Syarikat asing kekal komited, hargai perkongsian jangka panjang dengan Malaysia - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Syarikat asing kekal komited, hargai perkongsian jangka panjang dengan Malaysia

Syarikat asing kekal komited, hargai perkongsian jangka panjang dengan Malaysia

24 Jan 2021

Syarikat asing yang telah melabur di negara ini akan terus komited untuk kekal di sini kerana mereka amat menghargai perkongsian jangka panjang dengan kerajaan Malaysia, dan sentiasa mengharapkan lebih banyak lagi kejayaan dalam tahun-tahun mendatang.

Malah, syarikat-syarikat ini sedikitpun tidak gentar meskipun dengan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 serta pengisytiharan darurat untuk membendung penularan kes pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan.

Mereka menambah apa yang dilakukan kerajaan tidak melemahkan semangat untuk terus melabur di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif  Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman Daniel Bernbeck berkata pelabur Jerman di Malaysia kebanyakannya cenderung untuk meneruskan rancangan pelaburan mereka yang sudah ada kerana kebanyakan pelaburan ini adalah dalam teknologi tinggi dan mempunyai fasa perancangan panjang yang telah bermula sejak dua hingga tiga tahun lepas.

Oleh itu, beliau menjelaskan segala perancangan itu tidak dapat dihentikan, dibalikkan atau diubah secara tiba-tiba dan ini turut berlaku dalam kalangan ramai peserta besar dan syarikat multinasional.

“Buat masa ini, kebanyakan syarikat  tidak akan melaksanakan rancangan baharu untuk pelaburan di Malaysia selagi sekatan pergerakan ataupun kesan semerta pandemik belum berakhir.

“Kebanyakan syarikat mungkin akan menunggu sehingga segalanya kembali seperti biasa,” kata beliau kepada Bernama.

Selain itu, Bernbeck berkata pelaksanaan PKP ini agak mencabar untuk ahli-ahli terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Walaupun PKP 2.0 ini telah diramalkan berlaku, ia mengambil masa sedikit untuk Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baharu untuk siap.

“Dan kita harus menunggu pengumuman kerajaan industri manakah yang akan dibenarkan beroperasi serta mendapatkan peraturan dan undang-undang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Bernbeck berkata apabila mengambil kira situasi darurat, kebimbangan utama adalah berkaitan perlindungan perundangan aset dan harta benda bagi syarikat swasta.

“Menjamin pelaburan sekali lagi sangat penting bagi PKS,” katanya.

Sementara itu, bagi syarikat teknologi perubatan berpangkalan di Jerman, B. Braun pula, berbekalkan azam untuk terus  melindungi dan meningkatkan kesihatan awam, syarikat itu berkata ia akan terus menyokong segala usaha kerajaan untuk menjaga kesihatan rakyat Malaysia.

“Kami faham bahawa PKP 2.0 dan pengisytiharan darurat oleh kerajaan baru-baru ini adalah langkah-langkah penting untuk membendung dan mengurangkan jumlah kes COVID-19 yang semakin meningkat di dalam negara,” demikian menurut syarikat berkenaan.

Ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1972, B. Braun Medical Industries adalah pelabur asing perintis yang telah berkembang menjadi penghubung bagi industri peranti perubatan di Malaysia.

Tahun lepas, syarikat itu telah mengembangkan portfolio keupayaan ujian melibatkan antaranya untuk penyelesaian penjagaan kesihatan yang berkaitan dengan akses intravena, teknologi pembedahan, sistem intravena dan kawalan kesakitan di Pulau Pinang.

Sehingga kini, jumlah pelaburan B. Braun telah melebihi RM4.4 bilion dengan kemudahan pengeluarannya menempati kawasan seluas 193,285 meter persegi termasuk pemilikan kawasan berkeluasan 45,360 meter persegi pada tahun 2016.

‘’Pelaburan ini menandakan kestabilan dan jangka hayat syarikat yang telah dirancang di Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon