B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MIDA, DHL Express tarik pelaburan kualiti tinggi

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan DHL Express Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi ideal bagi pelaburan langsung asing (FDI) berkualiti tinggi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan MIDA, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja, berkata perkongsian itu bertujuan untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab rantaian bekalan alternatif di rantau ini.

“Kerjasama ini penting kepada MIDA, apabila kami menjalankan aktiviti penggalakan pelaburan di seluruh dunia, kami perlu meletakkan Malaysia sebagai pusat pengeluaran global serta sebagai hab pengedaran serantau dan global.

“Kerjasama dengan DHL Express, yang merupakan penyedia perkhidmatan bertaraf dunia, menambah nilai kepada cadangan kami apabila kami berunding untuk menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis permeteraian MoU itu, di sini, hari ini.

MoU itu dimeterai antara Sivasuriyamoorthy dengan Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo dan disaksikan oleh Pengerusi MIDA, Tan Sri Sulaiman Mahbob.

Sivasuriyamoorthy berkata, DHL Express menyediakan perkhidmatan menyeluruh termasuk pengangkutan fret udara dan laut, hab pusat data serta kemudahan canggih yang akan membantu MIDA menarik lebih banyak FDI ke Malaysia.

“Sebagai agensi penggalakan pelaburan, MIDA juga akan dapat bekerjasama dengan pelanggan DHL Express dan meyakinkan mereka untuk datang dan membuka operasi mereka di Malaysia,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerjasama juga membuka ruang bagi lebih banyak peluang pelaburan sejajar dengan 16 perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dilaksanakan termasuk Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) baru-baru ini.

“RCEP dan CPTPP membuka pasaran baharu di negara seperti Mexico, Kanada, Peru dan Chile, dan dengan adanya perkhidmatan DHL Express untuk mengeksport ke pasaran, ini adalah kelebihan langsung daripada kerjasama ini,” katanya.

Sementara itu, Neo berkata MoU itu menggariskan komitmen bersama untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi FDI dengan mengukuhkan sumbangan industri logistik.

“Sebagai penyedia perkhidmatan ekspres antarabangsa utama dunia, kami membantu memudahkan untuk menjalankan perniagaan serta menyediakan akses lebih besar kepada syarikat ke pasaran Asia Tenggara dan Asia Pasifik yang menguntungkan.

“Kami terus memanfaat kedudukan unik untuk membantu perusahaan asing dan mutinasional bagi merebut peluang di sini dan di seluruh rantau ini,” katanya.

Sumber: Bernama

MIDA, DHL Express tarik pelaburan kualiti tinggi


Content Type:

Duration:

Semicon Southeast Asia (SEMICON SEA 2023) pada Mei depan dan menjadi acara perdana menghimpunkan penggiat industri semikonduktor dan mikroelektronik, akan menumpukan aspek bidang pertumbuhan penting sektor terbabit.

Ini termasuk kemampanan, pembuatan pintar, mobiliti pintar, teknologi perubatan pintar serta pembangunan tenaga kerja.

Bertemakan ‘Boosting Agility and Resiliency for the Electronics Supply Chain’ atau Memacu Ketangkasan dan Daya Tahan Rantaian Bekalan Elektronik, acara SEMICON SEA 2023 adakan diadakan di Setia SPICE Convention Centre, Pulau Pinang pada 23-25 Mei, 2023.

Presiden Semiconductor Equipment & Materials International (SEMI) bagi Asia Tenggara Linda Tan berkata acara itu akan turut menghimpunkan kalangan pemimpin industri bagi meninjau kaedah untuk industri elektronik membina rantaian bekalan lebih mantap dalam mengharungi kemelesetan ekonomi semasa dan gangguan yang berterusan.

“Memandangkan rantaian bekalan elektronik global terjejas akibat faktor geopolitik, lebih banyak penggiat global beralih ke Asia Tenggara yang juga lokasi tumpuan kebanyakan keupayaan pembuatan semikonduktor dunia.

“Kami teruja untuk menjadi tuan rumah bagi pemimpin industri pada SEMICON SEA 2023 yang turut menjadi lokasi bagi mereka membincangkan usaha memanfaatkan kekuatan Asia Tenggara dalam membantu meningkatkan daya tahan rantaian bekalan global.

“Pada masa sama, dapat menempatkan industri pada kedudukan lebih baik untuk merebut peluang inovasi dan pertumbuhan di masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara acara yang bakal diketengahkan adalah sesi perbincangan meja bulat mengenai peluang pelaburan di Asia Tenggara, forum dan pameran syarikat permulaan yang menampilkan penyelesaian pembuatan semikonduktor inovatif terkini di pasaran.

SEMICON SEA 2023 dianjurkan menerusi kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan InvestPenang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata sebagai hab semikonduktor Asia Tenggara, Malaysia berpotensi besar untuk memanfaatkan permintaan global serta mengembangkan lagi ekosistem semikonduktor sedia ada yang sedia kukuh, dalam tahun-tahun akan datang.

“SEMICON SEA 2023 itu juga merupakan satu platform hebat bagi membolehkan perniagaan berhubung, melakukan libat urus serta memperluas rangkaian strategi masing-masing.

“Kehadiran firma antarabangsa di acara itu akan turut membolehkan Malaysia menampilkan kepesatan industri E&E negara selain menawarkan peluang bagi penggiat industri global bagi mengembangkan rantaian bekalan masing-masing dengan turut meliputi sektor utama berkenaan,” katanya.

Arham berkata sektor itu juga terus memberi sumbangan besar kepada ekonomi Malaysia dan telah merekodkan sejumlah RM84.3 bilion atau 31.9 peratus daripada pelaburan diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi pada 2022.

E&E juga kekal sebagai industri berprestasi tinggi dalam sektor pembuatan dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM29.3 bilion.

Sumber: Bernama

SEMICON SEA 2023 platform papar daya tahan rantaian bekalan elektronik


Content Type:

Duration:

Sebuah konsortium syarikat dari Korea Selatan sedang dalam proses membuat keputusan pelaburan terakhirnya untuk melabur dalam sektor hidrogen di Malaysia bagi beberapa tahun akan datang, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman, berkata pihak yang berminat menyatakan hasrat mereka untuk datang ke Malaysia dan melabur dalam membina infrastruktur untuk pengeluaran hidrogen negara.

Beliau berkata, peneraju pelaburan dalam sektor tenaga hidrogen adalah sebahagian daripada pelaburan berpotensi bernilai RM24 bilion semasa misi perdagangan dan pelaburan (TIM) baru-baru ini yang diketuai oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ke Korea Selatan.

“Memandangkan negeri Sarawak sudah memulakan tumpuannya kepada ekonomi hidrogen…wujud daya tarikan yang sangat positif terutamanya dari Korea Selatan, Jepun dan negara lain yang mempunyai teknologi dan berminat untuk melabur di sini,” katanya kepada pemberita selepas majlis Seminar Ekonomi Hidrogen di sini, hari ini.

Semasa TIM baru-baru ini, beliau berkata terdapat sebuah konsortium terdiri daripada dua hingga tiga syarikat Korea Selatan yang bekerjasama dan menunjukkan minat mereka untuk melabur di Malaysia khususnya di Sarawak.

“Ini bukan bagi tempoh jangka panjang tetapi dalam tempoh terdekat, antara dua hingga tiga tahun,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong dalam ucapan pada majlis itu berkata, MITI bersedia untuk membabitkan diri dengan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk mengenal pasti insentif dan kemudahan yang sesuai untuk menarik pelaburan dalam pengeluaran hidrogen, infrastruktur dan pembangunan ekosistem.

Beliau berkata, ia termasuk pelepasan cukai, elaun modal, bantuan kewangan serta penyelidikan dan pembangunan yang akan memudahkan peralihan negara kepada ekonomi hidrogen.

“Ekonomi hidrogen berada pada peringkat permulaan. Memandangkan masih terlalu banyak yang tidak diketahui, terdapat banyak peluang lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Arham berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bersama-sama Pusat Nanoteknologi Kebangsaan sedang merangka Strategi Hidrogen Kebangsaan.

“Apabila dipersetujui dan dilaksanakan, MITI akan membabitkan diri dengan pihak berkepentingan yang berkaitan,” katanya.

Terdahulu, Chin Tong turut merasmikan pelancaran keahlian Persatuan Tenaga Hidrogen Malaysia (MAHE) kepada penggiat industri, membolehkan pihak berkepentingan bertukar pandangan dan memberikan input serta menyokong cadangan dasar berkaitan ekonomi hidrogen.

Persidangan bertemakan ‘Ekonomi Hidrogen – Membina ekosistem yang mampan dalam membentuk masa depan tenaga, bahan dan infrastruktur’ itu bertujuan untuk menggalakkan pelaburan dalam ekonomi hidrogen bagi menyokong agenda kerajaan dalam menarik pelaburan yang berkualiti dan mampan.

Sumber: Bernama

Konsortium Korea Selatan bakal melabur di Malaysia


Content Type:

Duration:

Malaysia perlu membangunkan bidang pertumbuhan baharu, termasuk sektor tenaga boleh diperbaharui dan kenderaan elektrik (EV), bagi meningkatkan permintaan untuk cip semikonduktor di negara ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Lim Bee Vian berkata, permintaan bidang baharu itu akan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi Malaysia sebagai salah satu pembekal utama dalam rantaian semikonduktor global.

“Malaysia sebagai sebuah negara kecil yang menyumbang di antara 12 peratus dan 13 peratus kepada bekalan cip global. Jadi peranan kita ini juga penting dalam industri.

“Oleh itu kita harus mempromosikan sektor EV sebagai bidang pertumbuhan baharu kerana sektor ini akan membantu meningkatkan permintaan untuk cip,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat di antara EG Industries Bhd dan MIDA mengenai Gudang Pintar dan Pusat Perolehan Antarabangsa (IPC) di sini, hari ini.

Beliau berkata perkhidmatan infrastruktur dan penyelesaian IT adalah bidang lain yang perlu difokuskan untuk memastikan permintaan bagi cip kekal tinggi.

Lim berkata kesedaran dalam kalangan pemain industri tentang keperluan untuk menggunakan gudang pintar semakin meningkat kerana ia meningkatkan kecekapan.

“Pelaburan untuk gudang pintar adalah tinggi. Syarikat-syarikat besar sedang menuju ke arah itu, terutamanya syarikat logistik besar. Syarikat kecil mungkin mempunyai elemen tertentu mengenai pergudangan pintar tetapi ini tidak disepadukan sepenuhnya.

“MIDA menggalakkan syarikat menaik taraf gudang mereka kerana ini akan membantu mengurangkan keperluan buruh asing bagi menjalankan operasi pergudangan mereka dan juga meningkatkan kecekapan,” katanya.

Sumber: Bernama

Bangunkan bidang pertumbuhan baharu bagi tingkatkan permintaan semikonduktor – MIDA


Content Type:

Duration:

Malaysia meluluskan pelaburan berjumlah RM264.6 bilion pada 2022, dengan sektor perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar, diikuti oleh sektor pembuatan dan utama.

Sektor perkhidmatan menyaksikan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM154 bilion atau 58.2 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2022.

Sementara itu, pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan berjumlah RM84.3 bilion (31.9 peratus) dan industri utama RM26.3 bilion (9.9 peratus), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata jumlah pelaburan yang diluluskan itu adalah rekod kedua terbesar yang pernah dicatatkan selepas 2021.

“Terdapat dua pelaburan besar ‘one-off” pada 2021 daripada Intel dan Risen Energy Co Ltd dari China,“ katanya kepada pemberita semasa sidang media Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengenai prestasi pelaburan Malaysia 2022.

Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang 61.7 peratus atau RM163.3 bilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, manakala pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 38.3 peratus atau RM101.3 bilion.

Beliau menambah pelaburan yang diluluskan tahun lepas dijangka mewujudkan 140,370 peluang pekerjaan di negara ini.

China menyumbang FDI terbesar sebanyak RM55.4 bilion, diikuti oleh Amerika Syarikat (RM29.2 bilion), Belanda (RM20.4 bilion), Singapura (RM13.5 bilion) dan Jepun (RM11.4 bilion).

Sebilangan besar pelaburan yang diluluskan adalah di Johor (RM70.6 bilion), Selangor (RM60.1 bilion), Sarawak (RM28.2 bilion), Kuala Lumpur (RM25.0 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.3 bilion), katanya.

“Ini (pelaburan) mesti dipertingkatkan lagi dalam masa terdekat, terutamanya dengan tumpuan baharu kami pada dasar ekonomi yang berkesan, persekitaran pelaburan yang menggalakkan, kestabilan politik dan promosi pelaburan yang lebih diselaraskan oleh semua agensi, baik di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri,” kata Tengku Zafrul.

Beliau menekankan bahawa pembaharuan Dasar Pelaburan Baharu Malaysia adalah konsisten dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), yang bertujuan untuk menetapkan semula ekonomi negara dengan meningkatkan keselamatan, menggalakkan kesejahteraan dan keterangkuman, dan memajukan kelestarian.

“Malaysia juga sedang berusaha untuk muncul dengan pantas sebagai hab digital Asean, dipacu oleh beberapa faktor utama, termasuk infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi yang sangat maju, rangka kerja perlindungan harta intelek yang kukuh dan kumpulan bakat,” katanya.

Beliau berkata inisiatif ‘Akademi di Kilang’ Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) di bawah Belanjawan 2023 juga akan memastikan aliran tenaga mahir yang stabil yang sepadan dengan keperluan industri.

“Langkah sedemikian akan terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi menarik bagi perniagaan yang ingin mengembangkan keupayaan digital dan jejak serantau mereka,” katanya.

Bagi unjuran pelaburan untuk 2023, beliau berkata pertumbuhan ekonomi global yang sederhana mungkin memberi kesan kepada keputusan pelaburan secara global.

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi yang positif tetapi perlahan berbanding tahun-tahun sebelumnya, jadi pelaburan juga akan terjejas kerana ia juga bergantung kepada permintaan.

“Keputusan untuk membuat pelaburan sedikit berbeza daripada perdagangan kerana ia berdasarkan rancangan jangka panjang, dan perkara paling penting ialah fundamental negara,“ katanya.

Beliau menegaskan bahawa ekonomi Malaysia akan terus berkembang dalam julat unjuran 4.0-5.0 peratus tahun ini.

“Sebagai tambahan kepada sasaran misi perdagangan dan pelaburan kami yang berterusan, kami terus mengambil bahagian dalam perjanjian perdagangan bebas pelbagai hala seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Ini akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara kita dan seterusnya memberi manfaat kepada kehidupan rakyat Malaysia dan komuniti perniagaan,“ katanya. 

Sumber: Bernama

Malaysia tarik pelaburan diluluskan RM264.6b pada 2022, kedua terbesar pernah direkod


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mempunyai beberapa projek yang menjanjikan keuntungan dengan potensi pelaburan berjumlah RM14.6 bilion.

Sektor pembuatan mempunyai 31 projek dengan potensi pelaburan RM10.6 bilion, manakala sektor perkhidmatan mempunyai 218 projek dengan potensi pelaburan RM4 bilion.

Pengerusi Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkata walaupun berdepan dengan cabaran landskap ekonomi global, Malaysia telah menunjukkan keazaman yang tidak berbelah bahagi dalam mengharungi masa sukar ini.

Ini mencerminkan komitmen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan MIDA untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan penciptaan pekerjaan di Malaysia, katanya semasa sidang media tahunan MIDA mengenai prestasi pelaburan Malaysia bagi 2022 di sini hari ini.

“Kami memberi tumpuan untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi dan mampan. Oleh itu, kami mengembangkan kehadiran kami ke dalam kelompok baharu bernilai tinggi untuk mewujudkan pulangan tinggi kepada ekonomi,” katanya.

Sulaiman berkata untuk mengubah Malaysia menjadi hab rantaian bekalan di Asia, MIDA berhasrat untuk menarik pelaburan bernilai tinggi baharu dalam sektor teknologi, mempercepat ekonomi digital untuk menginovasi produk perkhidmatan dan komersial, memperluas hubungan domestik dan membina hubungan dua hala dan perdagangan baharu bagi memastikan negara kekal sebagai destinasi ideal untuk syarikat Fortune 500 dan berstatus ‘unicorn’.

“Malaysia telah menyaksikan kejayaan besar sepanjang lima dekad yang lepas, dan kami berazam untuk terus maju ke hadapan bagi pasaran baharu dan komuniti yang diperkasakan,” katanya.

Sumber: Bernama

MIDA miliki 249 projek bakal dilaksanakan dengan potensi pelaburan RM14.6 bilion


Content Type:

Duration:

Malaysia mampu meletakkan kedudukannya sebagai hab logistik serantau memandangkan industri ini diiktiraf sebagai penting untuk merangsangkan perdagangan, memudahkan kecekapan perniagaan dan memacu pertumbuhan ekonomi.

Logistik di Malaysia berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, disokong oleh pemboleh pertumbuhan yang kukuh seperti infrastruktur yang lebih baik, peningkatan jumlah kargo dan pertumbuhan struktur dalam e-dagang.

Industri logistik juga adalah tulang belakang bagi ekosistem rantaian bekalan Malaysia.

Walaupun landskap pasaran semasa masih berasing-asing dengan sejumlah besar peserta meliputi rantaian nilai, penyatuan pasaran adalah dijangka menerusi kemunculan dua kategori besar penyedia logistik, peserta logistik bersepadu utama yang memanfaatkan skala dan jangkauan serta peserta pasaran khusus.

Kementerian Pengangkutan menyusun Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 untuk menambah baik kesalinghubungan logistik bagi menampung ledakan e-dagang, rancangan naik taraf dan peluasan pelabuhan secara berterusan serta peningkatan produktiviti dan daya saing.

Sebagai negara perdagangan ke-24 terbesar di dunia pada 2021, logistik berperanan penting untuk membolehkan pertumbuhan rantaian bekalan Malaysia, dan dengan kebangkitan e-dagang, syarikat memanfaatkan trend yang semakin pesat berkembang ini.

Minat syarikat dalam bidang yang sedang pesat berkembang seperti logistik rantaian sejuk, perkhidmatan penghantaran peringkat akhir dan sebagainya semakin meningkat disebabkan margin yang tinggi dan permintaan kian bertambah.

Dalam aspek ini, kerajaan Malaysia telah merangka pelbagai usaha dan rancangan untuk membantu peserta tempatan meningkatkan rantaian nilai mereka bagi melonjakkan daya saing global mereka.

FDI dan perkhidmatan logistik bersepadu antarabangsa

Satu inisiatif kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan industri logistik adalah menerusi status perkhidmatan logistik bersepadu antarabangsa (IILS).

Ia diberikan kepada syarikat yang mampu menyediakan perkhidmatan logistik bersepadu dan lancar dari pintu ke pintu di sepanjang rantaian nilai sebagai entiti tunggal mengikut skala serantau atau global.

Status IILS tidak mengenakan sebarang sekatan ekuiti malah turut menggalakkan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia melalui penubuhan langsung atau kerjasama dengan peserta tempatan.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Perkhidmatan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Zuaida Abdullah, berkata inisiatif seperti insentif perkhidmatan logistik bersepadu (ILS) dan status IILS dilihat sebagai batu loncatan bagi syarikat tempatan untuk menyediakan perkhidmatan komprehensif bagi mengembangkan lagi pasaran mereka, memberi perkhidmatan kepada pasaran domestik dan global.

“MIDA mendapatkan bantuan beberapa penyedia ILS multinasional untuk bekerjasama dalam pembangunan industri tempatan.

“Melalui penglibatan ini, beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani untuk memperkukuh kerjasama ini. Perkongsian dan inovasi bersama akan menjadi semakin penting untuk mentransformasikan industri,” katanya kepada Bernama di ibu pejabat MIDA baru-baru ini.

MIDA menandatangani MoU dengan AP Moller-Maersk (Maersk) dan DHL untuk memacu pelaburan berkualiti tinggi ke dalam Malaysia sebagai hab logistik ASEAN.

Memorandum itu bertujuan mewujudkan sinergi yang lebih baik dan perkhidmatan nilai tambah untuk pelanggan, serta menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan sektor rantaian bekalan dalam ekonomi tempatan.

Selain itu, semua MoU ini akan memberi faedah dengan peserta tempatan memanfaatkan keupayaan syarikat multinasional (MNC) dalam ekosistem logistik bersepadu.

Zuaida berkata, MIDA terus mempromosikan pembangunan industri melalui insentif ILS dan program status IILS serta berhasrat membimbing lebih banyak syarikat tempatan untuk menjadi peserta serantau atau global pada masa hadapan.

“Sejak status IILS diperkenalkan pada 2008, MIDA telah mengeluarkan kelulusan untuk 259 status IILS yang majoritinya adalah syarikat logistik milik Malaysia. Daripada jumlah itu, 223 ialah syarikat tempatan, manakala baki 36 lagi bagi syarikat asing.

“Bagi insentif cukai pula, sebanyak 105 projek dengan jumlah pelaburan RM10.15 bilion telah diluluskan,” katanya.

Zuaida juga berkata, bagi tempoh Januari hingga September 2022, MIDA mengeluarkan kelulusan untuk 19 status IILS, dengan jumlah pelaburan RM156.59 juta.

Dua projek dengan jumlah pelaburan RM874.24 juta turut diberi insentif cukai.

Meningkatkan lagi perkhidmatan logistik

MIDA akan terus meninjau, menarik dan memudahkan pelaburan berteknologi tinggi, berasaskan pengetahuan dan berintensifkan modal untuk menjana kesan pengganda kepada ekonomi.

Pandemik mempercepat keperluan untuk pendigitalan merentas landskap perniagaan.

Memandangkan logistik penting untuk pelbagai sektor, kadar gangguan digital ke atas proses rantaian bekalan tradisional akan meningkat seiring dengan kemajuan sektor lain.

Zuaida menekankan bahawa program dan inisiatif yang diwujudkan bertujuan antaranya memperkukuh kesambungan digital, meningkatkan keupayaan tenaga kerja sedia ada dan membangunkan bakat serta kemahiran baharu.

“Semasa tempoh perubahan ini, Malaysia memiliki ramuan yang diperlukan untuk berjaya. Usaha yang berterusan bagi menambah baik infrastruktur logistik, mengurangkan karenah birokrasi dan mengeratkan lagi hubungan perdagangan dengan negara rakan kongsi adalah penting di samping menyediakan pengalaman yang lancar untuk peserta logistik dalam rantaian bekalan mereka,” katanya.

Cabaran dan strategi dalam bergerak ke hadapan

MIDA menggalakkan syarikat tempatan untuk menjalinkan perkongsian dengan peserta global supaya pengalaman, kapasiti dan keupayaan luas mereka dapat dimanfaatkan.

Melalui kerjasama seperti itu, syarikat tempatan boleh menggunakan kepakaran MNC untuk mewujudkan pemindahan teknologi dan pengetahuan.

Zuaida berkata, program rantaian bekalan MIDA bertujuan mewujudkan peluang bagi syarikat domestik dan juga menyokong MNC melakukan penyumberan luar aktiviti pembuatan dengan syarikat domestik.

“Ia membangunkan dan menaik taraf syarikat domestik untuk pertumbuhan dalam pelaburan domestik, dan menggalakkan penerimagunaan automasi dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) oleh MNC dan vendor mereka.

“MIDA juga menganjurkan persidangan rantaian bekalan dengan syarikat utama terpilih yang melibatkan MNC dan syarikat domestik secara berkala.

“Antara syarikat utama yang telah bekerjasama dengan MIDA pada 2022 termasuk AT&S dan VAT Manufacturing Malaysia. Objektif persidangan ini adalah meningkatkan manfaat yang disediakan oleh MNC kepada komuniti perniagaan tempatan,” katanya.

Malaysia mahu menggunakan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai sebahagian daripada trend mega global masa kini.

“Dasar Pelaburan Baharu menggariskan strategi penting untuk menggiatkan semula dan memangkinkan ekosistem pelaburan Malaysia bagi mencapai pertumbuhan ekonomi mampan, menyediakan peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan berteknologi tinggi, dan meningkatkan taraf hidup dan mata pencarian rakyat serta menjamin kemakmuran bersama,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia sedia muncul hab logistik serantau utama


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berada di landasan untuk merealisasikan sasaran RM70 bilion bagi pelaburan berkaitan digital, sejajar dengan strategi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang menggariskan usaha dalam mencapai aspirasi MyDIGITAL.

Berasaskan strategi mantap yang dilaksanakan untuk memastikan pelaburan berkaitan digital kekal berdaya saing di negara ini, Pejabat Pelaburan Digital (DIO), sebuah platform kerjasama antara MIDA dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), berjaya memudah cara pelaburan bernilai RM66.47 bilion setakat September 2022, iaitu 99 peratus melebihi sasaran berdasarkan inisiatif MyDIGITAL.

Pusat data terkenal dan projek pengehosan data yang diluluskan termasuk Bridge Data Centres Malaysia III Sdn Bhd oleh China bersama ByteDance System Sdn Bhd serta syarikat senaraian awam Malaysia, YTL Power International Bhd menjadi bukti kesediaan Malaysia untuk menjadi hos kepada lebih banyak projek pelaburan digital.

Pengarah Eksekutif (Pembangunan Perkhidmatan) MIDA, Zuaida Abdullah, berkata penerimagunaan digital dalam kalangan perniagaan di negara ini semakin pesat, walaupun ia masih rendah dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) disebabkan kekangan seperti kos teknologi dan ketiadaan strategi digital.

“Pendigitalan oleh perniagaan semakin lazim pada hari ini. Walaupun usaha itu mencabar bagi PKS, mereka harus menerima kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan Data Raya.

“Bagi tujuan ini, MIDA memudahkan peserta industri dalam usaha transformasi digital mereka untuk mengurangkan jurang digital antara PKS Malaysia dan syarikat multinasional (MNC) di Malaysia,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

MIDA bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Intel Malaysia melancarkan buku kecil kompilasi bukti konsep projek ‘Productivity Through Digitalisation – AI4S Programme’ yang mengetengahkan 31 projek rintis lengkap pada 22 Jun, 2022.

Program AI4S adalah program AI untuk PKS.

Sebanyak 100 PKS dipilih menyertai program AI4S, dengan syarikat terbabit menjalani proses pembolehan teknologi dan latihan menyeluruh bagi melaksanakan projek rintis diperibadikan untuk perniagaan mereka memulakan usaha penerimagunaan teknologi AI dengan pantas.

Penubuhan DIO dan DICP

MIDA dan MDEC mewujudkan DIO pada 2021 untuk menarik, menyelaras, mempromosikan dan memudah cara semua pelaburan digital di Malaysia, selain memperkukuh kerjasama antara semua agensi penggalak pelaburan (IPA) di Malaysia.

Langkah ini disokong oleh Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IR).

Zuaida berkata, penubuhan DIO itu adalah tepat pada masanya dan seiring dengan peralihan pelaburan global kepada pendigitalan dan Revolusi Perindustrian (IR4.0), mencipta saranan nilai unik dan menarik untuk membawa lebih banyak projek berkaitan digital.

“DIO mengadakan libat urus dan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan negeri, penyedia perkhidmatan, IPA, agensi teknikal dan jabatan lain yang berkaitan.

“Ia memanfaatkan rangkaian global MIDA yang mempunyai 21 pejabat luar negara dan 12 pejabat wilayah di seluruh Malaysia untuk menemui pelabur di peringkat lapangan dan membantu dalam pelaksanaan projek mereka,” katanya.

Selain itu, Platform Penyelarasan Pelaburan Domestik (DICP) pula ditubuhkan pada 2018 untuk membantu dan memudahkan syarikat tempatan terutama PKS dalam usaha merapatkan jurang kewangan dan teknologi di samping memperoleh akses pasaran menerusi kerjasama strategik atau usaha sama dengan rakan kongsi yang berpotensi.

Skopnya termasuk suai padan perniagaan teknologi, pembiayaan projek, pengumpulan modal (hutang dan ekuiti), penggabungan dan pembelian, penjualan dan pengambilalihan serta tawaran awam awal (IPO).

“Pada masa ini, unit DICP yang berada di bawah bidang kuasa Bahagian Pelaburan Domestik MIDA, menyelia tiga inisiatif utama iaitu mewujudkan hubungan yang lebih baik dengan sektor perbankan sedia ada, menghubungkan dengan pembiaya pembiayaan alternatif dan mengadakan libat urus dengan syarikat yang bersedia untuk menawarkan IPO,” katanya.

Strategi galakan pelaburan digital

Zuaida turut berkongsi bahawa Malaysia sentiasa mengalu-alukan pelaburan berkualiti dan menggalakkan syarikat-syarikat untuk menerimaguna teknologi baharu dan maju bagi memperkukuh ekosistem industri dengan meningkatkan lagi tahap produktiviti, kecekapan serta menambah baik keupayaan tempatan.

“Memandangkan pendigitalan adalah satu segmen yang berubah pesat serta norma baharu, kami turut menyambut baik teknologi baharu yang dapat memantapkan lagi kemampuan Malaysia sebagai sebuah negara digital.

“Sejajar dengan IR4.0, perniagaan misalnya turut berminat untuk mendapatkan pengetahuan serta kepakaran yang diperlukan,” katanya.

Strategi utama yang digariskan MIDA bagi menggalakkan pelaburan digital itu termasuk Industry4WRD, Dasar Kebangsaan Mengenai Industri 4.0, Dana Intervensi Industry4Wrd dan Elaun Modal Automasi.

Beliau juga menyifatkan inisiatif kerajaan dalam mempercepat pelaksanaan rangkaian 5G menerusi Digital Nasional Bhd sebagai elemen pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Penerimaan teknologi 5G dijangka dapat meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 5.0 peratus atau RM122 bilion dan mewujudkan 750,000 pekerjaan berkemahiran tinggi pada 2030, memacu kecekapan, meningkatkan produktiviti serta menjana peluang baharu bagi ekonomi Malaysia,” katanya.

Setakat Disember 2022, usaha pelaksanaan 5G telah mencapai hampir 50 peratus kawasan liputan di seluruh negara.

Prospek dan tumpuan 2023

MIDA akan terus menggalakkan serta melaksanakan pelan tindakannya untuk meningkatkan penerimagunaan pendigitalan dalam perniagaan dengan lebih banyak tumpuan terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam projek yang dirancangkan.

Sambil menyifatkan usaha berkaitan agenda ESG dan transformasi digital itu sebagai penting, beliau berkata ini lebih ketara pada masa ini yang menjadi tempoh terbaik untuk perniagaan dan teknologi bekerjasama bagi merancang masa depan yang lebih mampan.

“Syarikat-syarikat pusat data misalnya, menetapkan sasaran korporat untuk mengurangkan jejak karbon dan mengetengahkan impian besar bagi mencapai pelepasan karbon sifar bersih dalam tempoh 20-30 akan datang.

“Pada kesudahannya, amalan ESG itu penting kerana memberi manfaat kepada alam sekitar serta masyarakat. Malah, dengan tindakan proaktif dari segi penggalakan dan pelaksanaan inisiatif lestari, industri pusat data akan berada dalam kedudukan terbaik untuk memainkan peranan penting dalam menghubungkan ekonomi global,” katanya.

Selain itu, MIDA turut menggesa MNC untuk melabur dalam dalam aspek mempertingkat kemahiran, latihan semula dan mempelbagai kemahiran dalam usaha merapatkan lagi jurang yang juga sebahagian daripada elemen sosial ESG.

Merujuk Microsoft sebagai contoh, Zuaida berkata syarikat teknologi itu telah mengumumkan komitmennya untuk meningkatkan kemahiran sejuta rakyat Malaysia menjelang akhir 2023 menerusi inisiatif ‘Bersama Malaysia.’

“Setakat Ogos 2022, Microsoft mencapai 60 peratus daripada sasaran meningkatkan kemahiran terbabit atau menyamai 600,000 bakat,” katanya.

Sumber: Bernama

MIDA mampu realisasi sasaran dapatkan RM70 bilion pelaburan digital


Content Type:

Duration:

Lembaga Pelaburan Pembangunan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang memberi peluang bagi kedua-dua negara meneroka potensi pelaburan yang memberi kepentingan bersama.

MoU itu telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman dan Pemangku Pengarah Urusan BIA Sofian Mohammad Jani di Istana Nurul Iman, hari ini.

Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dokumen tersebut antara lainnya memberi pemahaman awal bagi kedua-dua pihak untuk mengadakan rundingan ke arah pelaksanaan dan penyediaan perjanjian lanjut mengenai pelaburan dua hala yang boleh dilaksanakan oleh pihak-pihak tertentu antara Brunei dan Malaysia.

MoU itu merangkumi kerjasama dan pelaburan dua hala dalam sektor minyak dan gas hiliran, ekonomi digital, pembuatan pintar, pertanian pintar, kecerdasan buatan, pelancongan dan industri makanan halal.

Terdahulu, Sultan Hassanal Bolkiah telah berkenan menerima menghadap Anwar yang dalam rangka lawatan rasmi selama dua hari ke Brunei.

Ini disusuli dengan pertemuan empat mata perdana menteri dengan Sultan Hassanal Bolkiah.

Lawatan tersebut merupakan kunjungan kedua ke luar negara bagi Anwar selepas dilantik sebagai perdana menteri ke-10 pada November lepas.

Sumber: Bernama

MIDA, BIA meterai MoU teroka peluang pelaburan


Content Type:

Duration:

Ekonomi Malaysia ketika ini berdepan dengan cabaran perubahan pesat landskap perindustrian susulan kemunculan Industri 4.0 yang juga dikenali sebagai Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0 atau 4IR),

Susulan itu, industri perlu melakukan perubahan dalam cara mereka beroperasi dengan menumpukan kepada peningkatan pertukaran data dan automasi dalam teknologi pembuatan. 

Perubahan landskap perindustrian ini menyediakan peluang bagi industri Malaysia terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk melabur dan mengguna pakai teknologi baharu agar menjadikan mereka lebih cekap dan kompetitif. 

IR4.0 UNTUK TINGKAT EKONOMI

Pada 2021, PKS menyumbang hanya 12 peratus kepada eksport negara berbanding sasaran 25 peratus dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), manakala sumbangannya kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) berjumlah 37 peratus pada 2021 berbanding sasaran 45 peratus dalam RMK-12.

Justeru, PKS perlu digalakkan untuk mengguna pakai IR4.0 untuk memaksimumkan potensi mereka dan membuat sumbangan yang lebih besar kepada nilai eksport negara dan seterusnya menjadi enjin pertumbuhan ekonomi, kata pengarah eksekutif advokasi dasar pelaburan (perkilangan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Masni Muhammad. 

“Dari segi kos operasi dan buruh, kita mempunyai peluang besar untuk memanfaatkan IR4.0 dan teknologi terkini untuk kekal berdaya saing dengan rakan serantau kita seperti Vietnam, Indonesia dan Thailand.

“Dengan melabur dalam jentera canggih dan mengguna pakai teknologi, PKS boleh meningkatkan produktiviti mereka dan kekal kompetitif dalam pasaran global. Marilah kita manfaatkan peluang luar biasa ini untuk mencapai pertumbuhan dan meraih kejayaan,” katanya kepada Bernama. 

Bagi memastikan Malaysia mendapat manfaat optimum daripada IR4.0, Masni berkata kerajaan telah melancarkan Dasar 4IR Negara pada Julai 2021 untuk menyediakan panduan dan menggalakkan kesepaduan dalam mencapai agenda 4IR. 

Dasar 4IR melengkapkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dalam memacu agenda pembangunan ekonomi digital.

KEMUDAHAN SOKONGAN KEWANGAN BAGI PKS

Sebagai sebahagian daripada strategi IR4.0 yang diselaraskan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melantik MIDA sebagai agensi pelaksana bagi kemudahan sokongan kewangan yang dikenali sebagai Dana Intervensi Industry4WRD.

Dana itu akan menyediakan kepada PKS yang layak geran berjumlah sehingga RM500,000 bagi asas padanan (70:30), berasaskan kepada perbelanjaan yang layak.

Maksimum 30 peratus daripada amaun padanan (70 peratus daripada jumlah geran) akan diberikan terlebih dahulu kepada syarikat dan baki geran akan dibayar balik.

Masni berkata sebanyak 281 PKS diluluskan untuk menerima kemudahan sokongan kewangan dari 2020 sehingga 2022, dengan nilai geran berjumlah RM101.4 juta.

Daripada jumlah itu, 82 PKS diluluskan bagi dana tersebut pada 2020, 111 pada 2021 dan 88 pada 2022.

Selain itu, terdapat juga insentif yang dikenali sebagai Elaun Modal Automasi yang menggalakkan syarikat pembuatan dan perkhidmatan untuk mengguna pakai automasi dan meningkatkan produktiviti mereka menerusi pelaburan dalam mesin dan peralatan automatik. 

Bagi insentif ini, kerajaan menyediakan Elaun Modal Automasi sebanyak 200 peratus ke atas perbelanjaan RM4 juta pertama yang ditanggung untuk industri berintensifkan buruh dan 200 peratus bagi perbelanjaan RM2 juta pertama untuk industri lain, termasuk perkhidmatan. 

PROGRAM STRATEGIK UNTUK PERKASA PKS DALAM IR4.0

MIDA juga merangka program strategik untuk terus membantu penubuhan dan pengembangan syarikat multinasional, syarikat besar tempatan dan syarikat bersaiz sederhana di Malaysia.  

Masni berkata MIDA yang dilengkapi dengan ekosistem yang tersusun dan lengkap menggalakkan kerjasama strategik antara syarikat domestik dengan syarikat multinasional dan syarikat besar tempatan untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan tempatan dengan keupayaan teknologi. 

“Program Ekosistem Transformasi Digial MIDA-Perodua yang dilancarkan pada 2020 menjadi pemacu utama yang memacu keupayaan pemain automotif tempatan di Malaysia. 

“Inisiatif ini berjaya menjadikan pemain tempatan terus kekal kompetitif dan bergerak seiring dengan kemajuan industri automotif yang sentiasa berkembang. 

“Menerusi beberapa siri pemudahan, semua vendor telah memulakan usaha digitalisasi mereka yang mengambil masa tiga tahun untuk melengkapkan projek (IR4.0),” katanya.

Selain itu, Masni berkata MIDA bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital (MDEC) sejak tahun lepas bagi penubuhan Pejabat Pelaburan Digital (DIO) untuk menyelaras dan memudahkan semua pelaburan digital di Malaysia, sejajar dengan sasaran kerajaan untuk menarik RM70 bilion pelaburan dalam digitalisasi menjelang 2025.

“Penubuhan DIO tepat pada masa dan seiring dengan evolusi landskap pelaburan global ke arah digitalisasi dan IR4.0, mewujudkan nilai unik dan menarik bagi projek digital. 

“Kluster pendaya digital termasuk infrastruktur pusat data, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan analisis data raya mengembangkan peluang bagi perkhidmatan sokongan, pekerjaan mahir dan meningkatkan kemahiran produktiviti dalam kalangan komuniti perniagaan besar dan kecil,” katanya. 

PROSPEK MASA DEPAN

Masni berkata MIDA telah mengemukakan cadangan baharu kepada kerajaan, terutamanya untuk meningkatkan penggunaan teknologi dan automasi dalam kalangan syarikat tempatan, khususnya PKS.

“Dari segi pembangunan perindustrian, fokus adalah untuk memastikan PKS mengguna pakai teknologi, mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing dan meningkatkan produktiviti,” katanya. 

Sementara itu, beliau turut menggesa PKS agar memanfaatkan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang diratifikasikan kerajaan tahun lepas. 

“Apabila kita memeterai perjanjian perdagangan bebas, akan ada manfaat dari segi kita boleh memasuki pasaran lain, mengembangkan perdagangan dan eksport kita serta banyak lagi, tetapi tidak dinafikan bahawa PKS berdepan dengan cabaran khusus berikutan peningkatan persaingan, manakala sebahagian daripada mereka mungkin belum cukup bersedia

“Oleh itu, kita perlu menambah baik daya saing kita dengan mengguna pakai teknologi, meningkatkan inovasi serta penyelidikan dan pembangunan untuk mengembangkan keupayaan mereka dan memantapkan prestasi,” katanya.

Sumber: Bernama

MIDA galak PKS guna pakai IR4.0 untuk maksimumkan potensi


Content Type:

Duration:

Prospek pelaburan di Malaysia meningkat dengan ketara susulan interaksi berterusan negara dengan ekonomi global, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Beliau berkata ketika ekonomi Malaysia menjalani transformasi, kecekapan teras rakyat perlu terus dibangunkan agar tenaga kerja kita boleh bersaing dengan cekap dalam ekonomi global bagi memberi manfaat kepada negara selain menarik pelaburan berteknologi tinggi dan beralih kepada sektor baharu yang mempunyai kelebihan.

Sulaiman berkata, agensi itu telah memperkenalkan langkah-langkah untuk membangunkan tenaga kerja bersedia bagi masa depan dalam usaha untuk mendepani kesukaran ekonomi dan mengekalkan status negara sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.

Gabungan aktiviti ini dan tenaga kerja yang berkemahiran akan meningkatkan prospek pelaburan antarabangsa, katanya.

“Kita mencapai banyak kejayaan tahun lepas, menetapkan paras tertinggi baharu dalam pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer yang berjumlah RM309.4 bilion.

“Pelabur akan datang sekiranya pelaburan mereka berada dalam persekitaran bersih dengan kawal selia yang telus dan sekiranya kita bekerja bersama-sama dengan kerajaan dan sektor perniagaan untuk melahirkan tenaga kerja yang bekerja keras dan produktif,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, untuk menarik lebih banyak pelaburan masuk ke negara ini, perlu ada kestabilan politik dengan hala tuju yang jelas, ditambah dengan penawaran kumpulan tenaga kerja mahir yang ramai.

Beliau berkata, sektor pembuatan akan mendapat manfaat daripada lebih banyak pelaburan kerana tenaga kerja muda berkemampuan dari segi teknikal dan mereka yang berada dalam bidang itu berminat untuk mengembangkan kebolehan mereka.

Antara tempoh Januari dan September 2022, Malaysia berjaya menarik pelaburan dilulus bernilai RM193.7 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer yang melibatkan 2,786 projek.

Projek ini dijangka mewujudkan 98,414 peluang pekerjaan.

Inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Untuk Tarik Pelaburan Dalam Ekonomi Digital

“Ekonomi kita terbuka kepada pelaburan rentas sempadan dan kepakaran kita dalam membangunkan projek adalah bertaraf dunia. Faktor-faktor ini akan menyumbang kepada peningkatan ketara dalam infrastruktur digital,” kata Sulaiman.

Beliau berkata sokongan padu kerajaan terhadap teknologi maklumat (IT) menjadikan negara destinasi pilihan bagi pelabur teknologi.

Malaysia juga merupakan lokasi pelaburan menarik bagi pusat data, terutama berskala hiper manakala dasar mesra pelabur negara ini disokong oleh prasarana kukuh dan pembangunan tenaga boleh baharu.

“Negara ini mempunyai iklim mesra pelaburan yang kondusif bagi aktiviti perniagaan,” katanya.

Keperluan industri IT turut menjadi penggerak pertumbuhan dalam beberapa industri, termasuk pembekal pusat data serta pengeluar ‘server’ atau pelayan manakala lebih banyak sumber diperlukan bagi menyokong peningkatan permintaan untuk perkhidmatan (pengkomputeran) awan.

Industri IT juga meraih manfaat daripada dasar-dasar kerajaan yang menggalakkan pertumbuhan penggiat domestik dalam perkhidmatan data serta ICT secara umum.

Sulaiman mengunjurkan bahawa pasaran pusat data akan berkembang dalam tempoh tiga tahun akan datang susulan pertambahan pilihan pendanaan atau pembiayaan oleh syarikat-syarikat besar untuk perniagaan.

Selain itu, perniagaan digalakkan melabur dalam sumber tenaga boleh baharu dan menggunakan mesin cekap tenaga yang meliputi panel solar, dapur pembakaran kayu, biogas dan loji kuasa hidro mini.

Beliau berkata kalangan perusahaan kecil dan sederhana yang mematuhi prinsip-prinsip kemajuan mampan mempunyai akses kepada pembiayaan tersebut.

Prospek Masa Depan di Malaysia

Sulaiman berkata unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2023 kekal positif biarpun terdapat cabaran global termasuk tekanan inflasi, ekonomi, ketidaktentuan dan perubahan iklim.

Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi tahun depan dijangkakan dalam lingkungan 4.0 dan 5.0 peratus dan kerajaan berhasrat mengekalkan sokongan fiskal dan bukan fiskal yang tinggi dalam usaha menggalakkan aktiviti ekonomi untuk mengekalkan momentum pertumbuhan KDNK.

“Kami bersedia untuk membangunkan paradigma baharu dalam persekitaran pelaburan,” katanya yang menyifatkan perkara itu berdasarkan pengajaran serta pengalaman sebelum ini.

Beliau berkata sejajar dengan Dasar Pelaburan Baharu (NIP) yang mengutamakan pembangunan pelaburan inovatif, berimpak tinggi, berteknologi tinggi yang penting untuk mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, MIDA akan berusaha meninjau pelaburan sedemikian dalam menggalakkan pembangunan sosioekonomi dan pertumbuhan perdagangan.

“Kami mahu mencabar diri kami sendiri dengan berusaha gigih serta membangunkan cara kami sendiri sebagai sebuah pasukan. Malaysia juga masih kekal sebagai pilihan utama bagi pelaburan langsung asing di rantau ini,” katanya.

Malah, Malaysia merupakan pasaran yang amat berpotensi bagi syarikat yang berhasrat mengembangkan lagi operasi masing-masing susulan ciri pentadbirannya yang mesra perniagaan dan kesalinghubungan dengan negara-negara lain di rantau ini.

“MIDA akan terus berusaha untuk memberi jaminan kepada pelabur bahawa mereka dapat meraih kejayaan walaupun belum tiba di sini lagi menerusi usaha seperti memupuk pembangunan perniagaan serta tenaga kerja tempatan,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia akan tumpu kepada kecekapan teras tenaga kerja untuk tingkat prospek – Pengerusi MIDA


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam bakal melancarkan Peta Pelabur Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia yang julung kali diadakan pada 2023.

MIDA berkata peta itu akan memberikan pandangan dan alat yang diperlukan oleh sektor swasta untuk meningkatkan pelaburan mereka ke arah SDG selain mengisi jurang pembiayaan yang dihadapi oleh kerajaan dalam memenuhi sasaran SDG.

“Peta Pelabur SDG akan membantu memperkenalkan peluang yang belum diterokai yang berpotensi untuk memacu pembangunan pesat,” kata Pengerusi MIDA Tan Sri Sulaiman Mahbob dalam satu kenyataan.

Ia juga akan memberi hala tuju yang jelas kepada kerajaan untuk memberi tumpuan kepada bidang baharu yang boleh mendapat manfaat daripada pelaksanaan dasar dan penyediaan sumber seperti modal insan serta inisiatif pembangunan kapasiti, katanya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB dan Pentadbir Bersekutu UNDP Usha Rao-Monari menjelaskan sekarang adalah masa untuk perniagaan swasta serta pelabur meletakkan taruhan mereka pada pelaburan sensitif iklim dan bukan hanya melindungi risiko iklim mereka.

“(Mereka mampu) membuat nilai perniagaan sebenar daripada produk dan perkhidmatan hijau, selain penyelesaian mitigasi dan penyesuaian iklim.

“Dengan menceburi produk dan perkhidmatan baharu yang menyumbang kepada penyelesaian iklim, perniagaan boleh memperoleh pulangan pasaran yang baik termasuk menjadi peneraju dalam industri masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu, MIDA berkata seperti yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Global mengenai Adaptasi pada 2019, pelaburan bernilai US$1.8 trilion (US$=RM4.40) dalam langkah penyesuaian perubahan iklim dijangka membawa pulangan sebanyak US$7.1 trilion dalam kos dielakkan dan faedah-faedah lain.

Sulaiman dan Usha berkata demikian pada ‘Dialog Sektor Swasta mengenai Peta Pelabur SDG’, bertemakan “Kelestarian Penting : Pelaburan untuk Masa Hadapan yang lebih Baik”, anjuran bersama UNDP dan MIDA di sini hari ini.

Dialog itu bertujuan untuk melibatkan diri dengan pemain industri dalam mengenal pasti peluang pelaburan baharu dengan sumbangan berpotensi kepada SDG, di samping menjana pulangan pasaran yang menarik.

Sumber: Bernama

MIDA, UNDP sedia lancar Peta Pelabur SDG Malaysia tahun hadapan


Content Type:

Duration:

Sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia dijangka menyumbang RM120 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan menjana pendapatan eksport RM495 bilion menjelang 2025 berikutan Malaysia terus menarik pelaburan berkualiti tinggi dan dijangka mengekalkan trajektori pertumbuhannya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Penggalakan Pelaburan dan Pemudahan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata bagi separuh pertama 2022 sektor pembuatan menarik RM43.1 bilion pelaburan.

“Antara subsektor industri pembuatan Malaysia, E&E membuktikan kekuatan dan keteguhannya dengan terus menarik jumlah pelaburan tertinggi.

“Dalam tempoh ini, industri mencatatkan sejumlah RM19.49 bilion pelaburan yang diluluskan dan kami menjangka menjana lebih 13,000 peluang pekerjaan, termasuk jawatan berkemahiran tinggi seperti pengurusan, jurutera dan juruteknik,” katanya semasa ucapan perasmian di Malaysia Forum Elektrik dan Elektronik Kebangsaan 2022 di sini hari ini.

Sivasuriyamoorthy berkata industri E&E adalah penting dalam sektor pembuatan dan berfungsi sebagai elemen penting kepada kemakmuran ekonomi negara.

“Sektor ini juga merupakan asas sebenar industri semikonduktor global, menghasilkan 13 peratus daripada semikonduktor bahagian belakang dunia pada 2021, dengan eksport menyumbang 40 peratus daripada jumlah keluaran negara.

Sivasuriyamoorthy berkata beberapa perniagaan elektronik paling berprestij dan inovatif di dunia, seperti Intel, STMicroelectronics, Infineon dan lain-lain telah meningkatkan operasi mereka di Malaysia.

“MIDA komited untuk membina rantaian bekalan elektronik yang berdaya tahan dan mampan di rantau ASEAN.

“Selain pemain industri tempatan, kami memperluaskan manfaat ekosistem pembuatan kami kepada perniagaan dan jenama global,” katanya.

Rantaian bekalan yang berdaya tahan dan mampan

Sivasuriyamoorthy berkata sehingga awal tahun ini, cabaran terbesar yang dihadapi industri semikonduktor global ialah kekurangan bekalan, terutamanya dicetuskan oleh permintaan yang melambung tinggi untuk produk pengguna elektronik, seperti komputer meja dan telefon pintar, semasa pandemik COVID-19.

Beliau berkata ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China juga menambah kesukaran bagi beberapa pemain semikonduktor global dan mengakibatkan gangguan rantaian bekalan global.

“Untuk mengukuhkan lagi rantaian bekalan semikonduktor, Malaysia telah menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) AS-Malaysia pada Mei 2022 mengenai Ketahanan Rantaian Bekalan Semikonduktor, yang bertujuan untuk menyediakan prinsip panduan untuk kedua-dua negara,” katanya.

Sivasuriyamoorthy berkata MIDA komited untuk membina rantaian bekalan elektronik yang berdaya tahan dan mampan di rantau ASEAN.

“Selain pemain industri tempatan, kami memperluaskan manfaat ekosistem pembuatan kami kepada perniagaan dan jenama global.

“Penyertaan yang semakin meningkat serta usaha penyelidikan dan pembangunan dalam pelbagai lapisan pelabur domestik dan asing kami juga akan meningkatkan rantaian nilai industri,” katanya.

Beliau berkata perniagaan boleh memanfaatkan potensi pertumbuhan sektor E&E, yang akan meningkatkan lagi ekonomi negara dengan strategi dan pengetahuan yang betul.

Sumber: Bernama

Sektor E&E dijangka jana pendapatan eksport RM495 bilion menjelang 2025 – MIDA


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bersedia untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam mengguna pakai penyelesaian Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) menerusi peruntukan geran kerajaan.

Susulan itu, MIDA hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Collaborative Research in Engineering and Science and Technology Centre (CREST) dan Dassault Systèmes Singapore Pte Ltd bagi tujuan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Wira Arham Abdul Rahman berkata MIDA komited untuk membantu PKS menerusi geran kerajaan terutamanya bagi mereka yang mahu mengambil bahagian dalam Revolusi Perindustrian 4.0.

“Inisiatif yang tepat pada masa ini bertujuan untuk memperkasakan PKS tempatan kita dan melengkapkan mereka dengan teknologi terkini bagi meningkatkan kecekapan perniagaan mereka dengan mengguna pakai penyelesaian ERP bertaraf dunia.

“Kami amat berbangga dengan penglibatan MIDA dalam inisiatif ini untuk memperkasakan firma dan PKS Malaysia bagi mengukuhkan lagi keupayaan teknikal mereka dan menguasai teknologi moden yang seterusnya membolehkan mereka berkembang maju,” katanya pada sidang media selepas majlis permeteraian MoU itu di sini, hari ini.

Kerjasama itu bertujuan untuk mewujudkan jawatankuasa pemandu bagi membincangkan skop, keperluan, peranan dan pelan dalam menyokong PKS Malaysia dalam transformasi mereka kepada Industri 4.0 serta mengukuhkan kolaborasi berasaskan awan menerusi penggunaan penyelesaian ERP bertaraf dunia.

Penyelesaian ERP akan memanfaatkan teknologi berkembar maya Dassault Systèmes menerusi platform 3DEXPERIENCE, terutamanya dalam perisian reka bentuk bantuan komputer dan penyelesaian Product Lifecycle Management, yang digunakan dalam pelbagai industri termasuk pembuatan, kejuruteraan dan sains hayat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CREST Jaffri Ibrahim berkata MoU itu bertujuan untuk menyediakan platform yang membolehkan perniagaan Malaysia berkembang maju dalam persekitaran perniagaan yang kompetitif pasca pandemik.

“Kami sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan kerajaan, ketua industri dan ahli akademik bagi memajukan pengetahuan saintifik di negara ini.

“Justeru kami menyasar untuk memperkukuh inovasi dan penyelidikan tempatan di samping membantu perniagaan tempatan mengharungi cabaran dan merebut peluang dalam situasi normal baharu ini,” katanya.

Sumber: Bernama

MIDA sedia bantu PKS guna pakai penyelesaian ERP menerusi geran kerajaan


Content Type:

Duration:

Industri plastik Malaysia terbukti berdaya tahan ketika pandemik COVID-19 dan kekal berada di landasan tepat untuk terus mencatat pertumbuhan kukuh.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata setakat Jun 2022, sejumlah 33 projek telah mendapat kelulusan yang melibatkan pelaburan terkumpul sebanyak RM503.5 juta bagi sektor berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata seiring dengan perkembangan industri plastik, syarikat-syarikat terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu memberi tumpuan terhadap aspek inovasi serta bertindak meningkatkan produktiviti untuk bersaing dan merebut peluang baharu.

“MIDA misalnya telah bertindak proaktif dengan mengambil inisiatif bagi memastikan kalangan pelabur mendapat akses ke atas prasarana dan kemudahan yang tepat dan tenaga kerja mahir dalam memenuhi keperluan perniagaan,” katanya ketika menyampaikan ucap tama pada persidangan mengenai bantuan kerajaan di ibu pejabat MIDA di sini, pada Rabu.

Seramai 100 peserta telah menghadiri program khusus bagi industri plastik yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) untuk berkongsi maklumat mengenai pelbagai dasar, kemudahan serta bantuan yang disediakan kerajaan.

Arham berkata, insiatif serta bantuan disediakan oleh MIDA kepada pengilang produk plastik termasuk Geran Automasi Pintar Dana Intervensi Industry4WRD, Elaun Modal Automasi (ACA) serta Platform Penyelarasan Pelaburan Domestik (DICP).

“Malaysia juga komited dalam mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050. Sehubungan itu, MIDA bekerjasama rapat dengan MPMA untuk memacu kerjasama industri selain memahami permintaan dan bekalan sumber plastik kitar semula.

“Syarikat-syarikat perlu mengenal pasti kaedah praktikal bagi pemulihan sumber dan disalurkan semula kepada pengeluaran,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden MPMA Datuk Noraini Soltan pula mengetengahkan pelbagai cabaran yang terus dihadapi industri plastik, termasuk kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos akibat pelaksanaan gaji minimum serta kenaikan kadar faedah dan penyusutan permintaan dari luar negara akibat kelembapan ekonomi.

Berikutan itu, bagi kemajuan masa depan, pengilang plastik tiada pilihan kecuali beralih kepada teknologi tinggi untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing serta tenaga yang kurang mahir.

“Kemampuan industri plastik menghasilkan produk berkualiti tinggi pada harga kompetitif akan memperkukuh lagi peranan kita selaku industri sokongan dan seterusnya menarik lebih banyak pelaburan langsung asing.

“Oleh kerana usaha pelaburan dalam teknologi tinggi serta automasi merupakan proses yang panjang dan fakta bahawa 90 peratus syarikat plastik adalah PKS, (maka) bantuan dan sokongan berterusan daripada kerajaan dalam bentuk geran, insentif dan pembiayaan adalah amat penting.

“Ini akan membolehkan lebih banyak syarikat plastik mempunyai sumber memadai bagi melabur dalam jentera canggih serta pembangunan produk baharu bagi pertumbuhan lebih mampan,” katanya.

Selain MIDA, persidangan MIDA-MPMA itu turut mengetengahkan barisan penceramah mewakili Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), United Overseas Bank Ltd dan TalentCorp Malaysia.

Noraini berkata wakil industri yang hadir juga mendapat manfaat daripada maklumat yang dikongsi oleh barisan penceramah mengenai bentuk bantuan serta kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

“Kita berharap para peserta dapat memperoleh maklumat berfaedah yang dapat membantu mereka dari segi merangka strategi berkesan dalam mengubah model perniagaan dan operasi. Program seperti ini juga diharapkan dapat meningkatkan kedudukan mereka dalam rantaian nilai,” katanya.

Sumber: Bernama

Industri plastik Malaysia kekal berdaya tahan, tumbuh kukuh – MIDA


Content Type:

Duration:

Syarikat makanan dan minuman, Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd terus meneroka dan mengembangkan pasarannya ke serata dunia hasil gandingan kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Pengurus Kanan Perhubungan Korporat Mamee Sharszany Shahry Abu Shahriman berkata kerjasama dengan badan agensi kerajaan itu antara lain dapat mengukuhkan lagi operasi harian syarikat berkenaan.

“Selama ini kerjasama kukuh antara kedua pihak telah membantu Mamee menjadi syarikat makanan dan minuman Malaysia bertaraf multinasional dengan eksport ke lebih 80 negara, termasuk Jordan, Australia, Thailand, Singapura, Indonesia, Myanmar dan Filipina,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, kerjasama itu juga diperluas dengan status ‘Principal Hub’ yang mendapat kelulusan MIDA baru-baru ini yang mewujudkan suatu bentuk transformasi untuk Mamee dari segi pengoperasian dan komersial.

“Secara operasi, Mamee berkeupayaan melabur dalam teknologi Revolusi Industri 4.0 dengan mengautomasikan kilang produksi untuk meningkatkan kadar kecekapan, selain mengilangkan lebih banyak produk berkualiti untuk pengguna serata dunia.

“Secara komersial pula, Principal Hub akan membantu Mamee menjadi ‘proposisi’ yang menarik untuk rakan niaga lain di serata dunia,” katanya.

Selain itu, Sharszany Shahry berkata kolaborasi itu juga membantu Mamee membina rangkaian jenama yang lebih kuat di peringkat global dengan terbaharu peluang pasaran ke benua Afrika selepas dijemput MIDA ke program bersama negara-negara Afrika baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Mamee sentiasa menerapkan penambahbaikan dalam operasi sehariannya dari segi pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) seperti digalakkan kerajaan.

“Ia termasuk menyediakan sistem penuaian air hujan dan teknologi panel solar untuk pematuhan alam sekitar serta menjaga kebajikan para pekerja dengan menyediakan persekitaran kerja kondusif dan makanan berkualiti.

“Bagi tadbir urus pula, meskipun Mamee merupakan perniagaan yang diuruskan oleh ahli keluarga serta merupakan perniagaan swasta, Mamee sentiasa menerapkan asas membina perniagaan ini berteraskan meritokrasi dan akauntabiliti,” katanya.

Sharszany Shahry berkata untuk pelan jangka panjang, Mamee kini melabur dalam rangkaian perniagaan permulaan (start-ups) bagi perkhidmatan perniagaan makanan dan minuman tertentu di bawah Mamee Ventures, antaranya The Good Crisps Company di Amerika Syarikat.

Katanya, Mamee juga mempunyai rangkaian kerjasama sedia ada dengan Hausboom di bawah naungan The Boom Bevlab, selain Daebak bersama Shinsegae Food Korea dan tidak lama lagi Better Baker untuk produk kek serta biskut.

Sumber: Bernama

Mamee kerjasama dengan MIDA teroka pasaran dunia


Content Type:

Duration:

Pelaburan langsung domestik (DDI) adalah sama pentingnya kepada ekonomi Malaysia seperti pelaburan langsung asing (FDI).

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman, berkata dalam 10 tahun lalu dari 2012 hingga 2021, FDI menyumbang 35.8 peratus atau RM761.7 bilion, manakala DDI menyumbang 64.2 peratus atau RM1.364 trilion dalam semua sektor ekonomi.

“Sektor perkhidmatan menyaksikan tahap tertinggi pelaburan diluluskan (RM1.2 trilion), diikuti sektor pembuatan (RM818.4 bilion) dan sektor primer (RM103.7 bilion).

“Kita mesti faham bahawa FDI hanyalah sebahagian daripada persamaan, manakala industri dan ekosistem domestik yang kukuh juga penting.

“FDI dan DDI saling melengkapi. Kedua-dua pelaburan itu adalah dari keadaan pasaran yang sama iaitu perniagaan yang kompetitif, saksama dan stabil.

“Permintaan domestik yang kukuh menghasilkan lebih banyak DDI. Justeru, DDI yang sihat adalah penting untuk FDI yang berjaya,” katanya dalam program ‘Anjakan Paradigma: Meningkatkan DDI Bagi Pertumbuhan Ekonomi Mampan’ anjuran MIDA di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Ambank Research, Dr Anthony Dass, berkata DDI dipertingkatkan bagi memastikan ia dapat menyumbang kepada ekonomi negara secara mampan.

Beliau berkata, Malaysia ketika ini mempunyai jumlah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang besar dan adalah penting supaya syarikat berkenaan diperkasakan.

Justeru, katanya bagi memastikan kelangsungan DDI, semua pihak harus memainkan peranan meningkatkan kapasiti PMKS.

“Kita perlu meningkatkan 10 peratus perusahaan mikro ke kecil dan 10 peratus kecil ke sederhana seterusnya 10 peratus sederhana ke besar.

“Tidak perlu menyasarkan jumlah yang besar, cukup dengan hanya 10 peratus sasaran peningkatan. Ini secara tidak langsung akan menjadi satu daya penarik kepada perusahaan PMKS lain untuk turut berganjak dari satu peringkat ke satu peringkat,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam program itu.

Das berkata, fokus juga harus diberikan kepada lonjakan pantas ke arah elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam kalangan PMKS tempatan memandangkan hampir 70 peratus syarikat luar yang menjalankan aktiviti perniagaan di Malaysia menggunakan elemen itu.

Katanya, jika PMKS terlewat untuk melaksanakannya, ia akan memberi satu kerugian seterusnya menjejaskan DDI.

Pengarah dan Ketua MIDF Research, Imran Yassin pula berkata menghidupkan semula DDI adalah penting bagi meningkatkan kapasiti produktif ekonomi, mempercepatkan kemajuan teknologi, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengembangkan eksport.

Beliau berkata, sebagai negara kesembilan yang meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), perniagaan akan mendapat manfaat selanjutnya menyumbang kepada pemulihan Malaysia.

Sumber: Berita Harian

DDI, FDI sama penting kepada ekonomi Malaysia


Content Type:

Duration:

Majlis Pemuliha Negara (MPN) menyifatkan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) merupakan kombinasi terbaik untuk memacu ekonomi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dilihat boleh mendapatkan bantuan MPC bagi meningkatkan produktiviti kerana PMKS merupakan komponen terbesar dalam ekonomi negara.

Katanya, PMKS merupaka 98% daripada kuasa ekonomi negara berbanding negara barat hanya sekitar 55% dan Malaysia seharusnya memberi tumpuan kepada mempertingkatkan kemahiran keusahawan selain memberi fokus kepada kedudukan kewangan mereka.

“MPC boleh bekerjasama dengan PMKS utuk tingkatkan produktiviti manakala MIDA menggalakkan pelaburan dan Matrade membantu mengembangkan pasaran ke luar negara, ini merupakan kombinasi terbaik untuk memacu ekonomi negara,” katanya pada sidang media khas, baru-baru ini.

Sulaiman mencadangkan agar satu kajian terperinci dilakukan bagi menjadikan PMKS sebagai syarikat ‘mid tier’ yang boleh memberi sokongan kepada syarikat multinasional.

Pada masa sama, kajian itu juga perlu melibatkan usaha utuk menjadikan mereka sebagai pemain industri global yang mampu memberi sumbangan lebih besar kepada negara.

“Kajian yang dibuat itu perlu dibuat secara terperinci, tengok apa bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada mereka.

“Kita boleh membuat kajian terhadap syarikat-syarikat kecil yang berjaya seperti di Taiwan, Korea Selatan dan Jepun, lihat bagaimana kita menaikkan taraf PMKS,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan moratorium khas kepada PMKS, Sulaiman berharap kerajaan yang bakal dibentuk nanti untuk melihat isu berkenaan kerana mereka merupakan komponen kritikal dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam padaitu, beliau berkata, MPN mengutamakan keselamatan makanan dalam memastikan sumber makanan penduduk di negara ini berada pada tahap optimum.

Katanya, tanah-tanah di bawah kerajaan negeri harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk menghasilkan bahan makanan sekali gus mengelak kebergantungan kepada bahan import dan mengurangkan kesan inflasi.

“Tahun 1970 kita ada rancangan Buku Hijau..apa program untuk bantu dan kalau boleh sekarang kita kena kurangkan import, pasal itu perkara ini saya nak respon cepat untuk mengatasi inflasi,” katanya.

Beliau berkata, setiap kerajaan negeri harus memanfaatkan hasil bumi kerana tanah di bawah tanggungjawab mereka.

“Mafi (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan), FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), MARDI (Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia) bagi benih dan baja kerajaan negeri kena memperuntukan tanah untuk pertanian hasilkan bahan-bahan makanan, tanam bahan yang kita banyak import.

“Bahan-bahan yang dikeluarkan juga mestilah lebih murah dari bahan import,” katanya.

Sumber: DagangNews.com

MPC, MIDA dan Matrade kombinasi terbaik
pacu ekonomi negara – MPN


Content Type:

Duration:

Meningkatkan pelaburan langsung domestik (DDI) adalah penting untuk pertumbuhan mampan Malaysia memandangkan sumbangannya yang besar kepada ekonomi negara, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Arham Abdul Rahman berkata DDI memainkan peranan penting dalam ekonomi tempatan, terutamanya dalam keadaan ketidaktentuan global, dan penting untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI).

Beliau seterusnya menambah bahawa FDI dan DDI saling melengkapi kerana keadaan pasaran yang sama – iklim perniagaan yang berdaya saing, saksama, stabil dan dikawal selia dan kedua-dua segmen berhak mendapat perhatian yang sama.

“FDI hanyalah sebahagian daripada persamaan dalam ekonomi – industri domestik dan ekosistem yang kukuh juga penting.

“Permintaan domestik yang kukuh menghasilkan lebih banyak DDI dan DDI yang sihat adalah penting untuk FDI yang berjaya,” katanya pada satu perbincangan panel bertajuk “Menganjak Paradigma: Meningkatkan DDI untuk Pertumbuhan Ekonomi Mampan” di sini hari ini.

Pada 2012-2021, DDI menyumbang 64.2 peratus, atau RM1.364 trilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam ekonomi Malaysia, manakala baki 35.8 peratus (RM761.7 bilion) adalah FDI.

Dalam sektor perkhidmatan, 84.2 peratus atau RM1.014 trilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan di negara ini dikuasai oleh DDI, manakala FDI berjumlah RM190.4 bilion.

Bagi pembuatan, 35.5 peratus atau RM290.8 bilion pelaburan yang diluluskan disumbangkan oleh DDI manakala bahagian yang lebih besar ialah FDI, berjumlah RM527.6 bilion.

Sumber: Bernama

MIDA: Pelaburan langsung domestik perlu ditingkat untuk kekalkan pertumbuhan ekonomi


Content Type:

Duration:

Malaysia masih lagi menjadi lokasi pilihan yang paling diingini di rantau ini untuk hab pusat data, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Wira Arham Abdul Rahman.

Disokong oleh sumber yang banyak, persekitaran yang menggalakkan dan infrastruktur digital yang maju, Malaysia telah berkembang menjadi pasaran yang matang untuk pusat data, kata beliau sempena pembukaan besar-besaran fasa pertama pusat data hiperskala Bridge Data Centres (BDC) di Sedenak, Johor semalam.

“Ini menunjukkan kesediaan negara untuk menjadi hab pusat data serantau,” katanya dalam satu kenyataan bersama oleh MIDA, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan BDC hari ini.

Arham berkata, pembukaan secara besar-besaran itu menandakan kejayaan Malaysia sebagai negara yang berdaya saing dalam menarik pelaburan pusat data.

Beliau berkata, MIDA melalui Pejabat Pelaburan Digital dan Unit Pemecut dan Penyelarasan Projek, sangat menyokong projek itu sejak di peringkat prapelaburan sehinggalah kepada fasa pelaksanaan.

“Kami sangat teruja dan berbesar hati kerana dipilih oleh BDC dan ByteDance System Sdn Bhd sebagai lokasi pilihan mereka untuk penubuhan pusat data hiperskala ini,” tambahnya.

ByteDance System akan menjadi penyewa utama pusat data hiperskala BDC bersama komitmen pelaburan jangka panjang mereka di negara ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, kemudahan baharu itu akan meningkatkan bukan sahaja kependaman dan kecekapan tetapi juga membantu menarik perniagaan dan pelaburan global lain ke negara ini.

Dengan pertumbuhan pesat penyedia perkhidmatan awan dan media digital, BDC mendapat sokongan penuh daripada Bain Capital yang berpangkalan di AS untuk mengembangkan perniagaan pusat data hiperskalanya di rantau Asia Tenggara.

Syarikat itu akan membina lagi pusat data 100 megawatt (MW) dalam tempoh lima tahun akan datang di seluruh Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Fasa pertama pusat data di Sedenak itu adalah yang pertama daripada tiga bangunan dalam projek pusat data hiperskala 110MW yang meliputi kawasan seluas 15.4 hektar.

BDC merupakan salah satu syarikat pusat data terbesar di rantau ini, menyediakan penyelesaian pusat data hiperskala dan borong.

Ia juga merupakan syarikat pertama berstatus Malaysia Digital yang menyiapkan pembinaan dan penyerahan pusat data hiperskala yang sedia digunakan pada 2022.

Sumber: Bernama

Malaysia jadi lokasi paling diingini untuk hab pusat data serantau — MIDA


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Halal Development Corporation Bhd (HDC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkasa aspek keupayaan, kapasiti industri dan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak terbabit berkata MoU yang membolehkan HDC memanfaatkan keseluruhan kemudahan MIDA, juga memaparkan komitmen berterusan agensi pelaburan negara itu dalam melaksanakan projek pelaburan berteknologi, nilai tambah serta inovasi tinggi di dalam serta luar negara.

“Kerjasama itu dilihat sebagai bertepatan bagi memberi sokongan kewangan yang memadai kepada penggiat industri, terutama pelabur domestik dalam mengembangkan lagi usaha kerajaan untuk kemudahan pelaburan di Malaysia.

“Malah, ini juga sejajar dengan rangka kerja Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi (CEO) Datuk Arham Abdul Rahman berkata MoU akan terus mengukuhkan lagi kejayaan kerjasama antara MIDA dan HDC selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat pembangunan ekosistem halal.

“Kerjasama ini menyasarkan skop kerjasama ekonomi lebih luas antara MIDA dan HDC. Kami telah mengembangkan rangkaian kami untuk meningkatkan lagi kemudahan pelaburan dan pada masa sama memberi peluang dalam perniagaan baharu dan inovatif serta bidang strategik yang merangkumi projek-projek bagi meningkatkan pelaburan, termasuk taman-taman halal selain penganjuran bersama acara berkaitan.

“Langkah mengutamakan pembangunan teknologi adalah penting, terutama ketika pasca-COVID-19 memandangkan peranan serta kewajaran pelaksanaannya selepas pandemik itu berlaku,” katanya.

Menurutnya, ini juga akan memberi manfaat kepada pelaksanaan teknologi dan peningkatan inovasi dalam industri halal yang menyaksikan banyak kejayaan Malaysia.

Sementara itu, CEO HDC Hairol Ariffein Sahari berkata setakat ini, taman halal Malaysia telah menarik pelaburan berjumlah RM16.28 bilion sejak 2011.

Beliau berkata, pelaburan langsung asing di taman-taman halal merekodkan peningkatan sebanyak RM95 juta atau 45.7 peratus pada 2021, sekali gus membuktikan bahawa industri halal tempatan masih terus berkembang walaupun mengharungi pelbagai cabaran.

Sumber: Bernama

MIDA, HDC meterai MoU bagi perkasa kapasiti industri halal


Content Type:

Duration:

Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) membuka pejabatnya di Istanbul bagi menyediakan peluang ekonomi baharu dan memacu pertumbuhan mantap dalam perdagangan dua hala di antara Malaysia dan Türkiye.

Pejabat MIDA di Istanbul akan berfungsi sebagai pintu masuk untuk pelabur Türkiye yang bercita-cita mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia dan sebaliknya, kata MIDA dalam satu kenyataan hari ini.

“Para pelabur akan dapat mengakses maklumat terkini mengenai dasar dan peluang pelaburan, perkongsian usaha sama atau kerjasama teknologi,” kata kenyataan itu.

MIDA berkata, banyak peluang perniagaan menanti pelabur Türkiye, terutamanya dalam industri mesin dan peralatan, aeroangkasa, teknologi maklumat dan komunikasi, teknologi digital, pembuatan makanan termasuklah segmen halal.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan pembukaan pejabat MIDA di Istanbul adalah paling tepat pada masanya untuk mengeksploitasi sepenuhnya potensi pelaburan Türkiye yang dipertingkatkan dalam pembuatan dan perkhidmatan termasuk pembuatan termaju, mesin dan peralatan, aeroangkasa dan pelaburan digital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata, selain membantu MIDA menarik peluang pelaburan baharu ke negara ini, Malaysia juga sedang mencari kerjasama baharu untuk berkembang secara bersama.

Pejabat baharu itu akan membantu meluaskan program jangkauan mereka dengan rakan dagangan Türkiye termasuk negara-negara seperti Rusia, Greece, Cyprus, Azerbaijan, Georgia dan tujuh negara “Stan” di Asia Tengah.

“Pelabur Türkiye yang berminat untuk mencari perkongsian usaha sama atau kerjasama teknologi dengan perniagaan Malaysia boleh mendapatkan maklumat di pejabat ini.” katanya.

MIDA berkata, bagi separuh pertama 2022 Malaysia menarik pelaburan yang diluluskan bernilai RM123.3 bilion (AS$28.0 bilion) dalam sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan melibatkan 1,714 projek. Projek tersebut mampu menjana kira-kira 57,771 peluang pekerjaan di negara ini.

Pelaburan langsung asing kekal sebagai penyumbang utama, yang mewakili 70.9 peratus atau RM87.4 bilion (AS$19.9 bilion), manakala pelaburan daripada sumber domestik menyumbang 29.1 peratus yang berjumlah RM35.9 bilion (AS$8.2 bilion).

“Dengan pejabat baharu MIDA di Istanbul, Türkiye sudah pasti akan menyumbang secara besar-besaran kepada pembangunan sosio-ekonomi dan membawa pertumbuhan baharu ke dalam landskap pelaburan Malaysia,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Gerbang masuk pelaburan Malaysia-Turkiye


Content Type:

Duration:

Kedah menerima 71 projek yang diluluskan dengan pelaburan berjumlah RM9.7 bilion dari Januari hingga Jun 2022, dengan RM8.9 bilion daripada sumber asing, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman, berkata projek-projek ini akan berperanan penting untuk mencipta lebih 3,209 peluang pekerjaan.

“Meskipun dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar, Kedah merupakan satu daripada lima negeri utama untuk pelaburan oleh komuniti perniagaan,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada program MIDA Invest Series: Unfolding States Business Potential (Kedah).

Arham berkata, Unit Pencepatan dan Penyelarasan Projek atau [email protected] yang memudahkan pelaksanaan projek pelaburan di negeri ini dengan pantas, turut membantu Kedah menerusi sejumlah 277 projek pembuatan yang diluluskan sejak 2017 hingga Julai 2022.

“Sebanyak 188 projek (68 peratus) telah dilaksanakan, 68 projek (24 peratus) di peringkat perancangan aktif seperti perolehan tapak dan perbincangan/rundingan dengan pihak berkepentingan yang relevan dan 21 projek (lapan peratus) pula belum dilaksanakan,” katanya sambil menyatakan, setakat ini MIDA telah mempermudah dari segi pelaksanaan 1,600 projek.

Menurutnya, wilayah Utara Malaysia telah memacu pertumbuhan industri pembuatan sejak bertahun-tahun sebagai destinasi pilihan dalam aktiviti pembuatan semikonduktor luar pesisir serta hab serantau elektrik dan elektronik yang berkembang maju.

“Daripada Kedah Aerotropolis, sehinggalah ke pelbagai taman perindustrian, Kedah mempunyai potensi untuk tampil sebagai hab perindustrian global.

“Langkah untuk memperkenalkan Permit Pembinaan Ekspres yang dikenali sebagai E10 jelas memperlihatkan aspirasi Kedah untuk menjadi destinasi paling sesuai untuk pengembangan perniagaan global,” katanya.

Beliau berkata, Kedah telah menunjukkan kemajuan yang mengagumkan baru-baru ini, sekali gus membuktikan ia bukan sekadar sebagai negeri jelapang padi Malaysia.

Insiatif E10 mempercepat proses yang membolehkan pelabur untuk beroperasi dalam tempoh 10 bulan berbanding waktu purata 24 bulan.

“Malah, E10 mula dilaksanakan di Kedah khususnya oleh Majlis Perbandaran Kulim dan telah diperakui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) sebagai contoh amalan terbaik yang boleh dicontohi negeri lain dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Sementara itu, Arham berkata terdapat syarikat terkemuka yang memanfaatkan infrastruktur dan rangkaian perkhidmatan sokongan di Kedah yang kukuh dan berpengalaman.

Antara syarikat yang telah mempunyai operasi di Kedah adalah Intel, Risen Solar Technology, Infineon, First Solar dan Fuji Electric.

“Syarikat-syarikat ini menjanjikan banyak kerjasama dan peluang selanjutnya kepada perniagaan tempatan kita,” katanya.

Sumber: Bernama

Kedah terima pelaburan RM9.7 bilion dari Januari hingga Jun


Content Type:

Duration:

Program anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bersama kerajaan Kedah iaitu ‘MIDA Invest Series: Unfolding State’s Business Potential’ akan menjadi platform efektif untuk mempromosikan negeri ini sebagai lokasi mesra pelaburan.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Kedah Bhd, Muhamad Mahazi Ibrahim berkata beliau akan membuat pembentangan mengenai kemudahan yang disediakan kerajaan negeri termasuk kawasan strategik untuk pelabur dalam program yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 22 Sept, 2022.

“Kita ada perindustrian, pelancongan, pertanian…kita ada 20 lebih tapak industri contoh di Kulim, Sungai Petani, Bukit Selambau, Gurun, Bukit Kayu Hitam dan KRC (Kedah Rubber City).

“Esok saya cerita perkara ini kepada audiens yang terdiri daripada (pihak) kedutaan, dewan perniagaan, pemain industri. Mereka akan tahu apa yang Kedah akan tawarkan dan kita telah bersedia,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Rabu.

Mengenai pelaburan dalam sektor pelancongan, beliau berkata Kedah lebih fokus kepada pelancongan kesihatan dengan pelabur berpeluang melabur di negeri ini untuk membangunkan hospital swasta di Langkawi di samping melabur di Kulim yang menempatkan Taman Perindustrian Teknologi Tinggi.

Muhamad Mahazi berkata Kedah berusaha menjadi negeri mesra pelabur dengan cara memudahkan urusan pentadbiran contoh melibatkan tanah selain di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) pula wujud inisiatif Permit Pembinaan Ekspres atau E10 yang mempercepat proses membenarkan pelabur beroperasi dalam tempoh 10 bulan sahaja.

“Datanglah ke negeri Kedah, kita ada semuanya untuk ditawarkan kepada pelabur. Negeri yang mesra, kondusif, kos kehidupan murah, Kedah sendiri kawasan hijau, kita mahu mereka (pelabur) datang dan lihat kita punya kelebihan sawah padi,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Kedah, Datuk Wira Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata Kedah akan digambarkan sebagai negeri mesra pelaburan dalam program itu esok.

Ini berdasarkan rekod prestasi Kedah apabila mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM9.7 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini dalam sektor pembuatan, katanya.

“Kita akan menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelabur…bagi enam bulan pertama 2022, separuh tahun ini kita nombor satu dalam pelaburan ke dalam pembuatan. Sebenarnya yang banyak mewujudkan peluang pekerjaan adalah sektor pembuatan…kita amat yakin berada di landasan” katanya.

Sumber: Bernama

Kedah bentang tawaran kepada pelabur pada program ‘MIDA Invest Series’


Content Type:

Duration:

 Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) optimis dapat menarik pelaburan berimpak tinggi sejajar dengan usahanya mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai hab logistik pilihan di rantau Asia Pasifik.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan) MIDA, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata, perkara tersebut akan dicapai melalui kerjasamanya dengan syarikat logistik bersepadu, A.P. Moller-Maersk (Maersk).

Katanya, kehadiran syarikat logistik yang teguh di negara ini penting bagi memacu usaha MIDA dalam mewujudkan ekosistem yang baik bagi menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti ke Malaysia.

“MoU selama dua tahun tersebut dapat membawa masuk pelaburan antarabangsa ke negara ini melalui pendekatan penglibatan strategik dan nilai tambah untuk syarikat multinasional. Melalui kerjasama ini juga kami akan bekerjasama dengan Maersk bukan sahaja untuk membantu mereka berkembang di negara ini tetapi juga untuk menarik pelabur-pelabur baharu ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara MIDA dan Maersk di Ibu pejabat MIDA, Kuala Lumpur Sentral, baru-baru ini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Sivasuriyamoorthy yang mewakili MIDA manakala Maersk diwakili oleh Pengarah Urusan Maersk Thailand, Malaysia dan Singapura, Rupesh Jain.

Sementara itu, Sivasuriyamoorthy berkata, kerjasama dengan Maersk akan membawa lebih banyak pelaburan global yang disasarkan ke Malaysia melalui pendekatan penglibatan strategik dan nilai tambah kepada syarikat multinasional.

Menurutnya, pihaknya akan memanfaatkan keupayaan Maersk dalam logistik bersepadu bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik serantau di Asia Pasifik, seterusnya meningkatkan pembangunan infrastruktur dan perdagangan bebas.

“Syarikat multinasional biasanya akan melihat sama ada mereka dapat membawa keluar atau mengeksport produk mereka dengan mudah ketika memilih sesebuah negara untuk membuat pelaburan. Maersk sebagai pemain global dapat meyakinkan pelabur-pelabur antarabangsa untuk melabur di Malaysia,” ujarnya. 

Sumber: Utusan Malaysia

MIDA optimis tarik pelaburan berkualiti tinggi


Content Type:

Duration:

wpChatIcon