B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Jawatankuasa pemantau boleh tingkat keyakinan pelabur – Penganalisis

Cadangan bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk kerajaan menubuhkan jawatankuasa pemantau bagi meneliti perkembangan komitmen pelaburan yang masuk ke negara ini dilihat wajar dan mampu mengukuhkan lagi keyakinan pelabur terhadap negara ini, demikian kata penganalisis.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata cadangan penubuhan jawatankuasa khas di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) adalah sesuatu yang tepat dan amat diperlukan dalam memastikan hasrat pelabur asing terutamanya dapat dipermudahkan dan dipercepatkan dalam melaksanakannya.

Beliau berkata, antara kebaikan utama pelaksanaan segera memberikan impak ekonomi yang cepat dan efektif kepada negara, dengan antaranya mengukuhkan nilai ringgit, membuka pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan terutama kepada sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Katanya, nilai pelaburan asing yang besar seperti yang diumumkan baru-baru ini oleh Tesla, Amazon Web Services dan yang terbaru pelaburan RM170 bilion dari syarikat besar China amat diperlukan untuk memacu ekonomi negara dan mesti ditangani dengan pintar serta didahulukan.

“Tambahan lagi, Malaysia bersaing sengit dengan negara jiran di Asia Tenggara dalam menarik pelaburan asing maka pengumuman pelaburan langsung asing (FDI) baru-baru ini seharusnya dimanfaatkan untuk menjadi contoh keupayaan Malaysia dan pastinya menarik lebih ramai lagi pelabur asing dari negara lain ke Malaysia.

“Penubuhan jawatankuasa di bawah MITI ini juga akan menonjolkan keseriusan Malaysia dalam memastikan pelaksanaan FDI dijalankan dengan telus, mudah dan cepat,” katanya kepada BH bagi mengulas cadangan kepada kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa pemantau pelaburan yang masuk ke negara ini.

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, adalah diharapkan sekiranya jawatankuasa yang ditubuhkan itu berjaya mencapai objektif penubuhannya, maka modus operandi memperbaiki pelaburan asing dapat diadaptasi secara keseluruhannya walaupun jawatankuasa berkenaan telah dibubarkan nanti.

Beliau berkata, ia bagi memastikan penambahbaikan yang telah diselengarakan oleh jawatankuasa berkenaan dapat dikekalkan dan diterapkan dalam standard modus operasi agensi kerajaan yang berkenaan.

Johari dilaporkan berkata kerajaan perlu menubuhkan jawatankuasa pemantau menerusi MITI bagi meneliti perkembangan berhubung komitmen pelaburan diperoleh Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, ia penting bagi memantau setiap perkembangan selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara syarikat Malaysia dengan negara berkenaan, sekali gus penyelesaian perlu dilakukan segera daripada permasalahan berbangkit.

Katanya, ia bagi memastikan setiap pelaburan yang masuk ke Malaysia berjalan lancar.

Sementara itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff juga bersetuju satu jawatankuasa ditubuhkan bagi memastikan pelaburan yang masuk dapat dipantau dari segi memenuhi dasar dan keperluan kerajaan serta dapat mengambil tahu situasi dan isu penting berkaitan pelaburan dalam negeri.

Beliau berkata, ia sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur luar atas kesungguhan kerajaan dalam menarik pelaburan masuk.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata, pelabur mahukan suatu lokasi pelaburan yang dinamik memandangkan landskap pelaburan semakin mencabar disebabkan faktor geopolitik yang dilihat semakin tidak menentu terutamanya hubungan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Justeru, beliau berkata, banyak syarikat antarabangsa mula mencari lokasi baharu bagi mengelakkan dari terus terkesan akibat sekatan ekonomi.

“Oleh itu, sekiranya jawatankuasa ini dapat memudahkan urusan pelabur asing untuk berurusan dengan pihak berwajib, ia akan dapat menambah baik pengalaman dalam kalangan pelabur,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Jawatankuasa pemantau boleh tingkat keyakinan pelabur – Penganalisis


Content Type:

Duration:

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata salah satu projek daripada rekod komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion dari China itu dijangka dimulakan seawal bulan depan.

Anwar berharap pelaksanaan projek-projek itu akan menjadi galakan kepada pelabur lain.

“Projek awal yang pertama dijangka bermula selewat-lewatnya Mei,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan, pada sidang media pasca mesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini.

“Ini akan memberi dorongan kepada pelabur selain mereka yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU), bermakna pelaksanaannya perlu disegerakan.

“Sebab itu saya juga merayu kepada kerajaan negeri dan majlis tempatan yang berkaitan supaya memastikan proses (berkaitan projek) dipercepatkan supaya tidak menjadi masalah kepada syarikat terbabit.

“Peraturan dan undang-undang mesti ditentukan dan dipatuhi sepenuhnya dan semua kajian daripada jabatan itu mesti diselesaikan.

“Tetapi jangan mengambil terlalu banyak masa, kerana dalam keadaan semasa kita perlu memacu pelaburan yang lebih cergas,” tambah ahli Parlimen Tambun itu.

Minggu lalu, Anwar ketika lawatan empat harinya ke China, memperoleh komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion, yang mana ia merupakan yang terbesar bagi Malaysia sehingga kini.

Sebanyak 19 MoU telah ditandatangani antara syarikat Malaysia dan China.

Antaranya, kata Anwar, adalah pelaburan dianggarkan RM80 bilion oleh Rongsheng Petrochemicals Co Ltd dalam kilang penapisan petrokimia.

Beliau juga berkata pembuat kereta Zhejiang Geely Holding Group (Geely), akan melabur RM2 bilion pada mulanya dan kemudiannya akan meningkatkan jumlah itu sehingga RM32 bilion.

Anwar juga memberitahu akhbar hari ini bahawa beliau akan mempengerusikan mesyuarat khas mengenai pelaburan RM170 bilion bagi memastikan pelaksanaan projek-projek itu lebih berkesan.

Katanya, beliau dan menteri-menteri lain yang berkaitan daripada kabinetnya akan berbincang dengan kerajaan negeri mengenai projek yang dicadangkan terutama negeri yang menerima sumbangan pelaburan besar dari China. – 5 April, 2023.

Sumber: The Malaysian Insight

Projek pertama komitmen pelaburan China bermula bulan depan, kata PM


Content Type:

Duration:

Projek melibatkan pelaburan China ke Malaysia bernilai RM170 bilion menerusi 19 memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara syarikat kedua-dua negara dijangka dilaksanakan pada tahun ini atau selewat-lewatnya tahun hadapan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diputuskan beliau bersama rakan sejawatnya, Li Qiang, bagi memastikan syarikat yang terlibat dapat memulakan pelaksanaan MoU berkenaan pada waktu yang ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, dua syarikat melibatkan bidang automotif sudah merancang untuk melancarkan program seawal bulan depan iaitu Geely Auto dan Proton.

“Syarikat awal iaitu Geely akan hadir pada awal bulan depan dan ia disahkan oleh Proton untuk melaksanakan program di Tanjung Malim selain (program) yang sedia ada.

“Geely hanya mengembangkan projek asal kepada EV (kenderaan elektrik) dan lain-lain.

“Jadi, yang diputuskan ini adalah syarikat yang dipantau kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan kerajaan China di bawah pengawasan Perdana Menteri iaitu syarikat melaksanakan akhir tahun ini atau selewat-lewatnya tahun hadapan,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) sejauh mana keyakinan Perdana Menteri untuk 19 MoU yang ditandatangani di Beijing akan diterjemah kepada pelaburan sebenar.

Dalam pada itu, kata Anwar, kerajaan akan membincangkan mengenai keperluan menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau laporan hasil pelaburan negara China ke Malaysia dan akan dibincang dalam mesyuarat jemaah menteri. 

“Memang kita akan bincang dalam mesyuarat esok dan langkah-langkah susulan sama ada harus ada jawatankuasa khas atau tidak, dan akan diputuskan esok.

“Setakat ini projek ini dipantau oleh MITI, MIDA (Pembangunan Pelaburan Malaysia) dan Matrik yang saya rasa mampu untuk menyelenggarakan kerana persiapan yang dibuat oleh mereka sangat memuaskan,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Projek melibatkan pelaburan China ke Malaysia dijangka tahun ini atau tahun hadapan


Content Type:

Duration:

Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) menjalin kerjasama dengan China Electronic Chamber of Commerce (CECC) bagi membantu pelaburan dan perkongsian strategik antara Malaysia dan China.

Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata Mah Sing akan bersama dengan CECC bagi membantu pelabur China membina kemudahan pembuatan di Malaysia serta mempromosikan perkongsian strategik antara kedua negara.

Beliau berkata, langkah itu adalah disebabkan penyertaan Mah Sing sebagai delegasi perniagaan peringkat tinggi dalam Forum Perniagaan Malaysia-China 2023 di Beijing baru-baru ini.

“Mah Sing menyokong usaha kerajaan dalam membawa masuk pelaburan China dan akan bekerjasama dengan CECC untuk menyediakan perkhidmatan sehenti kepada pelabur dari negara itu.

“Ia bagi membolehkan mereka membiasakan diri dengan pantas iklim hartanah serta industri pembuatan dan dasar pelaburan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hoy Kum berkata, Mah Sing akan menyokong ahli CECC, daripada mencari sumber hartanah kepada menyediakan kemudahan pengeluaran sehingga mengeksport barangan untuk pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, kumpulan mempunyai lebih daripada 40 tahun pengalaman keusahawanan dalam pembuatan dan pembangunan hartanah di Malaysia.

Justeru itu katanya, kumpulan yakin pengalaman luasnya akan menjadikannya rakan kongsi yang ideal untuk syarikat China yang ingin melabur di Malaysia.

“Hubungan kami dengan syarikat China ini juga akan membantu mengembangkan hubungan ekonomi dan perdagangan Malaysia-China,” katanya.

Mengulas lanjut, Hoy Kum berkata, dengan rekod prestasi hampir 30 tahun dalam pembangunan hartanah dan lebih daripada 40 tahun kepakaran pembuatan, kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk menyediakan perkhidmatan sehenti yang komprehensif.

Beliau berkata, Mah Sing juga adalah rakan kongsi yang ideal untuk perniagaan China yang ingin melabur dan berkembang dengan cepat di Malaysia dan rantau ini .

“Selain pelanggan Malaysia, Mah Sing telah menarik pelabur antarabangsa dari China, Singapura, Australia dan Indonesia untuk hartanah mereka.

“Bahagian pembuatan Mah Sing mempunyai perkongsian dengan banyak pelanggan Fortune 500, memberikannya perspektif yang baik tentang keperluan pengeluar.

“Perspektif pengguna akhir ini berguna untuk memahami dan memenuhi keperluan ahli CECC yang ingin memasuki pasaran Malaysia untuk pengembangan antarabangsa mereka,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Mah Sing, CECC jalin kerjasama tingkat pelaburan Malaysia-China


Content Type:

Duration:

Kabinet akan memutuskan pada Rabu berhubung keperluan menubuhkan satu jawatankuasa khusus bagi memantau pelaburan dari China, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, beliau yakin Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mampu menyelenggarakan agar pelabur lebih yakin dengan keupayaan negara.

“Kita akan bincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok dan langkah-langkah susulan, sama ada harus ada jawatankuasa khas atau tidak, akan kita putuskan esok.

“Tetapi, setakat ini, projek ini dipantau oleh MITI, MIDA dan MATRADE, yang saya rasa mampu menyelenggarakannya.

“Kerana, persiapan yang dibuat oleh Kementerian Luar, MITI dan para pegawai, sangat memuaskan, yang menyebabkan kita dapat mencapai prestasi diharapkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang bertanya mengenai hasil positif lawatan Perdana Menteri ke China baru-baru ini, dari segi ekonomi dan peluang pelaburan serta manfaat yang rakyat Malaysia peroleh kelak.

Dalam soalan tambahannya, Fong membangkitkan mengenai penubuhan jawatankuasa khas untuk pantau pelaburan dari China.

Anwar berkata, dalam lawatan empat hari bermula 29 Mac hingga 1 April itu, tumpuan turut diberi kepada isu berkaitan kedudukan masyarakat Islam di negara itu.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan menyebut, dalam rangka lawatan itu, kita beri tumpuan juga kepada kedudukan masyarakat Islam di Beijing dan Hainan.

“Saya agak terkesan apabila Perdana Menteri China Li Qiang memberi jamuan makan malam dengan menghormati iftar dan menunggu sehingga waktu berbuka puasa bersama rombongan,” tambahnya.

Malaysia dijangka menerima rangsangan ekonomi yang besar hasil lawatan tersebut dengan komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion dari China.

Ia adalah hasil daripada 19 memorandum persefahaman yang dimeterai antara perniagaan di Malaysia dan China pada 1 April lalu, dalam pelbagai bidang terutama teknologi hijau dan ekonomi digital.

Anwar sebelum ini menyifatkan lawatan rasmi sulungnya ke China sebagai satu pencapaian yang membawa manfaat besar kepada negara dan rakyat Malaysia.

Menurutnya, kedua-dua negara bersetuju untuk memantapkan dan membawa hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi, dipacu dengan kerjasama lebih mendalam dan bermakna dalam pelbagai aspek.

Sumber: Astro Awani

Jawatankuasa khas pantau pelaburan dari China diputuskan esok – PM Anwar


Content Type:

Duration:

Beberapa syarikat dari China setuju memilih Malaysia sebagai hab serantau, sekali gus memberi lonjakan baharu terhadap imej negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata, beliau akan mengumumkan perincian mengenai perkara itu dalam tempoh terdekat.

“Saya merasakan seolah-olah ada lonjakan baharu mengenai imej dan harapan Malaysia kerana ada beberapa syarikat terkemuka, mungkin dalam beberapa hari, saya akan umum.

“(Mereka) memutuskan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau selain daripada China dan ini kali pertama beberapa (syarikat) memilih Malaysia sebagai hab serantau,” katanya pada Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Anwar berkata, beliau turut mengusulkan supaya syarikat terbabit mengutamakan pengambilan pekerja tempatan yang memiliki kelayakan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, jika syarikat terbabit berjaya membuktikan usaha mengambil pekerja tempatan yang diperlukan tidak berjaya, kerajaan sedia meluluskan permohonan untuk mengambil pekerja dari China.

“Kalau dikenal pasti tiada tenaga (kerja) yang cukup, itu kita akan luluskan segera, dengan syarat ada usaha mencari tenaga tempatan dengan syarat dia buktikan ada usaha awal mengambil pekerja tempatan.

“Jadi dalam perbincangan saya dengan mereka, dan syarikat tempatan seperti PROTON di bawah Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari, dipersetujui diadakan program latihan khusus untuk menentukan mengambil anak-anak tempatan, unjuran satu dua tahun dan sebelum mereka buka ruang kepada pegawai atau profesional dari China,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Syarikat China pilih Malaysia jadi hab serantau


Content Type:

Duration:

Kerajaan negeri Sabah meluluskan pelaburan bernilai RM11.5 bilion membabitkan 89 projek yang menjana 4,566 peluang pekerjaan sejak penularan COVID-19 pada tahun 2020 hingga tahun lepas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) berkata daripada RM11.5 bilion pelaburan, RM9.2 bilion adalah pelaburan langsung asing (FDI) manakala RM2.3 bilion adalah pelaburan domestik.

Beliau berkata 72.9 peratus daripada pelaburan atau kira-kira RM8.4 bilion adalah dalam sektor pembuatan diikuti sektor utama terdiri daripada pertanian, perlombongan, komoditi dan perladangan (RM1.6 bilion) serta sektor perkhidmatan (RM1.5 bilion).

Bagaimanapun, Hajiji berkata pelaburan itu tidak termasuk projek Keluli Hijau Bersepadu bernilai RM19.6 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang yang diumumkan pada November 2022.

“Dengan projek Keluli Hijau ini dan pelaburan lain dalam proses pelaksanaan, Sabah akan menerima sejumlah RM33.4 bilion,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat ahli lembaga pengarah SEDIA, di sini, pada Isnin.

Hajiji berkata pelaburan itu adalah usaha kumulatif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, SEDIA dan agensi berkaitan.

SEDIA sekarang berada secara langsung di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi, juseteru beliau mahu semua permohonan dan pelaksanaan projek di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) diselaraskan dengan lebih baik dengan garis masa yang ditetapkan dan semua prosedur dipatuhi.

Hajiji turut berbuka puasa bersama ahli lembaga pengarah SEDIA serta 100 anak yatim dan pelajar dari empat rumah kebajikan anak yatim dan pusat tahfiz di Tuaran iaitu Home Tuaran, Maahad Tahfiz Assohabah, Tarbiyatun Nisa dan Pusat Tahfiz Al-Quran Ash-Shabab Al-Mardhiyah.

Sumber: Bernama

Kerajaan negeri Sabah luluskan pelaburan bernilai RM11.5 bilion sejak pandemik COVID-19


Content Type:

Duration:

Peningkatan minat syarikat China terhadap Malaysia memberi petanda baik kepada negara dan telah meningkatkan lagi hubungan dua hala Malaysia-China, disokong oleh keyakinan terhadap Kerajaan Perpaduan negara, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Zafrul berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus membantu memudahkan urusan pelabur untuk menjalankan perniagaan di negara ini bagi menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang sentiasa menyokong industri, perdagangan dan pelaburan.

ADVERTISING

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada MIDA dan semua agensi berkaitan dalam membantu mendapatkan pelaburan berpotensi ini (bernilai RM170 bilion).

“Kini, MITI, MIDA dan agensi lain perlu mula bekerja keras untuk membuat susulan dan merealisasikan pelaburan ini dalam tempoh masa sesingkat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Ketua pegawai eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata menerusi misi perdagangan dan pelaburan di China baru-baru ini lebih 20 syarikat telah menunjukkan minat serius untuk melabur dalam ekonomi Malaysia yang sedang berkembang pesat merangkumi bidang seperti produk petrokimia, produk solar dan kaca, pusat data antarabangsa dan bahagian-bahagian dan komponen kenderaan elektrik.

Antara syarikat yang menyatakan minat mendalam untuk melabur di Malaysia ialah Zhejiang Zhink Group, LONGi, GDS, Shanghai DC Science dan ZTE Corporation, yang kesemuanya mengakui potensi yang besar di Malaysia.

“Pencapaian ini menunjukkan komitmen kerajaan Malaysia untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi daripada pengguna teknologi digital utama dunia yang menempatkan satu pertiga daripada syarikat unicorn dunia,” kata Arham.

Pada 2022, Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan bernilai RM264.6 bilion (US$59.9 bilion) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer.

Daripada jumlah ini, RM55.4 bilion (US$12.5 billion) disumbang oleh China melibatkan sejumlah 91 projek.

“Usaha niaga ini berpotensi mewujudkan 11,545 peluang pekerjaan baharu bagi tenaga kerja Malaysia yang sekali gus mengukuhkan lagi struktur ekonomi negara,” kata MIDA.

Sumber: Bernama

Peningkatan minat syarikat China melabur di Malaysia tingkat hubungan dua hala – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Malaysia dan China bersetuju untuk memantapkan dan membawa hubungan dua hala kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi, dipacu dengan kerjasama lebih mendalam dan bermakna dalam pelbagai aspek.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerjasama strategik ini merangkumi antaranya bidang politik, perdagangan dan pelaburan.

Beliau turut menyifatkan lawatan rasmi sulungnya ke China sebagai satu pencapaian yang membawa manfaat besar kepada negara dan rakyat Malaysia.

Menurut beliau tumpuan yang diberikan oleh pihak kerajaan dan pemimpin China serta sambutan daripada tokoh-tokoh perniagaan dan industri China terhadap lawatannya ini menunjukkan keakraban hubungan kedua-dua negara.

“Sambutan dan tumpuan yang diterima hebat dan luar biasa. Saya anggap ini satu perkembangan sangat positif. Kunjungan ini memberi manfaat besar kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada media Malaysia dalam satu sidang akhbar di akhir lawatan rasmi beliau ke China di sini malam tadi.

Perdana Menteri berkata semasa pertemuan beliau dengan Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatan Li Qiang, kedua-dua pihak bersetuju untuk merancakkan hubungan perdagangan dan kerjasama ekonomi di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) termasuk mempercepatkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dalam projek usahasama, beliau berkata China bersetuju untuk menggunakan tenaga kerja mahir dan profesional tempatan berbanding amalan sebelumnya.

“Mereka bersetuju untuk menggunakan tenaga kerja tempatan. Hanya untuk bidang-bidang pengkhususan yang tidak terdapat di Malaysia, mereka akan bawa masuk dari China.

Ini akan terpakai ke atas semua projek-projek lain,” kata beliau.

Anwar berkata kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meneroka bidang-bidang kerjasama baharu termasuk pembuatan kereta generasi baharu serta industri halal.

Lawatan rasmi Perdana Menteri ke China juga menyaksikan Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi iaitu bernilai RM170 bilion.

Jumlah itu yang terbesar setakat ini dari China adalah hasil daripada 19 Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara perniagaan di China dan Malaysia dalam pelbagai bidang terutamanya teknologi hijau dan ekonomi digital.

China telah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009. Pada 2022, jumlah perdagangan dua hala bernilai RM487.13 bilion (AS$110.62 bilion), meningkat 15.6 peratus daripada 2021.

Dari segi politik dan diplomasi, lawatan sulung rasmi Anwar ke negara ini juga bersempena ulang tahun ke-10 penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China pada tahun ini, manakala kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-50 tahun hubungan diplomatik pada 2024.

Sehubungan itu, Anwar berkata sebagai meraikan hubungan bersejarah berkenaan, beliau telah mengundang Xi dan Li untuk mengadakan lawatan ke Malaysia.

Sementara itu, dalam isu serantau dan antarabangsa, Perdana Menteri berkata pemimpin China menzahirkan sokongan mereka terhadap Kepaksian ASEAN.

“(Semasa pertemuan) kita juga berpendirian bahawa ASEAN perlu kekal sebagai satu blok bebas dan tidak memihak bagi mengelak daripada perseteruan dan perdambaan kuasa besar,” katanya.

Beliau berkata dalam perjumpaan bersama Xi, Presiden itu juga mengakui peranan dan sumbangan Malaysia dalam dunia Islam dan mencadangkan supaya Malaysia dan China bekerjasama bagi manfaat bukan sahaja kepada kedua-dua negara, tetapi negara-negara Islam lain, contohnya dalam industri halal.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau turut meminta Xi supaya menggunakan pengaruhnya sebagai Presiden China untuk membantu menyelesaikan pergolakan politik di Myanmar.

Delegasi Malaysia ke China disertai Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pengangkutan Anthony Loke; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Sumber: Bernama

Lawatan ke China bawa pulangan besar kepada negara – PM


Content Type:

Duration:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan hari terakhir lawatan rasminya ke China dengan menghadiri sesi mesyuarat meja bulat bersama pelabur China berprofil tinggi.

Mesyuarat yang berlangsung selama kira-kira sejam itu dihadiri kira-kira 50 pelabur dan pemimpin industri dari pelbagai sektor termasuk teknologi peringkat tinggi, ekonomi digital dan pertanian.

Anwar menyifatkan perbincangan tersebut sebagai tidak pernah berlaku sebelum ini dan bermakna.

“Ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Tidak pernah dalam beberapa tahun ini terdapat begitu ramai pemimpin industri terkemuka berhimpun bersama.

“Ini adalah permulaan baharu bagi Malaysia. Saya gembira,” katanya.

Perdana Menteri kini menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-China 2023 dan akan menyampaikan ucaptama pada forum itu.

Beliau juga dijangka menyaksikan majlis menandatangani sekurang-kurangnya 20 Memorandum Persefahaman antara perniagaan Malaysia dan China lewat hari ini.

Sumber: Bernama

PM hadir sesi mesyuarat meja bulat bersama pelabur China berprofil tinggi


Content Type:

Duration:

Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China.

Ia hasil daripada 19 memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat Malaysia dengan China, di sini, sebentar tadi.

Pencapaian berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan ribuan pelabur dan ahli perniagaan pada Forum Perniagaan Malaysia-China 2023, di sini.

Menurut Perdana Menteri, ia sekali gus menunjukkan keyakinan China, khususnya pelabur dari negara itu terhadap ekonomi Malaysia.

“Ini adalah rekod tertinggi kepada negara, yang mana kami sudah mencapai komitmen sebanyak RM170 bilion pelaburan.

“Saya harus berterima kasih kepada pelabur kerana memberi kerjasama serta keyakinan kepada kami bahawa apa yang saya nyatakan sebentar tadi (dalam ucaptama) adalah yang terbaik untuk masa depan Malaysia,” katanya.

Terdahulu dalam ucap tama pada forum itu, Anwar memberi jaminan bahawa kepemimpinannya akan memastikan segala bentuk kemudahan dalam menjalankan perniagaan dan pelaburan di Malaysia, berada pada tahap paling optimum.

“Justeru, bina lebih banyak perkongsian dengan syarikat Malaysia terutama dalam sektor strategik, untuk memajukan hubungan (Malaysia-China) supaya lebih mendalam.

“Kepada semua pemimpin perniagaan kami baik di China dan Malaysia, jadilah pemangkin kepada pembaharuan,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan diperkukuhkan lagi dengan kehadiran syarikat terkemuka China seperti Risen Energy, Huawei, Longi Solar, Bytedance, Jinko Solar, EVE Energy, Alliance Steel, Alibaba Group, Geely Auto Group, Xiamen University dan banyak lagi.

“Menjadi harapan saya agar syarikat-syarikat ini yang melabur di kawasan strategik akan terus mengembangkan operasi mereka dan bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan serta kerajaan untuk membina keupayaan baharu, membangunkan industri utama dan mencipta pekerjaan dengan bayaran gaji yang tinggi kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Antara MoU itu ialah perjanjian utama antara DRB-Hicom Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd mengenai cadangan usaha sama dalam pembangunan dan pengkomersialan lembah teknologi tinggi automotif di Tanjung Malim, Perak, untuk kenderaan tenaga baharu serta antara Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia dan Dewan Perniagaan China untuk import dan eksport jentera dan produk elektronik.

MoU lain yang dimeterai ialah antara Digital Way Group Sdn Bhd, China Silk Road Group Ltd dan China Kairous Capital untuk sama-sama menubuhkan dana digital dan pembangunan Malaysia-China di China dan Malaysia serta satu MoU mengenai cadangan pembangunan loji sisa kepada tenaga di Malaysia.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 14 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan sebanyak AS$110.6 bilion (RM488 bilion) pada 2022.

Dari segi pelaburan, China merupakan pelabur langsung asing terbesar di Malaysia pada tahun lepas, dengan pelaburan berjumlah AS$12.5 bilion (RM55.16 bilion).

Mengulas mengenai pelaburan dari China itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah pelaburan besar diumumkan Perdana Menteri itu membabitkan komitmen pelaburan syarikat swasta dari China.

Daripada jumlah itu, katanya, komitmen pelaburan RM100 bilion dipersetujui hasil pertemuan Anwar bersama 50 pelabur berprofil tinggi dan tokoh korporat China pada sesi meja bulat, manakala RM70 bilion lagi adalah daripada pemeteraian 19 MoU pada forum berkenaan.

Syarikat berkenaan termasuk dalam sektor perumahan, pembinaan, pendidikan, teknologi, pertanian serta tenaga.

Forum Perniagaan Malaysia-China 2023 berlangsung sehari itu dihadiri 1,000 peserta daripada kedua-dua negara yang dihoskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Petang ini, satu lagi MoU penting akan dimeterai antara kerajaan dalam pertemuan Anwar dengan rakan sejawat, Li Qiang, sejurus selesai upacara sambutan rasmi di Dewan Besar Rakyat, di sini, nanti.

Pemeteraian MoU yang bakal disaksikan kedua-dua pemimpin itu merangkumi protokol untuk meminda perjanjian bagi memperluas serta memperdalam kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Kerajaan Malaysia dengan China, membabitkan MITI serta Kementerian Perdagangan China.

Selain itu, protokol keperluan fitosanitasi untuk pengeksportan nangka ke China membabitkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (MAFS) serta Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) akan turut dimeterai.

Protokol terakhir akan ditandatangani pula berkait keperluan kuarantin dan kesihatan untuk import makanan akuakultur dari Malaysia ke China, membabitkan MAFS.

Perdana Menteri kini pada hari terakhir dalam lawatan tiga hari ke sini untuk meningkatkan hubungan politik dan perdagangan dua hala yang strategik dengan China.

Anwar tiba di China pada Rabu lalu untuk lawatan rasmi empat hari dengan mengetuai delegasi yang turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Jadual Perdana Menteri cukup padat yang antara lain menyaksikan Perdana Menteri mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden China, Xi Jinping, di Dewan Besar Rakyat, Beijing, semalam.

Ia adalah pertemuan empat mata pertama dan bersejarah antara kedua-dua pemimpin itu yang mengadakan mesyuarat selama hampir sejam.

Selesai berjumpa Jinping, Anwar bersama delegasi Malaysia mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), Zhao Leji, juga di Dewan Besar Rakyat.

Di Beijing, Anwar turut menyempurnakan majlis iftar Perdana Menteri bersama delegasi perniagaan dan pemimpin Muslim China. Kira-kira 300 ahli perniagaan dari Malaysia dan China hadir pada majlis itu.

Sebelum itu pada hari pertama ketibaan, Anwar meluangkan masa beramah mesra serta berbuka puasa bersama wakil komuniti Islam setempat dan delegasi Malaysia yang menyertai Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia (BFA 2023) di Hainan.

Pada majlis berkenaan, Anwar turut mengimamkan solat maghrib dan menunaikan solat sunat tarawih di Hotel Boao Golden Coast.

Sumber: Berita Harian

Malaysia raih komitmen pelaburan RM170 bilion dari China, tertinggi dalam sejarah


Content Type:

Duration:

China mengharapkan Malaysia mempunyai dasar yang dapat menyokong pelaburannya ke negara ini, termasuk dalam beberapa bidang baharu seperti tenaga diperbaharu, semikonduktor dan ekonomi digital, kata Presiden Xi Jinping.

Pemimpin China itu, menyuarakan perkara berkenaan ketika bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam acara bersejarah di Great Hall of the People di Beijing pada Jumaat.

Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke China.

Xi turut menekankan mengenai paradigma baharu pembangunan China dengan tumpuan kepada pembukaan serta pembangunan dan kerjasama berkualiti.

“Semua ini akan membuka peluang baharu untuk kerjasama yang lebih besar, khususnya dalam perdagangan dan pelaburan,” menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra).

Dalam pertemuan itu, Anwar turut mengesahkan mengenai kekukuhan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara yang menyaksikan angka dagangan yang semakin berkembang dengan projek utama di bawah inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) seperti Laluan Rel Pantai Timur serta Two Countries, Twin Parks di Kuantan dan Qinzhou.

Beliau mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dan kerjasama dari China dalam sektor baharu muncul termasuk ekonomi digital, pemodenan pertanian dan perdagangan pertanian dan tenaga boleh baharu, serta menggalakkan penglibatan China dalam Automotive High-Tech Valley (AHTV) selain menyatakan kesediaan Malaysia untuk mengeksport lebih banyak ke China, termasuk dalam sektor komoditi pertanian.

Anwar turut menyambut baik penubuhan kampus cawangan pertama Universiti Tsinghua Beijing di Malaysia dan berharap dapat menjalin kerjasama konkrit dalam bidang TVET dan meningkatkan bilangan pelajar dari China di Malaysia.

Mengenai isu Myanmar, kedua-dua pemimpin turut berkongsi kebimbangan mengenai situasi yang sedang berlaku di negara ini.

Xi berkata China menyokong usaha yang diterajui ASEAN untuk menangani situasi di Myanmar termasuk usaha untuk membantu merungkai masalah Rohingya di Myanmar dan Bangladesh.

Dalam pertemuan itu, Anwar dan Xi turut sepakat untuk membina asas yang kukuh dengan memanfaatkan ulang tahun ke-10 jalinan Perkongsian Strategik Komprehensif tahun ini dan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada tahun depan.

“Untuk itu, Presiden Xi menyuarakan sokongannya terhadap konsep Malaysia Madani Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Perdana Menteri turut menyokong prinsip dan nilai inisiatif global Presiden Xi Jinping dan visi komuniti berkongsi nasib termasuk cadangan untuk Malaysia-China Community for a Shared Future,” menurut kenyataan itu.

Anwar turut menyampaikan jemputan kepada Xi untuk mengadakan lawatan negara ke Malaysia.

Pertemuan diakhiri dengan kedua-dua pemimpin sepakat untuk menggalakkan lebih banyak dialog dan interaksi di semua peringkat dalam meningkatkan lagi hubungan dua hala dan menangani cabaran bersama di peringkat serantau dan antarabangsa.

Sumber: Bernama

China harapkan sokongan dasar untuk pelaburannya ke Malaysia – Presiden Xi Jinping


Content Type:

Duration:

Dengan penyertaan United Kingdom (UK) dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), pengeksport Malaysia akan mendapat manfaat daripada akses keutamaan tambahan ke pasaran UK, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata selepas pelaksanaan perjanjian itu, UK akan memansuhkan duti import untuk pelbagai produk termasuk minyak sawit, koko, getah, elektrik dan elektronik serta bahan kimia, yang mempunyai kepentingan eksport yang penting kepada Malaysia.

“Penyertaan UK dalam CPTPP akan membuka peluang baharu kepada perniagaan Malaysia serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya melalui saluran sumber yang lebih luas untuk bahan pada harga yang kompetitif, serta bantuan teknikal dan program pembinaan kapasiti, yang akan terus memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia dan mengukuhkan rantaian bekalan serantau.

“Dengan hubungan perdagangan dan pelaburan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan UK, keahlian dalam CPTPP akan meningkatkan lagi hubungan rapat ini dan menggalakkan kerjasama ekonomi yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, UK memuktamadkan rundingan perdagangan dengan negara anggota untuk menyertai CPTPP selepas 21 bulan rundingan.

Di bawah pengumuman oleh CPTPP dan menteri-menteri UK mengenai rumusan penting rundingan penyertaan UK dalam CPTPP, semua Pihak akan berusaha ke arah memuktamadkan instrumen penyertaan yang sah, termasuk menandatangani protokol penyertaan yang dijadualkan pada suku ketiga 2023.

CPTPP ialah antara perjanjian perdagangan yang paling komprehensif pernah dimuktamadkan, memansuhkan 98 peratus tarif dalam zon perdagangan mewakili gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$13.5 trilion (US$1=RM4.413), mewakili 13.4 peratus daripada KDNK global dan jumlah penduduk lebih 500 juta orang.

Sumber: Bernama

CPTPP: Pengeksport Malaysia akan dapat manfaat daripada tarif keutamaan UK – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa perniagaan Malaysia di luar negara untuk membantu membina semula ekonomi negara dengan menggalakkan dan memudahkan lebih banyak pelaburan ke dalam negara.

“Isu utama ialah bagaimana kita (perlu) membina semula negara kita melalui pelaburan domestik dan pelaburan langsung asing yang besar.

“Anda boleh melabur di luar negara tetapi apa yang diperlukan ialah memfokuskan semula pelaburan ke Malaysia. Kini adalah masanya,” katanya pada majlis iftar yang dihadiri lebih 300 orang terdiri daripada ahli perniagaan Malaysia dan pemimpin komuniti Islam di China di sini malam semalam.

Acara itu, dihoskan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia di China (Maycham China) dan Kedutaan Malaysia di China, diadakan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke sini pada minggu ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut meminta barisan menteri yang mengiringi beliau dalam lawatan itu untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mempermudah kemasukan pelaburan ke Malaysia.

“Kepada kalangan rakan sekerja saya di sini, pesanan saya jelas. Kita perlu melaksanakan apa juga langkah yang diperlukan serta wajar untuk memudahkan dan melancarkan usaha menjalankan perniagaan dalam menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara,” katanya.

Mengulas pertemuan beliau dengan Presiden China Xi Jinping, Anwar turut menyuarakan kekaguman di atas sikap rendah diri pemimpin dan negarawan kanan tersebut.

Perdana Menteri telah melakukan kunjungan hormat ke atas Xi di Great Hall of the People di sini, petang tadi.

Sumber: Bernama

Anwar gesa perniagaan Malaysia di luar negara permudah pelaburan asing ke Malaysia


Content Type:

Duration:

United Kingdom (UK) semalam mengumumkan ia sudah memuktamadkan rundingan perdagangan dengan negara-negara anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) selepas melalui proses rundingan selama 21 bulan.

Pesuruhjaya Tinggi Britain di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata blok itu mempunyai penduduk melebihi 500 juta orang dan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan mencecah GBP11 trilion pound dengan penyertaan UK.

“Rundingan berkenaan yang bermula pada Jun 2021 dimuktamadkan selepas siri rundingan yang mencabar di Vietnam dengan wakil dari semua negara-negara anggota CPTPP bersetuju bahawa UK telah mencapai kata putus berhubung proses penyertaannya untuk menyertai CPTPP,” kata kenyataan itu.

UK adalah negara Eropah pertama yang menyertai blok perdagangan dinamik tersebut dan merupakan ahli baharu pertama sejak pembentukan CPTPP.

CPTPP kini menjadi perjanjian peringkat global dan bukan setakat perjanjian Pasifik sahaja, katanya.

Penyertaan UK ke blok perdagangan dinamik itu adalah susulan berita mengenai ratifikasi Malaysia pada November lepas, kedua-dua negara akan dapat meningkatkan capaian yang ketara kepada ekonomi dan pasaran masing-masing.

“Perniagaan UK yang mengeksport barangan dan perkhidmatan bernilai GBP3.3 bilion pound ke Malaysia dalam tempoh 12 bulan hingga akhir September 2022, boleh mendapat manfaat daripada perjanjian keutamaan yang ditawarkan oleh ahli CPTPP antara satu sama lain.

“Penyertaan UK dalam CPTPP juga bermakna capaian pasaran Malaysia yang jauh lebih baik kepada pasaran UK. UK mengimport barangan dan perkhidmatan bernilai kira-kira GBP2.6 bilion dari Malaysia dalam empat suku tahun hingga akhir suku ketiga 2022.

“Perniagaan dan pengguna boleh mendapat manfaat daripada tarif keutamaan yang akan ditawarkan oleh UK kepada Malaysia dalam CPTPP,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay berkata: “Perdagangan dua hala UK dengan Malaysia kini berjumlah GBP5.9 bilion, dengan trajektori pertumbuhan yang positif.

“Penyertaan UK dalam CPTPP akan meningkatkan capaian pasaran bagi UK dan Malaysia, dan terus membolehkan kami mencapai potensi penuh hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Dalam pada itu, Setiausaha Perniagaan dan Perdagangan UK, Kemi Badenoch pula berkata: “Penyertaan kami dalam CPTPP menyampaikan mesej kuat bahawa UK terbuka untuk perniagaan dan akan menggunakan kebebasan pasca Brexit kami untuk menjangkau pasaran baharu, termasuk di rantau Asia Pasifik dan mengembangkan ekonomi kami.”

“Menyertai blok perdagangan berpengaruh ini akan membantu kami membentuk peraturan perdagangan global dengan negara-negara yang berfikiran sama, dan bekerjasama lebih rapat dalam keutamaan bersama kami iaitu kemakmuran, keselamatan dan perdagangan bebas dan adil,” katanya.

Sumber: Bernama

Langkah UK sertai CPTPP akan tingkatkan perdagangan dengan Malaysia, Indo-Pasifik


Content Type:

Duration:

Persaingan teknologi seharusnya menjadi antara agenda utama untuk perbincangan di peringkat tertinggi, setanding dengan wacana mengenai hal-hal keselamatan dan ekonomi am, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata dengan perlumbaan semasa yang tertumpu pada teknologi canggih seperti ditunjukkan dalam persaingan dalam industri semikonduktor, pesaing yang akan mendahului dalam hal ini boleh menjadi sama ada produktif atau destruktif.

“Justeru, izinkan saya mengulangi bahawa persaingan yang tiada halangan mesti memberi laluan kepada kerjasama yang penuh semangat,” katanya dalam sesi pleno di Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia 2023 (BFA 2023) di sini hari ini.

Beliau berkata dalam memperakui keperluan setiap negara untuk melindungi hak harta inteleknya dan cuba untuk terus mendahului persaingan, penghadang tertentu perlu diwujudkan supaya persaingan tidak membawa kepada perpecahan dalam dunia teknologi yang hanya akan meningkatkan kos dan menghalang kemajuan.

Anwar berkata Malaysia telah memperkenalkan konsep Malaysia MADANI sebagai satu ekspresi hasrat untuk menempa laluan negara berdasarkan acuan sendiri kerana ia mewujudkan sebuah negara insani selaras dengan nilai ketamadunannya.

“Dalam pengertian ini, ia juga falsafah negara kita yang berpaksikan enam nilai teras: kemampanan, kemakmuran, inovasi, rasa hormat, amanah dan belas kasihan,” katanya.

Daripada falsafah inilah, Anwar berkongsi pemikirannya tentang cara mencapai perpaduan dan kerjasama untuk pembangunan di tengah-tengah cabaran.

Beliau berkata dunia harus memberi tumpuan kepada nilai-nilai yang menyatukan rakyat sebagai keluarga insani dan bukannya nilai-nilai yang memecahbelahkan.

“Etika, keikhlasan dan integriti dalam berurusan dengan rakan kongsi dalam situasi dua hala dan pelbagai hala harus diutamakan,” katanya.

Perdana Menteri berkata konsep akauntabiliti demokrasi juga harus diutamakan dan bukannya sekadar melontarkan slogan atau istilah “demokrasi” yang telah digunakan sebagai cara mengkategorikan negara-negara mengikut standard yang agak sembarangan.

“Pada fikiran saya, ‘akauntabiliti demokratik’ menyarankan pemimpin bertanggungjawab kepada semua lapisan rakyat, menyediakan taraf hidup yang lebih baik, ketelusan dalam proses membuat keputusan dan amalan menyeluruh tadbir urus yang baik dan berkesan,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata rakyat biasa dengan bebanan terpaksa menyediakan makanan dan ketidaktentuan ketara dan mendesak yang dihadapi juga tidak boleh dilupakan.

Beliau berkata gaji/upah masih kekal sebagai satu bentuk pendapatan utama bagi majoriti penduduk dunia tetapi menurut Laporan Gaji Global Pertubuhan Buruh Antarabangsa 2022-2023, gaji/upah dan kuasa beli isi rumah telah “merosot dengan ketara” disebabkan oleh COVID-19 dan inflasi global. .

Anwar berkata dalam ketiadaan tindak balas dasar yang mencukupi, masa depan terdekat akan menyaksikan kejatuhan mendadak dalam pendapatan benar dan peningkatan ketidaksamaan yang boleh mencetuskan lagi kekacauan sosial.

“Sehubungan itu, kita harus bekerjasama rapat dalam semangat kerjasama dan perpaduan, berusaha ke arah mengurangkan ketidaksamaan, menggalakkan keadilan sosial dan meningkatkan taraf hidup untuk semua.

“Sebagai penutup, sekiranya kita terus bekerjasama, bercakap dalam suara yang bersatu dan bertukar-tukar idea mengenai strategi dan amalan dasar terbaik, kita boleh berusaha ke arah Asia yang lebih kukuh dan berdaya tahan,” tambahnya.

Forum Boao bagi Asia ialah organisasi bukan kerajaan dan bukan untung antarabangsa yang dimulakan oleh 29 negara anggota dan Boao ialah venue tetap untuk persidangan tahunan itu.

Penyertaan Anwar dalam BFA 2023 juga bertepatan dengan ulang tahun ke-10 peningkatan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China sejak 2013.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di Hotel Boao Golden Coast.

Anwar akan berlepas dari Hainan ke Beijing pada tengah hari untuk meneruskan lawatan rasminya dan dijadualkan bertemu Presiden China Xi Jinping. 

Sumber: Bernama

Anwar: Perbincangan peringkat tertinggi harus libatkan persaingan teknologi sebagai agenda utama


Content Type:

Duration:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata lawatannya ke China minggu ini merupakan manifestasi kepentingan negara itu kepada Malaysia dalam pelbagai aspek khususnya perdagangan.

“Memandangkan keutamaan itu, kita datang ke China dulu. Tetapi sebagai sebuah negara dagangan, kita perlu mengekalkan hubungan baik dengan semua, termasuk Amerika Syarikat (AS),” katanya semasa majlis berbuka puasa bersama rakyat Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia, di sini, malam ini.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009. Pada 2022 nilai perdagangan antara Malaysia dan China mencecah 17.1 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia yang bernilai RM2.8 trillion.

Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara pada 2022 mencecah RM487.13 billion iaitu peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sumber: The Sun Daily

Anwar: China rakan dagang penting kepada Malaysia


Content Type:

Duration:

Lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China mulai Khamis bakal membuka lembaran baharu dalam mengukuhkan hubungan strategik antara Kuala Lumpur dan Beijing ke arah yang lebih komprehensif.

Ini merupakan lawatan sulung beliau ke negara Asia Timur sejak menjadi perdana menteri pada November lepas.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata lawatan ini bersejarah dan bermakna, mengambil kira bahawa perdana menteri telah menerima undangan daripada kerajaan China untuk mengadakan lawatan hanya selepas empat bulan memegang tampuk pentadbiran negara.

Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-10 penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China manakala kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-50 tahun hubungan diplomatik pada 2024.

“Ini jelas sekali menunjukkan hasrat kerajaan China, khususnya Presiden Xi Jinping yang baharu dilantik sebagai Presiden China untuk penggal ketiga, untuk memupuk hubungan yang rapat dengan Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada media di sini lewat malam tadi.

Zambry berkata Anwar juga antara pemimpin dunia terawal yang melawat Beijing selepas pelantikan semula Xi pada awal bulan ini.

Perdana Menteri dijangka tiba sini pada petang Khamis selepas menghadiri Forum Tahunan Boao untuk Asia di Hainan dan ketibaan beliau di sini dijadualkan akan disambut oleh Timbalan Menteri Luar China Sun Weidong.

Zambry berkata Anwar dijadualkan mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden Xi pada Jumaat, dan perbincangan akan tertumpu kepada langkah-langkah baharu yang boleh diambil dalam pelbagai bidang untuk menyemarakkan lagi hubungan dua hala.

“Mereka juga akan membincangkan langkah-langkah konkrit yang boleh diambil dalam bidang perdagangan, kerjasama politik, pencegahan rasuah dan isu-isu ketamadunan,” katanya.

Zambry berkata kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pendapat mengenai hala tuju hubungan dua hala mengambil kira senario antarabangsa yang semakin mencabar.

Ini disusuli dengan pertemuan bersama Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan China Zhao Leji dengan perbincangan akan tertumpu kepada kerjasama pada peringkat ahli-ahli Parlimen kedua-dua negara.

Pada petang Sabtu, Anwar akan diraikan oleh Perdana Menteri China Li Qiang dengan upacara sambutan Rasmi di Great Hall of the People, dan disusuli dengan mesyuarat dua hala antara kedua-dua negara.

“Perbincangan kedua-dua pemimpin akan tertumpu kepada pemerincian langkah-langkah yang boleh diambil khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan,” kata Zambry.

Beliau berkata selain menentukan usaha konkrit untuk meningkatkan perdagangan dan hubungan lebih erat antara kedua negara, Anwar juga dijangka membincangkan isu-isu berkepentingan bersama semasa pertemuannya bersama pemimpin-pemimpin China termasuk isu geopolitik antarabangsa dan serantau, serta sekuriti dan kestabilan di Indo-Pasifik. 

Sementara itu, perdana menteri juga akan menyampaikan syarahan umum di Universiti Tsinghua, antara universiti tersohor di China selain menghadiri mesyuarat meja bulat bersama pelabur-pelabur berprofil tinggi dan tokoh-tokoh korporat China.

Beliau dijadualkan menyampaikan ucaptama pada satu forum perniagaan yang akan disertai hampir 1,000 orang peserta dari Malaysia dan China semasa dalam rangka lawatan rasmi ke sini. 

Di sebalik jadual padat, Anwar juga akan menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakyat Malaysia di China dan yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Malaysia-China.

Program tersebut juga akan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin komuniti Islam di China, kata Zambry.

Sepanjang lawatan rasmi tiga hari itu, sekurang-kurangnya 14 memorandum persefahaman (MoU) berkaitan perdagangan dan pertanian akan ditandatangani.

Selain Zambry, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing akan turut serta dalam delegasi itu. 

China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar sejak 2009. Nilai perdagangan antara Malaysia dan China pada 2022 mencecah 17.1 peratus dari jumlah perdagangan global Malaysia yang bernilai RM2.8 trillion.

Jumlah perdagangan antara kedua-dua pada 2022 ialah RM487.13 billion iaitu peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Sumber: Bernama

Lawatan Anwar ke China bakal semarakkan hubungan strategik KL-Beijing


Content Type:

Duration:

Malaysia dan China mahu memanfaatkan ulang tahun ke-10 penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) tahun ini serta ulang tahun ke-50 jalinan hubungan diplomatik pada tahun depan untuk membawa hubungan dua hala sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.

Ini termasuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor yang memberi manfaat bersama kepada rakyat kedua-dua negara serta menyumbang ke arah keamanan dan keselamatan di peringkat serantau dan global.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan di sini berkata komitmen itu dipersetujui semasa pertemuan antara Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan rakan sejawatannya dari China, Qin Gang di pejabatnya di sini pada petang Selasa.

Pertemuan itu yang berlangsung sebelum lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China minggu ini, juga merupakan pertemuan pertama secara bersemuka antara kedua-dua Menteri Luar.

Menurut kenyataan itu, Qin menyifatkan lawatan sulung Anwar ke China sebagai “sangat penting” yang membuktikan hubungan rapat antara kedua-dua negara memandangkan perdana menteri merupakan antara pemimpin pertama yang melawat Beijing selepas pemilihan semula Presiden Xi Jinping sebagai Presiden China untuk penggal ketiga dan pemilihan Perdana Menteri Li Qiang, awal bulan ini.

Kedua-dua menteri juga mengiktiraf persamaan mendalam antara konsep Malaysia MADANI Anwar dan visi Xi Jinping tentang “Komuniti Masa Depan Bersama untuk Umat Manusia”. Mereka juga menegaskan mengenai pentingnya mengambil langkah konkrit untuk memanfaatkan kedua-dua konsep itu.

Semasa mesyuarat itu, mereka juga membincangkan projek dan inisiatif tertentu dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pertanian yang akan membawa manfaat yang besar kepada rakyat kedua-dua negara.

Mereka turut membincangkan isu keselamatan strategik serantau dan global.

Sumber: Bernama

Hubungan Malaysia, China akan ditingkat ke tahap lebih tinggi


Content Type:

Duration:

Negeri Sabah mencatatkan pelaburan sebanyak RM11.5 bilion dalam pelbagai sektor ekonomi pada tahun 2022, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia melibatkan 89 buah projek dan bakal menjana 4,566 jumlah peluang pekerjaan.

“Daripada jumlah keseluruhan pelaburan tersebut, sebanyak RM9.2 billion merupakan pelaburan langsung asing (FDI) manakala RM2.3 billion adalah pelaburan langsung domestik.

“Sektor perkilangan merupakan penyumbang terbesar sebanyak RM8.4 bilion atau 72.9 peratus manakala sektor utama menyumbang RM1.6 bilion dan sektor perkhidmatan sebanyak RM1.5 bilion,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Noraini Idris mengenai jumlah pelaburan ekonomi negeri Sabah bagi 2022 serta sektor yang terlibat.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata projek berprofil tinggi bernilai lebih RM100 juta adalah terutamanya dalam sektor produk petroleum, produk mineral bukan logam dan peralatan pengangkutan.

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) komited untuk menarik FDI ke Malaysia termasuk di negeri Sabah khususnya bagi industri-industri yang disasarkan.

“Dalam hal ini, MIDA sentiasa bekerjasama secara strategik dengan semua agensi pelaburan di peringkat negeri dan Koridor Ekonomi dalam menarik pelaburan.

“MIDA sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE Sabah) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) di dalam misi pelaburan dan perdagangan untuk mempromosikan peluang-peluang pelaburan yang terdapat di negeri Sabah,” katanya.

Antara sektor ekonomi baharu yang berpotensi tinggi untuk dibangunkan di Sabah yang dikenalpasti sebagai industri yang disasarkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 adalah seperti sektor perkilangan berasaskan teknologi hijau dan mesra alam; industri tenaga yang boleh diperbaharui; pembangunan sektor perkhidmatan logistik dan sektor ekopelancongan.

Sumber: Bernama

Sabah catat pelaburan RM11.5 bilion pada 2022


Content Type:

Duration:

Terdapat 426 projek berpotensi dalam pelaburan langsung asing (FDI) dan tempatan dengan jumlah pelaburan terkumpul RM107.6 bilion berada di peringkat rundingan aktif sehingga Mac 2023, dan dijangka dimeterai dalam tahun ini, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kementerian itu menjelaskan pada tahun ini kerajaan menerusi MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berjaya mendapatkan komitmen pelaburan FDI melalui misi pelaburan ke beberapa negara.

“Antaranya misi pelaburan ke Milan, Itali dengan komitmen pelaburan sejumlah RM3.25 bilion pada 20 hingga 23 Jan, 2023.

“Misi pelaburan ke Singapura dengan komitmen pelaburan sejumlah RM13 bilion pada 28 hingga 31 Jan, 2023 selain misi pelaburan ke Korea Selatan dengan komitmen pelaburan sejumlah RM24 bilion pada 14 hingga 17 Mac 2023,” tambah MITI dalam jawapan bertulis bagi Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen Malaysia pada Selasa.

Ia bagi menjawab soalan Senator Mohd Apandi Mohamad mengenai sasaran kemasukan pelabur asing bertaraf mega dan jumlah dana yang dijanjikan oleh pelabur asing tersebut.

Menurut MITI di saat dunia sedang berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dan konflik geopolitik, Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan langsung asing yang berdaya saing.

Antara faktor penarik pelabur asing dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan serta hab rantaian bekalan pilihan dan utama di rantau ini adalah aspek pertumbuhan ekonomi; pembangunan infrastruktur dan kualiti pengangkutan, jelasnya.

MITI menambah faktor lain adalah galakan pelaburan; perkhidmatan telekomunikasi dan utiliti tempatan; kualiti dan bekalan tenaga kerja serta keselamatan.

Sumber: Bernama

426 projek berpotensi dengan jumlah pelaburan RM107.6 billion di peringkat rundingan aktif – MITI


Content Type:

Duration:

Malaysia menyatakan hasrat untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Hong Kong selaras dengan komitmen negara untuk memulihkan ekonomi pasca pandemik COVID-19, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga merupakan Menteri Perladangan dan Komoditi hari ini menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Kewangan Hong Kong, Paul Chan Mo-Po di Bilik Kunjungan Hormat, di Parlimen.

Pertemuan tersebut merupakan perjumpaan peringkat tertinggi yang pertama antara Malaysia dan Hong Kong dalam tempoh tiga tahun.

“Dalam pertemuan itu saya telah menyentuh mengenai kepentingan memperkukuhkan hubungan dua hala dan membuka peluang baharu kepada sektor lain yang berpontensi tinggi seperti perkhidmatan,agrikomoditi, pelancongan dan kebudayaan, pendidikan, perkhidmatan, dan ekonomi digital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadillah berkata seiring dengan peralihan pusat ekonomi ke rantau Asia, Hong Kong merupakan antara rakan dagang terpenting bagi Malaysia dan menjadi destinasi eksport kelima terbesar negara.

Nilai perdagangan antara Malaysia dengan Hong Kong juga mencatatkan peningkatan sebanyak20 peratus kepada US$25.69 bilion pada 2022 berbanding US$21.68 billion pada 2021.

“Paul Chan Mo-Po turut menjemput saya untuk mengadakan lawatan rasmi ke Hong Kong dan melawat hub ekonomi terbaharu iaitu the Greater Bay Area (GBA) yang menghubungkan wilayah Guangzhou-Hong Kong-Macao,” katanya.

GBA merupakan kawasan yang berpotensi besar bagi pelaburan khususnya dalam sektor teknologi tinggi.

Sumber: Bernama

Malaysia mahu perkukuh hubungan dua hala dengan Hong Kong – Fadillah


Content Type:

Duration:

Beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan pelaburan dijangka dimeterai syarikat berkaitan teknologi di China bersempena dengan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu bermula hari ini hingga 1 April.

Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang yang akan menyertai lawatan Perdana Menteri berkata, beliau berharap dapat bertemu dengan rakan sejawatnya di China untuk membincangkan aspek berkaitan sains, teknologi dan inovasi terutamanya sektor kenderaan elektrik, teknologi angkasa dan pelaburan.

“Kita berharap lawatan ini akan menghasilkan kerjasama bagi menaik taraf pelaburan berkaitan teknologi. Malah, banyak pelabur China berminat untuk melabur di Malaysia, cuma di peringkat yang berbeza. Ada yang sudah di peringkat akhir, ada yang baru bermula,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baharu Subplace di sini semalam.

Beliau berkata semasa lawatan itu, selain perbincangan lanjut antara kementeriannya dengan beberapa syarikat berkaitan teknologi, sesi itu akan turut melibatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri khususnya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia bagi urusan pelaburan.

Walaupun lawatan tersebut bukan misi perdagangan negara, beliau berkata pihaknya akan memanfaatkan peluang tersebut untuk berbincang lebih lanjut dengan rakan sejawat dan syarikat berkaitan teknologi di negara itu yang berminat untuk melabur di Malaysia.

Sementara itu, mengenai rayuan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) untuk menggugurkan syarat lesen operasinya di Malaysia, Chang berkata pendengaran rayuan itu akan dibuat pada akhir April.

“Pada Februari lepas, kerajaan telah membuat keputusan untuk melanjutkan lesen operasi Lynas tetapi mengekalkan empat syarat tersebut, dan Lynas mempunyai 30 hari untuk membuat rayuan dan mereka telah menghantar rayuan itu.

“Saya akan mempengerusikan sesi pendengaran itu dan keputusan akan dibuat selepas sesi berkenaan, namun tiada had masa,” katanya.

Sumber: Bernama

MoU pelaburan syarikat berkaitan teknologi dijangka dimeterai ketika lawatan PM ke China


Content Type:

Duration:

Kelewatan pembukaan semula sempadan antarabangsa adalah faktor utama penurunan kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2022, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata trend penurunan ranking WCR jelas dilihat kepada negara-negara yang lewat membuka semula sempadan antarabangsa kerana pandemik COVID-19 yang menyaksikan Malaysia berada pada kedudukan ke-32 dalam WCR IMD 2022, turun tujuh tangga berbanding tangga ke-25 pada 2021.

Menurutnya jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat dan Eropah, Malaysia telah mengambil langkah berhati-hati sebelum membuat keputusan untuk membuka semula sempadan antarabangsa pada 1 April 2022 dengan mengambil kira dari segi mengimbangi nyawa rakyat dan kelangsungan hidup rakyat.

“Berikutan kelewatan itu berbanding negara-negara lain, menyebabkan kedudukan Malaysia dalam ranking Daya Saing Global jatuh,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berhubung faktor menyebabkan penurunan ranking Malaysia dalam WCR IMD.

Tengku Zafrul berkata antara faktor lain adalah persepsi komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa terhadap peraturan dan undang-undang yang dilihat sebagai kekangan dan kurang mesra perniagaan.

Sehubungan itu, menurutnya MITI sedang memperhalus cadangan untuk memudahkan perniagaan bagi membantu syarikat-syarikat tempatan dan luar negara yang ingin melabur di Malaysia.

Menjawab soalan tambahan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) berhubung cadangan kerajaan untuk meyakinkan pelabur dengan cara menetapkan semula ekonomi khususnya menerusi pembangunan bidang pertumbuhan baharu, beliau berkata dalam usaha mewujudkan ekosistem pelaburan lebih mampan di Malaysia, MITI dan agensinya telah melaksanakan pelbagai strategi untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia.

Antara strategi utama yang telah dan sedang dilakukan adalah dengan menggubal dan menambah baik dasar-dasar berkaitan kelancaran dasar pelaburan baharu, katanya.

“Ini berteraskan aspirasi pelaburan nasional dengan dasar baharu ini mempercepat kemasukan pelaburan berkualiti dan mampan terutamanya dalam bidang pertumbuhan baharu serta memberi tumpuan kepada keterangkuman dan kemampanan yang selari dengan aspirasi dan matlamat amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, MITI akan melaksanakan kajian semula cukai yang komprehensif terhadap rangka kerja galakan cukai sedia ada serta melaksanakan pendekatan negara yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

“Dalam hal ini, penekanan diberikan kepada pelaburan bagi sektor kawasan pembangunan baharu termasuk kenderaan elektrik, kilang pintar yang menggunakan teknologi 5G, ekonomi digital, teknologi hijau, pertanian pintar dan ekosistem rantaian bekalan,” katanya.

Sumber: Bernama

Lewat buka semula sempadan faktor Malaysia di tangga ke-32 Ranking Daya Saing Dunia IMD 2022


Content Type:

Duration:

Satu pelaburan baharu yang merupakan komitmen tertinggi kerajaan akan diumumkan pada Rabu atau Khamis ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pengumuman itu akan dibuat sempena lawatan rasmi beliau ke China yang bermula pada 29 Mac (Rabu) hingga 1 April 2023.

“Ini sahaja yang boleh jamin tentang nasib rakyat, pendidikan, kesihatan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama rakyat Malaysia di Kemboja di Kedutaan Besar Malaysia Phnom Penh, di sini, hari ini.

Anwar tiba di sini pagi tadi sempena lawatan rasmi sehari beliau ke Kemboja.

Beliau berkata kerajaan di bawah pentadbirannya akan memastikan ekonomi negara terus berkembang dan Malaysia mampu menjadi tarikan baharu bagi pelaburan.

Katanya, untuk itu, semua aspek yang berkaitan termasuk prasarana, infrastruktur atau insentif perlu terus diperkasa selain memberi tumpuan terhadap aspek pendigitalan.

“Bila ada perubahan, maka ia boleh menarik pelaburan asing. Sebagai contoh Amazon yang mahu melabur di Malaysia walaupun ada negara lain yang menawarkan insentif menarik kepada mereka dan bila ia datang ke sini, ia akan menarik syarikat lain untuk datang, ” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan mahu Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) lebih telus dan fokus, dan bukannya menjadi saingan kepada sektor swasta.

“Kalau ada projek baik sektor swasta atau GLC tak patut compete (bersaing). Tapi mungkin kena bandingkan juga jika ada kelemahan,” katanya ketika menjawab soalan daripada seorang tetamu mengenai pandangan terhadap GLC Malaysia yang selalu dipandang sebagai gergasi jika dibandingkan dengan perniagaan lain.

Sumber: Bernama

PM Anwar bakal umum pelaburan penting baharu semasa lawatan ke China


Content Type:

Duration:

wpChatIcon