B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sarawak akan beralih kepada sektor ekonomi baharu dipacu teknologi digital, data, inovasi

Sarawak akan beralih kepada sektor ekonomi baharu dipacu teknologi digital, data, inovasi

21 Jun 2022

Sarawak akan beralih kepada sektor ekonomi baharu dipacu teknologi digital, data dan inovasi agar kekal berdaya saing dalam persekitaran perniagaan global yang dinamik serta tidak menentu.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bagi tujuan itu Sarawak perlu menerima sepenuhnya transformasi digital kerana negeri ini perlu meningkatkan produktiviti kekal berdaya saing pada masa sama mewujudkan persekitaran bersih, sihat dan kukuh untuk generasi seterusnya.

“Visi saya untuk Sarawak ialah menjelang 2030, Sarawak akan menjadi sebuah negeri maju dengan ekonominya berkembang maju didorong data dan inovasi, di mana semua orang menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan persekitaran mampan.

“Fokus kita ialah penstrukturan semula dan mempelbagaikan ekonomi kepada industri hiliran bernilai tinggi pada masa sama mewujudkan komuniti yang maju,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) Ke-5 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Justeru ujarnya, Sarawak akan memajukan lagi transformasi digital kerana ia merupakan kunci ke arah meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata untuk menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi pada 2030, Sarawak perlu mencapai kadar pertumbuhan ekonomi antara 6.0 hingga 8.0 peratus setahun. 

Ini penting katanya, bagi membolehkan Sarawak menggandakan saiz ekonomi negeri kepada RM282 bilion pada 2030.

Menurutnya antara ciri membezakan pelbagai transformasi digital ialah pertumbuhan pesat dalam maklumat yang boleh dibaca mesin atau data digital melalui Internet.

Data seperti itu jelasnya, merupakan teras kepada kemajuan pantas teknologi digital seperti analisis data, kecerdasan buatan (AI), rantaian blok, Internet untuk segalanya (IoT), pengkomputeran awan dan semua perkhidmatan berasaskan Internet.

“Teknologi-teknologi ini menjadi asas sumber ekonomi dan pandemik COVID-19 menjadikan penggunaan data satu trend yang mendorong banyak aktiviti beralih kepada urusan dalam talian.

“Data merentasi sempadan mewujudkan senario ekonomi antarabangsa yang baharu seterusnya mewujudkan bentuk kebebasan global baharu. Maka mengawal selia aliran data di peringkat antarabangsa semakin mendesak,” ujarnya.

Abang Johari berkata, rangka kerja pengawalseliaan serantau dan antarabangsa semasa cenderung sama ada terlalu sempit skopnya atau terhad secara geografi menyebabkan keuntungan tidak dapat dikongsi dan risiko ditangani dengan betul.

Justeru tegasnya, terdapat keperluan mewujudkan rangka kerja pengawalseliaan baharu. 

“Membangunkan negeri perlu mencari keseimbangan optimum antara mempromosikan pembangunan ekonomi domestik, melindungi kepentingan dasar awam dan menyapadukan ekosistem digital global,” katanya.

Abang Johari berkata, Sarawak memulakan usaha ke arah ekonomi digital pada 2018, untuk beralih daripada kebergantungan negeri ini kepada sumber ekonomi tidak boleh diperbaharui menerusi Strategi Ekonomi Digital Pertama (2018-2022) dilancarkan Disember 2017.

Beliau berkata strategi yang berakhir tahun ini, terdiri daripada 47 tindakan dalam lapan sektor ekonomi dan tujuh pemboleh.

“Sejak bermulanya agenda ekonomi digital pada 2018, Sarawak telah berjaya meningkatkan pembangunan ekonomi negeri menerusi transformasi dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, industri kelapa sawit, e-perdagangan, kewangan, teknologi kewangan, pembangunan digital, bandar pintar, pelancongan, perkilangan dan industri perkhidmatan.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Operasi) merangkap pengerusi penganjur IDECS 2022 Datu Dr Sabariah Putit.

Sumber: Utusan Borneo

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon