B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


VentureTECH tampung permintaan silinder gas oksigen

VentureTECH tampung permintaan silinder gas oksigen

16 Dis 2021

VentureTECH melabur sebanyak RM2.5 juta dalam Gas Pantai Timur Sdn Bhd (GPT) untuk menampung lonjakan permintaan terhadap silinder gas oksigen daripada hospital dan klinik kerajaan ketika negara terus berusaha membendung pandemik COVID-19.

GPT adalah pembekal utama gas perubatan dan perindustrian yang termasuk oksigen, asetilena dan nitrogen yang diproses di loji gas dekat Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Kelantan dan Kawasan Perindustrian Gopeng, Perak.

Pelaburan itu akan menyaksikan GPT mengembangkan stesen pengisian semula silindernya di Puchong bagi gas perubatan untuk keperluan hospital di wilayah tengah.

Pengarah Urusan VentureTECH, Dr Norida Abd Rahman, berkata visi syarikat itu adalah untuk menyokong syarikat tempatan yang beroperasi dalam sektor berkaitan penjagaan kesihatan kritikal bagi membendung pandemik tersebut untuk memenuhi keperluan mendesak sistem penjagaan kesihatan negara demi kepentingan rakyat.

“Pelaburan ini adalah sejajar dengan falsafah pelaburan VentureTECH yang disasarkan untuk menjana impak sosial yang positif.

“Pelaburan VentureTECH dalam GPT memainkan peranan penting kerana ia akan dapat membantu Malaysia memulihkan aktiviti ekonominya sejajar dengan Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) selain menyokong penyepaduan internet pelbagai benda (IoT) selain teknologi pengesanan dalam sistem bekalan pengeluaran dan pengedaran bagi menambah baik kecekapan,” katanya.

Sementara itu, GPT berkata permintaan terhadap silinder oksigen meningkat lebih daripada lapan kali ganda semasa gelombang ketiga COVID-19, yang memberi tekanan besar kepada sistem penjagaan kesihatan negara ekoran peningkatan penghunian katil ICU dan keperluan bagi sokongan pernafasan.

Ketua Pegawai Eksekutif GPT, Nik Ahmed Nerang Nik Rithauddeen, berkata syarikat itu bersiap sedia bagi sebarang kemungkinan untuk memastikan hospital tidak lagi mengalami masalah kekurangan silinder, walaupun kes jangkitan harian telah semakin terkawal.

“Pelaburan daripada VentureTECH membolehkan kami memastikan dapat menampung permintaan,” katanya.

GPT berkata, ia menyasar meningkatkan campuran produknya dengan membangunkan barisan pengeluarannya sendiri bagi gas lain, meningkatkan keupayaan logistiknya dan membuka loji pengeluaran gas baharu di wilayah selatan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X