B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Prospek ekonomi Asia Pasifik kekal kukuh

Prospek pertumbuhan ekonomi rantau Asia Pasifik (APAC) pada 2023 dijangka kekal kukuh meskipun berdepan risiko global, kata Moody’s Investors Service.

Agensi penarafan itu berkata, ekonomi APAC dijangka menghadapi rintangan yang dinamik dan pemacu sokongan.

“Pertumbuhan dijangka rendah berbanding 2022, tetapi hampir kepada potensi dalam kebanyakan kes, menyokong kestabilan kredit meluas.

“Meskipun pertumbuhan di rantau ini perlahan selepas pulih semula daripada pandemik, ia dijangka kekal kukuh berbanding rantau lain,” katanya dalam satu nota hari ini.

Sekatan sempadan berkaitan pandemik yang ditarik balik bagi pelancong liburan dan pembukaan semula semula aktiviti ekonomi domestik akan menyokong pemulihan sektor perkhidmatan dan peningkatan penggunaan di rantau ini yang seterusnya menyokong sumber utama pekerjaan.

Moody’s berkata, permintaan eksport lemah dari Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah akan menyeret turun momentum pertumbuhan bagi ekonomi berorientasikan eksport seperti Jepun (A1 stabil) Korea Selatan (Aa2 stabil), Malaysia (A3 Stabil), Taiwan, China (Aa3 stabil), Thailand dan Vietnam (Ba2 stabil).

Sementara itu, kekangan keadaan kewangan akan menjejaskan kemampuan sesetengah negara walaupun penurunan inflasi memperlahankan kenaikan kadar, katanya.

Moody’s berkata kebanyakan bank pusat di Asia Pasifik tidak mengetatkan dasarnya sepantas yang dilakukan oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) dan Bank Pusat Eropah berikutan inflasi yang rendah dan pelaksanaan lebih banyak langkah fiskal ketara untuk membendung inflasi seperti subsidi bahan api, pengurangan cukai penggunaan dan penggantungan kenaikan tarif elektrik.

“Kesan kredit negatif juga kurang ketara bagi pasaran sedang pesat membangun dengan tahap pembiayaan konsesi ketara termasuk Bangladesh (Ba3 semakan bagi penurunan gred) dan Fiji.

“Ini termasuk negara yang mempunyai pembiayaan domestik kukuh seperti India, Malaysia dan Thailand, yang mana asas pelabur institusi besar dan sistem perbankan membantu mengukuhkan kemampuan hutang,” katanya.

Moody’s berkata, beban hutang dijangka terus meningkat atau stabil pada tahap tinggi di negara-negara seperti India dan Malaysia.

Mengenai mata wang, ia berkata, semua pasaran sedang pesat membangun mempunyai rizab pertukaran asing yang boleh menampung lebih daripada tiga bulan import, walaupun Bangladesh, Kemboja (B2 negatif), Malaysia dan Vietnam berkedudukan hampir dengan ambang itu.

Menurutnya, penurunan nilai renminbi China boleh menjejaskan daya saing pengeksport lain seperti Korea Selatan, Malaysia, Thailand dan Vietnam.

Sumber: Bernama

Prospek ekonomi Asia Pasifik kekal kukuh


Content Type:

Duration:

Kesatuan Eropah (EU), sebagai salah satu blok ekonomi utama, harus mendekati ASEAN dengan lebih rapat kerana peluang pasarannya yang luas, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Liew Chin Tong.

Beliau menyatakan jurang dalam kapasiti dan sumber antara dua blok boleh dirapatkan melalui sokongan seperti dalam bentuk pendanaan bersasar, pemindahan teknologi dan program-program pembinaan kapasiti.

“Kedua-dua rantau juga perlu merapatkan hubungan dalam bidang-bidang kerjasama utama yang mempunyai nilai tambah yang tinggi bagi faedah kepada rakyat negara-negara ASEAN dan EU,” katanya ketika sesi Fireside Chat Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-EU ke-10 di Belgium awal minggu ini.

Chin Tong juga menekankan kepentingan kedua-dua rantau menyokong antara satu sama lain bagi mewujudkan masyarakat kelas pertengahan yang kukuh di semua negara ASEAN, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MITI, hari ini.

Sesi Fireside Chat itu diadakan dengan Naib Presiden Eksekutif serta Pesuruhjaya Perdagangan Suruhanjaya Eropah, Valdis Dombrovskis, dan dikendalikan oleh Ahli Lembaga Eksekutif EU ABC, Noel Clehane.

Sidang kemuncak perniagaan itu, yang mengumpulkan pemimpin politik terkemuka, pemimpin perniagaan dan pegawai kerajaan daripada kedua-dua EU dan ASEAN, diadakan sebagai acara sampingan kepada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-EU ke-45.

Chin Tong diiringi oleh pegawai kanan MITI serta wakilnya di Brussels.

Sumber: Bernama

EU perlu dekati ASEAN dengan lebih rapat


Content Type:

Duration:

Mesyuarat keempat peringkat tinggi Rangkaian Bandar Pintar ASEAN-Jepun bermula di sini, hari ini, dengan ASEAN mengetengahkan tiga tindakan utama untuk mempromosikan pembangunan bandar pintar serta mampan di rantau ini.

Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi, dalam ucapan perasmian majlis itu menekankan pentingnya pelaburan dalam infrastruktur digital bagi pembangunan bandar pintar, dengan memanfaatkan data yang membantu pegawai membuat keputusan ke arah perkhidmatan lebih berkesan untuk rakyat.

“Infrastruktur digital pusat yang mantap dan bersepadu perlu untuk merealisasikan kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan awam,” katanya dalam rakaman ucapan beliau pada majlis itu.

Jock Hoi berkata, Jepun menyokong ASEAN melalui Perkongsian Bersama Pintar Jepun-ASEAN yang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk membantu bandar menentukan infrastruktur digital yang sesuai.

Beliau berkata, ASEAN menekankan usaha meningkatkan modal insan yang penting bagi merebut peluang bandar pintar, terutama ketika mempertimbang pelbagai kapasiti bandar raya ASEAN dalam menguruskan projek bandar pintar.

Katanya, banyak bandar ASEAN terutama yang bersaiz kecil dan sederhana, memerlukan sokongan institusi yang boleh membantu kerajaan tempatan mereka bentuk serta melaksanakan inisiatif bandar pintar.

“Oleh itu, ASEAN dan Jepun boleh bekerjasama menyediakan sokongan strategik serta teknikal yang membantu lokaliti dalam melaksanakan rancangan bandar pintar,” katanya.

Seterusnya, Jock Hoi berkata, penyertaan komuniti inklusif penting untuk melaksanakan inisiatif bandar pintar dengan mendekati orang ramai dalam proses penyelesaian masalah, sekali gus membantu pemerintah tempatan memilih penyelesaian bersesuaian untuk pelbagai isu komuniti di kawasan masing-masing.

Katanya, ini akan membantu meningkatkan kualiti hidup mereka yang bekerja dan tinggal di bandar.

Beliau berkata, mengejar pembangunan bandar pintar dan mampan adalah penting dalam agenda ASEAN, memandangkan kumpulan serantau itu berusaha menangani cabaran serta memperkasa komuniti yang mudah terjejas di bandar.

“Dalam hal ini, saya memuji Kerajaan Jepun atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka ke arah merealisasikan inisiatif bandar pintar di ASEAN,” katanya.

Jock Hoi berkata, pandemik COVID-19 memberi kesan terhadap setiap aspek kehidupan bandar.

Sebagai tindak balas, katanya, negara dan bandar anggota ASEAN terus melakukan transformasi secara digital serta mampan bagi menangani cabaran bandar serta memajukan usaha pemulihan.

“Oleh itu, saya yakin mesyuarat hari ini akan membuka peluang besar kepada ahli Rangkaian Bandar Pintar ASEAN untuk bertukar idea dan pengalaman dengan Jepun dalam menjadikan bandar kita lebih sesuai untuk didiami,” katanya.

Mesyuarat itu yang berakhir esok, dianjurkan Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun dengan kerjasama ASEAN serta agensi kerajaan dan majlis perbandaran yang berkaitan.

Diadakan secara tahunan, mesyuarat antarabangsa itu telah menyumbang kepada pembinaan hubungan kerjasama dalam bidang bandar pintar antara ASEAN dengan Jepun sejak mesyuarat sulungnya pada 2019.

Berlangsung di University of Aizu di Aizuwakamatsu, Fukushima, mesyuarat itu dihadiri delegasi ASEAN, selain tiga anggota media dari Filipina, Kemboja dan Malaysia.

Sumber: Bernama

ASEAN ketengah 3 langkah promosi pembangunan bandar pintar, mampan


Content Type:

Duration:

Anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) sedang meningkatkan usaha menggiatkan semula perjalanan rentas sempadan dengan menangani ketidaktentuan yang dihadapi pelancong di saat pandemik COVID-19 memasuki tahun ketiga.

Melalui laporan, ‘COVID-19 and Cross-Border Mobility in the APEC Region: Addressing Uncertainties at the Border’, Pasukan Petugas Laluan Selamat APEC mengemukakan cadangan untuk memacu pergerakan pelancong di rantau ini, meneliti isu sempadan yang boleh ditangani demi memudahkan perjalanan dan pelancongan di rantau ini.

Laporan yang dibangunkan Unit Sokongan Dasar APEC mendedahkan bahawa pandemik COVID-19 telah memberi kesan besar terhadap perjalanan rentas sempadan di seluruh dunia.

“Rantau APEC melaksanakan beberapa sekatan perjalanan rentas sempadan yang paling ketat di dunia, dan kesan daripada langkah-langkah ini adalah besar dan berlarutan. Kajian Unit Sokongan Dasar APEC menganggarkan kerugian rentas sempadan mencecah AS$1.2 trilion pada 2020.

“Meskipun perjalanan antarabangsa mula pulih sejak 2020, setakat April 2022 jumlah ketibaan pelawat antarabangsa di APEC hanya satu pertiga daripada bilangan pelancong pada Januari 2020. Sekatan perjalanan rentas sempadan telah memberi kesan buruk terhadap perjalanan dan pelancongan di seluruh dunia, terutama di wilayah APEC.

“Ketibaan pelancong antarabangsa ke ekonomi APEC turun 79.1 peratus pada 2020 berbanding 2019, lebih tinggi berbanding penguncupan 69.8 peratus yang dicatatkan di seluruh dunia.

“Walaupun seluruh dunia menyaksikan peningkatan sebanyak 18.4 peratus membabitkan jumlah ketibaan pelancong pada 2020 dan 2021, ketibaan di rantau APEC terus menurun sebanyak 28.3 peratus dalam tempoh yang sama,” menurut laporan itu.

Meskipun terdapat peningkatan dalam jumlah ketibaan pelancong antarabangsa pada 2021 di seluruh dunia, laporan itu mencatatkan jumlah ketibaan 64.3 peratus lebih rendah daripada 2019 manakala di rantau APEC ialah 85 peratus lebih rendah pada 2021 berbanding 2019.

Laporan itu juga menekankan kepentingan menyediakan maklumat yang jelas kepada pelancong mengenai syarat kemasukan yang berkaitan dengan COVID-19. Maklumat perlu dikemas kini dan memudahkan akses kemasukan.

Thailand baru-baru ini melancarkan hab maklumat sehenti yang menyerlahkan ringkasan kesihatan dan langkah sempadan berkaitan COVID di seluruh APEC.

“Perjalanan serantau adalah isu rentas sektor dan membabitkan beberapa kementerian.

“Ia mengesyorkan ahli ekonomi untuk meneruskan penyelarasan dan kerjasama serta membangunkan mekanisme yang fleksibel, tersedia dan pantas serta melakukan tindakan segera bagi bertindak balas terhadap risiko masa depan terhadap rentas sempadan,” menurut laporan itu.

Sementara itu, Pegawai Kanan APEC Thailand dan pengerusi Pasukan Petugas Laluan Selamat APEC, Cherdchai Chaivaivid, berkata penyelarasan laluan selamat antara anggota APEC perlu diteruskan walaupun wabak itu telah menjadi endemik.

“Selain COVID-19, kita perlu bersatu dan membina daya tahan dalam menghadapi pandemik atau krisis masa depan yang mungkin menjejaskan perjalanan rentas sempadan.

“Perjalanan dan pelancongan menjadi kunci kepada pertumbuhan ekonomi wilayah kita, manakala memudahkan semula pergerakan rentas sempadan yang selamat akan menampilkan persekitaran pasca pandemik,” katanya.

Sejak penubuhannya awal tahun ini, pasukan petugas itu telah bertukar-tukar amalan terbaik mengenai perjalanan rentas sempadan yang selamat di peringkat domestik, subserantau dan serantau.

Pihaknya telah berusaha ke arah pendekatan yang lebih menyeluruh di seluruh APEC, contohnya melalui perbincangan dasar mengenai memudahkan perjalanan untuk kru udara dan maritim serta meningkatkan kesalingoperasian sijil vaksinasi yang dikeluarkan oleh APEC.

Sumber: Bernama

APEC tingkat usaha pulih perjalanan rentas sempadan


Content Type:

Duration:

Badan-badan sektor ASEAN perlu terus bekerjasama untuk segera memuktamadkan baki inisiatif di bawah Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) memandangkan persekitaran ekonomi global yang semakin tidak menentu ketika ini.

Semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN Ke-54 dan Mesyuarat Berkaitan di Siem Reap, Kemboja, hari ini, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga melahirkan sokongan Malaysia terhadap cadangan mengkaji pengembangan skop ACRF.

Beliau berkata, pengajaran yang diperoleh semasa pelaksanaannya akan banyak membantu dalam merangka agenda Wawasan Pasca-2025 ASEAN.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Mohamed Azmin juga menegaskan kepentingan pembinaan kapasiti bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau juga menegaskan kepentingan inisiatif yang akan membawa manfaat sebenar dan terus kepada rakyat, terutamanya golongan belia, termasuk penciptaan pekerjaan dan tokokan nilai bagi perusahaan dan industri tempatan.

Menegaskan kepentingan untuk meningkatkan jaminan rantaian bekalan, beliau turut mencadangkan pengenalan inisiatif simpanan stok.

Melalui insiatif itu, katanya, setiap negara akan menyimpan simpanan stok nasional produk kritikal yang negara tertentu itu mempunyai kelebihan berbanding rakan dagangan lain.

“Saya percaya inisiatif ini akan berjaya dalam memastikan rantaian bekalan dan kesalinghubungan serantau kekal kukuh dalam menghadapi krisis pada masa depan,” katanya.

Memandangkan perlunya ada rantaian bekalan yang berdaya tahan, beliau berkata, sudah sampai masanya untuk mengkaji semula perjanjian ASEAN Trade in Goods Agreement (ATIGA).

Mohamed Azmin berkata, usaha itu dapat membantu negara-negara bertahan daripada kejutan dan cabaran serta memenuhi keperluan perniagaan yang berubah-ubah.

“Cadangan semakan semula dan menaik taraf ATIGA harus berpandangan jauh, komprehensif dan lebih responsif kepada pembangunan global dan serantau untuk memasukkan cabaran baharu seperti teknologi hijau dan ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata, ATIGA yang ditambah baik perlu relevan dengan sektor swasta dan perniagaan supaya manfaat sebenar kemajuan itu dapat dinikmati rakyat, terutamanya PMKS dan belia.

Sumber: Bernama

ASEAN perlu percepat muktamadkan insiatif di bawah ACRF – Azmin


Content Type:

Duration:

Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dan Majlis Perniagaan bukan ASEAN menggiatkan usaha untuk meningkat dan memudahkan peluang  perdagangan dan pelaburan di rantau ini untuk memanfaatkan perkongsian ekonomi komprehensif serantau (RCEP) yang berkuat kuasa awal tahun ini.

Bercakap kepada Bernama bersempena dengan ulang tahun ke-55 ASEAN, pengerusi ASEAN-BAC  Tan Sri Dr Munir Abdul Majid berkata, tidak diragui lagi RCEP menawarkan peluang ekonomi yang amat besar terutamanya apabila ekonomi anggota sedang berusaha untuk bangkit kembali pasca-COVID-19.

Apabila ia mula berkuat kuasa, perjanjian perdagangan itu akan membuka laluan bagi penciptaan kawasan perdagangan bebas terbesar dunia. Di Malaysia RCEP berkuat kuasa pada 18 Mac, 2022.

“Dari sisi positifnya, perjanjian perdagangan bebas serantau terbesar dunia ini adalah 30 peratus daripada hampir segala-galanya – daripada keluaran dalam negara kasar global, populasi dan sebagainya  – tetapi dari sisi negatifnya, ia masih hanya 30 peratus daripada segala-galanya, bukan 100 peratus.

“Akan ada pertumbuhan serantau ini dan, pada masanya, peningkatan dalam 30 peratus itu akan menjadikannya platform serantau utama bagi meluaskan aktiviti dan kerjasama ekonomi serta sebagai peringatan adalah lebih baik sekiranya terdapat keterbukaan lebih meluas di seluruh dunia dan pemahaman mengenai perdagangan dan pelaburan,” katanya.

Menurut data oleh Bank Dunia, perjanjian itu akan mencakupi 2.3 bilion orang atau 30 peratus daripada penduduk dunia, menyumbang US$ 25.8 trilion atau kira-kira 30 peratus daripada keluaran dalam negara kasar global dan menyumbang bagi US$ 12.7 trilion, lebih satu perempat daripada perdagangan global dalam barangan dan perkhidmatan, dan 31 peratus daripada aliran masuk pelaburan langsung asing global.

Namun, Munir berkata memiliki RCEP adalah suatu yang berharga untuk dimanfaatkan dan China nampak akan peluang ini.

Apabila perjanjian itu berkuat kuasa, China telah menerbitkan garis panduan nasional bagi pelaksanaan RCEP berkualiti tinggi dalam enam bidang: perdagangan dan pelaburan; menaik taraf pembuatan; kerjasama bagi standard; sokongan kewangan; persekitaran perniagaan; perkhidmatan sokongan bagi perusahaan. 

“Usaha-usaha juga akan dibuat untuk mengembangkan penjelasan renminbi. China menyasarkan pelbagai pasaran. Pelaksanaan untuk mencapai objektif strategik dirancang di peringkat tempatan dan wilayah,” katanya. 

Mewujudkan Pelan Tindakan RCEP

Munir mencadangkan Malaysia juga perlu melakukan perkara yang sama untuk mengambil peluang daripada RCEP dengan mengeluarkan pelan tindakan yang terperinci yang sama untuk memastikan kejayaan RCEP untuk negara berbanding hanya berpuas hati dengan jangkaan keuntungan eksport sebanyak US$0.2 bilion, seperti yang diunjurkan oleh Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) dalam kajian yang diterbitkan oleh UNCTAD pada pertengahan Disember 2021.

Kajian oleh Bank Pembangunan Asia mendedahkan bahawa RCEP akan meningkatkan pendapatan negara-negara anggota sebanyak 0.6 peratus menjelang 2030, menambah US$245 bilion (RM1.1 trilion) setahun kepada pendapatan serantau dan 2.8 juta pekerjaan kepada pekerjaan serantau.

Sementara itu, data Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia menyaksikan untuk tempoh antara Mac dan 30 Jun, nilai eksport negara untuk eksport barangan di bawah RCEP sebanyak RM31.9 juta.

“Malaysia boleh mencapai lebih daripada itu, dan bukan hanya dari segi perdagangan sahaja, dengan memberi tumpuan yang sama kepada perancangan dan pelaksanaan strategik,” tegas Munir.

Menariknya, katanya, China telah menyatakan minat untuk menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), berikutan ia melihat peluang untuk menembusi pasaran seperti Kanada dan Mexico dalam platform tersebut.

“Malaysia juga perlu mengambil peluang untuk menembusi pasaran tersebut dengan meratifikasi CPTPP tidak lama lagi. Vietnam, anggota RCEP dan CPTPP, telah menyaksikan kemasukan pelaburan yang besar dan eksport yang meningkat,” katanya.

Walaupun menjadi peserta yang aktif dalam rundingan CPTPP, Malaysia masih belum meratifikasi perjanjian tersebut.

Jika diratifikasi, negara dijangka mendapat manfaat dalam jangka sederhana hingga jangka panjang sebagai sebahagian daripada pakatan dalam lima sektor, iaitu elektrik dan elektronik, minyak sawit, bahan kimia, peralatan optik dan saintifik serta plastik.

Jangan Leka  

Munir berkata ASEAN kekal sebagai antara rantau yang paling pesat berkembang di dunia, dengan faktor endowmen menyokong pengembangan ekonomi yang berterusan.

Bagaimanapun, beliau bimbang walaupun rantau ini menjadi tarikan kepada pelaburan yang merupakan sesuatu yang baik, ia menyebabkan negara-negara anggota berasa leka dan tidak menjalin kerjasama yang mencukupi untuk mencapai realiti pasaran tunggal, ketiga paling ramai penduduk, menghampiri ekonomi US$4 trilion.

“Melalui RCEP, disiplin dalam mematuhi perjanjian integrasi akan memerlukan ASEAN menjadi lebih bersepadu,” katanya sambil menambah ASEAN perlu bekerjasama untuk meminimumkan impak tersebut dan berganding bahu bagi merebut peluang-peluang baharu selain untuk menjadi lebih efisien.

Beliau berkata ASEAN masih perlu menyesuaikan standard bagi mencapai pertumbuhan mampan, bukan sahaja membabitkan pertumbuhan seluruh kos, terutamanya kepada alam sekitar.

Risikonya ialah, sesuatu sudah pun berlaku di negara-negara maju, menghentikan standard Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti tenaga bersih dalam keadaan tekanan daripada cabaran ekonomi, katanya.

“Teguh Bersama” ASEAN

Sempena dengan bulan ulang tahun ASEAN ke-55, Munir yang sudah tidak asing lagi dalam dunia korporat Malaysia berkata, belum ada masa untuk sambutan ulang tahun itu selepas pandemik.

“Kita umpama sudah jatuh ditimpa tangga. Kekurangan, lonjakan harga makanan dan gas, inflasi, kenaikan kadar faedah, kesemuanya tidak memanfaatkan pemulihan ekonomi global. Malah, banyak negara utama pada hakikatnya semakin lemah – sekali gus mengecilkan pasaran bagi eksport ASEAN,” katanya.

Seiring dengan ekonomi global, ekonomi ASEAN kekal lembap dalam keadaan peningkatan inflasi, dengan kadar inflasi diunjurkan meningkat kepada 4.7 peratus pada tahun ini berbanding 3.7 peratus, menurut Bank Pembangunan Asia (ADB).

ADB berkata, dalam kalangan 10 negara anggota, Laos merupakan antara negara di rantau ini yang mencatatkan kadar inflasi tertinggi sebanyak 23.6 peratus tahun ke tahun pada Jun, manakala Vietnam merekodkan kadar inflasi terendah, diikuti Malaysia (kadar inflasi kedua terendah) pada 3.4 peratus.

“Ditambah pula dengan ketegangan geopolitik, dunia tidak berada dalam keadaan yang stabil dan ASEAN juga tidak terkecuali…tetapi, apa yang paling penting adalah untuk mencapai hasil dan meneruskannya tanpa mengambil kira apa juga sentimen mesyuarat – yang begitu banyak di ASEAN,” katanya.

Munir berkata, di peringkat ASEAN-BAC Malaysia dan serantau, majlis itu telah melaksanakan aktiviti secara hibrid untuk mendorong kerjasama seterusnya dalam Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Bertemakan ‘Teguh Bersama,’ Hari ASEAN pada tahun ini mempelawa dan mengalu-alukan rakyat ASEAN yang berpandangan luas untuk bekerjasama dalam mengharungi cabaran pada abad ke-21.

Ditubuhkan pada 8 Ogos, 1967 di Bangkok, Thailand, negara pengasas ASEAN terdiri daripada Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand. Brunei Darussalam menyertai ASEAN pada 1984, Vietnam (1995), Laos dan Myanmar (1997) dan Kemboja pada 1999.

Sumber: Bernama

RCEP magnet pelaburan ASEAN, diperkukuh lagi dengan CPTPP


Content Type:

Duration:

Pemulihan hijau daripada kesan pandemik COVID-19 di Asia Tenggara berpotensi mewujudkan peluang pelaburan tahunan bernilai AS$172 bilion (RM760.2 bilion) selain menjana lebih 30 juta pekerjaan menjelang 2030, menurut laporan Bank Pembangunan Asia (ADB).

Menurut kenyataan pada Rabu, ADB menjelaskan laporan terbaru itu mengenal pasti lima bidang yang menyokong pemulihan pasca-COVID-19 menerusi pembangunan lebih hijau.

Bidang itu adalah pertanian yang produktif dan boleh jana semula; lautan yang sihat dan produktif; model pembangunan dan pengangkutan bandar yang mampan; model ekonomi sirkular serta tenaga boleh baharu dan kecekapan, tambahnya.

Ketua Pengarah bagi Asia Tenggara ADB, Ramesh Subramaniam berkata laporan ini menekankan keutamaan dasar utama untuk ekonomi di rantau ini yang boleh membantu memastikan aspirasi sosioekonomi dan alam sekitar dilaksanakan dalam usaha mereka untuk memulihkan ekonomi.

“Walaupun beberapa negara di rantau ini telah mula menyokong pemulihan hijau, banyak lagi yang perlu dilakukan.

“Kita perlu menggalakkan rangsangan hijau tambahan, mereka bentuk skim harga karbon, mengurangkan pergantungan kepada kuasa berintensifkan bahan api fosil selain menarik pelabur sektor swasta ke dalam projek tenaga boleh baharu berskala besar, pengangkutan mampan dan bandar yang bersih,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Menurut ADB pemulihan hijau daripada COVID-19 adalah penting untuk memastikan masa depan yang berdaya tahan dari segi ekonomi dan alam sekitar.

Tanpa tindakan bersepadu untuk menangani krisis alam sekitar akibat perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti, prospek pertumbuhan jangka panjang rantau ini boleh terhalang, jelasnya.

Ia menambah, pilihan dasar lain yang dikenal pasti dalam laporan itu termasuk mempergiat penyelidikan mengenai teknologi hijau, menggalakkan usahawan wanita untuk mengambil bahagian dalam peluang perniagaan hijau di samping menguruskan biodiversiti dengan lebih baik melalui sistem data terbuka dan bersepadu.

“Bagi melaksanakan pemulihan hijau, kerajaan-kerajaan Asia Tenggara juga perlu mengenal pasti sumber pembiayaan mampan yang akan membiayai pelaburan infrastruktur mesra iklim dan memanfaatkan peluang pertumbuhan hijau,” menurutnya.

Menurut laporan itu, pendekatan pembiayaan perlu meliputi langkah menggerakkan sumber domestik melalui cukai alam sekitar dan karbon, mengurangkan subsidi untuk bahan api fosil, menggerakkan pelabur swasta dengan menangani risiko berkaitan pelaburan hijau, dan memanfaatkan kewangan awam dan swasta melalui dana hijau seperti Kemudahan Kewangan Hijau Mangkin ASEAN.

Sumber: Bernama

Pemulihan hijau Asia Tenggara boleh wujudkan peluang pelaburan RM760 bilion setiap tahun


Content Type:

Duration:

Pendigitalan akan menjadi pemacu utama pemulihan ekonomi di ASEAN susulan impak buruk pandemik COVID-19, kata panelis Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan Pengerusi Eksekutif Qi Group, Datuk Seri Vijay Eswaran.

Beliau berkata, pada 2021 misalnya, jumlah pengguna internet di ASEAN meningkat lebih 10 peratus kepada 400 juta orang dan hampir 70 peratus daripada penduduk ASEAN adalah pengguna dalam talian yang mengatasi kadar global pada 60 peratus.

“Nilai ekonomi digital rantau ini pada masa ini adalah lebih AS$100 bilion.

“Bagaimanapun, bagi kebanyakan rakyat ASEAN, kualiti internet yang buruk serta mahal, masalah peranti digital, kekurangan kemahiran dan kebimbangan mengenai aspek jaminan dan keselamatan telah menghalang usaha bagi meraih manfaat daripada keterangkuman ekonomi digital,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Vijay berpendapat bahawa ASEAN perlu bertindak meningkatkan kemahiran pekerja dengan lebih pantas bagi menangani isu kekangan terhadap penerimagunaan digital itu.

Malah, katanya, terdapat keperluan segera untuk terus menawarkan inisiatif latihan dan meningkatkan kemahiran bagi memastikan generasi digital ini mempunyai persediaan sewajarnya bagi dunia pasca-pandemik serta tempoh seterusnya.

“Bagi memacu transformasi digital serta seiring dengan norma baharu, kalangan perniagaan juga perlu segera bekerjasama dengan vendor atau perniagaan yang berpendirian lebih maju dan dapat memberi kemudahan secara terjamin bagi tujuan transformasi digital pada hari ini serta mengelak halangan pada tempoh selepas itu,” katanya.

Sumber: Bernama

Pendigitalan pemacu utama pemulihan ekonomi ASEAN


Content Type:

Duration:

Rantau ASEAN terus menjadi destinasi pelaburan yang menyokong dan menarik dalam jangka panjang disebabkan penduduknya yang muda menjanjikan ekonomi yang bersemangat dengan sokongan sektor ekonomi utama seperti komoditi, ladang serta minyak dan gas.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Asset Management Malaysia Lim Suet Ling menjelaskan sebagai ekonomi keempat terbesar dengan lebih daripada 600 juta populasi, ASEAN telah berkembang menjadi lebih terdidik dan mempunyai kelebihan sebagai salah satu pengeluar terbesar dalam rantaian pembekalan global.

“Dengan sekatan akibat COVID-19 di China, terdapat kepelbagaian (dalam rantaian bekalan) dan saya berpendapat Malaysia akan mendapat manfaat daripada ini khususnya dalam segmen elektronik dan elektrik (E&E).

“Daripada segi pelaburan langsung asing (FDI) , kita lebih murah berbanding China, oleh itu saya percaya FDI akan terus mencurah masuk,” katanya dalam sesi panel di Invest ASEAN 2022 yang bertajuk ‘Pasaran dan Wang Pintar : Pergelutan atau Kejayaan’ hari ini.

Bagaimanapun, bagi meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan, Lim berharap akan dapat melihat lebih banyak unikorn internet yang muncul atau disenaraikan.

Beliau menegaskan bahawa perjanjian perdagangan di kalangan negara -negara ASEAN juga dapat diperkukuhkan dengan memupuk kerjasama yang lebih mendalam untuk mewujudkan peluang pelaburan yang lebih baik.

Lim ketika mengulas mengenai pelaburan, menasihatkan para pelabur agar bertahan disamping terus mengamalkan kewaspadaan dalam pegangan mereka buat masa sekarang berikutan kelembapan dalam jangkaan kenaikan kadar faedah kenaikan oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).

Mereka berpotensi untuk bergerak lebih jauh ke arah utiliti atau aset yang mempunyai pendapat tetap, ujarnya lagi.

“Sektor pertumbuhan lain termasuk pelancongan dan saham-saham yang berkaitan dengan perubatan tetapi kita bukan sahaja melihat ke arah permodalan yang besar, tetapi juga yang lebih kecil dan di bawah nilai kerana kita percaya wujud peluang yang belum diteroka lagi,” kata Lim.

Ketua Pegawai Pelaburan Maybank Islamic Asset Management, Muhammad Riduan Jasni dalam sesi panel yang sama berkata prestasi penerbitan sukuk terbukti lebih berdaya tahan berbanding bon kerana pertumbuhan industri Syariah adalah sangat mengujakan berikutan kesedaran yang lebih tinggi di kalangan negara-negara Islam.

Prestasi sukuk yang disokong dengan penanda aras Islam adalah lebih baik sehingga mampu mengatasi penanda aras konvensional memandangkan pelaburan ini adalah lebih menarik.

“Anda dapat melihat banyak permintaan yang datang daripada korporat, dana pencen dan ini pasti akan membantu memacu pertumbuhan industri,” katanya.

Oleh itu, tindakan tersebut akan menggalakkan kestabilan dan pertumbuhan industri pelaburan Islam di Malaysia.

Sumber: Bernama

ASEAN terus jadi tarikan untuk pelaburan jangka panjang


Content Type:

Duration:

Anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) sedang mempergiat penyelarasan untuk membangunkan langkah yang menggalakkan penggunaan kenderaan berteknologi baharu dalam usaha memenuhi komitmen iklim dan merealisasikan Visi Putrajaya 2040.

Ketika berucap pada Dialog Automotif APEC bagi edisi ke-35, Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Ekonomi Perindustrian Thailand, Krit Chansuwan berkata seiring dengan model ekonomi bio-kitaran-hijau (BCG) sebagai sebahagian daripada keutamaan APEC 2022, industri automotif rantau ini perlu memanfaatkan momentum itu.

Beliau berkata di samping itu industri ini juga perlu bergerak maju dengan komitmen pelepasan sifar bersih dan rendah untuk menyumbang kepada pemulihan ekonomi dan menangani kebimbangan alam sekitar global.

“Walaupun kenderaan elektrik telah menjadi penyelesaian yang dipercayai industri automotif untuk mencapai masa depan sifar bersih atau rendah karbon, kita perlu ingat setiap ekonomi APEC adalah unik, justeru, kita memerlukan pelbagai pendekatan untuk mencapai komitmen iklim kita.

“Pihak pembuat dasar dan peserta industri menyedari peranan penting suatu dasar kerana tanpanya, industri ini tidak akan dapat mempercepatkan penggunaan teknologi dan membuat peralihan yang diperlukan,” katanya.

Krit berkata ekonomi anggota APEC telah mencapai kemajuan yang ketara dalam peralihan kepada kenderaan elektrik sejak beberapa tahun lepas melalui pembangunan semula rejim kawal selia, piawaian lazim dan sasaran untuk menggalakkan peralihan kepada pilihan kenderaan rendah karbon.

“Lebih banyak yang perlu dilakukan memandangkan ekonomi anggota APEC bersaing untuk mencapai komitmen mereka dalam mengurangkan pelepasan karbon dioksida global sebanyak 45 peratus, daripada paras pada 2010, menjelang 2030.

“Pegawai dan pakar industri membincangkan dasar untuk mengurangkan harga kenderaan berteknologi baharu, antara lain meneliti kredit cukai, subsidi dan rebat,” katanya.

Beliau berkata mereka juga mengakui terdapat keperluan mendesak untuk memberi insentif kepada inovasi, penyelidikan dan pembangunan, pembuatan dan kitar semula komponen kenderaan berteknologi baharu seperti bateri dan semikonduktor.

Pegawai APEC dan wakil kanan industri automotif bersidang di sini untuk Dialog Automotif APEC bagi membincangkan manfaat kerjasama pengawalseliaan alam sekitar dan keselamatan kenderaan, penumpuan dan penyelarasan dalam memajukan kemudahan perdagangan serta menggalakkan kesalinghubungan di rantau ini.

Dialog Automotif APEC merupakan forum untuk industri dan kerajaan membincangkan pelbagai isu yang mempengaruhi perdagangan automotif.

Dialog itu akan terus bekerjasama dengan kumpulan APEC lain seperti Kumpulan Kerja Tenaga dan Kumpulan Kerja Pengangkutan untuk mengenal pasti dan menyepadukan pengangkutan mampan baharu dan baru muncul serta teknologi dan perkhidmatan mobiliti.

Sumber: Bernama

Industri automotif APEC percepat penggunaan kenderaan berteknologi baharu


Content Type:

Duration:

Pelaburan dan perdagangan Amerika Syarikat (AS) di negara-negara Asia Tenggara akan membantu meningkatkan interaksi ekonomi di rantau ini, kata felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Dr Oh Ei Sun. 

Beliau berkata banyak negara di negara Asia Tenggara berhasrat untuk mendapatkan pelaburan AS semasa Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS, terutamanya selepas bergelut dengan impak daripada pandemik COVID-19 sejak dua tahun lepas. 

“Jika AS cuba untuk menjadikan kita (negara-negara Asia Tenggara) menjadi lebih pro-AS, maka saya fikir lebih banyak pelaburan dengan rantau ini akan menjadi satu langkah yang baik,” katanya semasa program berita ‘The Brief’ Bernama TV, hari ini. 

Oh berkata sidang kemuncak itu yang dijadual bermula pada Jumaat (waktu Malaysia) dijangka membincangkan mengenai hubungan China-AS dan ketegangan geopolitik antara Rusia dan Ukraine.

Beliau juga berpandangan bahawa AS dijangka menggesa rantau ini untuk mengambil pendekatan lebih tegas terhadap Rusia berhubung perang di Ukraine. 

Para pemimpin ASEAN, kecuali Filipina dan Myanmar, dijadual menyertai sidang kemuncak khas tersebut. 

Satu Pernyataan Visi Bersama — yang akan menggariskan komitmen dan aspirasi untuk meningkatkan perkongsian ASEAN-AS bagi keamanan, kestabilan, keselamatan dan kemakmuran bersama untuk semua – dijangka dikeluarkan selepas berakhirnya mesyuarat peringkat tinggi itu.

Sidang kemuncak khas itu merupakan ulang tahun ke-45 dialog ASEAN-AS dan sidang kemuncak khas kedua yang dihoskan oleh presiden AS di negara tersebut selepas presiden ketika itu Barack Obama mengalu-alukan kedatangan para pemimpin ASEAN di California pada Feb 2016.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di Washington D.C. dari 12 -13 Mei 2022.

Malaysia dijangka meraih pelaburan baharu bernilai RM14.62 bilion dari AS susulan Misi Perdagangan dan Pelaburan yang diketuai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke negara itu dari 9-18 Mei, 2022.

Sumber: Bernama

Pelaburan AS di negara-negara Asia Tenggara bantu tingkat interaksi ekonomi – penganalisis


Content Type:

Duration:

Pembaharuan dasar yang menambah baik kutipan cukai dan meningkatkan hasil boleh membantu ekonomi Asia mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.

Pengarah Penyelidikan Makroekonomi Bank Pembangunan Asia (ADB), Abdul Abiad berkata pembaharuan sedemikian mesti dilakukan mengikut kes demi kes, dan dengan cara yang tidak menyekat pertumbuhan atau menimbulkan beban yang tidak wajar kepada pembayar cukai.

“Membangunkan penduduk Asia yang semakin tua akan memerlukan perbelanjaan yang lebih tinggi untuk pencen dan penjagaan kesihatan manakala peningkatan dalam kemewahan akan meningkatkan jangkaan untuk lebih banyak barangan dan perkhidmatan awam yang lebih baik.

“Pelaburan besar dalam tenaga bersih diperlukan untuk menangani ancaman perubahan iklim; bagi memenuhi permintaan ini dan lain-lain, negara perlu menggunakan rangkaian penuh sumber kewangan swasta dan awam,” katanya semasa Webinar Impak Asia mengenai Tinjauan Pembangunan Asia 2022, pada Rabu.

Beliau berkata, penyelesaian yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan termasuk kutipan cukai nilai tambah yang lebih cekap, pembaharuan insentif cukai dan membawa lebih banyak perniagaan ke dalam ekonomi formal, serta mengoptimumkan pendapatan peribadi dan cukai harta.

Menurut ADB, dengan pembaharuan itu, ekonomi Asia yang sedang membangun boleh meningkatkan hasil cukai sebanyak purata tiga hingga empat mata peratusan.

Sebagai contoh, mempermudahkan pendaftaran perniagaan dan menurunkan kos transaksi boleh membawa lebih banyak perniagaan kecil ke dalam ekonomi formal, sekali gus meningkatkan kutipan cukai.

Abdul menyatakan bahawa di Asia Tenggara, perniagaan bersaiz mikro, kecil dan sederhana menyumbang sebanyak 98 peratus daripada semua perusahaan dan 41 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat 2020.

“Kerajaan juga boleh menambah baik kutipan cukai daripada perdagangan Asia yang sedang berkembang dalam perkhidmatan digital, yang meningkat lebih tiga kali ganda sejak 2005 kepada AS$1.4 trilion (AS$1=RM4.22) pada 2020,” katanya.

Beliau juga menambah bahawa instrumen penetapan harga karbon dan cukai bahan api fosil telah terbukti mengurangkan pencemaran, dan cukai ke atas alkohol, tembakau dan makanan serta minuman yang tidak sihat boleh meningkatkan hasil sehingga sehingga 0.6 peratus daripada KDNK yang boleh membawa kepada hasil kesihatan yang lebih baik dan mengurangkan kos perubatan.

Sumber: Bernama

Pembaharuan dasar mampu pacu ekonomi Asia lebih kukuh


Content Type:

Duration:

Eksekutif syarikat pembuatan global lebih memfokuskan pada transformasi berkembar — pendigitalan pintar dan fokus pada matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang didorong oleh pandemik, perubahan iklim dan geopolitik, kata KPMG.

Menurut laporan Prospek Pembuatan Global 2022 KPMG, risiko rantaian bekalan dilihat sebagai ancaman terbesar kepada pertumbuhan organisasi dan teknologi baharu diperlukan untuk membina daya tahan rantaian bekalan.

“Lebih dua pertiga (68 peratus) ketua pegawai eksekutif (CEO) menyatakan mereka menyasar untuk memastikan rantaian bekalan masing-masing berdaya tahan sekiranya berlaku gangguan global yang besar pada satu ketika di masa hadapan.

“Cara terbaik untuk mengurangkan tekanan ke atas rantaian bekalan adalah dengan memperluaskan pemantauan syarikat dengan lebih mendalam terhadap rantaian bekalan untuk menjangka perubahan sebelum ia memberi kesan yang teruk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Perunding Teknologi KPMG Malaysia Alvin Gan berkata keperluan untuk daya tahan memaksa syarikat untuk menjadi lebih tangkas dan membuat keputusan yang lebih baik dengan cepat.

“Pendigitalan memainkan peranan penting untuk ini,” katanya.

Laporan itu turut menyatakan daripada pandemik ini dan kewujudan ketegangan geopolitik yang berterusan, CEO syarikat pembuatan mengetahui perlunya untuk melabur dalam teknologi baharu untuk mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan, dengan mengelak gangguan perniagaan dan mengambil kesempatan daripadanya.

KPMG berkata pengilang perlu menyesuaikan operasi mereka mengikut permintaan pada masa ini, dan mungkin  terpaksa ‘menutup, memperlengkap semula, membekalkan semula, memulakan semula’ dengan notis yang singkat.

“Ini menekankan pentingnya untuk memulakan pembuatan pintar dengan menangani rantaian bekalan yang tidak pasti dan tidak fleksibel untuk meningkatkan faktor penting antaranya seperti keselamatan, kualiti, produktiviti, kos dan penghantaran,” katanya.

Ia juga memerlukan visualisasi data, penyepaduan dengan analitik lanjutan (ramalan dan preskriptif) serta operasi simbiotik, yang semuanya ini akan meningkatkan daya tahan keseluruhan, katanya.

“Pelaburan bagi digital dan pendigitalan dalam  semua bidang berfungsi sesebuah syarikat, jika disepadukan dengan betul, berpotensi untuk meningkatkan ketangkasan dan mempercepatkan inovasi, kata KPMG.

Mengenai transformasi ESG, Gan berkata CEO global memberi lebih tumpuan kepada isu-isu sosial berbanding alam sekitar dan tadbir urus.

Berikutan isu buruh paksa yang menjejaskan syarikat Malaysia, syarikat-syarikat dijangka lebih proaktif dalam menjalankan perbincangan terbuka dan mengambil tindakan untuk meningkatkan kebajikan buruh, kata Ketua Perkhidmatan Nasihat Kemampanan KPMG Malaysia Phang Oy Cheng.

Tinjauan KPMG juga mendedahkan lebih separuh (55 peratus) CEO global menyatakan mereka akan melabur antara 1-5 peratus hasil untuk menjadi lebih mampan.

Beliau berkata meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga industri dan keperluan mendesak untuk mengurangkan skop 3 pelepasan di seluruh rantaian bekalan adalah dua bidang tumpuan utama, seperti semua pelepasan tidak langsung, selain daripada pelepasan tidak langsung yang datang daripada penjanaan elektrik yang dibeli, stim, pemanasan dan penyejukan yang digunakan oleh syarikat.

Sumber: Bernama

CEO pembuatan global lebih fokus pada daya tahan rantaian bekalan, transformasi teknologi — KPMG


Content Type:

Duration:

Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dan ASEAN menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang bertujuan mempercepatkan transformasi digital rantau ini dengan mengurus lebih baik beberapa risiko, cabaran dan gangguan berkaitan yang semakin meningkat.

MoU itu ditandatangani sempena Persidangan Menteri mengenai Program Serantau Asia Tenggara OECD (SEARP) di Seoul, Korea Selatan, secara maya pada Rabu.

Menerusi MoU itu, OECD dan ASEAN akan menilai pembahagian ketersambungan di Asia Tenggara untuk memudahkan penambahbaikan dalam kualiti perkhidmatan jalur lebar di seluruh rantau ini.

Menurut Setiausaha Agung OECD Mathias Cormann, semasa era pra-pandemik, Asia Tenggara merupakan antara ekonomi digital yang paling pesat berkembang dengan bilangan pengguna digital meningkat daripada 90 juta pada 2015 kepada 250 juta pada 2018.

Ia terus meningkat kepada 300 juta pengguna digital pada 2020, penambahan mendadak ekoran penutupan berkaitan COVID-19.

Namun begitu, beliau menyatakan bahawa penggunaan, penembusan dan infrastruktur dalam teknologi komunikasi dan maklumat kekal tidak setara di seluruh dan dalam negara di Asia Tenggara.

“Jalur lebar misalnya kekal lebih mudah diakses dan lebih pantas di persekitaran bandar berbanding di kawasan luar bandar dan terpencil,” katanya.

Membina masa depan digital memerlukan pendekatan kerajaan yang diselaraskan, katanya sambil menambah ia termasuk pelaburan dalam infrastruktur komunikasi dan kemahiran digital untuk merapatkan jurang digital sedia ada dalam kalangan masyarakat, wilayah dan perniagaan.

Beliau menekankan kepentingan melabur dalam kemahiran digital yang akan memastikan semua orang mempunyai peluang terbaik untuk menyertai dan mendapat manfaat daripada ekonomi digital.

Sumber: Bernama

OECD, ASEAN jalin kerjasama percepat transformasi digital serantau


Content Type:

Duration:

Usahawan terkemuka Malaysia Datuk Seri Vijay Eswaran menggesa pengintegrasian ekonomi di Asia, sambil menegaskan bahawa Asia perlu membangun sebagai blok perdagangan untuk menjadi kuasa yang kukuh.

Ia berikutan ekonomi global akan beralih daripada Barat ke Timur ketika pasca pandemik dan “masa depan akan menjadi sebagai Milenium Asia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bercakap pada Mesyuarat Tahunan Horasis Asia selaku perhimpunan utama di Asia bagi pemimpin kanan perniagaan dan kerajaan di rantau ini, baru-baru ini, Vijay berkata negara penggerak di Asia merangkumi India, China, ASEAN termasuk Malaysia, selain Jepun, Taiwan dan Korea Selatan.

“Ini adalah hab serantau, yang pada asasnya penting, yang mana itulah sebabnya ‘kita perlu memberi lebih penekanan kepada kawasan berhampiran kita dan Asia perlu membangunkan falsafahnya sendiri untuk menangani cabaran dalam melangkah ke hadapan,” katanya.

Mengulas mengenai topik ‘Membentuk Asia Baharu’ Vijay yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan QI, sebuah konglomerat di Asia menyifatkan ia bakal menjadi cabaran sebenar dalam membentuk ekonomi global ketika semua pihak sedang menuju norma baharu pasca pandemik.

Beliau berkata separuh daripada penduduk dunia menetap di Asia dengan ekonomi yang berkembang lebih pantas dan semakin saling berkait dalam aspek kebudayaan, perniagaan dan perdagangan.

Blok perdagangan mega baharu berpotensi untuk membantu mendorong pelaburan ekoran krisis COVID-19 dan menyediakan rangka kerja bagi kerjasama serantau yang seterusnya dalam situasi ketegangan perdagangan global.

“Kita perlu mengakui bahawa Asia akan menjadi peneraju atau sekurang-kurangnya menyumbang separuh daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia menjelang 2040 dan ini merupakan perkembangan yang penting,” kata Vijay yang menyokong laporan penyelidikan oleh McKinsey.

“Saya berpandangan, apa yang telah dilaksanakan China melalui Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) adalah langkah sangat kukuh dalam membawa bersama negaranegara merentasi dunia ketiga, dan terutamanya di ASEAN, ini telah mendapat perhatian dan disambut baik.

“Ia telah mengalihkan impak China kepada dunia dan membangunkan peluang pelaburan baharu, membina pasaran eksport, dan merangsang pendapatan dan penggunaan domestik rakyat China, yang pada akhirnya memacu mereka untuk menjadi kuasa ekonomi pada hari ini,” katanya.

Mengenai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), beliau berkata PKS bakal menjadi masa depan untuk pasca pandemik.

Beliau menegaskan kesihatan ekonomi negara banyak bergantung kepada kelangsungan perniagaan kecil dan sederhana, dan sehubungan itu, golongan itu memerlukan perlindungan terbesar dan skim kredit kewangan untuk meneruskan kelangsungan akibat pandemik.

“PKS adalah kuasa sebenar pada masa akan datang. PKS paling terjejas semasa pandemik dan PKS perlu dibangunkan semula.

“Tidak dinafikan bahawa firma-firma besar adalah penting untuk membawa masuk pelaburan, pelaburan langsung asing ke pelbagai negara merentasi Asia, namun, kita perlu menumpukan kepada PKS kerana mereka merupakan enjin pertumbuhan dan mereka perlu bangkit semula, bermula semula dan diperkasa semula,” katanya.

Vijay turut menegaskan berhubung kepentingan untuk menggalakkan keusahawanan dan menurutnya pandemik telah mencetuskan lambakan usahawan baharu yang memanfaatkan penerimaan pengguna terhadap ekonomi digital.

Diadakan di platform persidangan digital Horasis pada Jumaat, acara itu menghimpunkan lebih 400 pemimpin perniagaan dan politik terkemuka dari seluruh Asia dan dunia untuk membincangkan kaedah menangani cabaran ekonomi, politik dan sosial akibat COVID-19.

Kumpulan QI adalah ahli aktif Horasis, kumpulan pemikir antarabangsa sejak 2016.

Sepanjang berlangsungnya Mesyuarat Horasis Asia 2021, perbincangan tertumpu ke arah memulakan semula aktiviti ekonomi, bagaimana pekerjaan di rantau ini pada masa akan datang, dan bagaimana pembangunan yang lebih mampan akan berlaku di Asia dalam dunia pasca koronavirus.

Sumber: Bernama

Asia mampu jadi kuasa kukuh pasca pandemik


Content Type:

Duration:

Kerangka Kerja Pengaturan Koridor Perjalanan ASEAN (ATCAF) dijangka dilaksanakan secara berperingkat dalam masa terdekat bagi mempermudah perjalanan rentas sempadan dalam kalangan negara anggota.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata bagaimanapun, pelaksanaan ATCAF perlu mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelakkan penularan COVID-19.

“Boleh dikatakan semua negara ASEAN bercakap mengenai keperluan untuk mengizinkan perjalanan antara negara anggota terutama yang berkongsi sempadan yang sama.

“Kami percaya ia akan dapat dilaksanakan tidak lama lagi, jika tidak melibatkan seluruh ASEAN, tetapi ia mungkin akan dilaksanakan dengan negara jiran ASEAN,” katanya pada sidang media mengenai Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini pada Khamis.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak maya tiga hari itu yang bermula pada Selasa, dipengerusikan Brunei.

Mengenai Myanmar, beliau berkata kumpulan serantau itu menghargai Myanmar sebagai keluarga ASEAN dan Malaysia mahu melihat pelaksanaan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara secepat mungkin.

“Bagi Malaysia, pertama kami menghargai penyertaan Myanmar sebagai ahli penuh serta aktif dalam ASEAN. Kedua, keutamaan kami adalah melindungi rakyat Myanmar dan ia menjadi perkara utama dan terpenting dalam pemikiran kami.

“Ketiga, andai keadaan semasa berlarutan buntu dan tiada sebarang keputusan dapat dibuat, maka kami perlu memikirkan cara lain untuk mendapatkan hasil yang dikehendaki.

“Kita harus faham iaitu, semua keputusan yang dibuat ASEAN mengenai Myanmar, keutamaannya adalah demi rakyat Myanmar,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan Duta Khas ASEAN ke Myanmar, Erywan Mohd Yusof yang juga Menteri Luar II Brunei, ketika kerusi pengerusi ASEAN diserahkan kepada Kemboja pada 2022, beliau berkata, ia tidak dibincangkan pada sidang kemuncak ini dan beliau percaya blok serantau itu akan membincangkannya tidak lama lagi.

Mengulas mengenai beberapa perkara utama yang dibangkitkan Malaysia pada sidang kemuncak ini, Saifuddin berkata Malaysia menekankan keperluan untuk ASEAN terus bersatu bagi menghadapi banyak cabaran dan memastikan Pemusatan ASEAN kekal menjadi menjadi prinsip yang mencorakkan penglibatan dengan rakan kongsi luar.

Beliau berkata, perdana menteri sudah mengetengahkan beberapa isu utama termasuk pandemik COVID-19 dan Diplomasi Kesihatan, Perwakilan Myanmar dalam ASEAN dan situasi di negara itu termasuk Rohingya, ekonomi digital dan keselamatan siber serta perjanjian keselamatan tiga hala membabitkan Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS) serta Laut China Selatan.

Mengenai pandemik, Saifuddin berkata perdana menteri menggesa ASEAN dan rakan dialognya untuk mempersiapkan kemungkinan berlaku darurat kesihatan awam dan kemunculan penyakit baru menerusi program perkongsian pengetahuan serta pembinaan kapastiti, termasuk memanfaatkan teknologi digital.

Oleh kerana impak pandemik menyaksikan semangat nasionalisme dan perseteruan geopolitik mencorakkan bentuk respons kerajaan dan pertubuhan antarabangsa, beliau berkata Malaysia menggesa pemimpin dunia untuk menyemak semula aturan antarabangsa sedia ada dan berharap hala tuju baharu dibentuk sebagai persediaan pandemik akan datang.

“Malaysia merasakan seni bina kesihatan global yang baharu perlu dibangunkan. Sudah terbukti bahawa pandemik mengukuhkan kes multilateralisme,” katanya.

Sumber; Bernama

ASEAN dijangka benarkan perjalanan rentas sempadan tidak lama lagi – Saifuddin


Content Type:

Duration:

ASEAN berharap pelaksanaan Kerangka Pemudahan Pelaburan ASEAN (AIFF) akan memudahkan aliran masuk pelaburan ke rantau itu, ketika ASEAN meningkatkan usahanya ke arah pemulihan komprehensif.

Rangka kerja itu antara lain bertujuan menambah baik akses langkah ketelusan, menyelaras dan mempercepat prosedur serta keperluan pentadbiran dan mewujudkan persekitaran yang menyokong pelaburan di rantau ini.

“Ini bertujuan meningkatkan penyepaduan ekonomi serantau dan membolehkan ASEAN merebut peluang yang tersedia daripada peralihan dalam rantaian nilai global serta menyediakan manfaat yang besar kepada pemegang kepentingan,” titah Pengerusi ASEAN, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Sultan Hassanal Bolkiah mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 menerusi persidangan video, hari ini.

Baginda bertitah, ASEAN mengalu-alukan penguatkuasaan Perjanjian Perdagangan ASEAN bagi Perkhidmatan (ATISA) dan berharap perjanjian itu dapat dilaksanakan tepat pada masanya.

Menyedari keperluan menyelaraskan usaha menangani langkah bukan tarif bagi memudahkan aliran perdagangan di rantau ini, Brunei mengalu-alukan pengesahan NTM Cost-Effectiveness Toolkit (NTM Toolkit), yang bertujuan meningkatkan penerimagunaan amalan kawal selia yang baik bagi memudahkan keperluan dan prosedur import untuk meningkatkan eksport di rantau ini.

“Kami juga mengiktiraf usaha memudahkan pergerakan barangan dalam rantau ini dan menghargai usaha pegawai yang menyediakan platform memudahkan perdagangan berasaskan digital.

“Didorong oleh perkembangan positif ini, kami berharap kepada penyertaan penuh negara anggota ASEAN lain dalam inisiatif ini.

“Kami juga menantikan ujian menyeluruh Fitosanitari Elektronik (e-Phyto) antara Indonesia dan Thailand pada 2021.

“Kami menggesa semua negara anggota ASEAN memperkukuh usaha meningkatkan pemudahan perdagangan di rantau ini menerusi inisiatif seperti ASEAN Authorized Economic Operator (AEO) Mutual Recognition Arrangement (AAMRA),” titah baginda. 

Sumber: Bernama

AIFF mudahkan pelaburan ke rantau ASEAN


Content Type:

Duration:

Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi Asean (AEM) ke-53 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan berakhir dengan kata sepakat positif untuk menggiatkan semula pertumbuhan ekonomi serantau dan pentingnya pemuafakatan dan komitmen Asean untuk bekerjasama serta keluar daripada krisis Covid-19 dengan jayanya.

Bagi mencergaskan kembali ekonomi serantau, perbincangan mengenai status pelaksanaan di bawah Kerangka Pemulihan Komprehensif Asean (ACRF) menjadi tumpuan utama, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Antara inisiatif utama di bawah ACRF yang telah selesai adalah pemeteraian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), memuktamadkan kajian komprehensif Rangka Kerja Integrasi Digital ASEAN dan Pelan Tindakan Kerangka Integrasi Digital Asean (DIFAP) 2019- 2025, katanya pada akhir mesyuarat yang diadakan secara maya pada 8-9 September 2021.

Menteri Kanan merangkap Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengetuai delegasi Malaysia pada Mesyuarat AEM yang dihoskan oleh Brunei Darussalam selaku Pengerusi Asean 2021.

Pada mesyuarat berkenaan, Azmin menekankan pentingnya pemuafakatan ASEAN dan perlunya untuk terus bekerja dengan tekad yang lebih besar untuk mengatasi cabaran yang dicetuskan oleh pandemik agar rantau ini dapat muncul lebih kuat dan lebih berdaya tahan.

Beliau turut menyuarakan betapa mustahaknya untuk mempercepat pelaksanaan semua inisiatif di bawah ACRF bagi memudahkan pembukaan semula ekonomi dan seterusnya memacu pemulihan serantau.

Mesyuarat AEM juga mengalu-alukan pemuktamadan Pelan Hala Tuju Bandar Seri Begawan: Agenda Transformasi Digital Asean untuk Memacu Pemulihan Ekonomi dan Penyepaduan Ekonomi Digital Asean yang akan menyediakan rancangan yang fokus untuk Asean mengembangkan persekitaran yang mantap bagi Ekonomi Digital Asean selain memastikan rantau ini dapat muncul lebih kuat daripada kemelut pandemik.

Dalam menyokong pelan hala tuju dan menggesa agar pelaksanaannya berjalan lancar, Azmin berkata sudah tiba waktunya untuk menangani keperluan segera dan jangka pendek bagi transformasi digital di rantau ini.

Justeru, beliau mengulangi komitmen Malaysia untuk memasukkan elemen ekonomi digital yang komprehensif dalam pengaturan dan kerjasama perdagangan antarabangsa bagi mewujudkan persekitaran perdagangan digital yang lebih stabil, berisiko rendah dan mengurangkan kos pematuhan.

Inisiatif ini melengkapkan MyDIGITAL Malaysia yang menggariskan strategi untuk mendorong pertumbuhan ekonomi digital dan mengecilkan jurang digital selain mengubah negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu secara digital dan teknologi.

Para menteri turut mengesahkan Kerangka Ekonomi Pekeliling untuk Komuniti Ekonomi Asean dalam memperakui pentingnya memajukan agenda ekonomi yang lestari dan mampan.

Azmin juga menegaskan bahawa faktor Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) merupakan elemen penting dalam Wawasan Komuniti Asean 2025, dan sangat mustahak dalam usaha menggalakkan penciptaan nilai jangka panjang, mengintegrasikan perniagaan Malaysia ke dalam rangkaian antarabangsa dan menarik lebih banyak pelabur.

Sehubungan itu, beliau telah mengusulkan konsep Carbon Neutrality untuk Asean dan mengadakan perbincangan mengenai peluang pelaburan dalam ekonomi hijau yang mana telah diterima baik oleh rakan menteri yang lain dan seterusnya disokong oleh Pengerusi AEM Datuk Amin Liew Abdullah.

Bergerak ke hadapan, Pengerusi Sekretariat Asean Lim Jock Hoi turut melahirkan minat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam memajukan inisiatif ini dan memperdalam komitmen ke arah kelestarian dan teknologi hijau.

AEM bermula dengan Mesyuarat Majlis Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA) dengan para menteri dimaklumkan mengenai status pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Barangan Asean (ATIGA) serta ulasan mengenainya.

Pencapaian dalam langkah-langkah pemudahcaraan perdagangan juga dilaporkan, termasuk pengesahan Kit Kecekapan Kos Langkah-langkah Bukan Tarif (NTM), yang akan bertindak sebagai panduan penting untuk menangani NTM yang memberi kesan kepada kelancaran aliran barangan di Asean.

Ini diikuti oleh Mesyuarat Majlis Kawasan Pelaburan Asean (AIA) yang menyaksikan para menteri menerima pada dasarnya Kerangka Pemudahcaraan Pelaburan ASEAN (AIFF), menekankan pentingnya meningkatkan proses memudahkan pelaburan di negara-negara anggota Asean.

Ini amat perlu untuk mempromosikan dan mengekalkan pelaburan di rantau ini selain menyumbang kepada pemulihan ekonomi secara keseluruhan.

Mesyuarat itu turut memuji kerja yang telah dilaksanakan oleh Majlis Penasihat Perniagaan Asean (Asean-BAC) pada tahun 2021 dalam meningkatkan usaha Asean ke arah integrasi ekonomi dan terus menerus memperjuangkan inisiatif yang menjadi pusat peningkatan persekitaran perniagaan dan masyarakat Asean.

Sehubungan itu, para menteri menyambut baik saranan ASEAN-BAC mengenai pembangunan modal insan, fasilitasi perdagangan dan kesalinghubungan digital.

Para menteri juga mengesahkan senarai barangan keperluan yang diperluas dalam memorandum persefahaman (MoU) mengenai Pelaksanaan Langkah-Langkah Bukan Tarif Terhadap Barang-barang Keperluan yang ditandatangani pada bulan November 2020, untuk memastikan aliran barang-barang keperluan tanpa gangguan di rantau ini.

Senarai itu kini merangkumi makanan dan produk pertanian, daripada senarai ubat-ubatan dan peralatan perubatan yang dipersetujui sebelumnya.

Mereka turut melancarkan laporan-laporan Competition Assessment and Competitive Neutrality OECD mengenai sektor logistik di Asean.

Dibiayai oleh Program Reformasi Ekonomi Asean-UK, kedua-dua kajian ini bertujuan untuk menilai kekangan peraturan mengenai persaingan dalam sektor logistik di semua negara anggota ASEAN dengan mengenal pasti peraturan yang menghalang fungsi kecekapan pasaran dan mewujudkan persaingan sama rata untuk perniagaan.

Sumber: Bernama

Asean fokus cergaskan semula pertumbuhan ekonomi serantau


Content Type:

Duration:

Tinjauan global yang dilakukan oleh KPMG International mendapati 59 peratus ketua pegawai eksekutif (CEO) di Asia Pasifik (APAC) kini lebih yakin terhadap pemulihan ekonomi global berbanding pada awal tahun ini.

Namun, mereka juga semakin bimbang mengenai risiko ke atas rantaian bekalan masing-masing, demikian menurut Tinjauan CEO KPMG 2021 (KPMG 2021 CEO Outlook) yang meninjau lebih daripada 1,300 CEO global mengenai strategi dan prospek mereka dalam tempoh tiga tahun.

Dalam kalangan hampir 500 CEO di Asia Pasifik, 66 peratus CEO di Asia Pasifik menyatakan rantaian bekalan mereka mengalami tekanan yang meningkat sejak 18 bulan terakhir.

Oleh itu, tidak menghairankan para CEO ini meletakkan risiko rantaian bekalan sebagai ancaman utama mereka terhadap pertumbuhan tahun ini, kata firma perundingan itu.

“Pra pandemik, risiko kepada rantaian bekalan kian mendapat perhatian berikutan meningkatnya situasi ketidakpastian daripada ketegangan perdagangan dan peristiwa yang didorong oleh iklim tetapi masih dianggap sebagai keutamaan tahap rendah bagi para CEO.

“Bagaimanapun, pandemik terus menjadikan isu ini fokus yang ketara, menyaksikan organisasi bergelut untuk mengekalkan kesinambungan rantaian bekalan semasa kawalan pergerakan dikuatkuasakan seluruh dunia,” kata rakan pengurusan KPMG di Malaysia Datuk Johan Idris dalam satu kenyataan.

KPMG berkata CEO Asia Pasifik terus menyedari pentingnya membina rantaian bekalan yang berdaya tahan dan fleksibel.

Justeru, 36 peratus telah menyatakan hasrat untuk memantau lebih jauh ke dalam rantaian bekalan mereka bagi menjangkakan potensi masalah yang lebih baik sementara 34 peratus akan mempelbagaikan sumber input dengan menambahkan lokasi input baharu untuk menjadikan rantaian bekalan mereka lebih berdaya tahan.

Sebanyak 14 peratus CEO lagi akan mengutamakan penyusunan semula rantaian bekalan mereka untuk memberikan ketahanan yang lebih besar dan akses yang lebih konsisten untuk mencapai objektif pertumbuhan masing-masing.

Sementara itu, penemuan lain dalam tinjauan berkenaan menyatakan 70 peratus CEO berhadapan peningkatan permintaan daripada pihak berkepentingan untuk menyediakan lebih banyak pelaporan dan ketelusan mengenai masalah persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) dan 81 peratus percaya rangsangan kerajaan akan diperlukan sekiranya semua perniagaan mahu mencapai sifar bersih.

Sumber: Bernama

KPMG: CEO lebih yakin terhadap pemulihan ekonomi tetapi bimbang dengan risiko rantaian bekalan


Content Type:

Duration:

Momentum pengembangan ekonomi digital di rantau Asia Tenggara yang amat pesat semasa era COVID-19 akan berlanjutan pasca pandemik, didorong oleh peningkatan pengguna digital yang akan merancakkan pembelian dalam talian di tengah-tengah perkembangan e-dagang, kata Facebook.

Naib Presiden rantau Asia Tenggara dan Pasaran Sedang Pesat Membangun Benjamin Joe berkata pandemik itu menjadi pemacu kepada trend digital dengan ramai pengguna kini telah terbiasa melakukan sesuatu menggunakan aplikasi mudah alih.

Beliau percaya dengan lebih ramai memanfaatkan skrin pelbagai (multi-screening) berbanding sebelumnya, gaya hidup pengguna baharu telah muncul dengan tabiat pembelian baharu, cara baharu untuk meneroka serta harapan baharu.

“Saya berpendapat kita akan terus menyaksikan trend pengguna digital ini. Malah setiap data dan pemahaman yang saya lihat setakat ini menunjukkan trend ini akan terus meningkat dan bukan sebaliknya,” kata beliau di sidang meja bulat media di Sidang Kemuncak Facebook SEA 2021 yang diadakan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan sama ada pertumbuhan ekonomi digital akan berterusan berikutan kadar  vaksinasi yang pantas dan kelonggaran ekonomi di banyak negara yang  memungkinkan pengguna kembali kepada pembelian di luar talian.

Turut hadir adalah ketua pegawai pemasaran Mindvalley Marisha Hassram, yang mewakili firma teknologi pendidikan yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Menurut kaji selidik Facebook, penghijrahan ekonomi rantau Asia Tenggara dari luar talian ke ekonomi dalam talian pada tahun 2020 telah melepasi anggaran awal dan terus berkembang pesat.

Kaji selidik itu turut menunjukkan ekonomi digital akan terus memainkan peranan besar dalam kehidupan seharian, walaupun selepas COVID-19.

Kira-kira 70 juta orang di rantau Asia Tengara, yang bersamaan keseluruhan penduduk United Kingdom, telah menjadi pengguna digital sejak pandemik itu bermula.

Menurut kajian, digitalisasi adalah pemacu utama ketahanan perniagaan dalam ekonomi pasca COVID-19 dengan peningkatan penggunaan yang berpusat di rumah.

“Saluran digital membantu perniagaan menjangkau lebih banyak khalayak, memudahkan hubungan emosi  dan mengubah penonton menjadi pengguna,” kata Benjamin.

Platform media sosial seperti Facebook, menjadi penting untuk kelangsungan hidup beberapa perniagaan, tambah beliau.

Di Facebook, perniagaan – baik besar, kecil, perusahaan sederhana dan mikro – disediakan alat untuk mengembangkan dan memperkuatkan kehadiran digital mereka, berhubung dengan pelanggan dan meningkatkan kemahiran pasukan, sekali gus membantu mereka pulih dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di negara masing-masing,” jelas Benjamin.

Sementara itu, Facebook dalam usaha membantu perniagaan bersedia untuk masa depan, akan menganjurkan siri ketiga Sidang Kemuncak Facebook pada 28 Sept, 2021.

Sidang kemuncak itu akan menampilkan lebih daripada 50 pemimpin global dan serantau, yang melangkah melangkaui batas industri serta menyoroti idea bagaimana syarikat-syarikat menggunakan platform seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, dan Messenger untuk terlibat secara kreatif dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

Sumber: Bernama

Pertumbuhan pesat ekonomi digital di Asia Tenggara akan berterusan pasca pandemik – Facebook


Content Type:

Duration:

ASEAN dan Korea Selatan perlu mengukuhkan kerjasama dalam transformasi digital, bidang yang dapat merancakkan ekonomi blok serantau itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea ke-22 yang diadakan menerusi sidang video hari ini, beliau berkata, Korea Selatan dianggap sebagai peneraju dunia dalam teknologi digital dan aplikasi yang dapat memacu produktiviti.

Sidang berkenaan diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-39 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, dipengerusikan Brunei dengan tema “We Care, We Prepare, We Prosper”.

“Ekonomi digital rantau ini diunjur mencecah AS$300 bilion menjelang 2025 apabila berjuta-juta penduduk memanfaatkan pembelian dalam talian, menggunakan khidmat penghantaran makanan serta perkhidmatan dalam talian yang lain,” katanya.

Berikutan itu, Ismail Sabri berkata, wujud keperluan bagi menangani ancaman jenayah siber yang dilihat semakin meningkat sejajar dengan digitalisasi.

Untuk itu, katanya, Cybersecurity Malaysia merancang inisiatif Pembangunan Profesional Keselamatan Digital dan Pembelajaran Berterusan ASEAN, bertujuan mengukuhkan kemampuan keselamatan siber bagi membantu menangani ancaman siber di rantau ini.

“Malaysia berharap akan mendapat sokongan Korea Selatan berkaitan cadangan program ini,” katanya.

Mengulas mengenai COVID-19, Perdana Menteri berkata, pandemik itu menyerlahkan peri pentingnya buat ASEAN dan Korea Selatan bagi menyelaras usaha secara berkesan menguruskan aspek darurat kesihatan awam serta dalam menangani kemunculan penyakit.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia mengalu-alukan inisiatif hub vaksin Korea Selatan kerana ia membolehkan rantau ini mendapat akses vaksin COVID-19 secara saksama, efektif, selamat dan mampu milik.

“ASEAN dan Korea Selatan juga boleh meningkatkan kerjasama dalam inisiatif bagi mengukuhkan sistem kesihatan awam,” katanya.

Malaysia turut menyuarakan penghargaan terhadap sumbangan Korea Selatan sebanyak US$ 1 juta kepada Tabung COVID-19 ASEAN dan bantuan negara itu sebanyak US$5 juta bagi meningkatkan kapasiti projek pengesanan COVID-19 selain kesediaan negara berkenaan berkongsi maklumat serta amalan baik dalam menangani kesan pandemik.

Sumber: Bernama

ASEAN, Korea Selatan perlu perkukuh kerjasama transformasi digital


Content Type:

Duration:

Pelabur global dijangka menuju ke Asia berikutan prospek ekonomi di seluruh dunia diramal tidak menentu dengan pertumbuhan yang terjejas pada 2022 dan 2023, demikian menurut ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Shan Saeed menzahirkan keyakinan bahawa ekonomi global akan kembali kepada era stagflasi atau kemelesetan-inflasi pada 1970-an dengan kadar inflasi yang tinggi, pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan kadar pengangguran yang masih meningkat.

“Disebabkan pandemik COVID-19, kira-kira 100 hingga 300 juta orang telah terjerumus ke kancah kemiskinan, manakala 20 hingga 30 juta individu hilang pekerjaan di seluruh dunia.

“Oleh itu, kita berada dalam keadaan ekonomi yang rapuh dengan ketara pada 2022 dan 2023. Pemulihan ekonomi global dijangka mencatatkan pertumbuhan terjejas dengan kewangan yang tidak kukuh dan bazuka terhadap pasaran kewangan,” katanya kepada Bernama.

Beliau menegaskan dalam tempoh stagflasi, para pelabur kebiasaannya menumpukan kepada hartanah dan komoditi.

“Malaysia akan cenderung mendapat manfaat susulan harga minyak dan komoditi yang lebih tinggi, dijangka pada tahun depan.

“Juwai IQI menjangka keluaran dalam negara kasar akan berkembang antara empat dan lima peratus pada tahun depan,” katanya.

Malah, beliau berkata peluang pelaburan masih dilihat dalam sektor gas asli cecair (LNG), e-dagang, teknologi dan infrastruktur.

Katanya infrastruktur adalah satu-satunya strategi pelaburan yang berkesan untuk merangsang pertumbuhan di seluruh dunia.

“Semua penggiat utama bergerak ke ASEAN dan Malaysia kekal sebagai kisah pertumbuhan berikutan kestabilan makroekonomi dan keyakinan ekonomi di peringkat makro.

“Nilai keseluruhan projek infrastruktur dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) pada harga semasa bersamaan US$4.5 trilion dan Malaysia adalah pemain penting dalam BRI berikutan kedudukan geografi yang strategik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Centennial Asia Advisors Pte Ltd, Manu Bhaskaran berkata Asia Tenggara berada dalam kedudukan yang baik pada masa ini berikutan trend jangka panjang yang kekal menggalakkan.

Beliau berkata demikian dalam sesi panel pada Sidang Kemuncak Ekonomi dan Keusahawanan Asia 2021 hari ini.

Sidang kemuncak bertemakan ‘Membina Infrastruktur Mampan untuk Pertumbuhan Ekonomi’ itu, dianjurkan Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik dan pihak lain.

“Terdapat penyusunan semula dalam rantaian bekalan pengeluaran yang sebahagian besarnya akan memanfaatkan negara-negara di rantau ini. Meskipun dilanda COVID-19, kita menyaksikan adanya aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI).

“Malah, turut  dilihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, seluruh sudut penawaran telah membuat pembaharuan di banyak negara di ASEAN, yang akan meningkatkan keberkesanan rantau ini melalui FDI,” katanya.

Beliau berkata perubahan dan penambahbaikan terkini bagi memudahkan urusan perniagaan, dan mengurangkan karenah birokrasi akan menyumbang kepada pelaburan dan pertumbuhan yang lebih besar.

Sumber: Bernama

Ahli ekonomi jangka pelabur global akan tertumpu ke Asia


Content Type:

Duration:

IBM telah melancarkan komitmen dan pelan global bagi menyediakan 30 juta orang dengan kemahiran baharu yang diperlukan untuk pekerjaan masa depan menjelang 2030.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat teknologi yang beribu pejabat di New York berkata bagi mencapai tujuan tersebut, IBM telah membuat pelan halatuju yang jelas dengan 170 rakan kongsi baharu dan pengembangan program di lebih dari 30 buah negara di seluruh Amerika, Asia Pasifik, Eropah, Timur Tengah dan Afrika.

Usaha itu akan memanfaatkan program IBM sedia ada dan platform pembinaan kerjaya untuk memperluaskan akses pendidikan dan permintaan terhadap peranan teknikal.

Ia berkata pelan itu bergantung kepada kombinasi programnya yang meluas dan merangkumi kerjasama dengan universiti dan entiti utama kerajaan, termasuk agensi-agensi pekerjaan.

“Rakan kongsi juga meliputi organisasi bukan kerajaan, terutamanya yang memfokuskan kepada golongan seperti belia, wanita, dan veteran tentera,” katanya.

Di Malaysia, syarikat itu berkata baru-baru ini telah mengumumkan kerjasama dengan Politeknik Balik Pulau (PBU) di Pulau Pinang untuk menubuhkan IBM SkillsBuild@PBU Learning Institute, yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada hampir 800 pelajar di politeknik setiap tahun.

“Di bawah kerjasama itu, PBU akan memanfaatkan platform IBM SkillsBuild untuk mengakses kandungan pembelajaran yang diiktiraf secara percuma, lencana bagi memperakui pembelajaran dan bimbingan pembangunan kerjaya daripada pakar IBM,” katanya.

Melalui IBM SkillsBuild @PBU Learning Institute, syarikat itu berkata politeknik menyasarkan bagi melahirkan minda golongan pemuda yang paling cemerlang di negara ini dan memberi mereka peluang untuk mempelajari kemahiran yang relevan dan berkembang maju dalam ekonomi digital di masa depan.

Sumber: Bernama

IBM komited beri kemahiran kepada 30 juta orang di seluruh dunia menjelang 2030


Content Type:

Duration:

Kerjasama dan usaha bersepadu yang erat antara negara anggota ASEAN harus segera dilaksanakan untuk menghidupkan kembali industri pelancongan serantau.

Timbalan Setiausaha Agung untuk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), Satvinder Singh berkata, ia penting kerana sektor ini telah terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, malah Asia Tenggara kini menyaksikan peningkatan ketara kes jangkitan.

“Perjalanan dan pelancongan telah menjadi antara sektor terpenting dalam ekonomi dunia, dan tidak dinafikan sektor ini penyumbang besar kepada KDNK kita.

“Oleh itu, kita perlu bersatu, menerusi usaha yang lebih bersepadu untuk kita segera mengatasi cabaran ini,” katanya dalam ucapan penutup webinar maya bertajuk “ASEAN Tourism Webinar 2021: Outlook and Pathways to Recovery”, pada Selasa.

Dianjurkan CARI ASEAN Research and Advocacy, webinar itu juga menampilkan, antara lain, Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia (MoTCE) Sandiaga Uno dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat.

Satvinder berkata, langkah sekatan membendung penularan Covid-19 dalam negeri telah memberi kesan kepada semua pihak yang terkait dengan industri pelancongan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), oleh itu sektor awam dan swasta harus menggandakan usaha untuk liputan vaksinasi.

Liputan vaksinasi tidak hanya dapat disediakan oleh kerajaan sahaja. Sektor swasta juga perlu membantu dengan meningkatkan kempen vaksinasi, untuk komuniti mereka.

“Pasport Kesihatan Digital ASEAN diharap akan menjadi dokumentasi ujian dan vaksinasi yang berkesan dan bersesuaian dengan beberapa protokol kesihatan global, serta memberi keyakinan kepada pelancong,” katanya.

Sementara itu, Ketua Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN 2021 Brunei Yanty Rahman berkata, banyak perniagaan, khususnya PMKS yang bergantung kepada pelancongan, terpaksa menutup perniagaan atau sedang menghadapi masalah.

“Meskipun sedang menghadapi penularan virus delta yang lebih mudah berjangkit, penting untuk sektor awam dan swasta bekerjasama untuk satu hala tuju pemulihan.

“Hala tuju itu akan memberi keyakinan kepada pelancong dengan memastikan pematuhan semua protokol penjagaan kesihatan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menyokong pemulihan perjalanan secara beransur-ansur di rantau ini, sehingga kita dapat pulih semula bersama,” katanya.

Industri pelancongan ASEAN menyumbang kepada 14.3 peratus daripada KDNK dan 13.7 peratus daripada jumlah pekerjaan di rantau ini.

Namun, pada 2020 ketibaan pelancong antarabangsa merosot 80.5 peratus dan menyebabkan kerugian sebanyak 75.8 peratus.

Source: Bernama

Anggota Asean gesa kerjasama pulihkan industri pelancongan serantau


Content Type:

Duration:

Pada masa ini perkara paling utama adalah negara manakah yang paling banyak membantu untuk menjadikan dunia kembali normal di tengah-tengah peningkatan pandemik COVID-19.

Sama ada negara itu kuasa lembut  (soft power) atau kuasa keras (hard power), ini harus menjadi fokus dasar luar  negara  yang mempunyai sumber dan kemampuan untuk cuba membantu.

Demikian menurut Rakan Kongsi, Sanctuary Counsels, Jonathan McClory, di Persidangan Diplomasi Awam Asia 2021 Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF) di sini hari ini.

McClory, perunding strategi bebas yang mengkhusus dalam soft power, diplomasi awam, hubungan budaya, penjenamaan tempat dan industri kreatif berkongsi topik “Public Diplomacy in a Post-COVID-19 World” bersama tiga penceramah lain.

Sesi dikendalikan Pengarah Pusat Diplomasi Awam, Universiti Southern California, Dr Jay Wang.

McClory ditanya sama ada sesebuah negara yang tidak memiliki kekuatan ketenteraan boleh menunjukkan soft power dan diplomasi awam yang baik untuk menyatukan masyarakat, misalnya dalam menyelesaikan masalah tertentu seperti pelancaran vaksin global yang lebih baik.

“Tidak semestinya ia hanya boleh dilakukan negara yang memiliki infrastruktur ketenteraan terbaik, tetapi negara yang boleh membantu membangun keupayaan di bidang kesihatan awam atau dalam pelaksanaan pembiayaan pelancaran vaksin di seluruh dunia.

“Dan, saya fikir itu akan menjadi perkara paling penting untuk soft power,” katanya.

McClory menyatakan Jepun adalah antara negara yang dapat melakukannya tanpa melibatkan kuasa ketenteraan.

Menurut perunding itu ia terbukti dengan semua tindakan yang dilakukan negara ini di Asia Tenggara seperti meningkatkan kapasiti di pelbagai bidang dan pembangunan dan “sebahagian daripadanya adalah kesihatan awam.”

Katanya, Kesatuan Eropah juga telah melakukannya dengan cukup baik dalam usaha mereka membekalkan vaksin untuk Vaccines Global Access (COVAX).

Sumber: Bernama

Percepat pelancaran vaksin COVID-19 perlu jadi fokus utama dasar luar


Content Type:

Duration:

wpChatIcon