B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


SEMICON SEA 2023 platform papar daya tahan rantaian bekalan elektronik

SEMICON SEA 2023 platform papar daya tahan rantaian bekalan elektronik

22 Mac 2023

Semicon Southeast Asia (SEMICON SEA 2023) pada Mei depan dan menjadi acara perdana menghimpunkan penggiat industri semikonduktor dan mikroelektronik, akan menumpukan aspek bidang pertumbuhan penting sektor terbabit.

Ini termasuk kemampanan, pembuatan pintar, mobiliti pintar, teknologi perubatan pintar serta pembangunan tenaga kerja.

Bertemakan ‘Boosting Agility and Resiliency for the Electronics Supply Chain’ atau Memacu Ketangkasan dan Daya Tahan Rantaian Bekalan Elektronik, acara SEMICON SEA 2023 adakan diadakan di Setia SPICE Convention Centre, Pulau Pinang pada 23-25 Mei, 2023.

Presiden Semiconductor Equipment & Materials International (SEMI) bagi Asia Tenggara Linda Tan berkata acara itu akan turut menghimpunkan kalangan pemimpin industri bagi meninjau kaedah untuk industri elektronik membina rantaian bekalan lebih mantap dalam mengharungi kemelesetan ekonomi semasa dan gangguan yang berterusan.

“Memandangkan rantaian bekalan elektronik global terjejas akibat faktor geopolitik, lebih banyak penggiat global beralih ke Asia Tenggara yang juga lokasi tumpuan kebanyakan keupayaan pembuatan semikonduktor dunia.

“Kami teruja untuk menjadi tuan rumah bagi pemimpin industri pada SEMICON SEA 2023 yang turut menjadi lokasi bagi mereka membincangkan usaha memanfaatkan kekuatan Asia Tenggara dalam membantu meningkatkan daya tahan rantaian bekalan global.

“Pada masa sama, dapat menempatkan industri pada kedudukan lebih baik untuk merebut peluang inovasi dan pertumbuhan di masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara acara yang bakal diketengahkan adalah sesi perbincangan meja bulat mengenai peluang pelaburan di Asia Tenggara, forum dan pameran syarikat permulaan yang menampilkan penyelesaian pembuatan semikonduktor inovatif terkini di pasaran.

SEMICON SEA 2023 dianjurkan menerusi kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan InvestPenang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata sebagai hab semikonduktor Asia Tenggara, Malaysia berpotensi besar untuk memanfaatkan permintaan global serta mengembangkan lagi ekosistem semikonduktor sedia ada yang sedia kukuh, dalam tahun-tahun akan datang.

“SEMICON SEA 2023 itu juga merupakan satu platform hebat bagi membolehkan perniagaan berhubung, melakukan libat urus serta memperluas rangkaian strategi masing-masing.

“Kehadiran firma antarabangsa di acara itu akan turut membolehkan Malaysia menampilkan kepesatan industri E&E negara selain menawarkan peluang bagi penggiat industri global bagi mengembangkan rantaian bekalan masing-masing dengan turut meliputi sektor utama berkenaan,” katanya.

Arham berkata sektor itu juga terus memberi sumbangan besar kepada ekonomi Malaysia dan telah merekodkan sejumlah RM84.3 bilion atau 31.9 peratus daripada pelaburan diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi pada 2022.

E&E juga kekal sebagai industri berprestasi tinggi dalam sektor pembuatan dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM29.3 bilion.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon