B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sarawak pelbagaikan sumber hasil, kurangkan kebergantungan terhadap kayu-kayan

Sarawak pelbagaikan sumber hasil, kurangkan kebergantungan terhadap kayu-kayan

23 Dis 2020

Kejayaan kerajaan Sarawak mempelbagaikan sumber hasil terbukti dapat membantu negeri itu mengurangkan kebergantungan terhadap produk kayu-kayan sebagai punca pendapatan utamanya, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata belanjawan negeri sebelum ini menunjukkan bahawa kedudukan kayu-kayan sebagai sumber utama hasil Sarawak telah susut dengan ketara apabila mencatat kira-kira RM300 juta yang jauh lebih rendah berbanding bayaran royalti air sebanyak kira-kira RM600 juta.

“Kita kini mempunyai sumber hasil pelbagai yang baharu dan tidak lagi bergantung kepada kayu-kayan sahaja. Ini sekali gus membolehkan kita mengurangkan sumbangan industri kayu-kayan terhadap ekonomi.

“Bagaimanapun pada masa yang sama, kita perlu memulihkan keadaan hutan ini menerusi usaha penanaman pokok-pokok,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penanaman pokok di sini, hari ini.

Abang Johari berkata kerajaan negeri juga telah merangka satu dasar baharu dan menyediakan dana berjumlah RM60 juta bagi membolehkan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) menjalankan usaha penanaman semula hutan.

“Selain itu, kita juga membenarkan orang ramai untuk menanam pokok menggunakan biji benih yang boleh diperolehi daripada tapak semaian JHS. Ini bermakna mereka juga boleh menyertai usaha penanaman semula hutan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Negeri berkata kegiatan pembalakan secara haram di Sarawak juga telah merosot dengan ketara susulan penggunaan teknologi bagi pengumpulan data selain usaha pemantauan dari udara dengan menggunakan peranti dron.

“Pada masa ini, kita menggunakan teknologi bagi mengesan (aktiviti pembalakan haram) dan sukar bagi mereka untuk mengelak teknologi sedemikian,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon