B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sarawak kenal pasti kawasan di Samarahan untuk kembangkan Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya

Sarawak kenal pasti kawasan di Samarahan untuk kembangkan Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya

10 Dis 2021

KUCHING, 10 Dis — Kerajaan negeri Sarawak telah mengenal pasti kawasan baharu di Samarahan untuk mengembangkan Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya berikutan taman teknologi tinggi itu hampir mencapai kapasiti penuh.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pengembangan itu adalah seiring dengan matlamat kerajaan negeri untuk memperhebat usaha bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI).

Beliau berkata Sarawak sentiasa berada pada kedudukan empat destinasi pelaburan terbaik di Malaysia dalam sektor pembuatan sejak beberapa tahun lepas dan masih berupaya menarik RM15.7 bilion pelaburan pada 2020 meskipun dalam keadaan pandemik COVID-19 yang berlanjutan.

“Sarawak mempunyai jisim bumi yang luas dan banyak sumber asli, oleh itu, kita perlu lebih banyak FDI untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi demi kebaikan rakyat.

“Kita perlu terus mencipta peluang perniagaan baharu untuk komuniti perniagaan kita dalam sektor teknologi tinggi dan akan terus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada golongan siswazah dan lepasan sekolah,” katanya semasa lawatan kerja ke projek pelaburan baharu Taiyo Yuden (Sarawak) Sdn Bhd di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya.

Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif  Taiyo Yuden, Yoshio Akimoto.

Awang Tengah berkata zon perindustrian itu menawarkan pekerjaan kepada lebih 13,700 individu dengan 98 peratus daripada tenaga kerja merupakan rakyat Sarawak dan hampir 10 peratus daripadanya adalah jurutera.

Beliau berkata gaji tahunan yang dibayar untuk pekerja di Sama Jaya pada 2020 berjumlah RM598 juta.

“Ia selanjutnya menjana RM667 juta limpahan kepada ekonomi tempatan kita secara tahunan, memanfaatkan Perusahaan Kecil dan Sederhana daripada logistik kepada pergudangan, bekalan dan perkhidmatan mesin, penyelenggaraan, katering dan dobi,” katanya.

Awang Tengah berkata Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya telah melakukan yang terbaik meskipun ketika pandemik COVID-19 yang menyebabkan kelembapan ekonomi, selain menjejaskan pertumbuhan ekonomi di banyak negara.

Syarikat multinasional di Sama Jaya telah mengeksport barangan bernilai RM6.93 bilion pada 2020, peningkatan 27.5 peratus daripada RM5.43 bilion pada 2019 dan beberapa produk daripada Sama Jaya terdapat dalam jenama global seperti Apple, Samsung dan BMW.

Sementara itu, Yoshio berkata syarikat itu telah melabur RM700 juta dalam Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya untuk membina kilang baharu bagi memenuhi pertambahan permintaan pada masa depan.

Beliau berkata kilang baharu itu akan mula beroperasi pada 2023 dan menawarkan peluang pekerjaan kepada 2,000 orang.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon