B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pertumbuhan pesat ekonomi digital di Asia Tenggara akan berterusan pasca pandemik – Facebook

Pertumbuhan pesat ekonomi digital di Asia Tenggara akan berterusan pasca pandemik – Facebook

23 Sep 2021

Momentum pengembangan ekonomi digital di rantau Asia Tenggara yang amat pesat semasa era COVID-19 akan berlanjutan pasca pandemik, didorong oleh peningkatan pengguna digital yang akan merancakkan pembelian dalam talian di tengah-tengah perkembangan e-dagang, kata Facebook.

Naib Presiden rantau Asia Tenggara dan Pasaran Sedang Pesat Membangun Benjamin Joe berkata pandemik itu menjadi pemacu kepada trend digital dengan ramai pengguna kini telah terbiasa melakukan sesuatu menggunakan aplikasi mudah alih.

Beliau percaya dengan lebih ramai memanfaatkan skrin pelbagai (multi-screening) berbanding sebelumnya, gaya hidup pengguna baharu telah muncul dengan tabiat pembelian baharu, cara baharu untuk meneroka serta harapan baharu.

“Saya berpendapat kita akan terus menyaksikan trend pengguna digital ini. Malah setiap data dan pemahaman yang saya lihat setakat ini menunjukkan trend ini akan terus meningkat dan bukan sebaliknya,” kata beliau di sidang meja bulat media di Sidang Kemuncak Facebook SEA 2021 yang diadakan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan sama ada pertumbuhan ekonomi digital akan berterusan berikutan kadar  vaksinasi yang pantas dan kelonggaran ekonomi di banyak negara yang  memungkinkan pengguna kembali kepada pembelian di luar talian.

Turut hadir adalah ketua pegawai pemasaran Mindvalley Marisha Hassram, yang mewakili firma teknologi pendidikan yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Menurut kaji selidik Facebook, penghijrahan ekonomi rantau Asia Tenggara dari luar talian ke ekonomi dalam talian pada tahun 2020 telah melepasi anggaran awal dan terus berkembang pesat.

Kaji selidik itu turut menunjukkan ekonomi digital akan terus memainkan peranan besar dalam kehidupan seharian, walaupun selepas COVID-19.

Kira-kira 70 juta orang di rantau Asia Tengara, yang bersamaan keseluruhan penduduk United Kingdom, telah menjadi pengguna digital sejak pandemik itu bermula.

Menurut kajian, digitalisasi adalah pemacu utama ketahanan perniagaan dalam ekonomi pasca COVID-19 dengan peningkatan penggunaan yang berpusat di rumah.

“Saluran digital membantu perniagaan menjangkau lebih banyak khalayak, memudahkan hubungan emosi  dan mengubah penonton menjadi pengguna,” kata Benjamin.

Platform media sosial seperti Facebook, menjadi penting untuk kelangsungan hidup beberapa perniagaan, tambah beliau.

Di Facebook, perniagaan – baik besar, kecil, perusahaan sederhana dan mikro – disediakan alat untuk mengembangkan dan memperkuatkan kehadiran digital mereka, berhubung dengan pelanggan dan meningkatkan kemahiran pasukan, sekali gus membantu mereka pulih dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di negara masing-masing,” jelas Benjamin.

Sementara itu, Facebook dalam usaha membantu perniagaan bersedia untuk masa depan, akan menganjurkan siri ketiga Sidang Kemuncak Facebook pada 28 Sept, 2021.

Sidang kemuncak itu akan menampilkan lebih daripada 50 pemimpin global dan serantau, yang melangkah melangkaui batas industri serta menyoroti idea bagaimana syarikat-syarikat menggunakan platform seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, dan Messenger untuk terlibat secara kreatif dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon