B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sektor E&E kekal pemacu penting ekonomi Malaysia

Sektor E&E kekal pemacu penting ekonomi Malaysia

27 Sep 2021

Industri elektrik dan elektronik (E&E) disasar menyumbang RM120 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjana pendapatan eksport sebanyak RM495 bilion menjelang 2025.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), pemain industri E&E digalak untuk menerima guna teknologi termaju dan menghasilkan produk lebih sofistikated, seterusnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan pertumbuhan.

Menurut Dokumen RMK-12 yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), anjakan industri perlu dilaksana melalui peningkatan pelaburan dalam aktiviti yang bernilai tinggi seperti reka bentuk dan pembangunan (D&D) serta pembuatan ‘front-end’.

“Justeru, usaha akan ditumpukan untuk memperkukuh ekosistem pembuatan, menggalakkan penerimagunaan teknologi baharu serta meningkatkan pembangunan bakat, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta D&D,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh ekosistem industri E&E bagi mencapai rantaian nilai yang lebih tinggi, ia berkata, ekosistem yang komprehensif berdasarkan pendekatan yang lebih sistematik adalah penting bagi memastikan kemampanan pembangunan industri.

Dalam hal ini, katanya pelan hala tuju E&E nasional akan dirangka sebagai panduan strategik bagi pembangunan industri, dengan subsektor utama termasuk semikonduktor, solar fotovoltan, diod pemancar cahaya, perkhidmatan pembuatan elektronik dan perkhidmatan berkaitan pembuatan.

“Peranan organisasi yang berkaitan akan dipertingkat bagi menambah baik penyelarasan, di samping mewujudkan jalinan dan kerjasama yang kukuh dengan institusi penyelidikan serta antara sektor awam dan swasta.

“Insentif untuk industri E&E akan distruktur semula bagi meningkatkan keberkesanan. Pelaksanaan inisiatif ini membolehkan penyelarasan dana, sumber teknikal dan fasiliti yang disediakan oleh kerajaan,” tambahnya.

Menurut dokumen berkenaan, usaha juga akan dilaksana bagi membolehkan industri E&E beralih kepada aktiviti bernilai tinggi di sepanjang rantaian bekalan melalui peningkatan penggunaan automasi dan teknologi termaju.

Sementara itu, syarikat multinasional (MNC) akan digalak membantu meningkatkan keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dengan pelaksanaan Lighthouse Project yang diperkenal pada 2020, akan diperluas untuk mengalakkan MNC membantu PMKS dalam menguasai pendigitalan serta globalisasi 4.0.

Dalam meningkatkan pembangunan bakat dan keupayaan, ia berkata, pelbagai program kelayakan mikro akan diperluas berdasarkan model Triple Helix dengan set kemahiran tambahan, termasuk pengekodan perisian dan pemodelan analisis data disediakan oleh pelbagai institusi latihan untuk memenuhi permintaan pasaran.

Katanya, beberapa inisiatif akan dilaksana untuk membangunkan bakat dalam industri ini selaras dengan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara, termasuk penubuhan pusat pembangunan kemahiran 4IR yang diterajui oleh industri.

Insentif itu juga, katanya akan disediakan kepada industri untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula pekerja dalam bidang 4IR, manakala paltform data menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) akan diwujudkan untuk memudahkan perancangan tenaga kerja.

“Bagi mempercepat pembangunan industri pembuatan bernilai tinggi, pekerja akan ditingkatkan kemahiran dan dilatih semula dalam bidang reka bentuk.

“Pusat khusus akan dikenal pasti bagi melatih jurutera reka bentuk berkemahiran tinggi untuk memenuhi permintaan,” katanya.

Pada 2020, industri E&E menyumbang 6.4 peratus kepada KDNK dengan nilai ditambah sebanyak RM86.1 bilion, manakala dari 2016 hingga 2020, industri berkenaan berkembang pada kadar 5.6 peratus setahun, lebih tinggi berbanding pertumbuhan sektor pembuatan pada 3.3 peratus setahun.

“Selain itu, subsektor E&E mendominasi eksport negara dengan sumbangan 45.6 peratus atau RM386.1 bilion pada 2020. Dalam tempoh 2016 hingga 2020, sebanyak 577 projek E&E dengan pelaburan bernilai RM71.4 bilion diluluskan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X