B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sektor perindustrian Sabah terima pelaburan asing RM11.9 bilion – Hajiji

Sektor perindustrian Sabah terima pelaburan asing RM11.9 bilion – Hajiji

25 Nov 2022

Ekonomi Sabah dilihat semakin mampan apabila sektor perindustrian negeri menerima pelaburan asing bernilai RM11.9 bilion dalam tempoh suku kedua tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri itu berkata Sabah juga menerima pelaburan domestik berjumlah RM942 juta bagi sektor utama perkilangan dan perkhidmatan, menjadikannya negeri penerima pelaburan ketiga tertinggi di Malaysia dalam tempoh tersebut.

“Perkembangan pesat sektor perindustrian di Sabah memberi petunjuk bahawa ekonomi negeri semakin mampan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2023 bertemakan ‘Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera’ pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata Sabah telah menerima pelaburan Syarikat Kumpulan Kibing dari China dengan nilai pelaburan berjumlah RM2 bilion yang akan mewujudkan 2,100 peluang pekerjaan.

Pelaburan itu merangkumi pembinaan kilang pembuatan panel kaca solar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP); serta perlombongan dan pembinaan kilang pemprosesan pasir silika di Kudat yang masing-masing dijangka beroperasi sepenuhnya pada September dan Oktober tahun depan.

“Syarikat SK Nexilis yang merupakan kilang kerajang tembaga dengan jumlah pelaburan RM4.2 bilion menyediakan 7,000 peluang pekerjaan dalam fasa pembinaan dan dijangka akan mewujudkan lebih 400 lagi peluang pekerjaan apabila mula beroperasi pada September tahun depan,” katanya.

Sementara itu, katanya industri minyak dan gas di Sabah juga berkembang positif dan dijangka akan memberi pulangan hasil yang tinggi, membolehkan Sabah mendapatkan penyertaan dan penguasaan dalam industri itu melalui usaha sama Petronas dan anak syarikat kerajaan negeri.

Setakat ini katanya peningkatan pegangan ekuiti kepada 10 peratus dalam syarikat Petronas LNG9 Sdn Bhd menambahkan pendapatan sebanyak RM202 juta kepada kerajaan negeri.

“Pemindahan aset huluan gas Petronas dan kontrak pembekalan gas melalui Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) menjadikan agensi kerajaan negeri sebagai pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar di Malaysia.

“Kerjasama ini dapat menyediakan 250 juta kaki padu standard sehari gas asli kepada penjana-penjana tenaga bebas (IPP) dan sektor bukan kuasa,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata Belanjawan Sabah 2023 memperuntukkan RM808.06 juta bagi merancakkan pembangunan serta pertubuhan sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan negeri itu.

Beliau berkata kerajaan negeri mengagihkan sejumlah RM501.54 juta kepada Kementerian Pertanian dan Perikanan bagi memperkasa empat subsektor pertanian iaitu tanaman, ternakan, perikanan dan akukultur serta komoditi getah.

Dalam sektor pelancongan pula, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri diperuntukkan sebanyak RM134.59 juta bagi melaksanakan program menaik taraf kemudahan asas pelancong demi keselesaan dan keselamatan para pelancong serta pembangunan modal insan.

Hajiji berkata bagi tempoh lapan bulan tahun ini, jumlah ketibaan pelancong ke Sabah bertambah iaitu seramai 1,012,119 orang berbanding 125,601 pelancong dalam tempoh yang sama pada tahun lepas, meningkat sebanyak 705.8 peratus.

Bersesuaian dengan hala tuju Sabah Maju Jaya, sebanyak RM175.61 juta diperuntukkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah serta agensi-agensi di bawah kementerian itu bagi meningkatkan pelaksanaan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi di Sabah.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon