B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Syarikat pengeluar bas digalak teroka pasaran Sabah, Sarawak

Syarikat pengeluar bas digalak teroka pasaran Sabah, Sarawak

02 Mac 2023

Syarikat pengeluar dan pembekal bas digalak meneroka peluang pasaran di Sabah dan Sarawak bagi membolehkan pengusaha bas ekspres di negeri terbabit menaik taraf kemudahan kenderaan mereka untuk keselesaan dan keselamatan rakyat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, potensi pasaran bas ekspres di kedua-dua negeri berkenaan adalah baik dan syarikat pengeluar dan pembekal bas tidak seharusnya hanya menumpukan perniagaan mereka di Semenanjung negara ini sahaja.

“Saya berharap syarikat pengeluar dan pembekal dapat memasarkan produk mereka kepada pengusaha di Sabah dan Sarawak dan sudah tentu apabila pengusaha tersebut sedia untuk melabur, mereka boleh berbincang dengan pelbagai kerajaan untuk dimudah cara dari segi pembiayaan,” katanya kepada media di sini pada Khamis.

Terdahulu, Anthony menghadiri majlis pengenalan bas dua tingkat, Volvo B11RLE 6×2 baharu yang dibina sepenuhnya di negara ini untuk pasaran bas di Malaysia.

“Rakyat Sabah dan Sarawak selalu menyuarakan di Semenanjung ada pelbagai mod pengangkutan awam diperkenalkan dan bas-bas yang lebih baharu.”Saya ingin menerangkan bahawa bas-bas ekspres bukan dibeli oleh kerajaan dan kerajaan tidak memiliki mana-mana syarikat bas. Kerajaan cuma terlibat dalam operasi bas henti-henti di bandar sahaja dan kita memang menggalakkan untuk pengusaha syarikat sentiasa menaik taraf bas mereka demi keselesaan dan keselamatan penumpang,” katanya.

Menurut Anthony pelbagai institusi kewangan, bank dan dana kerajaan yang boleh dipohon pihak syarikat operator bas untuk melabur bagi mendapatkan bas baharu.

“Kalau operator bas ini tidak didedahkan (oleh syarikat pengeluar bas) dengan apa yang terbaharu di pasaran, mereka tidak akan tahu,” katanya.

Mengenai isu kekurangan pemandu bas, Anthony berkata, pada minggu lepas semasa pertemuan dengan persatuan pengusaha bas, pihaknya meminta mereka mendapatkan maklumat daripada semua ahli persatuan untuk mengenal pasti kawasan yang menghadapi masalah berkenaan.

Beliau berkata, isu kekurangan pemandu juga dihadapi oleh pengangkutan lori terutama ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan ramai pemandu mereka bertukar kerjaya ke industri e-panggilan serta ada yang berhijrah bekerja di Singapura ekoran tawaran gaji lebih tinggi.

“Kita mahu mereka mengumpul maklumat itu iaitu berapa ramai pemandu yang operator bas perlukan, di mana dan negeri mana dan jika kita sudah mendapat maklumat itu, kita boleh membantu mereka dengan mengadakan pameran kerjaya khusus untuk industri pengangkutan di kawasan tertentu,” katanya. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon