B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


SLDB, Diversatech meterai MoU bagi pembinaan kilang baja nano

SLDB, Diversatech meterai MoU bagi pembinaan kilang baja nano

11 Ogo 2022

Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Diversatech Fertilizer Sdn Bhd (DFSB) bagi pembinaan kilang baja nano berteknologi tinggi di Sabah.

Kilang baja nano yang dijangkakan mula operasi pada 2023 itu dibangunkan sejajar dengan saranan Kerajaan Negeri melalui pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan akan didirikan di atas tanah 10 ekar milik SLDB di Silabukan, Lahad Datu. 

Sejumlah RM40 juta sehingga RM50 juta diperuntukkan untuk pembangunan tersebut. 

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menyaksikan MoU tersebut bersama SLDB yang diwakili Pengurus Besarnya Tuan Syaheddrul R. Joddari dan Diversatech Fertilizer Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr Muhammad Fairus Hussain.

“Sabah harus melangkah ke hadapan dengan mendirikan kilang baja moden yang dinamik untuk memenuhi keperluan baja terhadap projek tanaman sawit, padi, getah, buah-buahan serta sayur-sayuran bagi kegunaan rakyat tempatan dan pasaran eksport”, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar 

“Menerusi pembangunan kilang ini juga, banyak peluang pekerjaan dapat dicipta untuk memajukan masyarakat Sabah dan membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan” tambahnya. 

Memorandum berkenaan merupakan inisiatif SLDB ke arah membangunkan masyarakat luar bandar Sabah berasaskan pertanian selain memastikan SLDB kekal relevan dalam industri pertanian. 

Selain itu, kerjasama itu akan mewujudkan pelbagai aktiviti jualan melalui penjualan baja tanaman kepada peladang-peladang tempatan selain menembusi pasaran antarabangsa seperti Indonesia dan Filipina. 

SLDB memiliki ekuiti sebanyak 51 peratus manakala DFSB memegang 49 peratus.

Menerusi pembangunan kilang baja nano yang menggunakan teknologi tinggi, DFSB menjangkakan sebanyak 50,000 sehingga 200,000  tan setahun bagi kapasiti pengeluaran untuk tahun pertama. 

Terdahulu, SLDB dan Diversatech menjalinkan usaha sama dalam bidang penyelidikan kajian produk baja premium ke atas tanaman sawit menggunakan teknologi nano keluaran DFSB yang dapat mengurangkan serangan Ganordema pada tanaman sawit muda serta meningkatkan hasil pengeluaran yang tinggi. 

Memandang kehadapan, SLDB merancang untuk menjalankan tanaman jangka pendek melibatkan tanaman nanas, halia serta jagung untuk meningkatkan sekuriti makanan dan memberi pulangan kepada peneroka-peneroka Sabah dan rakyat tempatan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon