B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sektor eksport penyumbang utama pemulihan ekonomi tahun ini – Fitch Solutions

Sektor eksport penyumbang utama pemulihan ekonomi tahun ini – Fitch Solutions

16 Feb 2021

Eksport bersih dijangka akan menjadi penyumbang utama kepada keseluruhan pertumbuhan Malaysia tahun ini dengan jangkaan sumbangan 1.7 mata peratusan kepada pertumbuhan di tengah-tengah prospek samar aktiviti ekonomi, demikian kata Fitch Solutions.

Dengan kerajaan membenarkan lebih banyak industri beroperasi meskipun sekatan dan kawalan pergerakan, serta pemulihan berterusan dalam rakan dagang utama seperti China dan Singapura, pihaknya percaya eksport barangan akan sekurang-kurangnya mencatatkan sedikit peningkatan pertumbuhan pada 2021, terutama selepas menguncup sebanyak 1.3 peratus pada 2019 dan 8.7 peratus pada 2020.

Bagaimanapun, Fitch Solutions menjangkakan eksport perkhidmatan akan terus berprestasi lemah dengan sektor pelancongan berdepan cabaran gelombang ketiga penularan pandemik.

“Import akan terus menguncup secara ketara, dengan tinjauan suram bagi penggunaan swasta dan dua dinamik yang bertentangan ini akan membantu menyokong keseimbangan perdagangan,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Mengenai unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2021, Fitch Solutions telah mengurangkan unjurannya kepada 4.9 peratus bagi tahun ini berbanding unjuran 10 peratus sebelum ini.

Ia berkata, penurunan unjuran itu berikutan realisasi risiko penurunan terhadap tinjauan pertumbuhan, fiskal dan monetari bagi Malaysia selepas kerajaan melaksanakan sekatan dan kawalan pergerakan untuk membendung gelombang ketiga jangkitan COVID-19.

“Kami jangka langkah sekatan pergerakan berterusan dan tidak menolak semakan semula unjuran pertumbuhan dalam bulan-bulan mendatang,” katanya.

Fitch Solutions juga membuat semakan semula unjurannya terhadap pertumbuhan penggunaan swasta kepada 3.0 peratus berbanding 6.0 peratus sebelumnya.

Ia berkata, sekatan dan kawalan pergerakan akan memberi impak negatif terhadap pekerjaan seperti pada suku kedua 2020, yang mana kadar pengangguran meningkat kepada 5.1 peratus berbanding 3.5 peratus pada suku pertama 2020.

Katanya, dengan sekatan dan kawalan pergerakan yang lebih terhad pada suku keempat 2020 juga memperlihatkan kadar pengangguran meningkat kepada 4.8 peratus pada suku keempat 2020 berbanding 4.7 peratus pada suku ketiga 2020.

“Tambahan lagi, kerajaan kini mempunyai ruang fiskal yang kurang untuk menetapkan langkah sokongan pekerjaan diperlukan bagi mengimbangi kesan sekatan dan kawalan pergerakan, menjadikan pasaran pekerja dan ekonomi jauh lebih terdedah kepada risiko penurunan berbanding 2020,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon