B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pintu pelaburan di Perak kini dibuka seluas-luasnya – Saarani

Pintu pelaburan di Perak kini dibuka seluas-luasnya – Saarani

09 Jun 2022

Perak membuka pintu pelaburan seluas-luasnya kepada pelabur tempatan dan luar negara yang ingin menerokai pasaran baharu kawasan perindustrian selain dari Pulau Pinang dan Selangor ketika ini.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri sentiasa menerima kehadiran pelabur dan juga pemain industri yang bersesuaian, dengan menempatkan lokasi strategik bagi tujuan pembangunan di Perak.

“Kebetulan di Perak, industri (tumpuan) adalah berasaskan sarung tangan. Kita masih kekal dengan peluang itu dan berharap industri lain muncul kerana kita sedia menerima pelaburan. Sudah tiba masanya untuk Perak menyediakan ruang, tempat untuk lokasi industri kerana Pulau Pinang dan Selangor telah padat dengan kawasan pelaburan.

“Tawaran yang kita sediakan ini adalah melalui kerjasama di antara Invest Perak, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Selain Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) melalui projek pembangunan bersepadu di Ipoh, kita juga buat persiapan (penyediaan lokasi) yang sama di Parit Buntar dan Tanjung Malim kerana ia akan beri ruang lebih besar dan menyemarakkan kehendak (pelaburan) mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan ‘Ipoh Raya Integrated Park’, iaitu projek pembangunan bersepadu sehenti enam fasa bernilai RM5 bilion selain menyaksikan memorandum persefahaman untuk projek tersebut di antara Aerodyne Group, Hi Wealth Labs Sdn Bhd dan Lorry Online hari ini.

Saarani berkata syarikat perindustrian multinasional tempatan dan luar negara boleh mencari lokasi bersesuaian di negeri ini khususnya pasca COVID-19 bagi mengembangkan sayap mereka selain memacu ekonomi setempat dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

Perak kini rancak untuk menarik pelaburan baharu pasca COVID-19 yang mana pada Mac, Saarani dilaporkan berkata satu perbincangan akan diadakan antara kerajaan negeri dan MITI berkaitan pelaburan bernilai RM32 bilion untuk membangunkan Automotive High-Technology Valley (AHTV) di Proton City, Tanjung Malim.

Manakala semalam, Saarani berkata Perak bakal menarik pelaburan bernilai RM400 juta melalui pembangunan projek Mini Hidroelektrik (Hidro 2) yang dijangka beroperasi pada 2027 dan bakal mewujudkan perniagaan baharu dengan tawaran hingga 500 peluang pekerjaan dalam bidang dan kepakaran berkaitan.

Perak merekodkan jumlah pelaburan memberangsangkan sebanyak RM6.6 bilion sepanjang 2021 melibatkan 137 projek merangkumi 43 projek daripada industri pembuatan dan 97 projek industri perkhidmatan terpilih.

Mengulas mengenai program hari ini Saarani berkata ia salah satu projek yang akan membantu melonjakkan ekonomi negeri dan memajukan kawasan setempat.

“Kita kena lihat ke depan, ia kepentingan untuk rakyat dan pembangunan negeri. Malah ia selaras dengan Pelan Sejahtera Perak 2030 yang akan saya lancarkan pada 15 Jun ini. Diharapkan projek hari ini akan berterusan (sehingga siap),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MRCB Land Sendirian Berhad Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata fasa pertama projek itu dijangka siap pada 2028 dan keseluruhan enam fasa projek pula akan siap pada 2043 yang mana ia  akan memanfaatkan rakyat negeri ini termasuk pelajar institusi pengajian tinggi.

“Kita akan berkolaborasi dengan pelajar untuk latihan praktikal dan khusus bersesuaian,” katanya yang percaya projek ini akan mewujudkan kira-kira 15,000 peluang pekerjaan secara berperingkat-peringkat.

Manakala dalam satu kenyataan media yang diterima, projek itu antara lain melibatkan pembangunan 832.38 ekar tanah yang dibina mengikut kesesuaian lokasi dan mempunyai ciri-ciri kelestarian alam sekitar selain berintegrasikan penggunaan infrastruktur yang komprehensif.

‘Ipoh Raya Integrated Park’ melibatkan hab perindustrian berasaskan pertanian, logistik, penginapan, kemudahan latihan vokasional dan teknikal selain nilai tambah lokasi strategik membabitkan pertemuan Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Timur Barat sebagai laluan untuk membawa bahan-bahan mentah.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon