B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


StarFive Technology dari China akan labur RM250 juta buka pusat reka bentuk di Pulau Pinang

StarFive Technology dari China akan labur RM250 juta buka pusat reka bentuk di Pulau Pinang

20 Feb 2022

StarFive Technology, peneraju dalam pembangunan teknologi dan ekosistem RISC-V di China akan melabur sebanyak RM250 juta bagi tempoh lima tahun akan datang untuk membuka pusat reka bentuk pertamanya di Asia Tenggara di GBS@Mayang, Pulau Pinang.

Naib Presiden dan Pengurus Besar StarFive Technology Malaysia Ong Chin Hu berkata Pulau Pinang dipilih sebagai destinasi bagi pengembangannya berikutan ketersediaan tenaga kerja dan status negeri itu sebagai Lembah Silikon yang memiliki reka bentuk litar bersepadu paling unggul di Asia.

Beliau berkata StarFive Technology Malaysia ditubuhkan di Pulau Pinang pada Mei tahun lepas dan kumpulan itu akan terus mengembangkan pusat reka bentuknya sebagai hab inovasi bertaraf dunia dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pada masa depan, StarFive Technology akan membuat pelaburan tambahan sebanyak RM250 juta bagi pengembangan dalam tempoh lima tahun akan datang untuk mencipta pelbagai pekerjaan bernilai tinggi dan berpendapatan tinggi dan berhasrat untuk menjadi pusat inovasi bertaraf dunia,” katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman pelaburan itu di sini, semalam, yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Konsulat Jeneral China di Pulau Pinang Lu Shiwei.

Ong berkata StarFive Technology mempunyai portfolio lengkap siri RISC-V CPU IP, penyelesaian System on Chip (SoC) perisian dan perkakasan yang berasaskan platform.

Menurutnya, StarFive Technology komited untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan dan universiti tempatan bagi mempromosikan RISC-V open-source Instruction Set Architecture (ISA).

“Semakin banyak syarikat semikonduktor utama dunia menyertai komuniti RISC-V dan visi jangka panjang StarFive Technology adalah untuk mempromosi dan menyediakan tahap baharu platform perisian dan perkakasan terbuka yang boleh diperluaskan pada senibina pengkomputeran bagi merealisasikan visi pengkomputeran hijau, tenaga hijau dan bandar raya pintar,” katanya.

Beliau berkata StarFive Technology juga merancang mengembangkan pasarannya di rantau ini pada masa depan.

Sementara itu, Chow berkata sebagai satu daripada negeri paling pesat membangun di Malaysia, Pulau Pinang digelar sebagai magnet tenaga kerja di wilayah utara kerana negeri itu memiliki sekumpulan besar tenaga kerja yang bukan hanya semata-mata untuk tugasan memproses tetapi juga merangkumi penyelidikan, reka bentuk dan pembangunan – disokong oleh kemahiran khusus dan kecerdasan kumulatif.

“Kita akan terus menerajui pembangunan ekosistem mampan, dibuktikan oleh kecemerlangan industri dan tenaga kerja berkualiti yang berdekad-dekad lamanya dalam usaha menarik lebih banyak pelabur berkualiti tinggi dan mencapai tahap kejayaan yang lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya.

Produk dan penyelesaian syarikat StarFive Technology, yang ditubuhkan pada 2018 dan beribu pejabat di Shanghai, digunakan dalam perkakas rumah pintar, pemantauan pintar, robot perindustrian, pengurusan trafik, logistik pintar, peranti sesuai dipakai, storan padu, komunikasi rangkaian dan pengkomputeran canggih.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon