B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sarawak negeri terima pelaburan langsung asing terbanyak – Abang Johari

Sarawak negeri terima pelaburan langsung asing terbanyak – Abang Johari

15 Dis 2020

Sarawak muncul negeri teratas di Malaysia yang menerima Pelaburan Langsung Asing (FDI) tertinggi dengan keseluruhan bernilai RM15.8 bilion untuk tempoh Januari hingga September tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ia berdasarkan laporan UOB Financial Research and Markets baru-baru ini yang meletakkan Sarawak di hadapan negeri-negeri lain di Malaysia dalam menarik pelabur asing.

Tegasnya, pencapaian tersebut adalah kerana negeri ini mempunyai kestabilan politik, saling hormat menghormati, mempunyai kerukunan serta dasar yang inklusif.

“Kita bersyukur kerana Sarawak begitu stabil, untuk tempoh sembilan bulan tahun ini kita telah menerima banyak pelaburan asing sekali gus akan memacu ekonomi negara ke hadapan.

“Keadaan positif ini tidak berlaku di peringkat Persekutuan pada ketika ini kerana masih ada pihak yang cuba mengganggu kerajaan pusat.

“Sayangnya negara menghadapi masalah besar kerana ada individu yang tidak putus-putus hendak menjadi Perdana Menteri (untuk menumbangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam upacara pecah tanah projek pembinaan Pusat Kebudayaan Orang Ulu di sini, hari ini.

Katanya dengan keadaan negara yang tidak stabil, sudah tentu tiada pihak yang berani dan hendak melabur modal.

“Inilah keadaan yang ada pada Sarawak dan terima kasih kepada pemimpin terdahulu yang telah meletakan asas kepada apa yang kita ada sekarang untuk terus memajukan negeri dan saya berasa sangat bangga dengan pencapaian kita setakat ini,” ujarnya.

Bercakap lanjut, Abang Johari menyeru masyarakat Orang Ulu untuk terus bersatu padu walaupun mereka kumpulan etnik minoriti di Sarawak.

“Apa yang penting adalah kualiti kepimpinan berbanding kuantiti kerana ia lebih memberi kesan dalam komuniti tersebut.

“Jadilah seperti Orang Ulu walaupun mereka adalah kumpulan etnik minoriti di Sarawak. Jadilah seperti penyapu lidi – hanya satu ia lemah, tetapi apabila banyak ia kuat,” katanya lagi.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon