PTP tingkatkan kapasiti menerusi pelaburan RM750 juta pada 2022 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


PTP tingkatkan kapasiti menerusi pelaburan RM750 juta pada 2022

PTP tingkatkan kapasiti menerusi pelaburan RM750 juta pada 2022

07 Jan 2022

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) akan melabur RM750 juta pada 2022  untuk mempertingkatkan kapasitinya,  kata Ketua Pegawai Eksekutif, Marco Neelsen.

Beliau berkata dengan didorong pertumbuhan dua angka pada tahun lepas, kapasiti pelabuhan itu yang kini pada 11.5 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) akan meningkat kepada 12.5 juta TEU dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Kami akan menerima 18 kren dermaga dan kren laman yang baharu, serta peluasan kawasan laman pelabuhan yang berterusan.

“Selain itu, kami merancang untuk menambah satu lagi tempat berlabuh, berhampiran dengan Tempat Berlabuh  1, yang kami mahu gunakan antaranya untuk memperluas operasi bagi kargo ke dan dari Sumatera,” katanya pada majlis meraikan pencapaian 11 juta TEU PTP di sini, pada Jumaat.

Hadir sama ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.

Neelsen berkata selain bagi operasi terminal, pelaburan itu juga akan menumpukan peningkatan kecekapan dan pengalaman pelanggan.

“Kami kini memperluas Zon Bebas kami dengan pembangunan di tapak seluas 32.4 hektar di Tanjung Adang yang dirancang siap pada awal 2023,” katanya.

PTP merekodkan jumlah keseluruhan 11.2 juta TEU pada akhir 2021, peningkatan sebanyak 14 peratus bagi jumlah tahunannya, berbanding 9.8 juta TEU pada 2020.

Ia juga merupakan antara 20 pelabuhan utama di dunia yang mencatatkan pertumbuhan dua angka pada 2021.

PTP, usaha sama antara firma Malaysia, MMC Group dan syarikat Netherlands, APM Terminals, melakarkan satu pencapaian baharu apabila menjadi terminal kontena pertama di Malaysia yang merekodkan jumlah pengendalian melebihi 11 juta TEU.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon