B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Proton perkenal barisan pemasangan enjin berteknologi tinggi baharu di Tanjung Malim

Proton perkenal barisan pemasangan enjin berteknologi tinggi baharu di Tanjung Malim

05 Jul 2022

Pembuat kereta nasional, Proton Holdings Bhd memperkenalkan barisan pemasangan enjin baharu dan berteknologi tinggi yang berupaya menghasilkan enjin 1.5 TGDI (Suntikan Terus Gasolin Turbo) untuk pasaran tempatan dan eksport.

Barisan pemasangan, yang berada di kemudahan enjin dan rangkaian kuasa Proton di sini, meliputi kawasan seluas 18,000 meter persegi dan mempunyai kapasiti maksimum semasa sebanyak 180,000 unit enjin apabila beroperasi dalam tiga syif.

Ini buat kali pertama enjin 1.5 TGDI dipasang di luar China dan merupakan antara barisan pemasangan enjin automotif tercanggih di negara ini.

Projek itu juga merupakan sebahagian daripada RM1.8 bilion yang diperuntukkan oleh Proton untuk menaik taraf kemudahannya di sini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata barisan pemasangan enjin baharu itu menunjukkan pihaknya mengotakan janji kepada pihak berkepentingannya.

“Apabila perjanjian dibuat untuk bekerjasama dengan Geely pada 2017, antara komitmen kami adalah melabur dalam industri automotif Malaysia dari segi kewangan dan melalui pengenalan komponen baharu berteknologi tinggi.

“Barisan pemasangan baharu ini memenuhi syarat ini di samping memberi laluan kepada Proton untuk menarik dan membangunkan bakat muda yang akan membantu memacu industri automotif dan Proton pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita semasa lawatan ke kilang Proton di sini, pada Selasa.

Beliau berkata kualiti merupakan keutamaan barisan pemasangan enjin baharu Proton.

Proton perlu menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa ia mampu membina produk berkualiti tinggi yang boleh dipercayai, jadi pihaknya bersedia untuk setiap kemungkinan, katanya.

Roslan berkata selain langkah pemantauan kualiti yang digunakan pada barisan pemasangan, Proton turut bekerjasama rapat dengan rakan sejawatan di Geely.

“Ini untuk menyelesaikan masalah dan berkongsi amalan terbaik dalam usaha kami menghasilkan enjin bertaraf dunia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Kejuruteraan Pembuatan, Rangkaian Kuasa Proton, Mohamad Karim Mansor berkata kilang enjin 1.5 TGDi itu kini beroperasi pada kadar automasi sebanyak 47 peratus.

Beliau berkata ia sepadan dengan beberapa operasi kilang Geely di Baoji, China, yang semua barisan pengeluaran adalah automatik sepenuhnya.

“Barisan pemasangan enjin berteknologi tinggi di sini direka untuk mampu menghasilkan sehingga 300,000 unit (enjin) setahun, apabila tiba masanya,” katanya.

Mengetengahkan 88 stesen yang terdiri daripada 17 stesen automatik, 15 separa automatik dan 56 stesen manual, barisan pemasangan 1.5 TGDi dibina menggunakan pendekatan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan menampilkan tahap automasi yang tinggi untuk meningkatkan produktiviti.

Kilang ini juga menggunakan teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) dalam bentuk alat pengumpulan dan analisis data intensif untuk memastikan kualiti memenuhi piawaian.

1.5 TGDi tiga silinder dan variannya setakat ini telah digunakan dalam lebih 750,000 kenderaan yang dijual di seluruh dunia.

Menerusi penggunaan penyelesaian seperti pengecilan saiz enjin, sistem termal dan pelinciran yang dioptimumkan, pengecas turbo inersia rendah serta GDI yang dihomogenkan, prestasi pasangan enjin dengan penggunaan bahan api dan pelepasan yang berkurangan telah memenuhi syarat Euro 6.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon