, MIDA akan mempertimbang memperluaskan kerjasama dengan institusi pengajian lain termasuk swasta.

“Ini adalah program perintis. Kita mulakan dengan tiga universiti awam. Program ini bukan eksklusif tetapi terbuka kepada universiti lain.

“Selesai saja program ini, sudah semestinya kita akan buka kepada universiti lain sama ada universiti tempatan awam atau swasta. Kalau boleh nak rekrut lebih ramai (graduan),” katanya.

Sumber: Berita Harian

UA, MIDA meterai kerjasama bantu graduan kejuruteraan


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menerusi pusat sehentinya yang berusia setahun One Stop Centre (OSC) bagi Pengembara Perniagaan telah mempermudahkan 1,120 syarikat dan 2,822 pengembara perniagaan jangka pendek (STBT) dengan nilai pelaburan RM121.37 bilion.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata pusat itu yang ditubuhkan pada 2 Okt tahun lepas telah memudahkan proses permohonan kemasukan dan pergerakan pengembara perniagaan di Malaysia.

“OSC adalah pencetus perubahan bagi pelabur baharu untuk menjalankan aktiviti perniagaan baharu dan yang sedia ada bagi mengembang atau mempelbagaikan operasi sedia ada mereka,” katanya dalam ucapan pembukaan beliau pada satu webinar mengenai OSC bagi Pengembara Perniagaan.

Webinar yang berlangsung selama tiga hari itu bertujuan untuk mewujudkan kesedaran mengenai program OSC untuk memudahkan pergerakan STBT dengan mempercepat kelulusan kemasukan mereka ke Malaysia.

Menurutnya, MIDA terus mengalu-alukan pelabur untuk menjalankan perniagan di Malaysia di tengah-tengah pandemik dan Malaysia kekal berada di landasan pemulihan ekonomi dan pertumbuhan di samping mengimbangi antara melindungi kesihatan awam dan mata pencarian.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (bahagian tenaga kerja) Afidah Mastor berkata daripada 2,822 penilaian bagi STBT, 2,121 (75 peratus) telah diluluskan, manakala 580 (21 peratus) ditolak dan 121 (4 peratus) masih menunggu keputusan.

“Bagi pengembara perniagaan jangka panjang, MIDA telah menilai 18,659 pengembara dan 90.8 peratus tela diluluskan manakala 9.2 peratus ditolak,” katanya.

Afidah berkata enam negara utama yang memohon di bawah program tersebut ialah Jerman, jepun, Amerika Syarikat, Indonesia, China dan Korea Selatan.

Sumber: Bernama

Permudah kebenaran masuk pelaburan, syarikat asing


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan jaringan perniagaan swasta Perancis di luar negara, MEDEF International, untuk terus mendorong, mempromosikan dan memudahkan pelaburan dan kerjasama perniagaan yang berpotensi.

Pemeteraian di Paris itu disaksikan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam menekan kepentingan MoU itu, beliau berkara Perancis telah lama beroperasi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan Malaysia.

“Menyedari sinergi antara keupayaan inovatif Perancis dan saranan nilai Malaysia, kami yakin akan ada lebih ramai pelabur Perancis melabur terutama dalam bidang bernilai tinggi dan berteknologi tinggi seperti peralatan pengangkutan (aeroangkasa) serta jentera dan peralatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata pada masa yang sama, kerajaan berharap pelaburan ini dapat mengalakkan lebih banyak program pembangunan bakat untuk tenaga kerja kalis masa depan, berdasarkan Aspirasi Pelaburan Nasional negara dan Rancangan Malaysia ke-12.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman berkata kerjasama itu akan membolehkan lebih banyak perniagaan dan penyedia teknologi Malaysia mewujudkan jalinan dengan rantaian bekalan global dengan lebih baik.

“Kerajaan Malaysia, melalui MIDA, akan terus bekerjasama rapat dengan MEDEF International untuk meningkatkan dan merealisasikan lagi pelaburan Perancis di
Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

MIDA, MEDEF International meterai MOU galakkan pelaburan


Content Type:

Duration:

Perkembangan politik di Malaysia tidak memberi impak kepada pelaksanaan projek pelaburan yang sudah diluluskan, demikian menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman, berkata keadaan itu adalah disebabkan Malaysia secara konsisten menjadi negara yang properniagaan walaupun terdapat perubahan kepimpinan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

“Walaupun berlaku perubahan politik dalam pemerintahan kerajaan sebelum ini, namun dasar yang diguna pakai adalah tetap sama iaitu mesra perniagaan.

“MIDA akan terus berusaha dalam mewujudkan ekosistem untuk memelihara kelestarian perniagaan,” katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sama ada ketidaktentuan politik yang berlaku baru-baru ini akan menyebabkan pelabur menghenti atau menangguhkan pelaburan mereka.

Penganalisis sebelum ini menjangkakan pelabur mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ untuk membuat keputusan pelaburan susulan kemelut politik yang berlaku baru-baru ini.

Malah, menurut mereka peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang dijangka menjejaskan prestasi pemulihan ekonomi juga mendorong pelabur untuk menangguhkan keputusan untuk melabur buat masa ini, kecuali sektor yang mendapat permintaan tinggi.

Profesor Ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng, baru-baru ini berkata, kedua-dua perkara berkenaan dijangka mendorong sebahagian pelabur asing dan domestik, termasuk yang diluluskan MIDA, menangguhkan pelaksanaan strategi pelaburan masing-masing.

Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Arham berkata, MIDA komited untuk memastikan Malaysia terus diposisikan sebagai lokasi yang mesra pelabur untuk pertumbuhan jangka panjang bagi perniagaan asing dan domestik.

Katanya, secara keseluruhan, inisiatif fasilitasi pelaburan berterusan yang dijalankan adalah satu elemen penting bagi pelabur untuk terus melabur khususnya dari sudut memudahcara perniagaan serta mempercepatkan proses pelaksanaan projek.

“Bagi meningkatkan peranan MIDA untuk membantu pelabur, wakil kanan daripada agensi kerajaan utama ditempatkan di ibu pejabat MIDA di Kuala Lumpur untuk menasihati pelabur mengenai dasar dan prosedur kerajaan.

“Wakil ini terdiri daripada pegawai daripada Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia. MIDA juga disokong oleh Jabatan Alam Sekitar, Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Telekom Malaysia (TM),” katanya.

Beliau menambah, dalam masa sama MIDA menjalankan pelbagai inisiatif bagi menyediakan perkhidmatan untuk membantu pelabur serta memberikan fasilitasi berterusan.

“Selain itu, MIDA turut mengadakan sesi libat urus bagi memahami kehendak syarikat melaksanakan projek pelaburan yang diluluskan,” katanya.

Arham berkata, bagi tempoh Januari hingga Mac 2021, sebanyak 993 projek dengan keseluruhan jumlah pelaburan bernilai RM80.6 bilion telah diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi.

Katanya, daripada jumlah itu, pelaburan asing menyumbang melebihi separuh iaitu 68.1 peratus atau RM54.9 bilion, manakala pelaburan domestik menyumbang sebanyak 31.9 peratus atau RM25.7 bilion yang berpotensi mewujudkan 32,557 peluang pekerjaan baharu.

“Walaupun negara berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi global akibat daripada krisis pandemik COVID-19, sektor perkilangan kekal memainkan peranan penting dengan menyumbang lebih dua pertiga daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu 72.9 peratus atau RM58.8 bilion.

“Berdasarkan jumlah ini, 88.9 peratus atau RM52.3 bilion adalah pelaburan asing, manakala pelaburan domestik mencatatkan pelaburan sebanyak 11.1 peratus atau RM6.5 bilion.

“Jumlah pelaburan dalam sektor ini membabitkan 246 projek dan dijangka akan menjana sejumlah 26,689 peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Beliau berkata, bagi sektor perkhidmatan pula, jumlah pelaburan yang diluluskan adalah sebanyak 19.4 peratus atau RM15.6 bilion, meliputi 737 projek dan dijangka akan mewujudkan sejumlah 5,669 peluang pekerjaan.

“Pelaburan domestik mendominasi dengan jumlah pelaburan sebanyak 96 peratus atau RM15 bilion.

“Sektor utama menyumbang sebanyak 7.7 peratus atau RM6.2 bilion daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan bagi tempoh Januari hingga Mac 2021,” katanya. Sumber: Berita Harian

Projek pelaburan di Malaysia tidak terjejas


Content Type:

Duration:

wpChatIcon