B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


The Arnott’s Group pilih Kuala Lumpur sebagai Hab Asia

The Arnott’s Group pilih Kuala Lumpur sebagai Hab Asia

24 Ogo 2022

Pengeluar makanan terkemuka antarabangsa, The Arnott’s Group (TAG) mempertingkatkan pelan pengembangan perniagaannya untuk muncul sebagai kuasa serantau melalui pembukaan Hab Asia di Kuala Lumpur.

TAG adalah syarikat yang menghasilkan jenama Australia dan tempatan kegemaran ramai seperti Arnott’s, Prego dan Kimball.

Hab Asia di Kuala Lumpur itu dilancarkan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Dr Justin Lee; Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid; Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan Berkualiti) MITI, Datuk Bahria Mohd dan Pengarah Urusan Asia TAG, May Lim.

Mohamed Azmin berkata, langkah jenama global seperti TAG memilih Greater Kuala Lumpur sebagai destinasi pilihan untuk berkembang memperlihatkan Malaysia sebagai destinasi yang mempunyai infrastruktur yang kukuh, ekosistem perniagaan yang bertenaga dan akses kepada bakat yang dinamik.

“Anda (TAG) telah membuat pilihan yang tepat, dan kami tidak sabar-sabar untuk menjadi rakan kongsi anda untuk berkembang kukuh. Justeru, pelancaran Hab Asia hari ini sememangnya satu permulaan yang hebat dan satu peristiwa penting untuk kedua-dua Malaysia dan TAG,” katanya pada pelancaran itu.

Mengulas lanjut penubuhan Hab Asia TAG di Kuala Lumpur itu, Lim berkata, sebagai permulaan, pihaknya menubuhkan kumpulan pengurusan berpusat di KL untuk hab itu.

Beliau berkata, hab itu bertanggungjawab menyatukan operasi di seluruh Asia bagi mencapai pelan pertumbuhan besar-besaran yang dirancang.

“Kami memilih KL sebagai hab kerana lokasinya yang strategik dan ia adalah batu loncatan untuk menembusi pasaran Asia, memiliki tenaga kerja berkemahiran serta sokongan dasar kerajaan,” katanya.

Pada masa ini, pasaran Asia menyumbang jualan melebihi RM1 bilion kepada TAG, bersamaan satu perempat daripada jualan tahunan keseluruhan kumpulan itu dan hasil tahunan dianggarkan mencecah RM2.5 bilion dalam tempoh 10 tahun.

“Hab Asia ini penting untuk kejayaan TAG di masa depan. Terdapat tiga tahap dalam rancangan pertumbuhan kami, dan KL berada di senarai teratas sebagai pusat pengembangan perniagaan kami.

“Malaysia adalah hab halal utama dunia dan kami berhasrat untuk mendapatkan sijil halal bagi jenama yang dihasilkan di hab pengeluaran baharu ini untuk dieksport ke seluruh dunia,” kata Lim.

Eksport makanan halal dalam pasaran global dijangka mencecah AS$3 trilion dalam tempoh lima tahun akan datang berbanding AS$2 trilion pada masa ini.

Pelan pengembangan perniagaan TAG akan dimulakan sebelum akhir tahun ini dan meliputi tiga tahap membabitkan pelaburan berjumlah A$50 juta untuk mewujudkan hab pengeluaran dan pengambilan lebih 200 tenaga kerja berkemahiran dalam pekerjaan bernilai tinggi dan berteknologi tinggi.

Ia juga membabitkan hab rantaian bekalan bagi menyatukan semua pemerolehan, logistik, kejuruteraan dan pengurusan tapak dan hab penyelidikan dan pembangunan yang menggabungkan kilang perintis, pembangunan produk berautonomi serta kerja inovasi dan penderiaan.

Lim menambah, pihaknya juga sedang berbincang secara giat dengan kerajaan Malaysia mengenai peluang untuk merealisasikan pelan pengembangan perniagaannya di KL.

“KL adalah lokasi bagi hab serantau kami, ia adalah pusat persinggahan utama dan menawarkan akses mudah kepada jaringan luas pembekal tempatan yang mempunyai hubungan rapat dengan pengeluar makanan di seluruh Asia.

“Oleh itu, KL adalah lokasi ideal bagi kami untuk mengeluarkan makanan lazat yang berkualiti serta mencipta detik-detik penuh keenakan untuk pelanggan di seluruh Asia,” katanya.

TAG turut menawarkan manfaat besar kepada Malaysia melalui pelbagai jenama terkemuka barangan pengguna yang dimiliki syarikat itu dan lebih 3,000 kakitangan di seluruh Asia Pasifik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Muhammad Azmi Zulkifli dalam kenyataan berkata, pihaknya berbesar hati untuk membantu penubuhan Hab Asia TAG di Greater KL, menjadikannya salah satu daripada lebih 100 syarikat terkemuka dunia dalam senarai InvestKL.

“TAG dapat memanfaatkan kemudahan di Greater KL untuk menjalankan aktiviti berteknologi tinggi syarikat itu dan pada masa yang sama, Malaysia juga mendapat faedah daripada nilai positif dan limpahan ekonomi, selari dengan transformasi Malaysia ke arah negara yang mampan secara digital serta dipacu oleh teknologi.

“TAG adalah antara kisah kejayaan yang membuktikan bahawa Greater KL berdaya maju sebagai hab untuk inovasi, teknologi dan aktiviti Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Kami sentiasa bersedia untuk menyokong perancangan TAG bagi memperluaskan dan memperkukuhkan jejaknya di Asia dari Greater KL,” katanya.

TAG menyasarkan pertumbuhan dua angka untuk tempoh lima tahun akan datang di Asia, pasaran yang mempunyai kira-kira 60 peratus daripada penduduk dunia.

Perbelanjaan bagi makanan di Asia dijangka meningkat sekali ganda daripada AS$4 trilion setahun kepada AS$8 trilion setahun menjelang 2030.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman, berkata beliau teruja dengan rancangan TAG untuk memperluaskan kehadirannya di sini bagi memenuhi permintaan pasaran pengguna di Asia dan global yang semakin meningkat.

Beliau berkata, keputusan untuk menempatkan Hab Asia syarikat itu di Malaysia adalah bukti keyakinan syarikat antarabangsa terhadap negara ini.

Katanya, sejak sekian lama, Malaysia telah menjadi destinasi pilihan utama bagi syarikat multinasional (MNC) untuk mengembangkan perniagaan mereka di rantau ini dan di peringkat global.

“Malaysia adalah pengeluar makanan global yang pesat membangun dan peneraju dalam industri halal dunia. Kita menjadi pilihan lebih 300 jenama makanan antarabangsa dan pengeluar makanan proses disebabkan lokasi strategik di ASEAN, iklim pelaburan yang kondusif, tenaga kerja berkemahiran dan boleh dilatih, hubungan perdagangan kukuh dan mempunyai kelebihan dari segi kos, menjadikan Malaysia salah sebuah destinasi paling mudah untuk mana-mana perniagaan menembusi rantau itu.

“MIDA akan memudah cara rancangan syarikat ini untuk memperluaskan cabang perkilangann kepada hab rantaian bekalan yang dapat menyelia dan menyokong operasi mereka di rantau ini dengan lancar,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon