B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


UA, MIDA meterai kerjasama bantu graduan kejuruteraan

UA, MIDA meterai kerjasama bantu graduan kejuruteraan

08 Okt 2021

Tiga universiti awam (UA) tempatan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk membantu graduan ijazah kejuruteraan masing-masing memperoleh peluang pekerjaan dengan syarikat asing.

Menerusi Program HyTalent Pusat Pembangunan Penilaian MIDA, UA yang berkolaborasi dengan lembaga itu ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman, berkata berdasarkan persefahaman itu, seramai 500 bakat tempatan daripada universiti terbabit akan dipadankan untuk menimba kemahiran serta pengalaman dalam syarikat asing selama setahun.

Beliau berkata, masa depan graduan yang menyertai program berkenaan ‘terjamin’ untuk memperoleh pekerjaan, sekali gus dapat membantu isu pengangguran.

“Bila bercakap mengenai peserta industri, kita bercakap terutamanya mengenai pelaburan terus asing (FDI) atau syarikat asing. Kita akan bawa mereka menyertai program ini. Mereka tahu apa jenis keperluan dan set kemahiran yang diperlukan untuk mengendalikan operasi.

“Saya yakin semua 500 pelajar akhirnya akan diambil bekerja oleh peserta industri yang menyertai program ini, sebab kami tahu apa keperluan industri kerana kami yang menarik pelaburan dan tahu jenis jurutera yang diperlukan, apa bentuk teknologi IoT (Internet Kebendaan) dan sebagainya.

“Dengan itu kami akan kenal pasti syarikat ini dan maklumkan kepada mereka. Saya yakin walaupun ini program perintis, selepas perbincangan panjang lebar dengan industri, teknologi dan institusi teknikal vokasional, kami percaya program ini akan berjaya, mereka (graduan) ini akan diambil bekerja,” katanya pada sidang media petang tadi.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani MoU Program HyTalent MADC dengan UKM, UTM dan UPM sambil disaksikan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Arham menjelaskan program yang dijangka bermula awal tahun depan itu akan menyediakan latihan selama enam bulan dari segi kepemimpinan dan enam bulan lagi, diletakkan untuk menimba pengalaman kerja dengan peserta industri.

Sekiranya program ini ‘berkesan’, beliau berkata, MIDA akan mempertimbang memperluaskan kerjasama dengan institusi pengajian lain termasuk swasta.

“Ini adalah program perintis. Kita mulakan dengan tiga universiti awam. Program ini bukan eksklusif tetapi terbuka kepada universiti lain.

“Selesai saja program ini, sudah semestinya kita akan buka kepada universiti lain sama ada universiti tempatan awam atau swasta. Kalau boleh nak rekrut lebih ramai (graduan),” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon