B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sejumlah 240 pelaburan berprofil tinggi bernilai RM81.8 bilion sedang dirunding

Sejumlah 240 pelaburan berprofil tinggi bernilai RM81.8 bilion sedang dirunding

29 Jan 2021

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah mengenal pasti 240 projek pelaburan asing berprofil tinggi dalam sektor pembuatan serta perkhidmatan dengan potensi gabungan nilai pelaburan sebanyak RM81.8 bilion yang sedang dirunding dan disasarkan pada 2021. 

MIDA, setakat ini sedang menerima pelaburan berpotensi bernilai RM47.7 bilion ke dalam negara.

“Projek-projek ini, setelah diluluskan, dijangka dilaksanakan dalam tempoh 2021 hingga 2022,” kata MIDA dalam satu kenyataan hari ini. 

MIDA memberi jaminan bahawa niat pelaburan kekal positif dan Malaysia telah mencatatkan kelulusan pelaburan berjumlah RM109.8 bilion khususnya dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama bagi tempoh sembilan bulan pertama 2020.

“Pelaburan ini melibatkan 2,935 projek dan akan mewujudkan 64,701 peluang pekerjaan. Pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang hampir 40 peratus (RM42.6 bilion). Merealisasikan pelaburan ini dalam jangka masa terdekat hingga sederhana akan memberikan sokongan kepada pertumbuhan ekonomi pada 2021 dan seterusnya. 

“Sektor pembuatan menarik bahagian terbesar pelaburan yang diluluskan bagi tempoh ini, menyumbang lebih separuh (59.5 peratus) atau RM65.3 bilion, diikuti sektor perkhidmatan (39 peratus/RM42.8 bilion) dan sektor utama (1.5 peratus/RM1.7 bilion),” kata MIDA. 

Pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan bagi Januari hingga September 2020 menyaksikan peningkatan sebanyak 16.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2019 dan FDI, khususnya dalam sektor pembuatan menokok 3.2 peratus kepada RM39.4 bilion.

“Malaysia telah menarik bahagian yang besar dalam syarikat multinasional untuk melabur ke dalam industri berteknologi tinggi seperti Smith and Nephew, Dexcom, LAM Research, LEM, MusicTribe, dan yang terkini, SK Nexilis. 

“Syarikat sedia ada juga terus mengembangkan operasinya di Malaysia, menggambarkan cadangan nilai berterusan Malaysia kepada pelabur. Syarikat-syarikat ini termasuk Eppendorf, Bosch, B.Braun, Wistron, Western Digital serta Nippon Electric Glass (NEG),” tambah MIDA. 

Agensi itu ketika bercakap mengenai prospek menjelaskan pelaburan asing ke Malaysia dijangka dapat dikekalkan pada tahap sebelum COVID. 

“Malaysia yang terletak di lingkaran Asia Pasifik dan menjadi pusat ASEAN, akan terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik.

“Ketersediaan infrastruktur yang cemerlang, perkhidmatan telekomunikasi, kewangan dan perbankan, industri sokongan serta pelbagai bakat dengan kemahiran termasuk tenaga kerja terlatih telah menjadi faktor penarik pelabur untuk mempertimbangkan Malaysia.” 

Di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), kerajaan telah memperkenalkan beberapa insentif cukai untuk merangsang aktiviti pelaburan merangkumi pengecualian cukai 10-15 tahun bagi FDI baharu dalam sektor pembuatan dengan pelaburan modal sebanyak RM300 juta atau lebih. 

Inisiatif khusus lain untuk mempercepatkan realisasi pelaburan adalah penubuhan Unit Penyelarasan dan Pemecut Projek (PACU) termasuk pelbagai platform dalam talian seperti i-Insentif.

Kerajaan juga sedang merangka strategi pelaburan negara untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mampu meningkatkan kapasiti produktif Malaysia, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, menggalakkan pemindahan teknologi dan memupuk hubungan domestik. 

“Seperti yang ditunjukkan dalam satu kajian bersama baru-baru ini oleh KPMG dan Institut Pembuatan di Amerika Syarikat bertajuk ‘Kos Operasi Pembuatan di Seluruh Dunia’, Malaysia berada di kedudukan keempat dalam kalangan 17 ekonomi, yang mendahului negara-negara di Asia seperti China, Jepun, Vietnam dan India.

“Malaysia juga menduduki tempat kedua dari segi kemudahan menjalankan perniagaan di ASEAN (ke-12 di peringkat global) dan untuk melindungi pelabur mengikut Laporan Melakukan Perniagaan Bank Dunia 2020; keempat di peringkat global dalam menangani krisis COVID-19 menurut Blackbox Research dan Toluna.” 

Malaysia menurut satu laporan oleh Bloomberg baru-baru ini, berada di kedudukan kelima di kalangan ekonomi baru muncul sebagai destinasi utama bagi pelaburan dan perniagaan, di belakang potensi pemulihan ekonomi yang pesat, kedudukan fiskal dan kewangan yang stabil serta berupaya menangani dan mengurangkan pandemik COVID-19.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon