B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sulaiman pelawa pelabur antarabangsa ke Melaka, fokus M-WEZ

Sulaiman pelawa pelabur antarabangsa ke Melaka, fokus M-WEZ

14 Mac 2022

Melaka hari ini melancarkan Melaka Week di Expo 2020 Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan memfokus kepada pelaburan di koridor ekonomi pesisir laut berimpak tinggi iaitu Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).

Kedudukan strategik M-WEZ di Selat Melaka dianggap sebagai satu kelebihan dan kekuatan untuk menarik lebih ramai pelabur ke negeri itu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata M-WEZ adalah lokasi sesuai untuk pelaburan dalam sektor pelabuhan, aktiviti maritim, logistik dan pembuatan.

Berkongsi maklumat mengenai M-WEZ, beliau berkata, lokasi itu membabitkan penambakan tapak seluas 9,307.7 hektar sepanjang 33 kilometer (km).

Katanya, lokasi itu akan dibangunkan sebagai pusat kontena, terminal feri dan kapal persiaran, zon bebas cukai, hab logistik, terminal minyak dan gas, kemudahan pembaikan kapal serta aktiviti pertukaran kapal ke kapal (STS).

“Kenapa pelabur mahu kembangkan perniagaan perlu datang ke Melaka, ada banyak sebab. Melaka berada di tengah-tengah, di antara Kuala Lumpur dan Singapura. Melaka terletak berhampiran Sumatera, Indonesia iaitu pasaran ekonomi yang sedang pesat berkembang dengan lebih 60 juta penduduk.

“Jarak paling dekat antara kedua-duanya cuma 47 kilometer, bagi perancangan jangka panjang, kami bercadang membina rangkaian laluan rel bawah laut merentasi Selat Melaka yang menghubungkan Dumai di Sumatera dan Melaka,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Melaka Week di Expo 2020 Dubai di Pavilion Malaysia.

Antara kenamaan hadir, Duta Besar Malaysia ke UAE, Datuk Mohd Tarid Sufian; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari; EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof; EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir Melaka, Datuk Rahmad Mariman serta Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid.

Sulaiman berkata, Melaka juga berada di Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) yang aktif dengan aktiviti perdagangan rentas sempadan ketika ini.

Beliau turut berkongsi mengenai peluang dalam pelancongan perubatan yang sebelum ini menarik ramai rakyat Indonesia yang ingin mendapatkan rawatan berkualiti di Melaka.

“Kestabilan politik semasa juga menyokong pertumbuhan koridor ini. Agensi khusus di peringkat persekutuan, negeri dan daerah juga sedia membantu pelabur yang berminat untuk datang ke Melaka. Malah negeri ini ada lebih 20 institusi pengajian tinggi yang melahirkan tenaga kerja terlatih dalam pelbagai bidang,” katanya. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon