Wind information dari China berminat buka ibu pejabat serantau di Malaysia - Teo - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Wind information dari China berminat buka ibu pejabat serantau di Malaysia — Teo

Wind information dari China berminat buka ibu pejabat serantau di Malaysia — Teo

03 Jul 2023

Syarikat perkhidmatan perisian kewangan China, Wind Information Co Ltd telah menyatakan minat untuk membuka ibu pejabat serantaunya di Malaysia, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching.

Teo berkata Wind Information akan dapat menyediakan perkhidmatan maklumat kewangan yang serupa dengan Bloomberg di luar China selepas ia bertapak di Malaysia.

“Syarikat itu berpendapat bahawa apabila mereka beroperasi di China, orang ramai akan melihat mereka sebagai sebuah syarikat dari China.

“Jadi mereka berharap dengan menubuhkan ibu pejabat serantau di Malaysia, Wind Information akan dapat dilihat sebagai sebuah syarikat (antarabangsa) yang menyediakan perkhidmatan serupa dengan Bloomberg kepada rantau Asean atau Asia,” katanya kepada Bernama di luar acara sesi perangkaian dengan pelabur dan rakyat Malaysia di Shanghai baru-baru ini.

Teo berada di Shanghai dari 27 hingga 30 Jun untuk menghadiri Mobile World Congress (MWC) Shanghai 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula 28 Jun, yang mana beliau menyampaikan ucap tama bertajuk “Teknologi Memacu Perubahan” pada 29 Jun.

Sepanjang lawatannya selama empat hari itu Teo telah mengunjungi beberapa pavilion syarikat telekomunikasi China dan bertemu beberapa pegawai syarikat telekomunikasi China, termasuk daripada Huawei Technologies Co Ltd.

Ditanya mengenai jumlah pelaburan yang dijangka dibawa oleh Wind Information ke Malaysia, beliau berkata walaupun angka itu tidak didedahkan, kehadiran syarikat tersebut sudah pastinya akan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi seperti analisis data dan kejuruteraan perisian untuk rakyat Malaysia.

Beliau berkata kos operasi yang kompetitif di Malaysia, selain tenaga kerja berkemahiran tinggi dan fasih bertutur pelbagai bahasa yang tersedia di negara ini adalah antara sebab mengapa Wind Information memilih Malaysia berbanding negara jiran yang lain.

Teo mendedahkan ketika ini Wind Information sedang memohon status Malaysia Digital (MD) yang dijangka diluluskan pada pertengahan Julai tahun ini. 

Inisiatif MD dilancarkan pada 4 Julai, 2022, yang mana syarikat yang layak akan ditawarkan insentif, hak dan keistimewaan daripada kerajaan untuk menyertai dan menjalankan mana-mana aktiviti digital di negara ini.

Membangunkan pusat data di Malaysia

Selain daripada Wind Information, Teo juga bertemu dengan penyedia perkhidmatan pusat data utama China, Shanghai DC-Science Co Ltd serta GDS Holdings Ltd, pemaju dan pengendali utama pusat data berprestasi tinggi di negara tersebut.

Mengenai Shanghai DC-Science, yang menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan MN Holdings Bhd untuk membangunkan pusat data berprestasi tinggi pertamanya dengan anggaran nilai lebih US$600 juta (US$1=RM4.66) di Malaysia, beliau berkata, syarikat dari China itu dijangka memeterai perjanjian jual dan beli dan memulakan pembinaan pusat data pada bulan ini. 

“Mereka berharap pusat data itu boleh mula beroperasi pada suku kedua 2024,” katanya.

Di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara DC-Science dan unit milik penuh MN Holdings, Mutu Nusantara Sdn Bhd pada 1 April 2023, sempena lawatan sulung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China, kedua-dua syarikat itu akan membangunkan bersama-sama pusat data berprestasi tinggi seluas 8.09 hektar di Sedenak Tech Park, Johor.

Sementara itu, Teo berkata, GDS Holdings yang melabur sebanyak RM1.38 bilion pada 2022 untuk membangunkan kampus pusat data “hyperscale” pertamanya di Nusajaya Tech Park, Iskandar Puteri, dijangka memulakan operasi pusat datanya di Malaysia pada awal bulan ini.

“Mereka juga merancang untuk melabur lebih banyak lagi dan membangunkan lebih banyak pusat data di Malaysia bagi memastikan Malaysia akan dapat menjadi hab data yang penting,” katanya sambil menambah syarikat itu akan terus bekerjasama dengan universiti tempatan untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di negara ini.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon