B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Projek pelaburan di Malaysia tidak terjejas

Projek pelaburan di Malaysia tidak terjejas

30 Ogo 2021

Perkembangan politik di Malaysia tidak memberi impak kepada pelaksanaan projek pelaburan yang sudah diluluskan, demikian menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman, berkata keadaan itu adalah disebabkan Malaysia secara konsisten menjadi negara yang properniagaan walaupun terdapat perubahan kepimpinan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

“Walaupun berlaku perubahan politik dalam pemerintahan kerajaan sebelum ini, namun dasar yang diguna pakai adalah tetap sama iaitu mesra perniagaan.

“MIDA akan terus berusaha dalam mewujudkan ekosistem untuk memelihara kelestarian perniagaan,” katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sama ada ketidaktentuan politik yang berlaku baru-baru ini akan menyebabkan pelabur menghenti atau menangguhkan pelaburan mereka.

Penganalisis sebelum ini menjangkakan pelabur mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ untuk membuat keputusan pelaburan susulan kemelut politik yang berlaku baru-baru ini.

Malah, menurut mereka peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang dijangka menjejaskan prestasi pemulihan ekonomi juga mendorong pelabur untuk menangguhkan keputusan untuk melabur buat masa ini, kecuali sektor yang mendapat permintaan tinggi.

Profesor Ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng, baru-baru ini berkata, kedua-dua perkara berkenaan dijangka mendorong sebahagian pelabur asing dan domestik, termasuk yang diluluskan MIDA, menangguhkan pelaksanaan strategi pelaburan masing-masing.

Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Arham berkata, MIDA komited untuk memastikan Malaysia terus diposisikan sebagai lokasi yang mesra pelabur untuk pertumbuhan jangka panjang bagi perniagaan asing dan domestik.

Katanya, secara keseluruhan, inisiatif fasilitasi pelaburan berterusan yang dijalankan adalah satu elemen penting bagi pelabur untuk terus melabur khususnya dari sudut memudahcara perniagaan serta mempercepatkan proses pelaksanaan projek.

“Bagi meningkatkan peranan MIDA untuk membantu pelabur, wakil kanan daripada agensi kerajaan utama ditempatkan di ibu pejabat MIDA di Kuala Lumpur untuk menasihati pelabur mengenai dasar dan prosedur kerajaan.

“Wakil ini terdiri daripada pegawai daripada Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia. MIDA juga disokong oleh Jabatan Alam Sekitar, Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Telekom Malaysia (TM),” katanya.

Beliau menambah, dalam masa sama MIDA menjalankan pelbagai inisiatif bagi menyediakan perkhidmatan untuk membantu pelabur serta memberikan fasilitasi berterusan.

“Selain itu, MIDA turut mengadakan sesi libat urus bagi memahami kehendak syarikat melaksanakan projek pelaburan yang diluluskan,” katanya.

Arham berkata, bagi tempoh Januari hingga Mac 2021, sebanyak 993 projek dengan keseluruhan jumlah pelaburan bernilai RM80.6 bilion telah diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi.

Katanya, daripada jumlah itu, pelaburan asing menyumbang melebihi separuh iaitu 68.1 peratus atau RM54.9 bilion, manakala pelaburan domestik menyumbang sebanyak 31.9 peratus atau RM25.7 bilion yang berpotensi mewujudkan 32,557 peluang pekerjaan baharu.

“Walaupun negara berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi global akibat daripada krisis pandemik COVID-19, sektor perkilangan kekal memainkan peranan penting dengan menyumbang lebih dua pertiga daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu 72.9 peratus atau RM58.8 bilion.

“Berdasarkan jumlah ini, 88.9 peratus atau RM52.3 bilion adalah pelaburan asing, manakala pelaburan domestik mencatatkan pelaburan sebanyak 11.1 peratus atau RM6.5 bilion.

“Jumlah pelaburan dalam sektor ini membabitkan 246 projek dan dijangka akan menjana sejumlah 26,689 peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Beliau berkata, bagi sektor perkhidmatan pula, jumlah pelaburan yang diluluskan adalah sebanyak 19.4 peratus atau RM15.6 bilion, meliputi 737 projek dan dijangka akan mewujudkan sejumlah 5,669 peluang pekerjaan.

“Pelaburan domestik mendominasi dengan jumlah pelaburan sebanyak 96 peratus atau RM15 bilion.

“Sektor utama menyumbang sebanyak 7.7 peratus atau RM6.2 bilion daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan bagi tempoh Januari hingga Mac 2021,” katanya. Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon