B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Tengku Zafrul: Potensi besar terapkan pendekatan ‘behavioural Insights’ untuk permudah jalankan perniagaan

Tengku Zafrul: Potensi besar terapkan pendekatan ‘behavioural Insights’ untuk permudah jalankan perniagaan

21 Mac 2023

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) melihat potensi besar untuk melaksanakan pendekatan ‘nudging’ dan ‘Behavioural Insights’ (BI) dalam usaha memudahkan urusan menjalankan perniagaan di Malaysia.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata BI (pendekatan induktif untuk membuat dasar) boleh digunakan terutamanya dalam mengurangkan kos pematuhan dan menggunakan tahap optimum sumber pada pemantauan serta penguatkuasaan kawal selia dan prosedur.

“Ini adalah kunci untuk menguruskan kos operasi dan memaksimumkan keuntungan.

“Justeru, ‘nudging’ dan BI boleh menjadi langkah reformatif bagi menggubal peraturan berkualiti dan pelaksanaan kawal selia yang cekap tanpa bergantung kepada langkah-langkah berbentuk paksaan,” katanya dalam ucap tama beliau pada acara National Conference on Behavioural Insights 2023 yang dijalankan menerusi dalam talian hari ini.

Tengku Zafrul juga melihat penggunaan pendekatan itu oleh agensi seperti Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) Malaysia dan entiti kawal selia atau penguatkuasaan lain dengan mandat yang serupa untuk mengurangkan kerenah birokrasi bagi pelabur dan perniagaan untuk mencapai matlamat jangka panjang negara.

Beliau berkata Malaysia menyambut baik penggunaan BI bagi dasar yang efektif dan peraturan berkualiti bagi membantu orang ramai membuat keputusan dengan sewajarnya tanpa mengehadkan kebebasan pilihan mereka.

Tahun lepas, dengan bantuan daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Miti sendiri menjalankan projek BI bagi meningkatkan pematuhan terhadap Akta Perdagangan Strategik 2010.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata dasar dan peraturan berkualiti penting bagi meningkatkan pertumbuhan produktiviti.

Beliau berkata produktiviti Malaysia pulih kepada prestasi sebelum pandemik pada 2022, tumbuh 5.4 peratus, mencatatkan tahap nilai RM95,628 bagi setiap pekerja. Ini merupakan lantunan semula yang tinggi dari 2021 apabila produktiviti Malaysia mencatatkan pertumbuhan 1.8 peratus dengan RM90,697 setiap pekerja.

Malaysia menyasar mencapai pertumbuhan produktiviti lebih daripada 3.6 peratus sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dalam merealisasikan tahap produktiviti RM106,060 menjelang 2025.

“Bagi mencapai sasaran ini, ekosistem perniagaan Malaysia perlu kondusif kepada pertumbuhan ekonomi dan dasar serta peraturannya berkualiti untuk membangun persekitaran yang sesuai,” katanya.

Abdul Latif berkata, dalam membina kapasiti pegawai kerajaan dan mewujudkan kumpulan pakar BI tempatan, MPC telah melatih 609 individu melibatkan 42 kementerian dan agensi kerajaan dan melibat urus dengan sektor swasta untuk mengembangkan kumpulan pakar itu.

Perbadanan itu telah membangunkan National Behavioural Insights Guidelines sebagai rujukan bagi pengawal selia, penggubal dasar dan pengamal untuk mengguna pakai BI sebagai instrumen dasar dan produktiviti.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon