B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sektor pembuatan mesin dan peralatan Malaysia kekal kukuh

Sektor pembuatan mesin dan peralatan Malaysia kekal kukuh

31 Dis 2021

KUALA LUMPUR, 31 Dis  — Sektor pembuatan mesin dan peralatan Malaysia kekal kukuh dan komited untuk menyediakan perkhidmatan dan produk berkualiti meskipun gangguan perdagangan global, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Agensi penggalakan perdagangan negara itu berkata industri mesin telah berubah daripada fabrikasi am dan kerja-kerja mesin kepada pemasangan modul dan komponen mesin canggih termasuk pembuatan jentera berat dan komponen kejituan. 

MATRADE berkata industri mesin dan peralatan (M&E) merupakan  sektor eksport ketujuh terbesar Malaysia menyumbang  US$9.41 bilion (US$1=RM4.17), atau empat peratus daripada jumlah eksport pada 2020.

Sepuluh destinasi eksport utama bagi industri M&E Malaysia termasuklah Singapura, Amerika Syarikat, China, Indonesia, Vietnam, Thailand, Jepun, Australia, Jerman dan Taiwan.

“Keupayaan M&E Malaysia terutamanya adalah dalam empat subsektor termasuk mesin proses khas atau peralatan bagi industri khusus; mesin dan peralatan menjana kuasa; mesin dan peralatan industri am, komponen dan bahagian-bahagian serta mesin , komponen dan bahagian-bahagian industri am dan mesin kerja logam.

“Ia juga merangkumi pembuatan kategori meluas produk termasuk peralatan pemanasan dan penyejukan, automasi kilang, pam, pemampat, kilang penyaman udara, peralatan bilik sejuk, lif, kren, sistem penghantar dan mesin kimpalan. Malaysia ketika ini merupakan satu daripada pengeksport peralatan penyaman udara terbesar di dunia,” kata agensi itu.

MATRADE berkata keupayaan lain termasuk alatan dan bahagian mesin pembuatan bagi kerja logam termasuk mesin pemotong laser, pusat mesin, Mesin Nyahcas Elektro (EDM), mesin pengilangan dan penempaan.

Malaysia juga terkenal sebagai pengeluar peralatan semikonduktor dan merupakan pengeluar  kesepuluh terbesar dunia dengan elektrik dan elektronik menjadi sektor terbesar. Ini membantu meletakkan Malaysia sebagai pusat pengeluaran bagi syarikat elektronik utama dunia, katanya.

Sektor mesin dan bahagian-bahagian juga cemerlang dalam peralatan pengeluaran laut dalam bagi industri minyak dan gas, pengeluaran penyelesaian automasi robotik bagi industri makanan dan minuman, peralatan acuan kejituan dan penjanaan kuasa. 

Malaysia juga menghasilkan set penjanaan bagi stesen kuasa, kilang penapis, platform eksplorasi, loji petrokimia dan bangunan komersial.

“Industri M&E Malaysia sangat kompetitif dan sentiasa berinovasi dengan teknologi dan automasi paling canggih. Kita giat meneroka teknologi Industri 4.0 bagi membentuk semula aktiviti pembuatan kita menerusi penerimagunaan pendigitalan dan transformasi teknologi.

“Peluang yang tercipta daripada revolusi ini telah menarik banyak syarikat kecil dan sederhana Malaysia untuk menghasilkan penyelesaian inovatif mereka sendiri yang dipasarkan di seluruh dunia,” katanya.

Justeru, Malaysia telah menjadi destinasi pilihan bagi perbadanan multinasional (MNC) untuk membuat penyumberan luar proses pembuatan dan penyelesaian automasi mereka di ASEAN, berikutan ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam menyokong aktiviti industri, penyelidikan dan pembangunan serta reka bentuk kejuruteraan.

“Malaysia menawarkan bekalan dan perkhidmatan kompetitif dalam kejuruteraan M&E, reka bentuk produk dan pembangunan teknologi serta operasi perniagaan kepada MNC ini,” kata MATRADE.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X