B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerjasama EU, ASEAN penting untuk pemulihan ekonomi pasca pandemik

Kerjasama antara Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN amat  penting untuk meletakkan kedua-dua pihak di landasan tepat untuk pemulihan pasca-COVID-19, kata Duta dan Ketua Delegasi EU ke Malaysia Michalis Rokas.

Beliau berkata tiada negara yang dapat menghadapi krisis ini tanpa kerjasama antarabangsa oleh itu perdagangan global menjadi blok utama pemulihan daripada pandemik tersebut.

“Kesan COVID-19 memerlukan tahap usaha kolektif yang lebih untuk merangsang semula ekonomi dan kehidupan masyarakat.

“Dagangan dapat mencipta banyak peluang penting untuk peralihan sosial dan ekonomi jangka panjang. Kegiatan ini menandakan komitmen EU untuk multilateralisme serta perdagangan yang terbuka dan berdasarkan peraturan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Datuk Mohd Zamruni Khalid berkata penting bagi ASEAN dan EU saling memperkukuhkan pengetahuan dan pemahaman agar ekonomi terus berdaya tahan.

Kursus bertajuk “Perjanjian Perdagangan Bebas & Kerjasama Ekonomi EU-ASEAN”, diadakan secara dalam talian dari 13 Julai hingga 16 Julai,  dihadiri  pegawai kerajaan dari negara serta Sekretariat ASEAN, pakar organisasi antarabangsa, dan kumpulan pemikir terkemuka di Eropah dan Asia Tenggara serta ahli akademik.

Menurut kenyataan itu selain bertujuan untuk menyokong pemulihan pantas ekonomi ASEAN – tertumpu pada perkongsian EU-ASEAN dan juga peranan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

Kursus ini turut menekankan pentingnya perdagangan global untuk menangani cabaran COVID-19.

EU adalah rakan kongsi pembangunan nombor satu ASEAN, dan rakan niaga serta pelabur utama ketiga.

“Dengan menyatukan dua ekonomi terbesar di dunia, perjanjian seperti itu akan mewujudkan kawasan perdagangan bebas dengan gabungan pasaran melebihi satu bilion orang”, tambahnya.

Sumber: Bernama

Kerjasama EU, ASEAN penting untuk pemulihan ekonomi pasca pandemik


Content Type:

Duration:

Menteri-menteri ekonomi ASEAN akan kembali bersidang di Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-53 pada 8 hingga 15 September, 2021 untuk memacu pelaksanaan inisiatif Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) yang lebih pantas, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

MITI menjelaskan inisiatif di bawah ACRF yang akan dipertimbangkan termasuk penandatanganan dan ratifikasi beberapa pengaturan pengiktirafan bersama (MRA) antaranya pemeteraian MRA ASEAN berkaitan Bahan Bangunan dan Pembinaan serta ratifikasi MRA ASEAN mengenai Kelulusan Jenis bagi Produk Automotif.

“Kemajuan ratifikasi perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) juga dijangka dibincangkan,” menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan terus mengetuai delegasi Malaysia di mesyuarat tersebut yang akan dipengerusikan oleh Brunei tahun ini.

“Sejajar dengan ini, penekanan juga akan diberikan kepada kemajuan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pelaksanaan langkah bukan tarif terhadap barang-barang keperluan yang ditandatangani pada November 2020 oleh para menteri,” tambah MITI.

Pada Mac 2021, AEM bersetuju bahawa pencepatan ratifikasi dan usaha menguatkuasakan beberapa perjanjian ekonomi ASEAN boleh memacu pemulihan ekonomi di rantau ini dengan segera.

Bagi merealisasikannya, MITI memaklumkan, menteri ekonomi ASEAN telah menugaskan para pegawai kanan ekonomi untuk merangka satu garis panduan dengan kerjasama pakar undang-undang, mengenai peruntukan yang sesuai dan munasabah yang dapat digunakan untuk mempercepat langkah penguatkuasaan perjanjian ekonomi masa depan.

“Menteri-menteri dijangka diberi penjelasan lanjut mengenai kemajuan tugas berkenaan dalam mesyuarat itu,” jelasnya.

Aspek lain yang mungkin menjadi tumpuan Mesyuarat AEM kali ini ialah transformasi digital di ASEAN dengan menteri-menteri dijangka menyokong Hala Tuju Bandar Seri Begawan: Agenda Transformasi Digital ASEAN untuk Memacu Pemulihan Ekonomi dan Penyepaduan Ekonomi Digital ASEAN.

Menurut MITI, para menteri turut dijadual mengadakan rundingan dengan Rakan Dialog ASEAN — Amerika Syarikat, India, China, Kesatuan Eropah, Rusia, Korea Selatan, Jepun, Australia, New Zealand, Switzerland dan Hong Kong/China — untuk meneruskan kerjasama mereka di luar rantau ASEAN.

Mereka akan mengalu-alukan United Kingdom yang menyertai sesi rundingan itu buat kali pertama, selepas negara itu diterima sebagai rakan dialog terbaru ASEAN pada Ogos tahun ini. 

Sumber: Bernama

Menteri ekonomi ASEAN giatkan pelaksanaan inisiatif ke arah pemulihan serantau


Content Type:

Duration:

Pemukiman Tidak Rasmi Ketua-ketua Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) telah mengambil kata sepakat untuk mempercepat akses kepada vaksin COVID-19 yang adil dan saksama, selamat, berkesan, terjamin kualiti dan mampu milik agar pemulihan ekonomi dapat berjalan lancar.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata kesepakatan itu dicapai pada mesyuarat pemukiman berkenaan yang diadakan secara maya pada Jumaat dengan delegasi Malaysia diketuai oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ketua-ketua APEC turut komited untuk melipatgandakan usaha memperluas pembuatan dan bekalan vaksin, menyokong usaha perkongsian vaksin global dan menggalakkan pemindahan teknologi pengeluaran vaksin secara sukarela,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemukiman ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern dan dihadiri oleh 21 ekonomi APEC termasuk Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, Presiden China Xi Jinping, Presiden Rusia Vladimir Putin, Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga.

MITI berkata bagi menunjukkan solidariti dalam memerangi krisis kesihatan dan ekonomi COVID-19, para pemimpin telah mengeluarkan ‘’Pernyataan Ketua-ketua Ekonomi APEC: Menangani COVID-19 dan Mempercepat Pemulihan Ekonomi’.

“Sambil mengulangi komitmen mereka dalam merealisasikan Visi Putrajaya ke arah komuniti Asia-Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman makmur menjelang 2040, pernyataan itu memfokuskan pada tiga bidang utama iaitu pertumbuhan kukuh, seimbang, selamat, lestari/mampan dan inklusif; inovasi dan digitalisasi; serta perdagangan dan pelaburan – yang juga merupakan pendorong utama visi berkenaan,” jelasnya.

MITI berkata menerusi ucapan intervensinya, Muhyiddin menyifatkan Pemukiman Tidak Rasmi itu sebagai “acara penting untuk merenung kembali setiap peluang kerjasama yang terlepas yang boleh memperkuatkan usaha ke arah pemulihan ekonomi yang pesat, mampan dan saksama”.

Ia menambah perdana menteri turut berkata “walaupun terdapat beberapa negara telah kembali kepada tahap tertentu yang normal, banyak negara yang masih bergelut untuk mendapatkan semula kestabilan ekonomi” – merujuk pada ekonomi membangun dan bukan pengeluar vaksin di APEC.

Menurut MITI lagi, Muhyiddin juga menekankan hubung kait positif antara kejayaan program vaksinasi atau peningkatan kadar inokulasi serta kemampuan untuk mempercepatkan proses pemulihan ekonomi.

“Malaysia menyokong inisiatif global untuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksin global, termasuk menerusi rundingan di Pertubuhan Perdagangan Dunia yang melibatkan pengecualian sementara peruntukan tertentu dalam Perjanjian Aspek Harta Intelek berkaitan Perdagangan (TRIPS).

“Ini merupakan langkah dan hala tuju yang tepat memandangkan keadaan luar biasa juga memerlukan tindakan seumpamanya,” kata MITI memetik kata-kata perdana menteri.

Dalam pada itu, MITI berkata Muhyiddin turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Suga dan Jepun kerana menganjurkan temasya Sukan Olimpik 2020 yang akan bermula minggu depan.

MITI menambah perdana menteri menyifatkan acara itu sebagai “bukti bagaimana perjalanan rentas sempadan boleh dilaksanakan dengan langkah-langkah ketat dan persekitaran terkawal.”

Sejak penyataan mengenai COVID-19 dikeluarkan oleh Menteri-menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan APEC ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 2020, APEC telah memperkenalkan pelbagai dasar yang dirumuskan untuk mengatasi cabaran yang timbul daripada krisis kesihatan dan ekonomi, yang dijangka dapat bertahan lama.

Para pemimpin akan bertemu sekali lagi pada bulan November untuk memuktamadkan usaha dan pencapaian APEC 2021.

Sumber: Bernama

Pemimpin ekonomi APEC sepakat untuk percepat pemulihan ekonomi


Content Type:

Duration:

Pemulihan ekonomi untuk separuh kedua tahun ini dijangka kukuh merentasi pasaran-pasaran maju seperti yang ditunjukkan oleh Indeks Pengurus Pembelian (PMI) untuk bulan April 2021, kata seorang penganalisis.

Pengarah Urusan Affin Hwang Asset Management Bhd Datuk Teng Chee Wai berkata antaranya, pemulihan ini akan disokong oleh pemberian vaksin COVID-19, yang membolehkan ekonomi dibuka semula.

“Pasaran maju pula jauh ke hadapan dari segi pemberian vaksinasi kepada penduduknya, sementara pasaran pesat membangun masih lagi berusaha dengan pemberian yang agak perlahan dan ini akan menjejaskan pemulihan ekonomi,” katanya pada webinar Kajian dan Tinjauan Pasaran 2021 Affin Hwang AM di sini hari ini.

Sementara itu, Teng berkata Malaysia kekal sebagai pasaran pelaburan yang menarik dalam kalangan rakan setaranya di ASEAN terutama dalam sektor pembuatan.

Walaupun terdapat ketidakpastian yang berpanjangan dalam lingkungan ‘’kebisingan’’ geopolitik yang semakin meningkat, peluang pelaburan masih ada, tambahnya.

Teng menambah sektor pembuatan di negara ini berada di jalan pemulihan, didorong oleh peningkatan sederhana dalam perbelanjaan pengguna untuk kenderaan, elektronik isi rumah, perbelanjaan berterusan bagi barangan asas dan bahan binaan.

Pada 5 Mei, IHS Markit berkata sektor pembuatan Malaysia mencatat pertumbuhan memberangsangkan pada April 2021 dengan PMI meningkat melepasi paras neutral 50.0 untuk pertama kalinya dalam tempoh 10 bulan dan untuk kali kedua sejak September 2018.

Malaysia mencatatkan PMI 53.9 pada April, kadar pertumbuhan terpantas dalam sejarah sejak pertengahan 2012.

Mengenai prospek ringgit, Teng berkata unit tempatan dijangka ‘tersekat’ dalam jarak yang sempit di tengah kekurangan petunjuk baharu.

“Kebimbangan berterusan mengenai kesihatan ekonomi dan kebangkitan semula kes COVID-19 dijangka dapat merancakkan permintaan untuk dolar AS, justeru, melemahkan mata wang Asia yang lain termasuk ringgit,” katanya.

Ringgit cenderung mencecah 4.1750 berbanding dolar AS minggu depan terutamanya dipengaruhi oleh faktor luaran.

Sumber: Bernama

Ekonomi global akan pulih pada separuh kedua 2021


Content Type:

Duration:

ASEAN perlu bekerjasama dengan sektor swasta untuk mencapai kemajuan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang lebih besar dan mampan sebagai sebahagian langkah untuk rantau ini pulih daripada pandemik COVID-19, kata Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi.

Beliau berkata pendigitalan dan kemampanan penting bagi usaha pemulihan dalam fasa penyepaduan ekonomi seterusnya.

“Malah, laporan tinjauan pertengahan penggal Pelan Tindakan AEC 2025 yang baru dikeluarkan menekan keperluan untuk ASEAN menerima guna dan menyesuaikan dengan perkembangan baharu, yang termasuk digitalisasi dan kemampanan.

“Lebih-lebih lagi, dua bidang ini menjadi teras strategik ASEAN untuk memajukan 13 keutamaan ekonomi yang boleh serah semasa tempoh Brunei menjadi pengerusi tahun ini,” katanya dalam satu sesi persidangan secara maya Minggu Perniagaan ASEAN-Jepun selama lima hari mulai Isnin.

Mengenai pendigitalan, beliau berkata ASEAN telah mengutamakan agenda digital menerusi Pelan Induk Digital ASEAN 2025 dan Pelan Tindakan Rangka Kerja Penyepaduan Digital ASEAN 2025 untuk membangunkan infrastruktur digital berkualiti tinggi yang selamat dan terbuka, membangunkan kemahiran digital dan merangka pengawalseliaan digital rantau ini.

Mengenai pertumbuhan hijau dan kemampanan, Lim berkata ASEAN, melalui para pengawal selia kewangan dan bank pusat, terus melaksanakan inisiatif dan menggalakkan pembiayaan mampan di bawah Piawaian Bon Hijau/Kemampanan ASEAN serta pelan hala tuju pasaran modal mampan dan laporan penggalakan kewangan mampan di rantau ini.

“Bagaimanapun untuk berjaya, usaha kita harus disokong oleh semua pihak dan saya berpandangan kerajaan di ASEAN tidak boleh melakukannya secara sendirian malah, kita perlu menyokong pelbagai pihak berkepentingan di rantau ini, khususnya komuniti perniagaan,” katanya.

Beliau berkata ASEAN memerlukan kesinambungan perniagaan Jepun untuk memaksimumkan aktiviti produktif rentas sempadan serta memanfaatkan penempatan semula rantaian bekalan ke rantau ASEAN.

“Ini diperlukan untuk mengembalikan keyakinan pengguna dan mengekalkan kestabilan pasaran di rantau ini. Kita juga memerlukan komuniti perniagaan untuk membantu memulihkan rantaian bekalan dan hubungan perdagangan dengan memanfaatkan teknologi digital.

“Satu kemungkinan adalah supaya syarikat melabur lebih banyak bagi platform e-dagang untuk membolehkan pergerakan barang dan perkhidmatan rentas sempadan yang lebih pantas dan selamat selain pemulihan ekonomi serta penciptaan pekerjaan selepas pandemik berakhir,” katanya.

Beliau menyeru komuniti perniagaan ASEAN untuk menumpukan pelaburan mampan seperti infrastruktur hijau dan pelaburan bagi inisiatif rendah karbon lain.

“Bagi melaksanakannya, penting untuk memastikan keputusan pelaburan adalah hasil daripada usaha memperkukuh kewangan swasta dan awam yang menumpukan pertumbuhan hijau di samping menggerakkan semua bentuk alat pembiayaan yang tersedia demi masa depan rantau ASEAN yang mampan,” katanya.

Minggu Perniagaan ASEAN-Jepun dianjurkan oleh pelbagai organisasi dari ASEAN dan Jepun.

Sumber: Bernama

ASEAN digesa jalin kerjasama dengan sektor swasta


Content Type:

Duration:

Keadaan pembuatan Asean bertambah baik pada kadar yang lebih cepat pada bulan April tahun ini kepada 51.9 daripada 50.8 yang dicatatkan pada bulan Mac, menurut data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) IHS Markit terbaru.

Menurutnya, prestasi sektor yang lebih kukuh adalah peningkatan pengeluaran terpantas sejak Julai 2014 dan kenaikan tertinggi dalam pesanan baru sejak Mei 2013, ditambah dengan peningkatan keyakinan perniagaan, dengan syarikat optimis terhadap prospek tahun depan.

Ahli ekonomi IHS Markit Lewis Cooper mengatakan data PMI April menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik untuk sektor pembuatan Asean, dengan tanda-tanda yang jelas bahawa pemulihan telah bermula dan sektor ini mulai maju menuju pemulihan tanah yang hilang.

“Sektor pembuatan Asean tampaknya telah berubah pada bulan April. Keadaan perniagaan meningkat pada kadar terpantas sejak Julai 2014 di tengah peningkatan output yang lebih kuat, sementara pertumbuhan pesanan baru yang terbaru adalah yang terpantas sejak Mei 2013.

“Selepas itu, syarikat mencatatkan prospek paling optimis terhadap tahun depan sejak Januari 2020, dengan keyakinan sebahagian besarnya sesuai dengan rata-rata seri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Cooper menyatakan bahawa kelewatan bekalan sekali lagi jelas, walaupun kurang kuat, kerana purata masa pendahuluan untuk input diperpanjang hingga tahap terkecil sejak November lalu, mengisyaratkan tekanan rantai bekalan yang berkurang ketika kita memasuki suku kedua tahun ini.

“Namun, biaya terus melambung pada bulan April, dengan kadar inflasi antara yang paling cepat tercatat,” tambahnya.

Di tujuh negara penyusun, Vietnam menyaksikan pertumbuhan terkuat dengan PMI utamanya mencapai paras tertinggi dua setengah tahun 54.7, menandakan peningkatan pesat.

Di belakangnya adalah Indonesia, di mana PMI mencapai rekor tertinggi sejak awal 2011 pada 54.6, menunjukkan peningkatan yang ketara dalam keseluruhan keadaan pembuatan.

Pertumbuhan juga dicatatkan di Malaysia, di mana indeks utama naik ke 53.9, pertumbuhan terpantas sejak pertengahan 2012.

Thailand juga melihat kembali ke pengembangan pada bulan April pada tahap 50.7, menunjukkan hanya pertumbuhan yang sederhana.

Sementara itu, Singapura dan Filipina masing-masing mencatatkan kontraksi baru pada bulan April pada 49.5 dan 49.0.

Myanmar juga mencatat penurunan paling tajam dari tujuh negara yang dipantau pada 33.0, ketika penutupan kilang yang berterusan di tengah ketidakstabilan politik terus membebani sektor pembuatan. 

Sumber: Bernama

Keadaan pembuatan ASEAN meningkat pada kadar lebih cepat pada April


Content Type:

Duration:

Negara-negara Asia Tenggara, yang sedang pulih daripada impak pandemik COVID-19 boleh mendapat manfaat daripada pelaburan dalam prasarana hijau, transformasi digital, data raya dan mobilisasi hasil menerusi pembaharuan cukai, kata Bank Pembangunan Asia (ADB).

“Ketika negara-negara perlahan-lahan mula bangkit semula daripada impak buruk kesihatan dan ekonomi akibat daripada pandemik itu, kita kini berada pada waktu yang kritikal.

“Pandemik COVID-19 menyediakan peluang unik untuk membina semula bagi pemulihan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan,” kata Presidennya Masatsugu Asakawa dalam ucap tama beliau pada Simposium Pembangunan Asia Tenggara bertemakan “Innovation through Collaboration: Planning for Inclusive Post-COVID-19 Recovery” di Manila hari ini yang diadakan secara penstriman langsung.

Asakawa berkata pandemik itu memberikan cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini; justeru, perlu untuk mengorak langkah di laluan baharu bersama-sama, iaitu dengan memanfaatkan idea dan teknologi baharu dan menggunakan platform sedia ada bagi inovasi dan perkongsian.

Menurutnya, ekonomi membangun di Asia Tenggara boleh mendapat manfaat daripada tiga bidang dasar baharu.

Ia termasuk melabur dalam pembangunan lestari alam sekitar dalam lima sektor iaitu pertanian, laut, bandar dan pengangkutan, pengurusan sisa buangan dan tenaga bersih yang boleh mewujudkan 30 juta peluang pekerja di rantau ini menjelang 2030.

“Keduanya, mereka perlu mengembangkan asas cukai dengan memaksimumkan pematuhan cukai dan mempermudahkan proses pematuhan yang akan dapat meningkatkan hasil kerajaan dan meletakkan mereka di kedudukan lebih baik bagi membiayai pemulihan pandemik.

“Ketiga menggunakan data raya dengan lebih baik lagi, yang mana negara-negara boleh memanfaatkan transformasi digital rantau ini bagi meningkatkan penjagaan kesihatan, perlindungan sosial dan pendidikan,” katanya.

Asakawa berkata peluang pertumbuhan hijau ini akan memerlukan pembiayaan dan satu cara ADB bekerjasama dengan negara-negara di rantau ini untuk menangani keperluan pembiayaan ini adalah menerusi ASEAN Catalytic Green Finance Facility, yang dimiliki menteri-menteri kewangan di 10 negara anggota ASEAN dan ADB.

Negara-negara Asia Tenggara boleh menggunakan kemudahan ini untuk mengakses kewangan dan pengetahuan bagi projek prasarana hijau untukpengangkutan lestari, tenaga bersih dan sistem air yang kukuh, katanya.

Bagi memanfaatkan data raya, beliau berkata, transformasi digital Asia Tenggara sedang dilaksanakan.

Oleh itu, negara-negara boleh menggunakan peluang ini untuk mentransformasikan sektor utama kerajaan bagi menyediakan penyampaian perkhidmatan yang lebih efektif, katanya.

Sumber: Bernama

Pelaburan hijau, mobilisasi hasil, data raya boleh bantu pemulihan Asia Tenggara – ADB


Content Type:

Duration:

Bank Pembangunan Asia (ADB) menjangkakan kira-kira 65 juta pekerjaan diwujudkan setiap tahun di Asia Pasik sehingga 2025, susulan peningkatan penggunaan teknologi digital dalam keadaan pandemik COVID-19.

Ketua Pakar Ekonomi ADB, Yasuyuki Sawada berkata pengembangan sektor digital akan menyumbang kenaikan tahunan purata 26.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK); 15.6 peratus bagi perdagangan serta 26.1 peratus dalam guna tenaga Asia Pasik dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata perdagangan serantau juga diunjurkan meningkat US$1 trilion setahun dalam lima tahun akan datang memandangkan pertumbuhan ekonomi digital di Asia dijangka dipercepat sekali gus memberi peluang untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi, membangunkan perniagaan, mewujudkan pekerjaan serta menangani cabaran sosioekonomi.

“Secara amnya, sektor digital global mungkin berkembang pada purata US$617 bilion setahun atau US$3.1 trilion secara keseluruhan dari 2021 hingga 2025,” katanya pada pelancaran Webinar Kesan Asia: Laporan Penyepaduan Ekonomi Asia (AEIR) 2021 secara maya pada Rabu.

Beliau berkata sektor digital Asia diunjurkan berkembang dengan nilai kira-kira US$184 bilion setahun atau US$919 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Transformasi digital yang dipercepat dapat berpotensi meningkatkan keluaran, perdagangan dan perniagaan serta pekerjaan global,” katanya.

Sawada berkata negara-negara Asia Pasik telah memanfaatkan kemajuan teknologi dan digitalisasi yang pesat untuk pulih dan membina kembali jalinan dengan ekonomi global semasa krisis pandemik.

“Teknologi telah membantu dalam menempa hubungan global baharu, yang menawarkan peluang ekonomi yang amat besar, namun membawa risiko dan cabaran baharu,” katanya.

Beliau berkata menurut laporan itu, sekiranya sektor digital berkembang 20 peratus, KDNK global akan  meningkat dengan purata US$4.3 trilion setahun dari 2021 hingga 2025, atau $21.4 trilion dalam lima tahun, manakala lebih 40 peratus daripada peningkatan keluaran global akan disumbangkan oleh Asia.

“Selain itu, aktiviti penggabungan dan pengambilalihan peringkat rma di rantau ini baru-baru ini telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan, memandangkan negaranegara mula membuka kembali dan melonggarkan beberapa sekatan yang dikenakan akibat pandemik,” menurut laporan itu.

Menurutnya, kerajaan di rantau ini juga perlu menumpukan privasi dan keselamatan data, pencukaian, perkongsian antara institusi awam  dan  swasta serta kerjasama serantau untuk memperkukuh sektor digital dengan lebih baik.

AEIR 2021 ADB menumpukan kemajuan dalam kerjasama dan penyepaduan serantau Asia Pasik, menilai kesan awal pandemik terhadap perdagangan, pelaburan rentas sempadan, penyepaduan kewangan dan pergerakan orang.

Sumber: Bernama

Pertumbuhan teknologi digital akan cipta 65 juta pekerjaan setahun di Asia Pasik


Content Type:

Duration:

wpChatIcon