B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


RMK-12: Agenda perhebat peranan ekonomi digital

RMK-12: Agenda perhebat peranan ekonomi digital

27 Sep 2021

Ekonomi digital dijangka menyumbang sejumlah 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2025.

Menurut dokumen Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), sumbangan aktiviti e-dagang terhadap KDNK pula disasarkan pada kadar 10.5 peratus di bawah agenda memperhebat ekonomi digital.

“Dalam tempoh RMK-12, usaha akan ditumpukan untuk menyediakan persekitaran yang menyokong pertumbuhan ekonomi digital, memperkukuhkan infrastruktur dan perkhidmatan digital, membangunkan bakat digital tersedia masa hadapan serta menjadikan Malaysia sebagai pusat digital ASEAN.

“Ekonomi digital akan mengubah perniagaan konvensional serta amalan pengguna untuk mendapatkan maklumat, perkhidmatan dan barangan,” katanya.

Dokumen itu berkata, Pelan Hala Tuju e-Dagang Kebangsaan 2.0 2021-2025 akan dilaksanakan untuk melonjakkan aktiviti e-dagang dengan rangka kerja ‘e-invoicing’ kebangsaan akan dibangunkan untuk membolehkan rakan dagang berurus niaga dengan lancar menggunakan mekanisme digital.

“Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan digalakkan untuk meningkatkan perdagangan e-dagang melalui integrasi data dan maklumat di pusat setempat sedia ada bagi membolehkan perniagaan tempatan mengakses pembiayaan, kemudahan dan khidmat nasihat lebih baik.

“Pusat ini juga akan menyelaras intervensi berkaitan perniagaan digital dan perdagangan rentas sempadan untuk menggalakkan perniagaan menembusi pasaran antarabangsa,” tambahnya.

Sementara itu, RMK-12 turut menggariskan sasaran untuk mencapai liputan 4G 100 peratus di kawasan berpenduduk dengan kelajuan jalur lebar mudah alih lebih daripada 100 Mbps (Megabit sesaat) dan sembilan juta premis mendapat akses ke perkhidmatan jalur lebar talian tetap menjelang 2025.

Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan membolehkan pembangunan infrastruktur digital yang mampan, inklusif dan berkualiti tinggi serta liputan standard teknologi 5G yang lebih luas.

“Dasar berkaitan perancangan dan pemasangan infrastruktur digital oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri akan diselaras untuk memudahkan pelaburan dalam infrastruktur digital yang canggih dan untuk memastikan pelaksanaan pembangunan yang optimum.

“Langkah akan diambil untuk menjadikan perkhidmatan komunikasi sebagai utiliti awam, sama seperti air dan elektrik di bawah Undang-undang Kecil Bangunan Seragam dan undang-undang lain yang berkaitan,” jelas dokumen itu.

RMK-12 turut menekankan bahawa Malaysia akan memanfaatkan kelebihan negara ASEAN untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam teknologi Revolusi Industri 4 (4IR), terutama daripada syarikat unicorn global.

“Usaha akan dipergiatkan untuk mewujudkan ekosistem yang kondusif, termasuk meningkatkan keupayaan PMKS dan menambah baik penyelarasan dalam melaksanakan program dan inisiatif sedia ada.

“Peluang pertumbuhan daripada 4IR dan potensi risiko yang muncul daripada trend mega memerlukan penggunaan teknologi 4IR dalam pelbagai sektor ekonomi,” katanya.

Dokumen itu menambah, sebanyak 10 sektor berpotensi akan diberi tumpuan untuk menyokong anjakan strategik dalam ekonomi terutama dalam sektor perdagangan borong dan runcit; pengangkutan dan logistik; pelancongan; kewangan dan insurans serta utiliti.

Sektor yang selebihnya merangkumi perkhidmatan profesional, saintifik dan teknikal; penjagaan kesihatan; pendidikan; pertanian serta pembuatan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X