B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sultan Sharafuddin zahir rasa syukur Selangor kekal pilihan pelabur

Sultan Sharafuddin zahir rasa syukur Selangor kekal pilihan pelabur

23 Ogo 2021

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menzahirkan rasa bersyukur kerana negeri itu masih menjadi pilihan pelabur tempatan dan asing untuk menjalankan perniagaan walaupun dihimpit pandemik COVID-19 yang berpanjangan.

Baginda bertitah, keadaan tersebut didorong oleh kemudahan prasarana yang lengkap dan moden serta dasar-dasar kerajaan yang dapat memudah cara aspek persekitaran perniagaan.

Sultan Sharafuddin bertitah, pakej-pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat dan disokong oleh kerajaan negeri bagi memastikan kelangsungan persekitaran perniagaan, juga berjaya mengekalkan Selangor sebagai pusat tumpuan ekonomi negara.

Titah baginda, ini berikutan  Selangor turut menempatkan sebilangan besar kalangan pemain perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta  industri pembuatan dan perkilangan.

“Kelebihan daya saing ini menyaksikan prestasi pelaburan dan perindustrian 2020 dengan pencapaian cemerlang yang mana Selangor mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

“Sebanyak 324 projek perkilangan telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM18.43 bilion iaitu RM6.95 bilion (37.7 peratus) adalah pelaburan tempatan dan RM11.48 bilion (62.3 peratus) daripada pelaburan asing.

“Jepun masih merupakan pelabur utama dan diikuti oleh Belanda  dan China,”  titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14, di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, di sebalik kemelut COVID-19 itu, baginda turut dimaklumkan bahawa sebanyak 19,950 potensi peluang pekerjaan berjaya diwujudkan menerusi projek-projek perkilangan yang diluluskan di Selangor.

“Petaling mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi berbanding daerah lain di negeri itu dengan nilai pelaburan melebihi RM5.934 bilion. Ini diikuti oleh Kuala Langat dengan jumlah melebihi RM5.785 billion dan Klang melebihi RM3.477 billion.

“Nilai pelaburan itu melepasi nilai sasaran pelaburan sebanyak RM12 bilion pada 2020,” titah baginda.

Bagi tahun ini, Sultan Selangor bertitah sasaran pelaburan yang ditetapkan masih RM12 bilion berdasarkan jangkaan berlaku pengurangan dalam aktiviti pelaburan akibat penularan COVID-19 selain proses pemulihan ekonomi dihadapi negara ketika ini.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon