B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Saham Pekat melonjak lebih 160 peratus selepas disenaraikan

Saham Pekat melonjak lebih 160 peratus selepas disenaraikan

23 Jun 2021

Pekat Group Bhd (Pekat) memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE, Bursa Malaysia dengan cemerlang apabila sahamnya melonjak kepada 85 sen, atau premium 165 peratus berbanding harga rujukan tawaran awam permulaan (IPO) 32 sen sesaham.

Penyedia solar fotovoltan (PV) dan perlindungan kilat dan pembumian (ELP) itu turut merekodkan 30.58 juta saham diniagakan.

Pengarah Urusan Pekat, Chin Soo Mau, berkata dana yang diperoleh daripada kejayaan proses penyenaraian itu akan diguna bagi mengembangkan perniagaan solar PV dan ELP.

Beliau berkata, daripada RM44.4 juta jumlah dana yang dijana itu, RM18 juta akan digunakan untuk aktiviti pembinaan ibu pejabat baharu dan kemudahan operasi.

Sebanyak RM12.7 juta katanya akan digunakan bagi keperluan modal kerja terutama bagi pembelian bahan untuk projeknya seperti modul solar PV, pembalik solar PV dan produk dan aksesori ELP; RM10 juta pula bagi membayar balik pinjaman bank manakala RM3.7 juta lagi untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.

Katanya, Pekat menjangkakan permodalan pasarannya akan meningkat kepada RM206.4 juta selepas penyenaraiannya itu, berdasarkan modal saham diperbesarkan sebanyak 645 juta saham.

Sehingga 3 Mei 2021 katanya, kontrak dalam tangan sedia ada Pekat adalah bernilai RM154.9 juta, merangkumi RM92.8 juta bagi projek solar PV dan RM62.1 juta untuk projek ELP.

“Daripada jumlah itu, RM117.2 juta dijangka dibilkan pada 2021, RM24.8 juta pada 2022, RM11.5 juta pada 2023 dan RM1.4 juta pada 2024.

“Kumpulan juga dijangka meraih manfaat daripada inisiatif kerajaan, insentif kewangan dan potongan cukai bagi industri solar PV, dan memulih di dalam sektor pembinaan, dipacu oleh penerusan semula aktiviti di seluruh subsektor.

“Pekat akan menggunakan kelebihan daripada sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) yang semakin pesat dan pemulihan di dalam sektor pembinaan,” katanya selepas majlis penyenaraiannya di Bursa Malaysia secara maya.

Soo Mau, berkata polisi dan insentif kerajaan akan berperanan sebagai pemangkin pertumbuhandi dalam industri solar PV pada segmen pengguna akhir yang berbeza seperti kediaman, komersial dan industri.

Beliau berkata, insentif dan potongan cukai semasa seperti Skim Pembiayaan Teknologi Hijau dan Elaun Cukai Pelaburan Hijau oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga akan terus memupuk lagi pembangunan di dalam industri solar PV.

Pekat katanya turut meraih manfaat daripada pelbagai program solar PV seperti inisiatif solar bumbung terbaharu menerusi program Pemeteran Bersih Tenaga (NEM 3.0) yang akan berkuatkuasa dari 2021 sehingga 2023 dengan kuota 500 MW diperuntukkan untuk meningkatkan penggunaan solar.

“Bagi subsektor kejuruteraan awam kumpulan, pertumbuhan dijangka pulih berdasarkan kepada permulaan semula aktiviti pembinaan bagi projek prasarana besar seperti Mass Rapid Transit 3, Light Rail Transit 3, Rapid Transit System Johor Baharu-Singapura dan lebuh raya Pan Borneo serta jalan raya pesisir pantai di Sarawak.

“Ia akan meningkatkan permintaan bagi kepakaran dan produk ELP Pekat. Malah laporan kajian pasaran bebas turut mengunjurkan sektor pembinaan dijangka pulih sebanyak 13.4 peratus pada 2021, didorong penerusan aktiviti di semua subsektor selepas mencatat penurunan sebanyak 19.4 peratus pada 2020,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon