B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


xFusion pilih Pulau Pinang jadi lokasi Pusat Bekalan Global

xFusion pilih Pulau Pinang jadi lokasi Pusat Bekalan Global

01 Sep 2023

Penyedia terkemuka global bagi infrastruktur dan perkhidmatan tenaga pengkomputeran, xFusion International Pte Ltd memilih Malaysia bagi menempatkan Pusat Bekalan Global pertamanya.

Terletak di kilang NationGate Holdings Bhd di Seberang Perai, Pulau Pinang, kemudahan Pusat Bekalan Global yang berkeluasan 254,491 kaki persegi itu akan menjadi hab utama bagi pasaran antarabangsa xFusion dengan kapasiti pengeluaran melebihi 150,000 unit peralatan, termasuk pelayan unit pemprosesan grafik (GPU).

NationGate dilantik sebagai rakan strategik xFusion bagi pengeluaran pelayan GPU untuk pasaran global.

GPU adalah pelayan berkuasa tinggi yang direka untuk kegunaan pusat pusat data dan dalam kecerdasan buatan, pengkomputeran berprestasi tinggi, pangkalan data dan senario analisis video.

Pusat Bekalan Global itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Turut hadir ialah Pengarah InvestPenang, Datuk Seri Lee Kah Choon; Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian; Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Pulau Pinang, Mohammad Ghaddaffi Sardar Mohamed; Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Datuk Seri Wong Siew Hai; Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif xFusion Digital Technologies Co Ltd, Jeffrey Liu dan Pengarah Urusan NationGate, Ooi Eng Leong.

Kon Yeow berkata, Pulau Pinang komited untuk terus memperkukuh kluster industri selain menggalakkan lagi pertumbuhan sektor-sektor yang pesat membangun.

“Atas alasan ini, kami gembira kerana menjadi lokasi pilihan bagi xFusion. Saya yakin kerjasama antara xFusion dan NationGate akan dapat diterjemahkan kepada potensi yang lebih besar, mengukuhkan infrastruktur digital serta kesalinghubungan Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Liu berkata pembukaan Pusat Bekalan Global di Pulau Pinang sebagai detik penting dalam strategi pertumbuhan syarikat itu di luar negara.

Beliau berkata, pusat yang dilengkapi dengan kemudahan terkini itu akan turut memperkukuh rangkaian bekalannya di serata dunia bagi memastikan penghantaran produk dan perkhidmatan secara berterusan dan konsisten di pasaran utama.

“Selain menjadi hab pembuatan berteknologi tinggi yang dikenali, Pulau Pinang yang turut digelar sebagai ‘Lembah Silikon Timur,’ juga merupakan lokasi ideal bagi xFusion membuka Pusat Bekalan Global berkenaan berikutan penawaran tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi, rantaian bekalan global yang matang selain terletak berhampiran dengan rakan niaga kami, NationGate.

“Sejajar dengan peningkatan kepentingan infrastruktur digital yang merentasi pelbagai sektor, kami amat teruja dengan lembaran baharu di Malaysia yang berada dalam kedudukan baik untuk terus menyokong pertumbuhan industri ini,” katanya.

Eng Leong pula berkata, pelantikan NationGate sebagai rakan strategik xFusion menjadi bukti keupayaan serta kecekapan syarikat itu sebagai penyedia EMS yang kukuh.

“Menerusi sejarah 12 tahun beroperasi di Pulau Pinang, NationGate menyediakan perkhidmatan pembuatan EMS dan sokongan teknikal kepada pelanggan, kebanyakannya ialah syarikat multinasional industri pertumbuhan tinggi seperti rangkaian dan telekomunikasi, instrumen industri, pengkomputeran data, elektronik pengguna, automotif dan semikonduktor.

“Pelantikan ini akan terus menyokong perjalanan NationGate untuk meningkatkan lagi kepakaran kami di sepanjang rantaian nilai, dalam usaha memperkukuh kedudukan sebagai penyedia EMS sehenti yang terkemuka,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon