B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Proton meterai perjanjian jual kenderaan elektrik Smart di Malaysia, Thailand

Proton meterai perjanjian jual kenderaan elektrik Smart di Malaysia, Thailand

18 Ogo 2022

Proton Holdings Bhd (Proton) hari ini memeterai perjanjian pengedaran am (GDA) dengan smart Automobile Co Ltd (smart) bagi penjualan kenderaan elektrik (EV) premium serta menyediakan servis berkaitannya di Malaysia dan Thailand.

Pengerusi Proton Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar berkata model pertama smart jualan Proton dalam fasa pertama perjanjian tersebut akan dilancarkan pada awal suku keempat tahun depan.

Menurutnya, Proton dan smart juga dapat mengembangkan jumlah pelanggan masing-masing selain berupaya meraih saluran perolehan hasil baharu daripada kalangan pembeli muda di Malaysia dan Thailand.

“Kami akan turut meraih pengetahuan penting mengenai cara pemasaran, penjualan serta servis membabitkan kenderaan tenaga baharu yang merupakan pasaran niaga baharu untuk kami selain memberi akses ke pasaran eksport baharu seperti Thailand yang mempunyai dasar EV dan pendedahan pengguna lebih maju.

“Ini turut memberi peluang untuk Proton memacu pembangunan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi di Tanjong Malim, Perak selain mewujudkan peluang dalam ekosistem automotif negara,” katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian GDA itu di sini, hari ini.

Syed Faisal Albar berkata impak daripada pengalaman penjualan dan servis kenderaan terbabit selain menguruskan operasi perniagaan EV dapat dilihat apabila Proton berpeluang memajukan tawaran EV di peringkat syarikat itu. 

Menurutnya, Proton juga merancang untuk melabur dalam rangkaian kemudahan pengecasan dan mewujudkan sistem terbabit bagi kegunaan pihak awam dan swasta.

“Ini melibatkan aspek pembekalan, pemaasangan dan penyelenggaraan dinding pengecas bagi kegunaan kediaman selain bekerjasama dengan penggiat pengecas tempatan bagi perkhidmatan kegunaan awam.

“Pelan servis pengecasan awam kami adalah untuk meliputi laluan pemanduan paling popular bagi kemudahan perjalanan pelanggan. Kami juga perlu memastikan pelanggan di kawasan pedalaman turut mendapat perkhidmatan itu berbanding mereka di kawasan bandar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah berkata pihaknya menyasarkan kira-kira 10,000 unit EV smart dapat dijual sehingga 2027 dengan dianggarkan 800-1,000 unit setahun di pasaran Malaysia.

Model EV smart pertama itu akan dijual di Thailand pada separuh kedua 2024, kata beliau.

Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong menyifatkan pemeteraian GDA itu sebagai satu langkah besar untuk Proton menembusi pasaran kenderaan tenaga baharu.

“Fasa pertama perniagaan dengan smart bukan hanya tertumpu kepada penjualan semata-mata, tetapi turut menimba pengetahuan dan pengalaman berharga bukan sahaja dari cara pengendalian servis dan pengecasan EV, tetapi turut mengubah cara kami berinteraksi dengan pelanggan,” kata beliau.

Menurutnya, peralihan ke dalam segmen pasaran itu akan turut memacu Proton ke arah lebih mesra alam dalam semua aspek operasi di samping berusaha membantu Malaysia mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050.

smart merupakan usaha sama oleh Mercedes-Benz dan Geely Group dengan kedua belah pihak saling memanfaatkan sinergi dalam penyelidikan dan pembangunan, pembuatan dan rantaian bekalan serta memajukan smart sebagai jenama automobil elektrik premium dan teknologi terkemuka dunia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon