B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Mamee kerjasama dengan MIDA teroka pasaran dunia

Syarikat makanan dan minuman, Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd terus meneroka dan mengembangkan pasarannya ke serata dunia hasil gandingan kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Pengurus Kanan Perhubungan Korporat Mamee Sharszany Shahry Abu Shahriman berkata kerjasama dengan badan agensi kerajaan itu antara lain dapat mengukuhkan lagi operasi harian syarikat berkenaan.

“Selama ini kerjasama kukuh antara kedua pihak telah membantu Mamee menjadi syarikat makanan dan minuman Malaysia bertaraf multinasional dengan eksport ke lebih 80 negara, termasuk Jordan, Australia, Thailand, Singapura, Indonesia, Myanmar dan Filipina,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, kerjasama itu juga diperluas dengan status ‘Principal Hub’ yang mendapat kelulusan MIDA baru-baru ini yang mewujudkan suatu bentuk transformasi untuk Mamee dari segi pengoperasian dan komersial.

“Secara operasi, Mamee berkeupayaan melabur dalam teknologi Revolusi Industri 4.0 dengan mengautomasikan kilang produksi untuk meningkatkan kadar kecekapan, selain mengilangkan lebih banyak produk berkualiti untuk pengguna serata dunia.

“Secara komersial pula, Principal Hub akan membantu Mamee menjadi ‘proposisi’ yang menarik untuk rakan niaga lain di serata dunia,” katanya.

Selain itu, Sharszany Shahry berkata kolaborasi itu juga membantu Mamee membina rangkaian jenama yang lebih kuat di peringkat global dengan terbaharu peluang pasaran ke benua Afrika selepas dijemput MIDA ke program bersama negara-negara Afrika baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Mamee sentiasa menerapkan penambahbaikan dalam operasi sehariannya dari segi pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) seperti digalakkan kerajaan.

“Ia termasuk menyediakan sistem penuaian air hujan dan teknologi panel solar untuk pematuhan alam sekitar serta menjaga kebajikan para pekerja dengan menyediakan persekitaran kerja kondusif dan makanan berkualiti.

“Bagi tadbir urus pula, meskipun Mamee merupakan perniagaan yang diuruskan oleh ahli keluarga serta merupakan perniagaan swasta, Mamee sentiasa menerapkan asas membina perniagaan ini berteraskan meritokrasi dan akauntabiliti,” katanya.

Sharszany Shahry berkata untuk pelan jangka panjang, Mamee kini melabur dalam rangkaian perniagaan permulaan (start-ups) bagi perkhidmatan perniagaan makanan dan minuman tertentu di bawah Mamee Ventures, antaranya The Good Crisps Company di Amerika Syarikat.

Katanya, Mamee juga mempunyai rangkaian kerjasama sedia ada dengan Hausboom di bawah naungan The Boom Bevlab, selain Daebak bersama Shinsegae Food Korea dan tidak lama lagi Better Baker untuk produk kek serta biskut.

Sumber: Bernama

Mamee kerjasama dengan MIDA teroka pasaran dunia


Content Type:

Duration:

Pelaburan langsung domestik (DDI) adalah sama pentingnya kepada ekonomi Malaysia seperti pelaburan langsung asing (FDI).

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman, berkata dalam 10 tahun lalu dari 2012 hingga 2021, FDI menyumbang 35.8 peratus atau RM761.7 bilion, manakala DDI menyumbang 64.2 peratus atau RM1.364 trilion dalam semua sektor ekonomi.

“Sektor perkhidmatan menyaksikan tahap tertinggi pelaburan diluluskan (RM1.2 trilion), diikuti sektor pembuatan (RM818.4 bilion) dan sektor primer (RM103.7 bilion).

“Kita mesti faham bahawa FDI hanyalah sebahagian daripada persamaan, manakala industri dan ekosistem domestik yang kukuh juga penting.

“FDI dan DDI saling melengkapi. Kedua-dua pelaburan itu adalah dari keadaan pasaran yang sama iaitu perniagaan yang kompetitif, saksama dan stabil.

“Permintaan domestik yang kukuh menghasilkan lebih banyak DDI. Justeru, DDI yang sihat adalah penting untuk FDI yang berjaya,” katanya dalam program ‘Anjakan Paradigma: Meningkatkan DDI Bagi Pertumbuhan Ekonomi Mampan’ anjuran MIDA di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Ambank Research, Dr Anthony Dass, berkata DDI dipertingkatkan bagi memastikan ia dapat menyumbang kepada ekonomi negara secara mampan.

Beliau berkata, Malaysia ketika ini mempunyai jumlah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang besar dan adalah penting supaya syarikat berkenaan diperkasakan.

Justeru, katanya bagi memastikan kelangsungan DDI, semua pihak harus memainkan peranan meningkatkan kapasiti PMKS.

“Kita perlu meningkatkan 10 peratus perusahaan mikro ke kecil dan 10 peratus kecil ke sederhana seterusnya 10 peratus sederhana ke besar.

“Tidak perlu menyasarkan jumlah yang besar, cukup dengan hanya 10 peratus sasaran peningkatan. Ini secara tidak langsung akan menjadi satu daya penarik kepada perusahaan PMKS lain untuk turut berganjak dari satu peringkat ke satu peringkat,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam program itu.

Das berkata, fokus juga harus diberikan kepada lonjakan pantas ke arah elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam kalangan PMKS tempatan memandangkan hampir 70 peratus syarikat luar yang menjalankan aktiviti perniagaan di Malaysia menggunakan elemen itu.

Katanya, jika PMKS terlewat untuk melaksanakannya, ia akan memberi satu kerugian seterusnya menjejaskan DDI.

Pengarah dan Ketua MIDF Research, Imran Yassin pula berkata menghidupkan semula DDI adalah penting bagi meningkatkan kapasiti produktif ekonomi, mempercepatkan kemajuan teknologi, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengembangkan eksport.

Beliau berkata, sebagai negara kesembilan yang meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), perniagaan akan mendapat manfaat selanjutnya menyumbang kepada pemulihan Malaysia.

Sumber: Berita Harian

DDI, FDI sama penting kepada ekonomi Malaysia


Content Type:

Duration:

Majlis Pemuliha Negara (MPN) menyifatkan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) merupakan kombinasi terbaik untuk memacu ekonomi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dilihat boleh mendapatkan bantuan MPC bagi meningkatkan produktiviti kerana PMKS merupakan komponen terbesar dalam ekonomi negara.

Katanya, PMKS merupaka 98% daripada kuasa ekonomi negara berbanding negara barat hanya sekitar 55% dan Malaysia seharusnya memberi tumpuan kepada mempertingkatkan kemahiran keusahawan selain memberi fokus kepada kedudukan kewangan mereka.

“MPC boleh bekerjasama dengan PMKS utuk tingkatkan produktiviti manakala MIDA menggalakkan pelaburan dan Matrade membantu mengembangkan pasaran ke luar negara, ini merupakan kombinasi terbaik untuk memacu ekonomi negara,” katanya pada sidang media khas, baru-baru ini.

Sulaiman mencadangkan agar satu kajian terperinci dilakukan bagi menjadikan PMKS sebagai syarikat ‘mid tier’ yang boleh memberi sokongan kepada syarikat multinasional.

Pada masa sama, kajian itu juga perlu melibatkan usaha utuk menjadikan mereka sebagai pemain industri global yang mampu memberi sumbangan lebih besar kepada negara.

“Kajian yang dibuat itu perlu dibuat secara terperinci, tengok apa bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada mereka.

“Kita boleh membuat kajian terhadap syarikat-syarikat kecil yang berjaya seperti di Taiwan, Korea Selatan dan Jepun, lihat bagaimana kita menaikkan taraf PMKS,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan moratorium khas kepada PMKS, Sulaiman berharap kerajaan yang bakal dibentuk nanti untuk melihat isu berkenaan kerana mereka merupakan komponen kritikal dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam padaitu, beliau berkata, MPN mengutamakan keselamatan makanan dalam memastikan sumber makanan penduduk di negara ini berada pada tahap optimum.

Katanya, tanah-tanah di bawah kerajaan negeri harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk menghasilkan bahan makanan sekali gus mengelak kebergantungan kepada bahan import dan mengurangkan kesan inflasi.

“Tahun 1970 kita ada rancangan Buku Hijau..apa program untuk bantu dan kalau boleh sekarang kita kena kurangkan import, pasal itu perkara ini saya nak respon cepat untuk mengatasi inflasi,” katanya.

Beliau berkata, setiap kerajaan negeri harus memanfaatkan hasil bumi kerana tanah di bawah tanggungjawab mereka.

“Mafi (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan), FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), MARDI (Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia) bagi benih dan baja kerajaan negeri kena memperuntukan tanah untuk pertanian hasilkan bahan-bahan makanan, tanam bahan yang kita banyak import.

“Bahan-bahan yang dikeluarkan juga mestilah lebih murah dari bahan import,” katanya.

Sumber: DagangNews.com

MPC, MIDA dan Matrade kombinasi terbaik
pacu ekonomi negara – MPN


Content Type:

Duration:

Meningkatkan pelaburan langsung domestik (DDI) adalah penting untuk pertumbuhan mampan Malaysia memandangkan sumbangannya yang besar kepada ekonomi negara, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Arham Abdul Rahman berkata DDI memainkan peranan penting dalam ekonomi tempatan, terutamanya dalam keadaan ketidaktentuan global, dan penting untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI).

Beliau seterusnya menambah bahawa FDI dan DDI saling melengkapi kerana keadaan pasaran yang sama – iklim perniagaan yang berdaya saing, saksama, stabil dan dikawal selia dan kedua-dua segmen berhak mendapat perhatian yang sama.

“FDI hanyalah sebahagian daripada persamaan dalam ekonomi – industri domestik dan ekosistem yang kukuh juga penting.

“Permintaan domestik yang kukuh menghasilkan lebih banyak DDI dan DDI yang sihat adalah penting untuk FDI yang berjaya,” katanya pada satu perbincangan panel bertajuk “Menganjak Paradigma: Meningkatkan DDI untuk Pertumbuhan Ekonomi Mampan” di sini hari ini.

Pada 2012-2021, DDI menyumbang 64.2 peratus, atau RM1.364 trilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam ekonomi Malaysia, manakala baki 35.8 peratus (RM761.7 bilion) adalah FDI.

Dalam sektor perkhidmatan, 84.2 peratus atau RM1.014 trilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan di negara ini dikuasai oleh DDI, manakala FDI berjumlah RM190.4 bilion.

Bagi pembuatan, 35.5 peratus atau RM290.8 bilion pelaburan yang diluluskan disumbangkan oleh DDI manakala bahagian yang lebih besar ialah FDI, berjumlah RM527.6 bilion.

Sumber: Bernama

MIDA: Pelaburan langsung domestik perlu ditingkat untuk kekalkan pertumbuhan ekonomi


Content Type:

Duration:

Malaysia masih lagi menjadi lokasi pilihan yang paling diingini di rantau ini untuk hab pusat data, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Wira Arham Abdul Rahman.

Disokong oleh sumber yang banyak, persekitaran yang menggalakkan dan infrastruktur digital yang maju, Malaysia telah berkembang menjadi pasaran yang matang untuk pusat data, kata beliau sempena pembukaan besar-besaran fasa pertama pusat data hiperskala Bridge Data Centres (BDC) di Sedenak, Johor semalam.

“Ini menunjukkan kesediaan negara untuk menjadi hab pusat data serantau,” katanya dalam satu kenyataan bersama oleh MIDA, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan BDC hari ini.

Arham berkata, pembukaan secara besar-besaran itu menandakan kejayaan Malaysia sebagai negara yang berdaya saing dalam menarik pelaburan pusat data.

Beliau berkata, MIDA melalui Pejabat Pelaburan Digital dan Unit Pemecut dan Penyelarasan Projek, sangat menyokong projek itu sejak di peringkat prapelaburan sehinggalah kepada fasa pelaksanaan.

“Kami sangat teruja dan berbesar hati kerana dipilih oleh BDC dan ByteDance System Sdn Bhd sebagai lokasi pilihan mereka untuk penubuhan pusat data hiperskala ini,” tambahnya.

ByteDance System akan menjadi penyewa utama pusat data hiperskala BDC bersama komitmen pelaburan jangka panjang mereka di negara ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, kemudahan baharu itu akan meningkatkan bukan sahaja kependaman dan kecekapan tetapi juga membantu menarik perniagaan dan pelaburan global lain ke negara ini.

Dengan pertumbuhan pesat penyedia perkhidmatan awan dan media digital, BDC mendapat sokongan penuh daripada Bain Capital yang berpangkalan di AS untuk mengembangkan perniagaan pusat data hiperskalanya di rantau Asia Tenggara.

Syarikat itu akan membina lagi pusat data 100 megawatt (MW) dalam tempoh lima tahun akan datang di seluruh Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Fasa pertama pusat data di Sedenak itu adalah yang pertama daripada tiga bangunan dalam projek pusat data hiperskala 110MW yang meliputi kawasan seluas 15.4 hektar.

BDC merupakan salah satu syarikat pusat data terbesar di rantau ini, menyediakan penyelesaian pusat data hiperskala dan borong.

Ia juga merupakan syarikat pertama berstatus Malaysia Digital yang menyiapkan pembinaan dan penyerahan pusat data hiperskala yang sedia digunakan pada 2022.

Sumber: Bernama

Malaysia jadi lokasi paling diingini untuk hab pusat data serantau — MIDA


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Halal Development Corporation Bhd (HDC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkasa aspek keupayaan, kapasiti industri dan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak terbabit berkata MoU yang membolehkan HDC memanfaatkan keseluruhan kemudahan MIDA, juga memaparkan komitmen berterusan agensi pelaburan negara itu dalam melaksanakan projek pelaburan berteknologi, nilai tambah serta inovasi tinggi di dalam serta luar negara.

“Kerjasama itu dilihat sebagai bertepatan bagi memberi sokongan kewangan yang memadai kepada penggiat industri, terutama pelabur domestik dalam mengembangkan lagi usaha kerajaan untuk kemudahan pelaburan di Malaysia.

“Malah, ini juga sejajar dengan rangka kerja Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi (CEO) Datuk Arham Abdul Rahman berkata MoU akan terus mengukuhkan lagi kejayaan kerjasama antara MIDA dan HDC selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat pembangunan ekosistem halal.

“Kerjasama ini menyasarkan skop kerjasama ekonomi lebih luas antara MIDA dan HDC. Kami telah mengembangkan rangkaian kami untuk meningkatkan lagi kemudahan pelaburan dan pada masa sama memberi peluang dalam perniagaan baharu dan inovatif serta bidang strategik yang merangkumi projek-projek bagi meningkatkan pelaburan, termasuk taman-taman halal selain penganjuran bersama acara berkaitan.

“Langkah mengutamakan pembangunan teknologi adalah penting, terutama ketika pasca-COVID-19 memandangkan peranan serta kewajaran pelaksanaannya selepas pandemik itu berlaku,” katanya.

Menurutnya, ini juga akan memberi manfaat kepada pelaksanaan teknologi dan peningkatan inovasi dalam industri halal yang menyaksikan banyak kejayaan Malaysia.

Sementara itu, CEO HDC Hairol Ariffein Sahari berkata setakat ini, taman halal Malaysia telah menarik pelaburan berjumlah RM16.28 bilion sejak 2011.

Beliau berkata, pelaburan langsung asing di taman-taman halal merekodkan peningkatan sebanyak RM95 juta atau 45.7 peratus pada 2021, sekali gus membuktikan bahawa industri halal tempatan masih terus berkembang walaupun mengharungi pelbagai cabaran.

Sumber: Bernama

MIDA, HDC meterai MoU bagi perkasa kapasiti industri halal


Content Type:

Duration:

Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) membuka pejabatnya di Istanbul bagi menyediakan peluang ekonomi baharu dan memacu pertumbuhan mantap dalam perdagangan dua hala di antara Malaysia dan Türkiye.

Pejabat MIDA di Istanbul akan berfungsi sebagai pintu masuk untuk pelabur Türkiye yang bercita-cita mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia dan sebaliknya, kata MIDA dalam satu kenyataan hari ini.

“Para pelabur akan dapat mengakses maklumat terkini mengenai dasar dan peluang pelaburan, perkongsian usaha sama atau kerjasama teknologi,” kata kenyataan itu.

MIDA berkata, banyak peluang perniagaan menanti pelabur Türkiye, terutamanya dalam industri mesin dan peralatan, aeroangkasa, teknologi maklumat dan komunikasi, teknologi digital, pembuatan makanan termasuklah segmen halal.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan pembukaan pejabat MIDA di Istanbul adalah paling tepat pada masanya untuk mengeksploitasi sepenuhnya potensi pelaburan Türkiye yang dipertingkatkan dalam pembuatan dan perkhidmatan termasuk pembuatan termaju, mesin dan peralatan, aeroangkasa dan pelaburan digital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata, selain membantu MIDA menarik peluang pelaburan baharu ke negara ini, Malaysia juga sedang mencari kerjasama baharu untuk berkembang secara bersama.

Pejabat baharu itu akan membantu meluaskan program jangkauan mereka dengan rakan dagangan Türkiye termasuk negara-negara seperti Rusia, Greece, Cyprus, Azerbaijan, Georgia dan tujuh negara “Stan” di Asia Tengah.

“Pelabur Türkiye yang berminat untuk mencari perkongsian usaha sama atau kerjasama teknologi dengan perniagaan Malaysia boleh mendapatkan maklumat di pejabat ini.” katanya.

MIDA berkata, bagi separuh pertama 2022 Malaysia menarik pelaburan yang diluluskan bernilai RM123.3 bilion (AS$28.0 bilion) dalam sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan melibatkan 1,714 projek. Projek tersebut mampu menjana kira-kira 57,771 peluang pekerjaan di negara ini.

Pelaburan langsung asing kekal sebagai penyumbang utama, yang mewakili 70.9 peratus atau RM87.4 bilion (AS$19.9 bilion), manakala pelaburan daripada sumber domestik menyumbang 29.1 peratus yang berjumlah RM35.9 bilion (AS$8.2 bilion).

“Dengan pejabat baharu MIDA di Istanbul, Türkiye sudah pasti akan menyumbang secara besar-besaran kepada pembangunan sosio-ekonomi dan membawa pertumbuhan baharu ke dalam landskap pelaburan Malaysia,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Gerbang masuk pelaburan Malaysia-Turkiye


Content Type:

Duration:

Kedah menerima 71 projek yang diluluskan dengan pelaburan berjumlah RM9.7 bilion dari Januari hingga Jun 2022, dengan RM8.9 bilion daripada sumber asing, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman, berkata projek-projek ini akan berperanan penting untuk mencipta lebih 3,209 peluang pekerjaan.

“Meskipun dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar, Kedah merupakan satu daripada lima negeri utama untuk pelaburan oleh komuniti perniagaan,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada program MIDA Invest Series: Unfolding States Business Potential (Kedah).

Arham berkata, Unit Pencepatan dan Penyelarasan Projek atau PACU@MIDA yang memudahkan pelaksanaan projek pelaburan di negeri ini dengan pantas, turut membantu Kedah menerusi sejumlah 277 projek pembuatan yang diluluskan sejak 2017 hingga Julai 2022.

“Sebanyak 188 projek (68 peratus) telah dilaksanakan, 68 projek (24 peratus) di peringkat perancangan aktif seperti perolehan tapak dan perbincangan/rundingan dengan pihak berkepentingan yang relevan dan 21 projek (lapan peratus) pula belum dilaksanakan,” katanya sambil menyatakan, setakat ini MIDA telah mempermudah dari segi pelaksanaan 1,600 projek.

Menurutnya, wilayah Utara Malaysia telah memacu pertumbuhan industri pembuatan sejak bertahun-tahun sebagai destinasi pilihan dalam aktiviti pembuatan semikonduktor luar pesisir serta hab serantau elektrik dan elektronik yang berkembang maju.

“Daripada Kedah Aerotropolis, sehinggalah ke pelbagai taman perindustrian, Kedah mempunyai potensi untuk tampil sebagai hab perindustrian global.

“Langkah untuk memperkenalkan Permit Pembinaan Ekspres yang dikenali sebagai E10 jelas memperlihatkan aspirasi Kedah untuk menjadi destinasi paling sesuai untuk pengembangan perniagaan global,” katanya.

Beliau berkata, Kedah telah menunjukkan kemajuan yang mengagumkan baru-baru ini, sekali gus membuktikan ia bukan sekadar sebagai negeri jelapang padi Malaysia.

Insiatif E10 mempercepat proses yang membolehkan pelabur untuk beroperasi dalam tempoh 10 bulan berbanding waktu purata 24 bulan.

“Malah, E10 mula dilaksanakan di Kedah khususnya oleh Majlis Perbandaran Kulim dan telah diperakui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) sebagai contoh amalan terbaik yang boleh dicontohi negeri lain dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Sementara itu, Arham berkata terdapat syarikat terkemuka yang memanfaatkan infrastruktur dan rangkaian perkhidmatan sokongan di Kedah yang kukuh dan berpengalaman.

Antara syarikat yang telah mempunyai operasi di Kedah adalah Intel, Risen Solar Technology, Infineon, First Solar dan Fuji Electric.

“Syarikat-syarikat ini menjanjikan banyak kerjasama dan peluang selanjutnya kepada perniagaan tempatan kita,” katanya.

Sumber: Bernama

Kedah terima pelaburan RM9.7 bilion dari Januari hingga Jun


Content Type:

Duration:

Program anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bersama kerajaan Kedah iaitu ‘MIDA Invest Series: Unfolding State’s Business Potential’ akan menjadi platform efektif untuk mempromosikan negeri ini sebagai lokasi mesra pelaburan.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Kedah Bhd, Muhamad Mahazi Ibrahim berkata beliau akan membuat pembentangan mengenai kemudahan yang disediakan kerajaan negeri termasuk kawasan strategik untuk pelabur dalam program yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 22 Sept, 2022.

“Kita ada perindustrian, pelancongan, pertanian…kita ada 20 lebih tapak industri contoh di Kulim, Sungai Petani, Bukit Selambau, Gurun, Bukit Kayu Hitam dan KRC (Kedah Rubber City).

“Esok saya cerita perkara ini kepada audiens yang terdiri daripada (pihak) kedutaan, dewan perniagaan, pemain industri. Mereka akan tahu apa yang Kedah akan tawarkan dan kita telah bersedia,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Rabu.

Mengenai pelaburan dalam sektor pelancongan, beliau berkata Kedah lebih fokus kepada pelancongan kesihatan dengan pelabur berpeluang melabur di negeri ini untuk membangunkan hospital swasta di Langkawi di samping melabur di Kulim yang menempatkan Taman Perindustrian Teknologi Tinggi.

Muhamad Mahazi berkata Kedah berusaha menjadi negeri mesra pelabur dengan cara memudahkan urusan pentadbiran contoh melibatkan tanah selain di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) pula wujud inisiatif Permit Pembinaan Ekspres atau E10 yang mempercepat proses membenarkan pelabur beroperasi dalam tempoh 10 bulan sahaja.

“Datanglah ke negeri Kedah, kita ada semuanya untuk ditawarkan kepada pelabur. Negeri yang mesra, kondusif, kos kehidupan murah, Kedah sendiri kawasan hijau, kita mahu mereka (pelabur) datang dan lihat kita punya kelebihan sawah padi,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Kedah, Datuk Wira Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata Kedah akan digambarkan sebagai negeri mesra pelaburan dalam program itu esok.

Ini berdasarkan rekod prestasi Kedah apabila mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM9.7 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini dalam sektor pembuatan, katanya.

“Kita akan menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelabur…bagi enam bulan pertama 2022, separuh tahun ini kita nombor satu dalam pelaburan ke dalam pembuatan. Sebenarnya yang banyak mewujudkan peluang pekerjaan adalah sektor pembuatan…kita amat yakin berada di landasan” katanya.

Sumber: Bernama

Kedah bentang tawaran kepada pelabur pada program ‘MIDA Invest Series’


Content Type:

Duration:

 Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) optimis dapat menarik pelaburan berimpak tinggi sejajar dengan usahanya mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai hab logistik pilihan di rantau Asia Pasifik.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan) MIDA, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata, perkara tersebut akan dicapai melalui kerjasamanya dengan syarikat logistik bersepadu, A.P. Moller-Maersk (Maersk).

Katanya, kehadiran syarikat logistik yang teguh di negara ini penting bagi memacu usaha MIDA dalam mewujudkan ekosistem yang baik bagi menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti ke Malaysia.

“MoU selama dua tahun tersebut dapat membawa masuk pelaburan antarabangsa ke negara ini melalui pendekatan penglibatan strategik dan nilai tambah untuk syarikat multinasional. Melalui kerjasama ini juga kami akan bekerjasama dengan Maersk bukan sahaja untuk membantu mereka berkembang di negara ini tetapi juga untuk menarik pelabur-pelabur baharu ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara MIDA dan Maersk di Ibu pejabat MIDA, Kuala Lumpur Sentral, baru-baru ini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Sivasuriyamoorthy yang mewakili MIDA manakala Maersk diwakili oleh Pengarah Urusan Maersk Thailand, Malaysia dan Singapura, Rupesh Jain.

Sementara itu, Sivasuriyamoorthy berkata, kerjasama dengan Maersk akan membawa lebih banyak pelaburan global yang disasarkan ke Malaysia melalui pendekatan penglibatan strategik dan nilai tambah kepada syarikat multinasional.

Menurutnya, pihaknya akan memanfaatkan keupayaan Maersk dalam logistik bersepadu bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik serantau di Asia Pasifik, seterusnya meningkatkan pembangunan infrastruktur dan perdagangan bebas.

“Syarikat multinasional biasanya akan melihat sama ada mereka dapat membawa keluar atau mengeksport produk mereka dengan mudah ketika memilih sesebuah negara untuk membuat pelaburan. Maersk sebagai pemain global dapat meyakinkan pelabur-pelabur antarabangsa untuk melabur di Malaysia,” ujarnya. 

Sumber: Utusan Malaysia

MIDA optimis tarik pelaburan berkualiti tinggi


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengumumkan pelantikan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai pengerusi berkuat kuasa 3 Sept, 2022.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, MIDA memainkan peranan yang penting dan memerlukan pendekatan yang kreatif, inovatif dan komprehensif serta perlu berdaya saing dan berdaya tahan bagi menarik pelaburan yang berkualiti dan berteknologi tinggi ke Malaysia.

“Pelantikan Sulaiman sememangnya akan memberikan perspektif baharu untuk menjadikan MIDA yang dinamik dan berkepakaran. Pengalaman luas beliau amat bernilai terutamanya dalam bidang perancangan ekonomi, model perniagaan yang strategik, dan analisis trend global,” kata MIDA dalam kenyataan hari ini.

Ini adalah kali kedua Sulaiman dilantik sebagai pengerusi. Pelantikan pertama beliau pada 2009 hingga 2012.

Sulaiman telah bertugas dengan cemerlang dalam perkhidmatan awam, pernah berkhidmat di pelbagai kementerian dan jabatan.

Beliau kini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pemulihan Negara, ahli lembaga pengarah di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

Beliau juga merupakan Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, dan ahli lembaga Perbadanan Insurance Deposit Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Sulaiman berkelulusan ijazah ekonomi di Universiti Malaya dan memiliki PhD di Maxwell School, Syracuse University, Amerika Syarikat.

“Beliau adalah peneraju pemikir dalam bidang dasar ekonomi, pembangunan dan kewangan awam serta dalam pelbagai subjek yang luas, Sulaiman selalu mengutarakan pandangannya melalui artikel dan kuliah di dalam dan luar negara,” tambah MIDA lagi.

Sumber: Bernama

Sulaiman Mahbob dilantik Pengerusi MIDA berkuat kuasa 3 Sept


Content Type:

Duration:

Malaysia telah menarik pelaburan yang diluluskan bernilai RM123.3 bilion (US$28.0 bilion) dalam sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan merangkumi 1,714 projek dari Januari hingga Jun 2022 termasuk membuka 57,771 peluang pekerjaan.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan hari ini berkata pelaburan langsung asing (FDI) kekal sebagai penyumbang utama iaitu pada 70.9 peratus atau RM87.4 bilion (US$19.9 bilion), manakala pelaburan daripada sumber domestik menyumbang 29.1 peratus berjumlah RM35.9 bilion (US$8.2 bilion).

Dalam tempoh ini, sektor perkhidmatan memainkan peranan penting dalam pemacuan pemulihan ekonomi negara, menyumbang 63.3 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan atau RM78.0 bilion (US$17.7 bilion) daripada 1,351 projek. 

Ia merekodkan kenaikan 48.8 peratus berbanding RM52.4 bilion (US$12.6 bilion) dalam nilai pelaburan bagi tempoh enam bulan pertama tahun sebelumnya.

Sebanyak 22,569 pekerjaan baharu dijangka diwujudkan dalam sektor perkhidmatan bagi 2022.

Sektor perkilangan mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM43.1 bilion (US$9.8 bilion), menyumbang 34.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan berbanding RM75.8 bilion (US$18.3 bilion) bagi tempoh Januari-Jun 2021. 

MIDA menjelaskan sebuah projek mega yang telah diluluskan menyumbang kepada jumlah pelaburan yang tinggi dalam sektor perkilangan pada tempoh 2021.

Daripada jumlah FDI yang diluluskan, China mendominasi pelaburan bernilai RM48.6 bilion (US$11 bilion), diikuti Jerman (RM9 bilion) (US$2 bilion), Singapura (RM6 bilion) (US$1.4 bilion), Brunei (RM5.1 bilion) (US$1.2 bilion) dan Belanda (RM4.1 bilion) (US$900 juta). 

Bagi projek yang diluluskan kerajaan, MIDA berkata lima negeri utama iaitu Johor, Selangor, Sabah, Kedah dan Pulau Pinang, menyumbang RM103.5 bilion (US$23.5 bilion) atau 83.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.

Menurut Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Malaysia berada di landasan yang betul untuk memperoleh lebih banyak projek berkualiti, berimpak tinggi serta berintensifkan modal, dengan perkhidmatan menjadi pemacu pertumbuhan utama ekonomi dan penyumbang terbesar pelaburan yang diluluskan bagi separuh pertama tahun ini.

“Dalam mengekalkan momentum ini, MITI akan terus mengukuhkan daya saing negara melalui pembangunan ekonomi yang kompleks, memupuk ekosistem perindustrian yang kukuh dengan intensiti inovasi, meningkatkan keterangkuman dengan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi termasuk mempromosikan peluang untuk mengambil bahagian dalam rantaian bekalan serantau dan global. 

“Dipacu oleh Aspirasi Pelaburan Nasional, kami akan mempergiatkan fokus kami ke arah sektor seperti ekonomi digital, elektrik dan elektronik, farmaseutikal, kimia serta aeroangkasa yang mempunyai potensi ekonomi yang signifikan dan pertumbuhan jangka panjang yang mampan,” katanya.

MIDA berkata kerajaan telah membariskan misi perdagangan serta pelaburan yang strategik dan fokus yang disasarkan bagi meraih pelaburan dalam industri berteknologi tinggi, inovasi serta penyelidikan yang akan melengkapkan dan mengukuhkan lagi ekosistem perindustrian Malaysia. 

Pelaburan asing merangkumi bahagian terbesar, mencatatkan RM50.4 bilion (US$11.5 bilion) atau 64.6 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk sektor perkhidmatan, manakala baki 35.4 peratus, atau RM27.6 bilion (US$6.3 bilion) adalah daripada sumber domestik.

Sumber: Bernama

Malaysia tarik pelaburan RM123.3 bilion dari Januari hingga Jun


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memberikan sokongannya kepada program rantaian bekalan Xinyi Energy Smart (Malaysia) Sdn Bhd, bahagian luar negara pertama pengeluar kaca bersepadu terkemuka China, Xinyi Glass Holdings Ltd.

Terletak di Taman Perindustrian Elkay di Jasin, Melaka, Xinyi Energy Smart merancang untuk mengembangkan pangkalan pembekalnya sebagai sebahagian daripada pelan untuk menjangkau pasaran tempatan, kata MIDA dalam satu kenyataan hari ini.

“Program rantaian bekalan ini bertujuan untuk mewujudkan ekosistem rantaian bekalan yang kondusif dengan bekerjasama dengan pembekal, vendor dan penyedia perkhidmatan tempatan,” kata MIDA.

MIDA telah memainkan peranan penting dalam membantu Xinyi menyediakan operasinya di sini menyokong program rantaian bekalannya kerana ia membuka peluang kepada pembekal tempatan untuk mengembangkan dan membangunkan perniagaan mereka.

“Ia seiring dengan program kemudahan rantaian bekalan yang dimulakan oleh kerajaan Malaysia yang ditugaskan kepada MIDA untuk membantu kedua-dua syarikat dalam dan luar negara memanfaatkan sepenuhnya operasi mereka di sini.”

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) MIDA Lim Bee Vian berkata program rantaian bekalan MIDA itu bertujuan untuk mewujudkan peluang bagi syarikat domestik, merapatkan jurang dalam rantaian bekalan, menyokong syarikat multinasional (MNC) dan syarikat liabiliti terhad (LLC) dalam penyumberan luar pembuatan mereka. aktiviti kepada syarikat domestik, serta membangunkan dan menaik taraf syarikat domestik.

“Ia seterusnya akan menggalakkan pertumbuhan pelaburan domestik dan menggalakkan penggunaan dan penyesuaian automasi dan Revolusi Perindustrian Keempat oleh MNC, LLC sera vendor mereka,” katanya.

 Lim berkata MIDA yakin program ini akan berjaya dalam merapatkan keperluan dan peluang antara Xinyi dan syarikat tempatan manakala Xinyi pula mahu membina hubungan dengan penyedia perkhidmatan iaitu perkhidmatan pengangkutan dan pengangkutan.

“MIDA mengalu-alukan pemain industri untuk meneroka sumber khusus kami, pelbagai kemudahan atau perkhidmatan perundingan untuk membantu pelabur mengembangkan operasi mereka di Malaysia. Xinyi setakat ini telah melabur kira-kira RM2.1 bilion di Malaysia dan mewujudkan lebih 1,900 peluang pekerjaan, ” katanya.

Sumber: Bernama

MIDA, Xinyi Energy Smart berkerjasama dalam program rantaian bekalan


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bekerjasama dengan AP Moller-Maersk (Maersk) bagi memacu pelaburan yang berkualiti tinggi ke Malaysia, menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan sektor rantaian bekalan dan melonjakkannya sebagai salah satu hab logistik dalam ASEAN.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan MIDA, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata, kedua-dua pihak akan bekerjasama menarik pelaburan yang berteknologi dan berimpak tinggi dalam sektor automotif, elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan, peranti perubatan, aeroangkasa, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi pengguna.

“Kerjasama dengan Maersk akan membawa lebih banyak pelaburan global yang disasarkan ke Malaysia menerusi pendekatan strategik dan penglibatan secara nilai tambah dengan syarikat-syarikat multinasional,” kata beliau di majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) MIDA-Maersk dan perkongsian strategik bagi mempromosikan pelaburan di Malaysia di sini hari ini.

Beliau juga berkata, dengan memanfaatkan kemampuan Maersk dalam logistik bersepadu, perkongsian strategik itu boleh mentransformasikan Malaysia menjadi hab logistik serantau di ASEAN, seterusnya meningkatkan pembangunan infrastruktur dan perdagangan bebas.

“Saya berharap dengan menggunakan sepenuhnya perkhidmatan yang disediakan, ia akan menarik lebih banyak syarikat pembuatan atau syarikat perdagangan, terutamanya syarikat-syarikat multinasional ke Malaysia,” katanya.

Beliau juga memberitahu MIDA telah membantu memudahkan status permohonan Perkhidmatan Logistik Bersepadu Antarabangsa (IILS) Maersk, yang mana hanya diberikan kepada syarikat logistik yang berkeupayaan menawarkan perkhidmatan logistik dari pintu ke pintu bersepadu di peringkat serantau atau global, sebagai satu entiti di sepanjang rantaian nilai. 

“Dengan status IILS yang diluluskan, Maersk kini akan diberikan lesen Ejen Penghantar Kargo dan Ejen Kastam oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan boleh melaksanakan aktiviti penghantaran barang dan kargo dengan sendiri,” katanya. 

Pada masa ini, Maersk memiliki tujuh gudang di Semenanjung Malaysia dengan kapasiti sehingga 68,000 meter persegi, serta lebih 300 kakitangan di 12 lokasi di seluruh negara.

Sivasuriyamoorthy berkata, industri logistik telah berkembang pesat di Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini di tengah-tengah pandemik COVID-19 dan ia dijangka mencecah US$55 bilion menjelang 2026 pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) melebihi empat peratus.

Sementara itu, Pengarah Urusan Maersk Thailand, Malaysia dan Singapura, Rupesh Jain berkata, kerjasama dengan MIDA akan membawa lebih banyak pelaburan global yang disasarkan ke Malaysia dan menyediakan penyelesaian rantaian bekalan bersepadu melalui penglibatan nilai tambah kepada syarikat multinasional, sambil memudahkan kemasukan pelaburan atau pengembangan mereka dalam negara.

Sumber: Bernama

MIDA, Maersk bergandingan pacu pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia


Content Type:

Duration:

Terengganu merekodkan pelaburan berjumlah RM2.3 bilion dengan 29 projek pembuatan diluluskan dari 2017 hingga Jun 2022, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sivasuriyamoorthy Sundara Raja. 

Beliau berkata lebih separuh daripada pelaburan ini adalah daripada sumber asing, yang merekodkan sejumlah RM1.27 bilion. 

“Projek ini telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan lebih 1,727 peluang pekerjaan, terutamanya dalam segmen produk petroleum (termasuk petrokimia), kimia dan produk kimia, produk galian bulan logam, kayu dan produk kayu serta mesin dan peralatan. 

“Selain itu, dari Januari hingga Mac 2022, pelaburan bernilai RM7.2 juta diluluskan, dalam industri pembuatan makanan dan kayu dan produk kayu,” katanya dalam ucapan alu-aluan beliau pada majlis MIDA Invest Series: Unfolding States Business Potential – A Briefing by Invest Terengganu di sini, hari ini. 

Sivasuriyamoorthy berkata MIDA gembira melihat syarikat-syarikat utama memanfaatkan prasarana dan rangkaian perkhidmatan sokongan Terengganu yang mantap. 

Beliau berkata antara syarikat tersebut adalah JXR Manufacturing Sdn Bhd, CJ Bio Malaysia Sdn Bhd, Kemaman Bitumen Company Sdn Bhd, Arkema Thiochemicals Sdn Bhd, Encompass Industries Sdn Bhd dan Eastern Steel Sdn Bhd.

“Syarikat ini menjanjikan banyak peluang dan kerjasama bagi perniagaan tempatan kita. 

“MIDA akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat dan perniagaan untuk menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif bagi meningkatkan peluang pertumbuhan,” katanya.

Sementara itu, pengerusi jawatankuasa negeri Terengganu bagi perdagangan, industri, pembangunan wilayah dan kesejahteraan pentadbiran Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata Terengganu mencapai kemajuan yang besar baru-baru ini dengan pembukaan Taman BioPlimer Kerteh, hab bioekonomi bagi kimia khas yang terletak di kawasan seluas lebih 140 hektar dengan kedua-dua Fasa 1 dan Fasa 2 telah diisi sepenuhnya. 

Beliau berkata fasa ketiga taman itu dibuka tahun lepas untuk menampung permintaan yang semakin meningkat daripada pelabur. 

“Setakat ini, jumlah pelaburan terkumpul di Taman BioPolimer Kerteh meningkat kepada RM5.6 bllion, dengan lebih daripada 5,000 peluang pekerjaan diwujudkan bagi rakyat Terengganu.

“Terengganu komited untuk menambah baik pertumbuhan ekonomi dengan menambah lebih banyak taman perindustrian daripada 25 kawasan perindustrian ketika ini yang merangkumi sejumlah 4,158.26 hektar termasuk Taman Perindustrian Kerteh Terengganu, Taman Perindustrian Pulau Kerengga dan Terengganu Silica Valley,” katanya. 

Tengku Hassan berkata ini merupakan satu lagi langkah ke arah memastikan terdapat prospek yang baik bukan hanya untuk masa sekarang  tetapi juga pada masa depan di Terengganu.

Sumber: Bernama

Terengganu rekod pelaburan RM2.3 bilion daripada 2017-Jun 2022 – MIDA


Content Type:

Duration:

Invest Terengganu, sebuah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu sedang berunding untuk menarik pelaburan daripada syarikat pengeluar batu silika antarabangsa berjumlah RM2.4 bilion. 

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Terengganu Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata rundingan pelaburan di Terengganu tersebut dijangka dapat dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini. 

“Pelaburan tersebut melibatkan pembinaan kilang dengan 32 barisan pembuatan batu silika dan akan dibangunkan di sebuah taman perindustrian di Cheneh,” katanya kepada pemberita selepas seminar MIDA Invest Series: Unfolding States Business Potential – A Briefing by Invest Terengganu di sini hari ini. 

Katanya taman perindustrian di Cheneh, Kemaman itu merupakan taman perindustrian baharu, tambahan kepada 25 taman perindustrian sedia ada pada masa ini. 

“Kerajaan negeri telah bersetuju untuk mengezonkan semula satu kawasan baharu kira-kira 8,000 hektar keluasannya dan sebahagiannya telah ada pembeli dan antaranya ialah permohonan berkaitan pembinaan kilang batu silika dari China,” katanya. 

Tengku Hassan berkata jumlah nilai pelaburan tersebut merupakan tambahan kepada nilai sasaran keseluruhan pelaburan di negeri Terengganu iaitu RM5 bilion pada tahun ini. 

“Setakat hari ini, kita hampir mencapai nilai sasaran tersebut dan daripada jumlah itu, 60 peratus daripadanya daripada syarikat antarabangsa.

“Pada tahun lepas, kita berjaya mencatatkan RM3 bilion nilai pelaburan ke Terengganu,” katanya. 

Sumber: Bernama

Terengganu tarik pelaburan daripada syarikat pengeluar batu silika bernilai RM2.4 bilion


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perodua hari ini secara rasmi telah melancarkan kerjasama strategik iaitu Program Ekosistem Transformasi Digital MIDA-Perodua, yang bertujuan untuk menaik taraf pembekal automotif tempatan melalui penerapan Industri 4.0. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Arham Abdul Rahman, usaha agensi itu dalam membantu syarikat tempatan mengguna pakai pendigitalan serta Industri 4.0 telah menyumbang kepada pertumbuhan besar dalam angka pembuatan kereta Perodua.

Fasa pertama program ini telah merapati tiga rakan kongsi Perodua yang berpotensi, dan bergerak ke arah fasa dua, lima lagi syarikat tempatan telah dikenal pasti untuk menyertai program yang telah menunjukkan banyak potensi termasuk peluang pertumbuhan. 

“Kerjasama MIDA-Perodua diawali pada 2020, adalah penting bagi memastikan pembangunan mantap keupayaan pemain tempatan kami dalam industri automotif.

“Syarikat-syarikat ini telah diberikan Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF) sehingga RM10 juta sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk membantu syarikat tempatan dalam memulakan rantaian bekalan global,” katanya semasa pelancaran hari ini. 

Selain daripada bantuan pembiayaan, kerajaan melalui MIDA akan memperluaskan perkhidmatan sokongannya untuk membantu syarikat-syarikat ini memperoleh pertumbuhan daripada segi produktiviti, bakat termasuk merapatkan jurang kewangan dan teknologi.

“Kami yakin melalui kemudahan serta langkah pemerkasaan sedemikian, pemain automotif ini akan dapat meningkatkan penawaran perniagaan termasuk kepakaran mereka untuk menginovasi produk dan perkhidmatan selain membangunkan ekosistem rantaian bekalan,” katanya. 

Sementara itu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata syarikat itu komited sepenuhnya untuk mencapai objektif program ini bagi membantu pembekalnya dalam melaksanakan pendigitalan dan Industri 4.0 secara berpandu.

“Pelaksanaan Industri 4.0 bukan sahaja bermanfaat untuk pembekal automotif tetapi impak program ini akan banyak menyumbang kepada agenda transformasi digital negara,” katanya. 

Sokongan yang diberikan oleh MIDA adalah penting kerana program ini akan membatalkan sebarang keperluan untuk kos pembiayaan dibebankan kepada pelanggan.

“Bagi baki 2022, Perodua telah memutuskan bahawa ia masih mampu menyerap sebarang kenaikan harga bahan pembuatan malah akan terus membantu vendor kami bertahan dalam perniagaan mereka,” tambah beliau lagi.

Sumber: Bernama

MIDA, Perodua bekerjasama dalam pendigitalan pembekal automotif tempatan


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyasarkan untuk meraih lebih banyak pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) pada tahun ini, sekali gus membantu mencapai jumlah sasaran pelaburan negara bagi 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Arham Abdul Rahman berkata pelaburan ESG tidak hanya meliputi pelaburan langsung asing (FDI) serta pelaburan langsung domestik (DDI) baharu, tetapi turut membabitkan pengembangan pelaburan oleh syarikat-syarikat sedia ada di Malaysia.

“Saya tidak hanya merujuk pelaburan baharu di Malaysia, tetapi juga syarikat-syarikat yang sememangnya telah beroperasi di sini. Syarikat multinasional (MNC) di Malaysia misalnya perlu memastikan bahawa produk yang dieksport semula itu patuh ESG.

“Malah, kami di sini juga dapat menyokong MNC agar patuh ESG. Kami mahukan semua dasar, kemudahan dan sokongan berkaitan dilaksanakan bagi memastkan Malaysia mampu menerima pelaburan baharu dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas acara jaringan MIDA dan sesi panel mengenai agenda ESG Malaysia yang seiring dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

Pada tahun lepas, Malaysia telah meluluskan sebanyak 889 projek teknologi hijau dan kecekapan hijau dengan nilai pelaburan mencecah RM3.7 bilion.

Bagi tempoh Januari 2022 hingga Mac 2022, kerajaan menerusi MIDA telah meluluskan sebanyak 212 projek teknologi hijau dan aktiviti perkhidmatan hijau yang berjumlah RM433 juta.

Selain itu, bagi tempoh 2001 hingga Mac 2022, MIDA turut meluluskan pelaburan berkaitan projek dan perkhidmatan hijau berjumlah RM35.5 bilion yang meliputi keseluruhan 3,186 projek.

Terdahulu dalam ucapannya, Arham berkata insentif teknologi hijau telah mendapat sambutan baik sejak diperkenalkan pada 2014.

“Pelanjutan Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) sehingga Disember 2023 misalnya telah menerima sambutan amat menggalakkan daripada kalangan sektor perindustrian dan komersial.

“Berikutan itu, syarikat-syarikat digalakkan untuk melabur dalam sumber tenaga boleh baharu (RE), termasuk solat, biojisim, biogas dan hidro mini serta menggunakan peralatan cekap tenaga (EE) dan perkhidmatan hijau yang layak,” katanya.

Arham juga menyifatkan masih banyak peluang yang belum diteroka melibatkan bidang termasuk perkhidmatan berkaitan dengan RE, kecekapan tenaga, perkhidmatan sokongan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) dan operasi stesen itu, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih EV, bangunan hijau, pusat data hijau, pensijilan dan kelayakan hijau serta perbandaran hijau.

Selain itu, mengulas mengenai prestasi pelaburan 2021 yang menyaksikan Malaysia meraih pelaburan diluluskan berjumlah RM306.5 bilion, beliau berkata ini didorong terutamanya oleh produk elektrikal dan elektronik (E&E) dan langkah penggiat semikonduktor meningkatkan pengeluaran masing-masing.

“Mereka telah meningkatkan pelaburan untuk menampung kekurangan bekalan akibat pertambahan permintaan susulan COVID-19.

“2021 adalah tahun amat cemerlang kerana projek-projek besar dalam sektor semikonduktor dan E&E. Bagaimanapun, saya optimis bahawa angka FDI secara keseluruhannya bagi 2022 juga masih baik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Rangkaian Kepadatan Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Malaysia dan Brunei Shanta Helena Dwarkasing pada sesi panel pula menegaskan kepentingan aspek kemampanan untuk negara yang berhasrat untuk berdaya saing serta dilihat menarik di peringkat global.

“Banyak negara-negara Eropah dan ASEAN menunjukkan komitmen terhadap ikrar iklim masing-masing dengan langkah-langkah proaktif memandangkan ESG akan memberi nilai tambah yang diinginkan oleh pelabur.

“Justeru, kami menjangkakan Malaysia, khususnya menerusi penglibatan lebih banyak syarikat-syarikat seperti perusahaan kecil dan sederhana, akan mengamalkan standard ESG tersebut,” katanya.

Sumber: Bernama

MIDA sasar lebih banyak pelaburan berkaitan ESG pada tahun ini


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memuji usaha Jabil Pulau Pinang dalam mempercepatkan inisiatif automasi dan pendigitalan melalui kerjasamanya dengan vendor tempatan di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata menerusi usaha Jabil itu, beliau berharap untuk melihat lebih banyak kerjasama, dalam dan seluruh industri, agar teknologi yang berpotensi dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam operasi mereka.

Ekonomi digital dijangka merangkumi 22.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dan mewujudkan lebih 500,000 pekerjaan menjelang 2025.

“Menerusi inovasi dan sumbangan dalam bidang IR4.0 (Revolusi Industri 4.0), teknologi seperti kecerdasan buatan, robotik, realiti maya, internet pelbagai benda, dan analisis data raya, sektor pembuatan memainkan peranan yang memperkasakan dalam membina negara yang dipacu secara digital, berpendapatan tinggi dan peneraju serantau dalam ekonomi digital,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jabil, penyedia penyelesaian pembuatan global, menganjurkan bengkel automasi dan pendigitalan di kemudahan Batu Kawannya untuk mengukuhkan keupayaan automasinya untuk kecekapan operasi dan sumber yang lebih besar.

Bengkel berasaskan senario selama dua hari itu menyaksikan pemimpin projek Jabil Pulau Pinang menyerahkan cadangan automasi dan pendigitalan yang kemudiannya melalui proses simulasi dan demonstrasi oleh rakan kongsi peralatan dan pakar yang berkaitan.

Bengkel ini adalah sebahagian daripada satu siri program khusus, yang disusun untuk memperkasakan tenaga kerja sedia ada bagi meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula untuk memenuhi permintaan pasaran yang berkembang dan mewujudkan pendekatan kreatif yang diterajui secara digital untuk menangani isu operasi biasa dalam pekerjaan.

Pengarah Urusan Jabil Pulau Pinang Tan Siew Jin berkata ketika automasi dan pendigitalan membolehkan Jabil membuka potensi baharu dalam bidang kecemerlangan operasi, manusia atau buruh manusia terus menjadi elemen kritikal dalam keupayaannya untuk bekerja di kilang yang paling progresif. 

“Dengan program peningkatan kemahiran, pembangunan dan latihan yang betul, jurutera dan juruteknik automasi kami yang terlatih dan bertauliah akan terus memberikan kami kelebihan dalam kecekapan teknikal, jadi kami mungkin memberikan pengalaman pelanggan, pembekal dan pekerja yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata pandemik telah mewujudkan komuniti kejuruteraan dan pemimpin operasi yang kini dilengkapi dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang penyelesaian perusahaan moden, peralatan untuk kerjasama dan keupayaan berasaskan awan.

“Kami telah melihat keupayaan yang diperkukuhkan untuk meningkatkan sistem pengeluaran dan rantaian nilai pembuatan sejak meneruskan penggunaan automasi dan pendigitalan kami.

“Dengan persekitaran operasi boleh dijangkakan yang membolehkan bakat mahir bekerja dengan selamat bersama mesin yang boleh belajar, berfikir dan bertindak, saya gembira kerana inisiatif kami merentasi pembuatan, industri dan kejuruteraan ujian adalah selaras dengan dorongan MIDA ke arah pembuatan dan perkhidmatan berteknologi tinggi,” katanya.

Tan berkata Jabil akan terus memainkan peranan yang jelas dalam kerjasama melalui perkongsian awam-swasta dan akademik, mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, dan secara aktif memanfaatkan peluang pemindahan teknologi merentas operasi globalnya.

