B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Usaha bangunkan ekonomi digital Islam tempatan yang teguh akan dipertingkat

Usaha bangunkan ekonomi digital Islam tempatan yang teguh akan dipertingkat

28 Apr 2022

Kerajaan terbuka terhadap usaha mengenal pasti entiti atau agensi yang dapat mengurangkan jurang antara industri dan birokrasi selain berperanan penting dalam pembangunan ekonomi digital Islam (IDE) yang pesat, kata MyDIGITAL Corporation.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fabian Bigar berkata kerajaan juga komited untuk menambahbaik kerangka sedia ada bagi kemudahan pembangunan IDE tempatan, termasuk dalam bidang seperti kewangan untuk penggiat tempatan selain persekitaran lebih kondusif untuk kalangan syarikat permulaan.

Dalam kenyataan bersempena sesi meja bulat dasar berkaitan baru-baru ini, beliau berkata biarpun Malaysia terbukti mencatat prestasi baik sebagai peneraju global dalam industri halal sebelum ini yang menjana ekosistem modal insan dan modal kewangan tempatan yang kukuh, adalah penting bagi negara ini untuk memastikannya tidak ketinggalan di tengah-tengah pertumbuhan pesat IDE global.

“Kita berkemungkinan kehilangan sedikit asas dalam kepesatan pertumbuhan IDE terutamanya jika dibandingkan dengan rakan negara serantau lain. Namun, kita mungkin sukar untuk diatasi jika dapat bekerja keras untuk mendapatkan semula apa yang telah hilang,” katanya.

Beliau berkata MyDIGITAL akan terus memainkan peranan penting untuk memberi kemudahan dan memantau lebih banyak kerjasama swasta-awam dan meleraikan kekangan pengawalseliaan yang mampu membantu pertumbuhan ekosistem IDE tempatan.

“Ini termasuk terus mendapatkan lebih banyak wacana daripada pihak berkepentingan dalam IDE tempatan bagi memastikan kerjasama lebih erat dalam industri. Kita terbuka dan bersedia untuk berurusan dengan semua pihak berkepentingan bagi memaksimumkan potensi inovasi digital dalam IDE, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” katanya.

Sesi meja bulat bertemakan ‘Harnessing the Power of Malaysia’s Islamic Digital Economy’ telah diadakan oleh MyDIGITAL menerusi kerjasama dengan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Antara topik perbincangan adalah keperluan bagi menamatkan kekangan di peringkat agensi-agensi kerajaan, saluran lebih banyak pembiayaan dan sokongan untuk penggiat tempatan serta keperluan mewujudkan dasar-dasar lebih jelas dan mesra bagi menggalakkan pelabur serta pelaburan asing dalam IDE tempatan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon