B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Proton lancar inisiatif tenaga solar di kilang Tanjung Malim

Proton lancar inisiatif tenaga solar di kilang Tanjung Malim

25 Mac 2022

Proton telah melancarkan inisiatif tenaga solarnya di kilang Tanjung Malim bagi membantu pengeluar kereta nasional itu mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 11,536 tan setahun sambil menjimatkan kos utiliti.

Kemudahan tenaga solar Proton meliputi kawasan seluas 23.4 ekar yang menyediakan ruang parkir untuk 2,880 kereta dan digunakan sebagai tempat transit untuk kereta yang dikeluarkan di Tanjung Malim sebelum diedarkan ke seluruh negara, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kemudahan panel solar di tempat letak kereta itu, yang terbesar di Malaysia, diliputi oleh 20,544 panel solar dwimuka, yang dinamakan demikian kerana ia boleh menjana tenaga daripada cahaya matahari secara langsung pada bahagian atas serta pantulan cahaya matahari dari permukaan jalan dan kereta yang diletakkan di bawah panel tersebut.

Kereta yang baru dihasilkan juga turut dilindungi daripada unsur-unsur kerosakan di kawasan parkir itu.

Gabungan tenaga yang dijana daripada kemudahan panel solar ialah 12 megawatt puncak (MWp), cukup untuk menampung sehingga 25 peratus daripada penggunaan kuasa di kilang itu.

Dibina dan ditauliahkan oleh Pekat Group dan rakan sekutunya MFP Solar, kemudahan panel solar tempat letak kereta itu boleh menjana 9MWp.

“Ia juga berpotensi untuk mengurangkan bil elektrik Proton sebanyak RM4.39 juta setahun dengan penjimatan sebanyak RM1.46 juta melalui 3MWp yang dijana melalui panel yang dipasang di atas bumbung kilang,” kata kenyataan itu lagi.

Syarikat itu melancarkan Proton Green Wheel dan Polisi Hijau pertamanya pada 2015, yang terdiri daripada lima fasa melibatkan sistem pengurusan tenaga; kecekapan tenaga; pengurusan sisa dan air; tenaga boleh diperbaharui melalui loji tenaga solar; dan mendigitalkan semua data tenaga Proton pada pelayan awan bagi memperkenalkan kecerdasan buatan dan analisis data besar.

Dalam tempoh lima tahun dari 2015 hingga 2020, inisiatif ini telah mencapai penjimatan bil elektrik sebanyak RM20 juta atau bersamaan penjimatan 55,000MWj dan lebih 40,000 tan pengurangan pelepasan karbon dioksida ke udara.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon