Pusat data RM2 bilion bakal dibina di Johor - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pusat data RM2 bilion bakal dibina di Johor

Pusat data RM2 bilion bakal dibina di Johor

22 Mei 2023

Princeton Digital Group (PDG), penyedia perkhidmatan pusat data terkemuka di Asia akan melabur RM2 bilion untuk membangunkan sebuah kampus hiperskala 150 megawatt (MW) di Johor yang bakal menjadi antara pusat data terbesar di Asia Tenggara.

Bagi tujuan itu, PDG dan JLand Group (JLG), cabang hartanah dan infrastruktur Johor Corporation, hari ini memeterai perjanjian muktamad bagi pembelian tanah seluas 31 ekar di Taman Teknologi Sedenak (STeP), Johor.

Majlis menandatangani perjanjian antara kedua-dua pihak itu dimeterai di sini dengan disaksikan oleh Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Johor Corporation, Datuk Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Fasa pertama hiperskala berkapasiti 60MW dijadualkan siap untuk perkhidmatan menjelang suku kedua 2024.

Projek ini menandakan penceburan sulung PDG dalam pasaran Malaysia, sebagai negara keeenam selepas Singapura, China, Indonesia, India dan Jepun.

Pusat data yang dinamakan JH 1 itu bakal menjadi antara kampus pusat data yang terbesar di Asia Tenggara bagi memenuhi keperluan infrastruktur pelanggan merentasi rantau ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation yang juga Pengerusi JLG, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, berkata pada masa ini, tumpuan JLG ialah untuk meluaskan peluang perniagaan dalam bidang pusat data sambil pelabur dan pengendali memanfaatkan prospek sektor ini yang semakin pantas berkembang.

“Menerusi tawaran bersepadu di STeP, kami tetap komited untuk mengukuhkan kedudukan Johor sebagai titik tumpuan pusat data serantau memandangkan keupayaannya untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah. Penceburan PDG dalam Johor dan STeP adalah pengesahan kukuh strategi dan tawaran JLG.

“Dengan semakin banyak syarikat dan komuniti menumpukan usaha untuk memperkenalkan alat serta strategi digital generasi akan datang, permintaan bagi simpanan data yang boleh dipercayai, pintar dan berdaya tahan akan berkembang secara eksponen.

“Justeru, kita perlu berusaha meningkatkan prestasi kelestarian pusat data menerusi platform Internet Kebendaan Perindustrian (IIoT), pemantauan tenaga dan kuasa serta teknologi pendinginan inovatif,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PDG, Rangu Salgame, berkata: Penceburan ke pasaran Malaysia akan meluaskan operasi PDG di Asia, yang dikukuhkan lagi dengan kehadiran kami sebagai pemimpin infrastruktur digital seluruh Asia.”

JLG juga mengumumkan taman pusat data seluas 640 ekar yang dinamakan STeP 2, yang dijangka siap menjelang September 2024.

Sebagai sebahagian daripada pembangunan Ibrahim Technopolis (IBTEC) yang lebih besar, STeP 2 akan menerima bekalan tenaga daripada ladang fotovoltan solar, sejajar dengan Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF).

Tambahan lagi, STeP 2 dijangka mendapat manfaat daripada persiapan IBTEC untuk mencapai status Pusat Siber Digital Malaysia (MD).

Kepesatan pertumbuhan perkomputeran awan, e-dagang dan aplikasi data raya di Asia Pasifik telah menyaksikan peluasan kapasiti pusat data dan sistem infrastruktur pintar.

Dalam Indeks Peluang Pusat Data SEA-5 Knight Frank (SEA-5 Index), Malaysia dikenal pasti sebagai destinasi utama bagi pelaburan pusat data, dengan penggunaan sehingga 113 MW dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 8.7 peratus pada 2022.

Ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pasaran lokasi bersama yang utama, dengan menarik minat pelabur dan juga pengendali pusat data.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon