B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Selangor sasar jadikan pameran penerbangan program utama susulan kejayaan SAS2021

Selangor sasar jadikan pameran penerbangan program utama susulan kejayaan SAS2021

27 Nov 2021

Pameran Penerbangan Selangor 2022 (SAS2022) akan diadakan di Subang pada 8-10 September tahun depan berikutan kejayaan edisi pertama dan sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikannya sebagai program utama industri aeroangkasa.

Exco Industri dan Perdagangan Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata susulan pencapaian edisi SAS2021 pada 25-27 November yang memberangsangkan, acara pada tahun depan juga dijangka mempamerkan lebih banyak pesawat selain penyertaan lebih ramai pempamer.

“Acara Pameran Penerbangan Selangor ini sudah pastinya akan menjadi program utama dalam industri aeroangkasa negeri ini.

“Saya juga gembira untuk mengumumkan bahawa semalam, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 berjumlah RM2.34 bilion, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari telah menambah peruntukan lebih besar sebanyak RM5 juta bagi edisi SAS2022 ini.

“Peruntukan ini pastinya dapat membantu kita merancang acara SAS yang lebih besar dan hebat untuk anda semua,” katanya pada majlis penutup SAS2021 di sini, hari ini.

Edisi tahun ini disertai oleh enam negara termasuk Malaysia dan Teng menjangkakan SAS2022 akan menarik penyertaan 10 negara seperti Sepanyol,  United Kingdom, Jepun, Korea, China dan Rusia bagi membolehkannya setanding dengan pameran antarabangsa lain.

Menurutnya, pihak Invest Selangor Bhd selaku penganjur, juga menganggap masih banyak peluang yang boleh diterokai dalam industri tersebut.

“Menerusi sokongan komuniti perniagaan dan penerbangan amnya, terutama di Lapangan Terbang Subang dan Selangor, kami berharap dapat merealisasikan citacita untuk menjadikan Selangor sebagai hab perniagaan dan penerbangan ASEAN di masa akan datang,” katanya.

Teng turut mempelawa kalangan industri aeroangkasa untuk mendaftar awal dan menjadikan SAS2022 jauh lebih hebat.

Sebanyak 12 memorandum persefahaman (MoU) membabitkan pelbagai kerjasama subsektor industri aeroangkasa telah dimeterai pada SAS2021.

Ini termasuk kerjasama strategik antara Malaysia Airports Holdings Bhd  (MAHB) dan ExecuJet Aviation Group membabitkan pelaburan Dassault Aviation sehingga RM100 juta menerusi ExecuJet MRO Services Malaysia (ExecuJet) bagi membuka kemudahan baharu penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), sekali gus menjadikannya sebagai pusat kecemerlangan untuk Asia.

Pusat sehenti bagi jet perniagaan itu akan menjalankan perkhidmatan termasuk penyelenggaraan berat ke atas pesawat seperti  Dassault,  Bombardier dan Gulfstream.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon