B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sarawak perlu wujud ekosistem ideal jadi destinasi utama industri semikonduktor

Sarawak perlu wujud ekosistem ideal jadi destinasi utama industri semikonduktor

09 Nov 2022

Sarawak perlu mewujudkan ekosistem yang ideal untuk menjadi destinasi utama bagi industri semikonduktor dan penyedia penyelesaian bagi teknologi semikonduktor.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, semikonduktor semakin penting untuk menjadikan grid elektrik lebih pintar, contohnya melalui meter pintar, penderia, komunikasi wayarles dan talian wayar serta sistem kawalan. 

Bagaimanapun kata beliau, dengan perubahan drastik dalam era teknologi, reka bentuk cip atau mikroelektronik kini turut berubah dan mendapat permintaan yang tinggi.

“Reka bentuk cip ini berubah dengan sangat pantas dan kita perlu sentiasa mengikuti perkembangan seperti ini.

“Ini adalah langkah pertama Sarawak untuk terlibat dalam penyertaan semikonduktor dan mewujudkan pekerjaan yang tinggi kepada anak tempatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Semikonduktor SMD Baharu (juga dikenali sebagai Reka Bentuk Mikroelektronik Sarawak) dan Majlis Menandatangani Perjanjian (MoA) Perkhidmatan Rangka Kerja dengan Melexis Technologies, Belgium di Kampung Digital TEGAS di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Ketua Pegawai Eksekutif Semikonduktor SMD Shariman Jamil.

Abang Johari berkata, buat masa ini pencipta cip sedia ada ialah Syarikat X-FAB Sarawak di Zon Perindustrian Bebas Samajaya yang menghasilkan cip untuk pelbagai aplikasi termasuk kereta.

Menurutnya, Sarawak juga perlu berubah mengikut kehendak semasa termasuk industri semikonduktor dan menerusi Semikonduktor SMD yang baru dilancarkan, Sarawak akan menyediakan perkhidmatan reka bentuk cip kepada Melexis Technologies, Belgium. 

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari berkata, sistem perisikan membolehkan utiliti elektrik mengesan kerosakan, mengurus permintaan kuasa apabila kapasiti terhad atau mahal, dan menyepadukan sumber kuasa boleh diperbaharui dan diagihkan ke dalam grid dengan lebih mudah.

Katanya, contoh-contoh tersebut sekadar menyebut beberapa aplikasi tentang cara semikonduktor digunakan untuk membolehkan tenaga bersih dalam pelbagai sektor ekonomi.

“Pada masa sama, Sarawak akan terus membangun dan memodenkan sektor utama untuk meningkatkan produktiviti dan menyokong aktiviti pembuatan bernilai tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.

“Inisiatif ini akan melengkapkan pertumbuhan sektor lain, seperti pengangkutan dan logistik, perkhidmatan kewangan dan perundangan, serta perkhidmatan reka bentuk dan kreatif,” jelasnya.

Mengenai MoA Semikonduktor SMD dan Melexis, Abang Johari berkata, ia menandakan permulaan kerjasama yang mantap antara kerajaan Sarawak dan Melexis dalam reka bentuk semikonduktor dan cip.

Katanya, ia akan terus menjadi industri penting yang akan mengubah dan mendorong Sarawak ke arah persekitaran yang mampan dan ekonomi bernilai tinggi.

“Kita juga boleh bekerjasama untuk memelihara alam sekitar dan meneroka peluang lain dari segi teknologi. Walaupun Sarawak adalah sebuah negari kecil, kita diberkati dengan sumber. 

“Kita memerlukan teknologi dan kepakaran untuk menambah nilai kepada sumber kita, sekali gus menyumbang kepada keperluan dunia untuk persekitaran hijau,” katanya.

Semikonduktor SMD merupakan entiti milik penuh kerajaan negeri yang diperbadankan melalui Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat.

SMD ialah sebuah tempat untuk reka bentuk cip fabless butik yang mengkhusus dalam mereka bentuk litar bersepadu isyarat analog dan campuran dengan model perkongsian yang mantap dengan pemain industri utama, sekali gus memulakan perjalanan transformasi untuk meningkatkan dan menambah baik reka bentuk dan bekalan pembuatan litar bersepadu atau cip di Sarawak.

Sumber: Utusan Borneo

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon