B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


‘Tesla tidak beri impak ketara terhadap penggiat auto tempatan’

‘Tesla tidak beri impak ketara terhadap penggiat auto tempatan’

21 Jul 2023

Kehadiran kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik sepenuhnya Tesla, Model Y yang dijangka mendapat sambutan baik di peringkat domestik, tidak akan mendatangkan impak atau ancaman ketara terhadap industri automotif tempatan dalam masa terdekat, kata Kenanga Research.

Cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank Bhd itu berkata Model Y ditetapkan pada harga kompetitif iaitu RM199,000 hingga RM288,000 berbanding saingannya dalam segmen SUV kompak dengan kadar pembiayaan lebih rendah.

“(Ini memandangkan), lebih daripada 70 peratus kenderaan yang dijual di peringkat tempatan berharga kurang daripada RM100,000, termasuk 40 peratus di bawah RM50,000,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Kenanga juga menyifatkan kenderaan elektrik itu jauh daripada kategori harga berpatutan serta berupaya menggantikan kehadiran kenderaan yang dipacu oleh enjin pembakaran secara dalaman (ICE).

“Dalam keadaan seperti kekurangan stesen pengecasan EV sehinggalah strategi holistik bagi membangunkan ekosistem EV yang mantap, apa yang pasti adalah kenderaan ICE masih lagi dominan,” katanya.

Menurutnya, Perodua yang menguasai hampir 50 peratus daripada jumlah keseluruhan industri tempatan (TIV), akan lebih menumpukan kereta hibrid (dijangka dilancarkan di bawah paras harga RM70,000) bagi membina kepakaran tempatan serta secara beransur-ansur mengalihkan kapasiti vendor ke arah menyetempatkan komponen utama EV seperti bateri, elemen ‘inverter’ atau penyongsang dan motor.

Pengeluar kenderaan itu juga telah menyatakan dalam usaha mengeluarkan EV pada harga berpatutan, wujud keperluan untuk membangunkan ekosistem bekalan alat ganti EV yang dikeluarkan di peringkat tempatan.

Kenanga berkata, Bermaz Auto pula telah menyatakan hasratnya untuk terus memantau perkembangan ekosistem EV secara teliti, seiring dengan komitmen dan bersaing dengan jenama EV lain menerusi pelancaran pelbagai model EV siap dipasang (CBU) baharu.

Ini termasuk Mazda MX-30, Kia EV6, Kia Niro EV dan Peugeot e-2008 yang merupakan model lebih baharu berbanding Model Y Tesla.

Selain itu, Kenanga juga menyifatkan kehadiran Tesla di Malaysia dijangka mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran dan bergaji lebih menarik dalam segmen bateri EV dan peningkatan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem itu.

“Aspek itu akan secara strategiknya memanfaatkan ekosistem elektrik dan elektronik Malaysia bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan untuk teknologi berkaitan mobiliti karbon rendah,” katanya.

Tesla telah mengumumkan pelan pembangunan komprehensif untuk pusat pengalaman, perkhidmatan dan sokongan selain infrastruktur berkaitan pengecasan di negara ini bagi menyuntik pengalaman pemilikan serba lancar selain membina rangkaian pengecas super EV.

Ini termasuk sekurang-kurangnya 50 pengecas super dalam tempoh tiga tahun daripada 10 pengecas sedia ada yang mana 30 peratus daripadanya boleh digunakan oleh jenama lain.

Kenanga yang mengekalkan unjuran TIV 2023 sebanyak 720,000 unit dan menyamai rekod yang dicapai tahun lepas, juga menyifatkan kehadiran sebuah kereta baharu masih kekal sebagai kemewahan yang mampu milik untuk kebanyakan rakyat Malaysia walaupun dalam senario inflasi tinggi dan ekonomi global yang perlahan.

Ia turut mengunjurkan peningkatan sebanyak 11 peratus daripada 650,000 unit yang dijangkakan oleh Persatuan Automotif Malaysia pada Januari lepas.

Menurutnya, sentimen optimis itu didorong oleh oleh kekukuhan keyakinan pengguna bersandarkan kepada kestabilan ekonomi, pasaran kerja yang lebih sihat, kemampuan kenderaan bermotor dalam keadaan harga kereta baharu yang stabil susulan penangguhan peraturan duti eksais baharu serta model baharu yang menarik.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon