B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Syarikat Korea labur RM2.3 bilion di Sabah

Syarikat Korea labur RM2.3 bilion di Sabah

21 Mac 2021

Pelaburan RM2.3 bilion bagi membina kemudahan pengeluaran kerajang tembaga untuk bateri kenderaan elektrik (EV) oleh syarikat Korea Selatan, SK Nexilis di Sabah dijangka bakal menyediakan 5,000 peluang pekerjaan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pelaburan itu sudah tentu akan memberi kesan yang baik terhadap ekonomi Sabah.

“Ini adalah pelaburan yang terbesar bagi Sabah di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan projek ini akan bermula pada Julai tahun ini. Dijangka 5,000 peluang pekerjaan tersedia untuk pembinaan kemudahan ini.

“Setelah siap, dalam tempoh dua tahun mereka menyasarkan lebih kurang 400 pekerja tenaga mahir akan terbabit secara langsung dalam pengeluaran kerajang tembaga.

“Jadi ini memberikan satu kesan yang positif kepada ekonomi di Sabah dan juga menyediakan pekerjaan berkualiti tinggi kepada rakyat di sini,” katanya selepas bertemu Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SK Nexilis, Kim Young Tae, hari ini.

Azmin berkata, pelaburan besar itu adalah bukti keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.

“Sabah juga mempunyai hak untuk mendapatkan pelaburan berkualiti untuk mengurangkan kebergantungan kita dengan tenaga asing. Saya yakin anak Sabah juga mempunyai kemahiran dan potensi untuk terbabit dalam industri berteknologi tinggi.

“Cuma mereka harus diberikan peluang dan ini adalah peluang yang terbaik untuk anak Sabah khususnya untuk mendapatkan pekerjaan berkualiti tinggi,” katanya.

Sementara itu, Azmin turut memaklumkan pihaknya akan bertemu dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor petang esok bagi membincangkan perkara mengenai pelaburan yang berkemungkinan dilaksanakan di negeri ini.

“Kita ada empat lagi pelaburan besar yang berkualiti tinggi yang saya akan bincangkan dengan Ketua Menteri Sabah esok petang yang telah pun menunjukkan minat untuk datang ke Sabah.

“Cuma ada beberapa perkara yang perlu kita selesaikan untuk menjadikan Sabah destinasi pelaburan penting di Malaysia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon