B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Zuraida: Pemain industri getah perlu pelbagai ke segmen bukan perubatan untuk kekal relevan

Zuraida: Pemain industri getah perlu pelbagai ke segmen bukan perubatan untuk kekal relevan

07 Jun 2022

Pemain industri getah perlu mempelbagaikan operasi ke segmen bukan perubatan untuk terus menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negara pada masa depan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata semasa pandemik Covid-19, Malaysia muncul sebagai antara pengeksport utama global sarung tangan getah perubatan berikutan keupayaan negara untuk menampung lonjakan permintaan.

“Semasa tempoh kemuncak Covid-19, komoditi kita mencatatkan prestasi baik, sama ada minyak sawit, getah, kayu, lada dan lain-lain. Pengeluaran sarung tangan getah kita menjadi nombor satu dalam negara disebabkan pandemik.

“Tetapi sekarang dengan pandemik yang semakin mereda, mungkin kita boleh pelbagaikannya sedikit dan beralih ke segmen bukan perubatan,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis pelancaran Pembiayaan Global bagi Inovasi Getah (GFRI), di sini, hari ini

GFRI yang bertemakan “Memupuk Idea untuk Industri Getah Secara Global” merupakan inisitatif Majlis Getah Malaysia (MRC) bagi mewujudkan ekosistem yang lengkap untuk menyokong pembangunan industri getah dalam bidang yang berkaitan, seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Zuraida berkata MRC GFRI menyediakan dana permulaan berjumlah RM10 juta yang akan dianugerahkan sebagai dana penyelidikan penuh.

“Dana penyelidikan ini terbuka kepada semua penyelidik tempatan dan luar negara dari pelbagai institusi penyelidikan awam dan swasta, universiti, institusi pengajian tinggi dan syarikat yang berpangkalan di dalam dan luar Malaysia,“ katanya.

Menurutnya, satu Jawatankuasa Khas yang terdiri daripada pakar industri dan teknikal dari sektor awam dan swasta telah ditubuhkan untuk menjalankan penilaian teknikal dan kewangan ke atas kertas cadangan penyelidikan yang menepati keperluan program pembiayaan.

Zuraida berkata objektif utama GFRI adalah untuk menggalakkan penjanaan idea, inovasi dan ciptaan bagi produk dan teknologi getah dengan daya pengkomersialan yang tinggi untuk menarik pelaburan dalam industri getah Malaysia.

Beliau berkata produk getah Malaysia kini dieksport ke 189 buah negara di seluruh dunia dengan kadar eksport meningkat sebanyak 50.6 peratus daripada RM40.1 bilion pada 2020 kepada RM61.7 bilion pada tahun 2021.

“Industri, universiti, dan institusi penyelidikan merupakan pusat minda terbaik negara yang memiliki kumpulan pakar dari pelbagai bidang. Oleh itu, para penyelidik dari pelbagai organisasi memainkan peranan penting dalam menjana inovasi yang boleh menyumbang kepada kemakmuran ekonomi.

“Dalam hal ini, Malaysia boleh menggunakan kepakaran teknikal dari negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun yang berpotensi memacu pembangunan teknologi yang pesat,“ katanya.

Beliau berkata, kementeriannya akan terus menyokong inovasi pembangunan produk getah yang berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi negara selain komited dalam memastikan agar industri getah terus kekal berdaya saing di peringkat pasaran global.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X