Sumber: Bernama

MIDA puji usaha Jabil P.Pinang percepatkan automasi, pendigitalan Malaysia


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan Geran Automasi Pintar (SAG) berjumlah RM138.5 juta kepada 238 syarikat sehingga 30 Jun, 2022, berikutan pelancaran SAG pada Disember 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Arham Abdul Rahman berkata penerima geran itu termasuklah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada industri berintensifkan buruh seperti plastik, kayu, perabot dan tekstil, manakala selebihnya daripada industri berkaitan perkhidmatan.

“Syarikat baharu harus memanfaatkan peluang yang semakin meningkat di negara ini dan mengukuhkan kedudukan mereka di Malaysia.

“Sebagai agensi penggalakan pelaburan utama Malaysia, MIDA akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat untuk menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif bagi perniagaan berkembang,” katanya dalam ucapan alu-aluannya di Seminar Pelaburan Domestik MIDA Siri I (Wilayah Tengah) hari ini.

Arham berkata tahun ini, MIDA meneruskan inisiatifnya melalui seminar maya pelaburan domestik, penglibatan dengan persatuan-persatuan kebangsaan dan dewan perniagaan, program rantaian industri/rantaian bekalan, dan komitmen platform penyelarasan domestik.

Beliau menambah bahawa MIDA akan menyelaraskan sesi pemadanan perniagaan antara syarikat utama dan bakal pembekal atau penyedia tempatan dalam industri tertentu, daripada mengaturkan rangkaian untuk syarikat dan bakal pembiaya dan penyedia teknologi.

“MIDA juga telah melancarkan Meja Pelaburan PKS khusus di semua pejabat negerinya untuk memudahkan dan menyelaras perkhidmatan sokongan bagi perniagaan Malaysia.

“Portal digital kami sentiasa dikemas kini untuk membantu pembuat keputusan dan bakal pelabur mendapatkan bimbingan dan nasihat mengenai persediaan perniagaan dan rancangan pengembangan di Malaysia,” tambahnya.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) Tan Sri Low Kian Chuan berkata DDI merupakan pemacu penting pelaburan swasta untuk melengkapkan pelaburan langsung asing.

Beliau berkata dengan PKS membentuk 98.5 peratus daripada jumlah pertubuhan di Malaysia, ini telah mengesahkan semula peranan mereka sebagai tulang belakang ekonomi dan pembangunan perindustrian Malaysia.

“Menghidupkan semula pelaburan domestik adalah penting dalam meningkatkan kapasiti produktif ekonomi, mempercepatkan kemajuan teknologi, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengembangkan eksport dengan pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP),” katanya.

Low berkata kerajaan mempunyai peranan penting dalam mengukuhkan persekitaran yang kondusif untuk memudahkan pelaburan perniagaan dan menjalankan perniagaan di Malaysia.

Menurutnya, perniagaan dan industri Malaysia kekal dalam negara memandangkan sudah biasa dengan perniagaan tempatan dan pada masa yang sama mempelbagaikan pelaburan mereka di luar Malaysia.

“Walaupun rejim cukai yang menggalakkan dan insentif pelaburan membantu meningkatkan DDI, kesannya lebih kuat jika ditambah dengan iklim dan kemudahan pelaburan yang lebih baik serta persekitaran kawal selia yang boleh dijangka, disokong oleh keadaan ekonomi dan politik yang stabil,” tambahnya.

Sumber: Bernama

MIDA lulus geran automasi pintar bernilai RM138.5 juta sehingga 30 Jun, 2022


Content Type:

Duration:

Pelaburan RM7 bilion Samsung SDI Energy Malaysia Sdn Bhd (Samsung SDIEM) menandakan keyakinan syarikat multinasional terhadap Malaysia, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Arham Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata MIDA sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dan memudahkan rancangan pertumbuhan syarikat yang membawa teknologi canggih ke sini untuk memartabatkan lagi industri kenderaan elektrik (EV) dan ekosistemnya.

Pelaburan kumulatif RM7 bilion itu, RM1 bilion dalam fasa satu dan RM6 bilion dalam fasa 2, adalah lokasi pengeluaran pertamanya di Asia Tenggara dan kemudahan sel bateri EV pertama di Seremban, Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri sentiasa menggalakkan kemasukan pelaburan berteknologi tinggi dan berimpak tinggi seperti Samsung SDIEM untuk memacu pertumbuhan ekonomi, seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Konsep Bersepadu Negeri Sembilan 2021-2045.

Kerajaan negeri juga menggunakan dasar mesra pelabur untuk menarik pelaburan / pengembangan baharu melalui INVEST NS, katanya.

Jumlah pelaburan negeri itu meningkat kepada RM5.76 bilion pada 2021 daripada RM1.41 bilion pada 2017, katanya sambil menambah Negeri Sembilan adalah destinasi pilihan pelabur.

Sumber: Bernama

Pelaburan Samsung SDIEM bukti keyakinan Mnc pada Malaysia — MIDA


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bekerjasama dengan wakil ekonomi seperti dewan perniagaan dari negara yang berbeza dan rakan kongsi berharga seperti Italia ASEAN bagi memahami rakan sejawat global dan memudahkan perniagaan mereka.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA (promosi pelaburan dan pemudahcara) Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata ASEAN meletakkan keutamaan besar agenda transformasi pendigitalan di rantau ini seperti pelancaran Pelan Hala Tuju Bandar Seri Begawan dan Strategi Disatukan pada 4IR bagi ASEAN untuk menyediakan dasar hala tuju yang diperlukan bagi transformasi rantau ini.

“Banyak sokongan dari segi pembinaan kapasiti dan pemindahan teknologi juga telah diperoleh daripada rakan kongsi tambahan ASEAN yang maju untuk membantu rantau ini menerima dan mendapat manfaat daripada 4IR (Revolusi Perindustrian Keempat),” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena Dialog Peringkat Tinggi Mengenai Hubungan Ekonomi ASEAN Itali hari ini.

Beliau berkata Itali berada di barisan hadapan 4IR dan pendigitalan dalam pelbagai cara.

“Sebagai salah satu negara yang mempunyai syarikat paling berteknologi tinggi, ia mencerminkan keupayaan Itali dalam mengguna pakai teknologi termaju dan pendigitalan dalam pembuatan dan perniagaan mereka.

“Dalam hal ini, pemindahan teknologi oleh firma Itali dengan menubuhkan firma di ASEAN yang menawarkan pasaran luas dan peluang pertumbuhan kepada firma Itali adalah persamaan yang saling menguntungkan,” katanya.

Beliau berkata dialog sehari itu memberi MIDA peluang yang lebih luas untuk berkongsi perbincangan dua hala dengan pelbagai pemain industri dan memahami jangkaan mereka daripada perspektif pelaburan.

Dianjurkan oleh The European House dengan kerjasama MIDA dan Agensi Perdagangan Itali, dialog itu merupakan acara rujukan di rantau ASEAN untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dan strategik antara negara anggota ASEAN dan Itali.

Sumber: Bernama

MIDA bekerjasama rapat dengan wakil ekonomi, mudahkan rakan sejawat global


Content Type:

Duration:

Malaysia berada pada trajektori yang betul untuk memperoleh lebih banyak projek berkualiti tinggi dan berintensifkan modal, dengan segmen elektrik dan elektronik (E&E) akan terus menjadi pemacu pertumbuhan penting ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata Malaysia merupakan pengeksport keenam terbesar semikonduktor dan litar bersepadu (IC) di dunia, menyumbang 6.3 peratus kepada jumlah eksport dunia.

Beliau berkata ini akan terus menyokong industri E&E kerana ia mewakili 61.7 peratus daripada produk eksport.

“Berdasarkan rundingan semasa dengan bakal pelabur, kebanyakannya adalah syarikat multinasional (MNC), kami optimis angka pelaburan bagi 2022 juga besar walaupun tidak pada paras rekod tahun lepas, dan segmen E&E akan terus menjadi penyumbang terbesar pelaburan yang diluluskan tahun ini.

“Kekurangan semikonduktor di peringkat global dijangka berterusan sehingga penghujung Disember 2023 dan permintaan pengguna juga terus tinggi. Oleh itu syarikat sedang mencari peluang melabur bagi meningkatkan pengeluaran mereka untuk memenuhi permintaan,” katanya kepada Bernama di luar acara  SEMIKON Asia Tenggara 2022 baru-baru ini.

SEMIKON Asia Tenggara 2022 yang meliputi antaranya seminar, sesi forum, perbincangan panel dan meja bulat, pameran kerjaya serta sesi suai padan perniagaan itu berlangsung di Arena dan Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini dari 21 hingga 23 Jun lepas.

Arham berkata keyakinan pelabur asing terus meningkat kerana Malaysia mempunyai satu daripada ekosistem paling komprehensif di rantau ini dalam industri E&E, jentera dan peralatan (M&E), aeroangkasa, automotif dan peralatan perubatan.

Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) pula sudah tentu akan mengorak laluan ke arah menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, katanya.

Beliau berkata MIDA menjangka lebih ramai pelabur asing datang ke Malaysia, menjejaki langkah syarikat elektronik terbesar dan paling canggih di dunia iaitu Intel, ST Microelectronics, Infineon, Micron, Texas Instruments, TF-AMD dan Osram.

Pelaburan yang diluluskan untuk industri E&E bernilai RM18.6 bilion pada suku pertama tahun ini dan sebanyak 13,700 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan daripada projek-projek ini.

Bagi jangka panjang, industri E&E disasarkan menyumbang RM120 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan menjana pendapatan eksport sebanyak RM495 bilion menjelang 2025.

Arham turut menekankan terdapat dua cabaran khusus yang dihadapi oleh industri E&E iaitu kekurangan tenaga mahir dan kekurangan tanah.

Bagi menangani isu bakat, MIDA sedang bekerjasama rapat dengan universiti dan pusat latihan tempatan bagi mewujudkan lebih banyak program latihan dan pembelajaran industri untuk memenuhi permintaan syarikat tempatan dan MNC, katanya.

“Kekurangan tanah menjadi satu lagi cabaran yang sedang kami diatasi. Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa kerajaan negeri sedang mengenal pasti kawasan baharu untuk menampung keperluan industri dan menyokong ekosistem E&E,” katanya.

Mengenai keseluruhan pelaburan langsung asing (FDI), beliau berkata Malaysia telah menarik sejumlah RM42.8 bilion pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, melibatkan 910 projek pada Januari hingga Mac 2022.

Melangkah ke hadapan, MIDA mengenal pasti 446 prospek pelaburan berprofil tinggi termasuk syarikat Fortune 500 dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan dengan keseluruhan nilai pelaburan berpotensi RM150.4 bilion setakat 1 Jun, 2022.

“Prestasi cemerlang Malaysia, walaupun mengharungi tahun yang mencabar, adalah bukti kukuh bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik didorong persekitaran perniagaan yang sepadu, dasar mesra pelabur dan langkah pandemik yang berkesan.

“MIDA akan terus memperkenalkan langkah-langkah inovatif untuk meringankan cabaran mengendalikan perniagaan di negara ini di samping menggalakkan dan memudahkan penggunaan dan penyesuaian teknologi, inovasi dan penyelidikan oleh syarikat,” katanya.

Sumber: Bernama

Segmen E&E akan terus jadi pemacu pertumbuhan Malaysia – MIDA


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Intel Malaysia untuk Program Kecerdasan Buatan (AI) bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) – Program AI4S.

Produktiviti Melalui Pendigitalan – Buku Kompilasi Projek Pembuktian konsep (POC) Program AI4S yang menampilkan 31 projek perintis yang berjaya disiapkan dan dilancarkan susulan daripada kerjasama tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata syarikat-syarikat yang mengguna pakai dan menyesuaikan teknologi berkaitan Industri 4.0 seperti AI boleh mengoptimumkan produktiviti dan berkembang dalam menghadapi perubahan pesat dalam kitaran teknologi.

“Oleh itu, MIDA komited untuk membina rantaian bekalan elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia yang berdaya tahan dan mampan melalui pembangunan dan penambahbaikan PKS melalui Program AI4S tersebut.

“Ia selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional kami dalam menggalakkan transformasi inovatif industri melalui langkah proaktif dan langkah yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arham berkata Buku AI4S itu adalah penerangan mengenai aplikasi AI untuk proses perniagaan termasuk syarikat PKS.

“Program AI4S tersebut menyaksikan 63 peratus peserta menggunakan kit AI untuk pengesanan bagi jaminan kualiti (QA); kira-kira 13 peratus menyepadukan AI ke dalam sistem mereka untuk pengesanan trafik; 10 peratus lagi peserta menggunakan kit AI untuk pemantauan di tapak; 10 peratus lagi menggunakan kit AI untuk pengesanan untuk mengira manakala baki empat peratus menggunakan kit untuk kawalan kemasukan dan pengecaman,” katanya.

Sementara itu, Pengarah MPC Dr Mohamad Norjayadi Tamam berkata beliau yakin Projek POC Program AI4S mengandungi dalam buku itu boleh menjadi pengajaran yang boleh dipelajari dalam melakukan transformasi dalam perjalanan mereka melalui proses Industri 4.0.

“Sebagai rakan operasi untuk program AI4S ini, MPC bertanggungjawab ke atas pengurusan program penyediaan latihan dan pelaksanaan untuk kesemua lima kumpulan latihan daripada 100 syarikat itu,” katanya.

Pengarah Urusan Intel Malaysia (Intel) AK Chong berkata melalui kerjasama itu, Intel berbesar hati kerana dapat melengkapkan PKS dengan kemahiran dalam AI dan membantu mereka mencipta penyelesaian untuk perniagaan mereka.

“Kami yakin pengalaman menerusi kerjasama ini akan menjadi pemangkin kepada inovasi dan pertumbuhan untuk para peserta dan kami akan menunggu untuk melihat apa yang mereka capai kelak” katanya.

Tahun lepas, sebanyak 100 syarikat PKS telah dipilih untuk menyertai Program AI4S, pada program itu setiap syarikat telah diberi kit AI.

PKS berkenaan menjalani proses pemboleh teknologi yang komprehensif dan latihan untuk memantapkan mereka melaksanakan projek perintis yang khusus untuk perniagaan dalam perjalanan ke arah penggunaan teknologi AI.

Selepas selesai Program AI4S yang bermula pada suku pertama 2021, 31 projek perintis yang berjaya disiapkan telah dipilih untuk dipaparkan dalam Buku AI4S tersebut.

Pelancaran buku itu telah dirasmikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Perindustrian MITI Datuk Hanafi Sakri.

Sumber: Bernama

MIDA bekerjasama dengan MPC dan Intel Malaysia untuk program PKS


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus komited untuk membina rantaian bekalan elektronik yang berdaya tahan dan mampan di Malaysia dan dalam kalangan negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Arham Abdul Rahman dalam kenyataan hari ini berkata, MIDA akan menjalankan pelaburan yang berkualiti tinggi dan berpandukan teknologi untuk mendorong pembangunan sosioekonomi dan pertumbuhan perdagangan.

“Selain peserta industri tempatan, kami sedang memperluas manfaat ekosistem pembuatan kami terhadap perniagaan dan jenama global,” katanya semasa pelancaran SEMICON Asia Tenggara 2022.

Arham berkata pendigitalan dan mengembangkan permintaan pengguna terhadap elektronik akan memacu perubahan yang berterusan pada tahun-tahun akan datang berikutan peluang yang tidak terbatas.

“Seperti yang digariskan dalam inisiatif Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), terdapat ruang untuk kami berkembang.

“Membangunkan kluster dan inovasi baharu dalam bidang-bidang sedia ada akan mencipta pekerjaan berkemahiran tinggi, mengembangkan rantaian bekalan serantau dan global, serta meningkatkan usaha kami untuk menjalankan pembangunan sosioekonomi,” katanya.

Arham berkata Malaysia merupakan penempatan kepada lebih 5,000 pelabur dari lebih 40 negara.

“Pada suku pertama 2022, Malaysia terus menarik sejumlah RM42.8 bilion pelaburan diluluskan dengan industri elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang RM19 bilion dan 13,700 peluang pekerjaan baharu,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kepentingan Pulau Pinang dalam industri E&E adalah diperakui memandangkan negeri itu menyumbang lebih lima peratus daripada jualan semikonduktor global, membentuk hampir 60 peratus daripada eksport E&E Malaysia.

“Dengan nilai eksport yang tinggi pada sepanjang masa bernilai RM364 bilion, Pulau Pinang mengungguli senarai negara pada 2021.

“Pulau Pinang turut dikenali sebagai hab serantau bagi pembuatan peralatan bahagian depan dan belakang, memenuhi keperluan industri E&E di sepanjang rantaian bekalan,” katanya.

SEMICON Asia Tenggara 2022, perhimpunan utama di rantau ini bagi industri semikonduktor dan mikroelektronik, diadakan mulai 21 hingga 23 Jun di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Pulau Pinang.

Bertemakan “Forward as One – Building A Resilient and Sustainable Electronics Supply Chain in Southeast Asia,” program itu memperingati ulang tahun ke-50 kecemerlangan industri pembuatan di Malaysia dan meraikan reputasi Pulau Pinang sebagai Lembah Silikon Timur yang dibina berikutan kecemerlangan dalam industri pembuatan dan pengalaman industri selama beberapa dekad.

Sumber: Bernama

MIDA komited bina rantaian bekalan elektronik berdaya tahan, mampan di ASEAN – CEO


Content Type:

Duration:

wpChatIcon