Syarikat perlu terap prinsip ESG, aset berkaitan diunjur cecah US$53 Trilion – Tengku Zafrul - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Syarikat perlu terap prinsip ESG, aset berkaitan diunjur cecah US$53 Trilion – Tengku Zafrul

Syarikat perlu terap prinsip ESG, aset berkaitan diunjur cecah US$53 Trilion – Tengku Zafrul

23 Sep 2022

Syarikat-syarikat perlu bertindak menerapkan pelaksanaan agenda prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) atau berdepan kehilangan akses bagi modal bertujuan tertentu melibatkan pelabur institusi yang mempunyai pengaruh serta nilai aset besar.

Ketika menegaskan perkara itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ini penting memandangkan nilai aset-aset ESG dijangka mencecah US$53 trilion (US$1=RM4.56) menjelang 2025.

Malah, katanya, pelabur institusi mempunyai pengaruh besar secara kolektif dengan nilai aset di bawah pengurusan mencecah hampir RM2.2 trilion dan kira-kira RM750 bilion di bursa saham tempatan.

“Berdasarkan saiz dan kapasiti itu, pelabur institusi boleh serta perlu berperanan penting untuk memacu pandangan yang berkesan, menjana pemangkin yang kebal masa depan serta membuka nilai menerusi penglibatan aktif dengan syarikat penerima pelaburan atau portfolio terbabit.

“Ini bukan saja bagi tujuan mendapatkan pulangan semata-mata tetapi juga bertujuan tertentu yang berteraskan prinsip-prinsip ESG,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Tadbir Urus Korporat 2022 Majlis Pelabur Institusi Malaysia (IIC)-Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul menyifatkan tadbir urus korporat yang berkesan sebagai mekanisme penting dalam kit pelaksanaan ESG bagi membantu usaha untuk memastikan penyediaan dasar, proses serta struktur sewajarnya bagi membolehkan perniagaan kekal berdaya saing dan mampan dalam jangka panjang.

“Ini membawa kepada konsep pengawasan bagi pelabur institusi jangka panjang seperti dana persaraan yang juga pemilik aset berkesan dan berpengaruh besar terhadap operasi serta tingkah laku korporat syarikat penerima pelaburan,” katanya.

Beliau turut menyuarakan keprihatinan berhubung sokongan terhadap perniagaan kecil atau syarikat bermodal kecil yang memulakan perjalanan kelestarian masing-masing.

“Saya berkongsi perkara ini kerana syarikat kecil dengan modal serta kapasiti terhad ini berdepan cabaran apabila melakukan penilaian, mendedahkan serta melaporkan data ESG dan isu kelestarian secara terperinci.

“Berikutan itu, ada yang terpaksa menanggung beban tidak wajar dan melaporkan pendedahan lebih kecil berbanding syarikat lain yang mempunyai modal lebih besar.

“Cabaran ini tidak boleh dipandang enteng kerana penggunaan sempit metrik ESG dan kriteria risiko secara sistematik mengecualikan syarikat sedemikian daripada sumber pembiayaan masa hadapan, melemahkan potensi pertumbuhan mereka dan menjejaskan perjalanan kemampanan kita secara keseluruhan,” katanya.

Pada persidangan itu, Tengku Zafrul turut melancarkan Kod Malaysia bagi Pelabur Institusi (MCII) 2022 yang telah disemak bagi menggantikan MCII pertama yang dikeluarkan pada 2014.

Ini merangkumi enam prinsip asal serta satu prinsip baharu, di samping memperkenalkan bahagian baharu bertajuk ‘Spotlight Stewardship.’

Beliau berkata prinsip baharu ini menekankan peranan pelabur institusi dalam memanfaatkan pengaruh mereka ke atas syarikat penerima pelaburan semasa atau berpotensi, pembuat dasar, penyedia perkhidmatan dan pihak berkepentingan lain secara bersama dengan tujuan untuk memaksimumkan keseluruhan nilai jangka panjang mereka.

“Justeru, harapannya adalah untuk pelabur institusi membentuk, mempengaruhi dan memperjuangkan agenda ESG dalam pasaran modal Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon