B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pulau Pinang mahu jadi hab utama reka bentuk litar bersepadu, pembuatan alatan bahagian depan

Pulau Pinang mahu jadi hab utama reka bentuk litar bersepadu, pembuatan alatan bahagian depan

20 Nov 2021

Berbekalkan reputasinya sebagai Lembah Silikon Timur, Pulau Pinang akan terus mengekalkan kelebihan bersaingan, memperkukuhkan kedudukan dalam aktiviti huluan, dan berhasrat menjadi hab utama dalam reka bentuk litar bersepadu dan pembuatan peralatan bahagian depan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata negeri itu turut menyasarkan untuk memperkukuh kluster industri sedia ada dalam elektrik dan elektronik (E&E), mesin dan peralatan bahagian belakang, dan teknologi perubatan.

“Melalui ekosistem Pulau Pinang yang mampan, saya yakin negeri ini berada dalam trajektori yang sesuai untuk merealisasikan matlamat-matlamat ini.

“Pulau Pinang akan kekal komited melangkah ke hadapan dengan semua pihak berkepentingan dan saya menantikan peluang yang lebih memberangsangkan pada beberapa tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh InvestPenang, bersempena ulang tahun ke-50 perjalanan Pulau Pinang dalam pengindustrian pada tahun ini.

Beliau berkata Pulau Pinang adalah pangkalan pembuatan produk E&E terpenting di Malaysia dan muncul antara hab paling aktif di dunia, dengan anggaran lima peratus daripada eksport semikonduktor global.

Pada 2020, eksport Pulau Pinang mencapai rekod tertinggi sebanyak RM310 bilion dengan 82 peratus daripadanya disumbangkan oleh E&E dan instrumen profesional, santifik dan kawalan (termasuk peranti perubatan).

Beliau berkata Pulau Pinang menjana lebihan dagangan sebanyak RM110 bilion pada tahun lepas, dengan menyumbang 60 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia.

“Sejak 2013 hingga 2020, eksport Pulau Pinang adalah konsisten dengan aliran meningkat dan mencapai kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 10 peratus, sekali gus menunjukkan daya tahan negeri ini untuk mengharungi kitaran dalam industri.

“Saya ingin menyatakan penghargaan kepada semua penggiat industri berikutan keyakinan yang berterusan terhadap Pulau Pinang, selain agensi persekutuan dan negeri di atas usaha bersepadu untuk memantapkan kedudukan Pulau Pinang sebagai lokasi pelaburan pilihan sepanjang 50 tahun perjalanannya  dalam pengindustrian,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon