B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Zon kewangan khas diwujudkan di Forest City – PM Anwar

Zon kewangan khas diwujudkan di Forest City – PM Anwar

25 Ogo 2023

Kerajaan akan mewujudkan zon kewangan khas di Forest City dalam usaha merancakkan pelaburan, pertumbuhan dan aktiviti ekonomi di Johor, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ini bermakna kos untuk menjalankan perniagaan di zon kewangan khas itu adalah lebih berpatutan yang dibantu beberapa insentif yang disediakan kerajaan.

Menurutnya kos pengurusan lain seperti pelancongan, pendidikan dan kesihatan di zon itu juga tidak terlalu tinggi.

Anwar berkata lokasi Johor yang strategik iaitu bersebelahan Singapura serta mempunyai infrastuktur asas yang lengkap, boleh menarik lebih ramai pelabur terutamanya berikutan kos di Singapura yang dianggap tinggi pada masa ini.

“Ini sesuai dengan kerangka Ekonomi MADANI, dan sinergi yang wujud di Johor ini berbeza dengan negeri lain dan (kita) boleh mengambil kesempatan daripada pencapaian Singapura,” katanya ketika berucap pada Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Justeru, Anwar berkata semua kementerian, jabatan dan kerajaan negeri harus memastikan perancangan untuk mewujudkan zon kewangan khas ini dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Beliau turut mengumumkan beberapa insentif di zon kewangan khas itu seperti peluasan insentif di Iskandar Malaysia ke Forest City termasuk kadar cukai pendapatan khas 15 peratus bagi pekerja mahir dan visa kemasukan berbilang.

Johor adalah negeri kedua selepas Melaka yang terlibat dalam sesi libat urus Kementerian Kewangan dengan semua kerajaan negeri untuk mengumpul input berkenaan Belanjawan 2024, yang dijadual dibentangkan pada 13 Okt ini.

Johor adalah sesi libat urus pertama peringkat negeri yang dihadiri oleh Anwar untuk Belanjawan 2024 yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon